Jumaat, 29 Februari 2008

RAKYAT KELANTAN DIHORMATI KERANA MILIKI PRINSIP KENTAL


HARAKAH – (29-02-2008)

PENGKALAN CHEPA, 28 Feb (Hrkh) – Rakyat Kelantan lebih dihormati kerana kematangan mereka berpolitik sehingga dapat menentukan siapa yang layak mentadbir negeri.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, selama ini rakyat negeri ini dihormati masyarakat luar khususnya di kalangan pelancong disebabkan berprinsip lebih kental dalam berpolitik.

“Rakyat Kelantan dihormati kerana prinsipnya yang tidak mudah termakan dengan janji-janji projek dan rasuah politik semasa musim pilihan raya seperti sekarang.

“Sebaliknya rakyat Kelantan menggunakan akal dan agama Islam sebagai sandaran semasa mengundi bagi memilih parti yang bakal memerintah,” katanya dalam satu majlis ceramah di Panchor dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu beliau meminta pengundi agar terus memberi sokongan kepada kepemimpinan PAS yang diterajui Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana telah terbukti berjaya mengurus tadbir negeri dengan prinsip agama.

Katanya, pemerintahan PAS di Kelantan penting dipertahankan sebagai asas untuk membuat perubahan di peringkat kerajaan Pusat.

“Rakyat Kelantan mesti terus kekal menjadi guru politik kepada rakyat Malaysia,” ujar Mohd Amar yang mempertahankan kerusi Dun Panchor pada pilihan raya umum ini

0 ulasan: