Isnin, 25 Februari 2008

BUDAYA CAH KETING


BERITA HARIAN ( 25-02-2008 )

Rakyat Kelantan kena bijak menilai sama ada bersama Pas atau teroka peluang baru

GENDANG perang pilihan raya umum yang dijangka paling sengit dalam sejarah Kelantan, semakin rancak di seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang, sebaik penamaan calon berakhir kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Walaupun sebaik pencalonan berakhir, Barisan Nasional (BN) Kelantan tersentak dengan pembatalan calonnya yang menyaksikan Pas kini mendahului kemenangan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kijang, tanpa bertanding, namun itu bukannya tanda perjuangan sudah berakhir.

Malah, ia sepatutnya menyemarakkan lagi semangat seluruh jentera BN untuk bingkas bergerak merebut 44 lagi kerusi DUN yang ada di seluruh negeri. Jentera Kijang sepatutnya sudah digerakkan ke kawasan lain.

Ekoran itu, sebaik pencalonan masing-masing disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 90 calon untuk kerusi DUN serta 30 calon Parlimen kini bersemangat mengatur langkah demi satu matlamat iaitu untuk menang.

Apa pun peristiwa yang menjadi rencah penamaan calon, setiap parti bertanding, sama ada BN atau Pas bersama sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiada lain sasaran mereka, kecuali kemenangan sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN yang akan membolehkan mana-mana pihak membentuk kerajaan.

Bagi BN, kemenangan pada pilihan raya kali ini bermakna sinar cahaya muncul di penghujung lorong gelap yang ditempuh selama 18 tahun menerusi empat pilihan raya, sudah berakhir.

Namun, ia bukan suatu perjuangan mudah. Pilihan raya di Kelantan kali ini ibarat peperangan untuk menawan sebuah bukit yang menjadi kota dan benteng terakhir milik Pas, yang akan dipertahankan segala sisa kekuatan yang ada.

Pada pilihan raya umum 2004, 20 kerusi yang selama ini menjadi lambang kekuatan Pas sejak 1990 jatuh ke tangan BN, mulai Disember 2005, Pas Kelantan meneruskan sisa-sisa pemerintahannya berbekalkan kelebihan satu kerusi dengan majoriti dua undi saja.

Kekalahan 2004 menyebabkan Pas mula tersedar daripada tidur dan lamunan yang prestasi khidmat mereka sejak diberi mandat pada 1990, sebenarnya mula dipertikaikan rakyat Kelantan.

Ibarat lembu dipegang pada tali, parti politik dan kerajaan pula akan dinilai pada keupayaan memenuhi janji. Lantaran pelbagai janji tidak dikota, menyebabkan rakyat Kelantan menunjukkan rasa kecewa.

Sejak 2004, penyusunan semula barisan pentadbiran kerajaan negeri menyaksikan pelbagai pendekatan mula diambil kerajaan Pas yang mahu dilihat semakin prihatin dan mesra rakyat, demi menebus kesilapan lampau.

Lantaran itulah yang menyaksikan beberapa program dilancarkan kerajaan Pas Kelantan untuk membina imejnya yang tercalar selama ini dalam tempoh yang singkat, walaupun hakikatnya tidak semua lapisan rakyat merasakannya.

Peluang diberikan rakyat Kelantan kepada 22 wakil BN ternyata tidak sia-sia. Pelbagai usaha dan pembangunan dibawa mereka demi memastikan rakyat yang memberi mandat terasa undi selama ini sebenarnya begitu berharga.

Kenangan 2004 sudah lama berlalu. Ketibaan pilihan raya umum 2008 pada 8 Mac ini, bermakna sekali kerajaan Pas Kelantan dan BN kembali menawarkan peluang terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan.

Rakyat Kelantan, khususnya seramai 751,682 pengundi perlu membuat perhitungan, sama ada mahu terus berada di bawah tempurung Pas bagi tempoh lima tahun lagi atau cuba keluar meneroka peluang baru yang ditawarkan menerusi manifesto yang akan diumumkan BN dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan senarai calon yang bertanding kali ini dengan BN mengekalkan 22 penyandang DUN 2004, bermakna khidmat mereka sebagai wakil rakyat sudah diterima sepanjang empat tahun lalu, rasanya mampu diterima untuk diberi mandat semula.

Tindakan Pas menggugurkan lima Adun kali ini membuktikan ada di antara mereka selama ini sebenarnya tidak begitu berkhidmat kepada rakyat yang setia memberi undi. Lantaran itu digantikan orang baru untuk mengelak mengundang derita.

Di sebalik keyakinan Pas dan BN untuk meraih majoriti kerusi, hakikatnya 21 kerusi yang pada 2004 dulu dimenangi dengan majoriti tipis, sekali lagi menarik perhatian dan pastinya menjadi penentuan siapa yang akan berkuasa.

Bercakap mengenai politik Kelantan, tidak sah jika budaya 'cah keting' tidak dikaitkan sama, kerana ia juga boleh menjadi punca kemenangan atau kekalahan seseorang calon di negeri ini.

Sudah berkali-kali, budaya 'cah keting' menunjukkan jasa dan menyumbang kepada kekalahan parti yang bertanding, sama ada Pas atau BN di Kelantan, pastinya berdepan nasib sama.

Di sebalik keyakinan untuk menang dengan majoriti selesa, Nik Abdul Aziz nyata mempunyai kegusaran terhadap budaya itu yang dikhuatiri kini sudah membarah dalam parti pimpinannya.

Jika bukan itu kebimbangannya, pasti beliau tidak akan bersuara, betapa calon yang dikemukakan pada pilihan raya umum untuk bertanding di Kelantan kali ini ada di kalangan mereka tidak dapat diterima semua.

"Saya minta pengundi Pas yang tidak selesa atau tidak puas hati, tolong ketepikannya (perasaan itu) kerana tiada calon di dunia ini yang boleh memuaskan hati semua.

"Nak cari yang boleh memuaskan hati semua memang tidak ada, jadi yang mana yang pucuk pimpinan kemuka, tolonglah terima. Ibarat makan ubat, walaupun rasa pahit, jika ditahan sekejap dan ditelan juga, lepas itu akan segera tubuh badan," katanya cuba merasional keadaan bagi memujuk rasa.

Kebimbangan Nik Aziz itu mungkin ada asasnya, kerana di kalangan pendokong dan ahli Pas sendiri, ada yang menganggap percaturan kali ini bagaikan ada yang tidak kena.

Kesediaan Nik Abdul Aziz memujuk ahli Pas sekitar Pasir Mas, menerima calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali, bertanding atas logo parti itu, begitu menghiris rasa terhadap akar umbi yang berjuang lama.

"Kata-kata nista selama ini masih melekat di cuping telinga. Lagu mano, kawe (saya) nak lupo," demikian kata-kata yang dititipkan oleh seorang penyokong setia veteran Pas di Pasir Mas.

Malah, tindakan menerima Ibrahim, ibarat strategi matlamat menghalalkan cara apabila calon berlatar belakangkan agama seperti Ismail Noh, ditendang semata-mata memberi laluan, sedangkan pada 2004, Pas menang di tempat sama.

Apa pun strategi Nik Abdul Aziz itu atau siapa juga pencaturnya, langkah itu sebenarnya mudah dibaca. Ibrahim diterima semata-mata demi menjana kemenangan terhadap tiga kerusi DUN di kawasan sama.

Ini kerana Pas perlu berdepan wakil BN, Hanafi Mamat di Pengkalan Pasir dan Mohd Fauzi Mohamad di Tendong, yang selama ini kuat berusaha membuktikan apa yang dikata dan dijanji BN pasti dikota.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Dr Awang Adek Hussain, berkata rakyat Kelantan ini bijak menilai keupayaan wakil BN membawa perubahan untuk negeri itu berdasarkan janji yang dikotakan sepanjang empat tahun lalu.

Apatah lagi, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, pula secara lantang pernah bersuara, mencabar pengundi Kelantan ketika berkempen di pilihan raya kecil Pengkalan Pasir Pas pada 2 Disember 2005.

Husam ketika itu, dilaporkan berkata, pengundi boleh menolak Pas di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang (2008) jika kerajaan Pas gagal membina jejambat merentasi landasan kereta api di Pasir Mas seperti dijanjikan.

Ketika itu, bukan setakat jejambat dijanjikan, pasar baru Pasir Mas juga mahu dibina. Malangnya sehingga kini, perkembangan projek terbabit tanpa sebarang khabar berita.

Hanafi berkata, sehingga kini, pembinaan projek itu sebenarnya belum bermula, tetapi rakyat cuba dikaburi dengan upacara ringkas dan meletakkan timbunan pasir seolah-olah kerja akan bermula. Hakikatnya entah bila, sedangkan janji yang dibuat sudah memasuki tahun ketiga.

Penamaan calon baru selesai, kempen juga sudah bermula. Seluruh jentera Umno kini perlu bergerak sehaluan menemui semua pengundi yang ada, dengan satu matlamat bersama merampas Kelantan daripada Pas.

0 ulasan: