BABI..Satu nama kepada salah satu haiwan yang diciptakan oleh Tuhan untuk sama-sama mendiami dunia ini. Bagi orang islam, ianya adalah satu haiwan yang ditegah untuk dimakan. Ianya dianggap salah satu najis besar kepada umat islam. Tersentuh dengannya sahaja, seseorang itu perlu mencucinya sebanyak tujuh kali. Betapa hinanya haiwan tersebut dimata umat islam.
Walau pun ianya haram, publisiti yang diberikan oleh orang politik kepadanya adalah amat tinggi. Binatang haram ini telah menjadi popular terutamanya ketika tibanya musim pilihanraya umum di Negara ini. Penggunaan isu BABI ini akan menyebabkan kemerosotan sokongan terhadap seseorang dan sekali gus kepada parti yang dianggotai olehnya.
Semasa PRU 12 dahulu, kerajaan Melaka pimpinan Datuk Ali Rustam telah dihina seperti BABI oleh pihak lawannya. Sampaikan ada kenyataan dikeluarkan kepada beliau bahawasanya beliau adalah salah seorang tauke BABI tersebut. Begitu hebatnya pukulan yang diterima oleh beliau dalam kes tersebut. Berita TV3 seringkali menunjukkan pertikaian yang berlaku di kandang BABI tersebut. Masing-masing ingin menunjukkan muka dalam TV3 (dengan suasana di kandang BABI) bahawasanya mereka adalah anti kepada BABI dan sekaligus anti kepada mereka yang dikatakan terlibat dengan BABI tersebut.
Bising sana-bising sini. Sana BABI, sini BABI. Benci mendengarnya. Sampaikan Timbalan Perdana Menteri yang tidak kena mengena dengan BABI itu pun kena masuk campur. Bila sahaja mendengar apa yang dikatakan oleh TPM barulah isu BABI tersebut reda dan reda sehinggalah sekarang.
Jika dahulu BABI banyak berkeliaran di negeri Melaka. Tetapi kini ianya sudah berpindah ke negeri Kedah. Jika di Negeri melaka BABI tersebut adalah BABI konvensional (jenis lama) tetapi kini ianya telah menjadi BABI moden (model baru). Oleh kerana penghijrahan mereka begitu jauh dari Melaka ke Kedah, maka mereka telah mengalami proses evolusi dari rupa yang lama kepada yang baru.
Walaupun ia telah berubah dari BABI jenis lama kepada jenis moden, namun hakikatnya namanya masih tidak berubah. Namanya tetap dipanggil BABI oleh orang ramai. Berita TV katakan BABI akan dipelihara secara moden di Kedah. Moden ke lama orang ramai tidak peduli. Apa yang mereka peduli menatang tu natang haram. Kata orang ganu.
Begitulah kisahnya dengan BABI. Walaupun haram ianya tetap menjadi popular dari dulu hingga sekarang. Macam tiada isu lain yang hendak diguna pakai sebagai senjata politik masing-masing. Jika dahulu kerajaan BN Melaka diharamkan, tetapi kini sampai giliran kerajaan PAS Kedah pula akan diharamkan. Adakah ini menunjukkan BABI = BN = PAS = PKR?.
Oleh kerana kedua-dua kerajaan telah diharamkan bersama-sama BABI itu, maka saya selaku rakyat berharap sangat kedua-dua kerajaan itu duduk semeja dan memikirkan cara bagaimanakah cara yang sesuai diguna pakai dalam usaha untuk mengatasi hal BABI tersebut agar ianya tidak digunