Jumaat, 14 November 2008

Profesionalisme dan Projek Pembinaan – wayang gambar yang tiada kesudahan.


Sudah lebih tujuh (7) tahun saya merasai dunia pekerjaan di Malaysia. Segala-galanya berjalan tidak seperti yang digambar dan harapkan. Dunia pekerjaan yang penuh dengan cabaran dan persaingan diantara satu sama lain. Mereka yang lemah akan terkulai di tengah jalan dan ada juga yang berputus asa sehinggakan sanggup mengubah haluan masing-masing kearah profesion yang lain demi survival masing-masing.

Dari tahun ke tahun berdozen-dozen graduan dilahirkan dari universiti-universiti tempatan. Kemana hala tuju mereka?

Sebagai seorang yang pernah bekerja sebagai jurutera di syarikat-syarikat pembinaan adalah amat menyiksakan. Satu pekerjaan yang disegani, dihormati dan dibanggakan oleh ibu bapa yang melahirkan anak itu sebenarnya adalah merupakan satu angan-angan dan khayalan semata-mata. Jurutera jika dialih-bahasakan kedalam bahasa inggeris akan menjadi Engineer. Satu profesion yang dipandang tinggi oleh rakyat jelata. Tidak kira mereka itu bekerja sebagai jurutera di syarikat perunding, kontraktor atau pun di sector awam, kehidupan mereka yang penuh dengan cabaran.

Setelah begitu lama memerhati, kini terlintas pula oleh saya untuk menulis tentang cabaran yang terpaksa ditanggung oleh para jurutera yang terlibat di dalam sector pembinaan di Negara ini. Sector yang penuh dengan segala cabaran dari segenap penjuru tetapi ianya tidak disedari oleh masyarakat umum. Sector yang mengikat kaki tangan para jurutera dalam tugasan harian mereka. Sector yang memaksa dan menekan mereka dari segenap penjuru. Mereka amat terhimpit dan tersepit.

Sector pembinaan di Malaysia kini berkembang dan terus berkembang tetapi masih tidak dapat dibandingkan dengan apa yang dialami dan dilakukan oleh mereka yang berada di di Negara maju. Tidak banyak pembaharuan dilakukan dalam melaksanakan satu-satu projek. Penggunaan teknologi dalam bidang ini masih lemah. Kita masih lagi bangga dengan kaedah perlaksanaan yang lebih konvensional atau dengan kata lain kaedah yang lapuk dan ketinggalan zaman.

Dari tahun ke tahun, tidak banyak ilmu pengetahuan tentang kejuruteraan sampai kepada para jurutera di Negara ini. Mereka masih lagi menguna-pakai kaedah yang sudah ketinggalan zaman. Mereka masih lagi dahagakan satu lonjatan yang mengubah corak pembinaan di Negara ini.

Dapat diperhatikan bahawasanya jurutera-jurutera yang baru susah untuk menembusi atau mendapat tempat di syarikat-syarikat yang bertaraf antarabangsa di Negara ini. Syarikat begini mementingkan produktiviti serta teknikal yang ada pada seseorang. mereka hanya mendapat tempat di syarikat-syarikat yang baru serta bersifat localiti dan tidak terdedah kepada standard atau sistem aplikasi yang moden dalam menjalankan satu-satu projek.

Begitu juga dengan skim gaji yang diberikan oleh majikan kepada jurutera di negara ini adalah tidak seperti yang sepatutnya. Bebanan kerja yang ditanggung adalah begitu tinggi tetapi apa yang mereka dapat adalah tidak mencukupi. Pihak majikan hanya pejamkan mata dan tidak pernah atau jarang sekali melihat akan kegigihan serta kebolehan yang ada/dilakukan oleh seseorang jurutera tersebut.

Disini apa yang ingin disampaikan adalah, pihak majikan sebenarnya tidak suka membayar satu-satu pekerja yang bertaraf profesional seperti apa yang sepatutnya mereka bayar. Semasa temuduga, mereka dijanjikan dengan pelbagai keindahan yang ada dalam syarikat, tetapi akhirnya para profesional ini tertipu dan terpedaya dengan pihak majikan. Setiap projek yang ingin dilaksanakan, sudah tentu satu budget akan disediakan oleh pihak majikan. Bayaran yang mereka minta daripada pihak klien adalah tinggi tetapi apa yang mereka berikan kepada pekerja terutamanya golongan profesional adalah terlalu rendah.

Mereka hanya mementingkan keuntungan mereka sahaja tetapi tidak sanggup untuk berkongsi bersama pekerja. Seperti yang diketahui umum, setiap jurutera atau golongan profesional telah dilatih dan terlatih untuk menerima arahan atau tugasan yang diberikan. Golongan ini akan sedaya upaya membuat kerja kerja mereka demi mendapat kepuasan dalam bekerja. Namun, semangat mereka akhirnya menjadi pudar bila terfikirkan apa yang mereka dapat dengan apa yang mereka dipaksa dan terpaksa lakukan dalam satu-satu tugasan yang diberikan oleh majikan mereka.

Begitu juga dengan sistem kenaikan gaji atau pangkat. Rata-rata mereka mengeluh kerana pihak majikan lebih suka membayar gaji mereka seperti pada awal mereka memasuki satu-satu syarikat tersebut. Ada sesetengah syarikat tidak pernah melayan tuntutan pekerjanya untuk menaikkan gaji mereka dari tahun ke tahun. Sehinggakan pekerja terpaksa berhenti dan mencari pekerjaan lain dengan harapan agar mendapat gaji yang sepatutnya. Kadang-kadang pihak syarikat tidak faham atau buat-buat tidak faham, setiap tahun berbagai perkara berlaku terutamanya terhadap kos yang terpaksa ditanggung oleh seseorang itu. Walau pun tidak banyak yang diminta, tetapi jika kenaikan tersebut diberikan, sudah tentu pekerja akan lebih bersemangat untuk bersama-sama syarikat dalam apa jua keadaan.

Sistem kenaikkan pangkat juga jarang dilakukan oleh syarikat pembinaan di negara ini. Mereka lebih rela meletakkan golongan ini pada tahap tersebut dari awal sehingga ke akhir perkhidmatan mereka. Mereka tidak diberikan peluang untuk terus meningkat dalam bidang yang diceburinya didalam syarikat tersebut. Jika ada pun, mereka terpaksa menunggu sehingga 10 atau 20 tahun barulah diberi peluang. Sebagai contohnya, jika seseorang itu berpangkat jurutera biasa pada awalnya, tetapi jarang sekali dinaikkan menjadi kepada senior jurutera, head section, pengurus atau sebagainya. Mereka hanya diletakkan ditahap tersebut sehingga mereka keluar dari syarikat tersebut. Begitu juga dengan profesional lain yang berkecimpung dalam bidang ini. Seperti pihak sumber manusia, akaun, kuantiti bahan dan sebagainya lagi.

Itu baru sahaja bercakap berkenaan dengan soal gaji dan kenaikan pangkat. Bagaimana pula dengan kebajikan-kebajikan lain pihak majikan perlu sediakan terhadap pekerjanya.

Dunia pembinaan negara sekarang sudah berbeza dengan dahulu. Jika dahulu satu-satu kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan akan sedaya upaya menyiapkan projek yang diberikan. Kontrkator kini lebih mementingkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Mereka mengambil kesempatan dari kelemahan yang ada pada sistem pihak kerajaan. Kadang-kadang kerja yang dilakukan adalah tidak seberapa tetapi bayaran tuntutan bulanan yang diminta adalah melampau-lampau. Bila sampai satu tahap yang dikatakan mereka akan rugi, mereka akan cepat-cepat membuat perkiraan untuk menghentikan pembinaan dengan berbagai-bagai alasan. Mereka akan menyerahkan semula kontrak tersebut kepada pihak kerajaan.

Mengapa keadaan ini terjadi? Adakah mereka ini rapat dengan seseorang dalam kerajaan. Buat kerja atau tidak bukan masalah bagi mereka. Yang penting ambil duit seberapa banyak dari kontrak. Buat kerja seciput tetapi yang penting wang tuntutan melebihi berganda-ganda dari apa yang dibuat di tapak. Berbagai-bagai alasan diberikan bagi menunjukkan muka kasihan daripada pihak klien. Sudahlah buat kerja tidak mengikut standard atau protokol yang betul, sempat lagi sesetengah kontraktor itu menggunakan nama orang tertentu bagi menakut-nakutkan pihak klien.

Beberapa tahun lepas saya berkesempatan bekerja dengan salah satu syarikat pembinaan yang berpusat di Subang Jaya dan dimiliki penuh oleh seorang yang berpangkat Dato’ dari bangsa melayu. Cawangannya juga ada di Negeri Kelantan. Pada awal saya menjejaki kaki ke syarikat tersebut, perasaaan tidak percaya akan kemampuan syarikat tersebut mendapatkan kontrak yang beratus juta ringgit. Walhal syarikat tersebut tidak mempunyai apa satu pun. Jika dilihat pada iklan perjawatan di akhbar-akhbar utama ianya nampak begitu gah sekali. Tetapi isi dalamnya adalah kosong.

Apa yang menjadi tanda tanya saya adalah, mengapa dan bagaiman syarikat yang baru sahaja timbul itu boleh mendapat sebegitu banyak kontrak kerja. Jika dicampur keseluruhan kos bagi kontrak yang dimiliki olehnya bernilai hampir mencecah satu billion ringgit. walau pun mereka menggunapakai / mempergunakan lesen orang lain bagi mendapatkan satu-satu projek, tetapi ianya menjadi tanda tanya bagaimana pihak tertentu dalam kerajaan tidak menyedari akan hal tersebut. Adakah kerana mereka takut untuk bersuara atau mereka memang tidak peduli akan hal tersebut.

Setelah bekerja selama beberapa bulan bersama-sama syarikat tersebut, timbul pula rasa tidak selesa akan kemungkinan syarikat tersebut dapat menyiapkan setiap projek yang diberikan kepadanya itu seperti yang ditetapkan. Mengapa saya kata begitu? Kerana setiap kali pengurusan tapak meminta untuk dibelikan bahan-bahan tertentu, ada sahaja alasan yang diberikan oleh pihak ibu pejabat bagi melambat-lambatkan pembeliannya. Sepuluh yang diminta, hanya satu sahaja yang diberikan. Kata mereka untuk memaksimumkan perjalanan kerja di tapak, tetapi bila timbul bab mendapatkan bahan pembinaan, ada sahaja alasannya. Projek berjalan seperti siput tetapi pihak pengurusan ibu pejabat sentiasa menekan pihak tapak agar mendapatkan seberapa banyak wang tuntutan dari pihak kerajaan.

Di atas kertas perjalanan projek adalah seperti yang dirancang, tetapi pada hakikatnya adalah berlainan. Mereka gembira kerana dapat menipu kerajaan dan sekali gus dapat mengambil wang rakyat dengan tanpa melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Baru-baru ini timbul pula pula satu keadaan dimana berlakunya kenaikan harga bagi bahan api dan bahan-bahan pembinaan. Beberapa orang kawan yang masih lagi berada bersama syarikat tersebut ada memberitahu saya bahawa syarikat tersebut akan menyerahkan semula beberapa projek yang dimilikinya kepada pihak kerajaan. Dengan alasan mereka tidak mampu untuk menanggung beban kenaikan harga bahan-bahan tersebut. Namun pada hakikatnya, sebelum ini pun mereka sebenarnya tidak mampu untuk membeli bahan-bahan tersebut dan telah menyebabkan projek yang dilaksanakan oleh mereka sebenarnya adalah terlewat dari jadual.

Jika disemak semula dan dibuat perbandingan diantara jumlah bayaran tuntutan yang telah diperolehi oleh mereka dengan kerja sebenar di tapak pada saat akhir penyerahan semula itu dilakukan, saya percaya berkemungkinan pihak kerajaan / klien sudah terlebih bayar kepad syarikat tersebut. Dengan kata lain, syarikat tersebut sudah pun berhutang dengan pihak kerajaan / klien.

Jika begini permainannya, dimana etikanya seseorang/syarikat tersebut. Adakah syarikat sebegini yang akan menjadi peneraju kepada industri pembinaan di negara ini? Baru tumbuh..cepat berkembang,..pandai kelentong..hati busuk..kaut untung dan lari. Dimana kesudahannya? Mereka dan mereka yang tertentu sahaja mendapat apa yang mereka mahukan. Apa yang mereka dapat? Dapat menipu rakyat dan sekaligus mencuri duit rakyat.

Adakah ini yang ingin diajar oleh pihak kerajaan dan pihak syarikat kepada golongan profesional di negara ini. Jika ini yang ingin diajar, mereka bukan lagi akan menjadi profesional dalam bidang yang diceburi tetapi mereka akan menjadi pencuri profesional, penipu profesional dan pengkhianat profesional. Bukan mereka ingin menjadi begitu, tetapi apa kan daya kerana itulah yang diajar kepada mereka sejak mereka mula-mula melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang ini.
Memang betul dasar kerajaan ingin membantu golongan bumiputera dalam bidangini. Tetapi jika begitu keadaannya, ianya sudah menjadi lain. terang lagi bersuluh. Terang-terangan dapat dilihat dengan biji mata yang kasar. Tiadakah syarikat lain selain dari syarikat tersebut yang boleh melakukan kerja? Tidak kira kerja sebagai kontraktor sub-utama (total sub) atau pun sebagai kontraktor utama? Alih-alih syarikat tersebut mendapat kontrak ( dengan lesen sendiri atau pun mengguna pakai lesen orang lain).

Kata orang cina, kita kena belajar daripada itik. Itik mempunyai satu liang yang boleh menyimpan makanan pada badannya. Jika makan tu berpada-pada lah. Biarlah apa yang dimakan itu dapat dicerna semula barulah itik itu boleh hidup. Proses makan, simpan, cerna dan buang itu perlu berterusan. Tetapi jika makan berlebihan dan makanan itu tidak dapat dicerna, kemungkinan itik tersebut akan mati sendiri.

Kata orang, bidang pembinaan ini dahulunya diterajui oleh orang yang betul-betul mahir dalam bidang ini. Tetapi sejak bidang ini diambil alih oleh orang-orang politik, ianya menjadi semakin serabut dan serabut. Etika sudah tidak diguna pakai lagi dalam bidang ini. Mereka semakin hanyut dari dunia sebenar. Kontraktor yang timbul adalah bersikap mencari keuntungan sahaja. Kadang-kadang mereka hanya mengambil keuntungan atas angin sahaja. Dapat projek terus jual.

Begitu juga sistem ’lobi’ yang diguna pakai, untuk mendapatkan satu-satu kontrak kerja seseorang itu perlulah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk diberi makan kepada jerung-jerung yang sedang menunggu. Siapa jerung itu? Ahli-ahli politik yang berpengaruh, pegawai-pegawai atasan dan bawahan pihak kerajaan. Semuanya lakukan perkara yang sama. Semakin hari semakin rosak.

Pada waktu dan tika ini, saya dapat rumuskan tiada lagi apa yang dipanggil etika dalam pekerjaan pembinaan di negara ini. Penyakit yang bermula dari atas sehingga ke bawah. Semuanya rosak.

Sesuatu perlu dilakukan.....



0 ulasan: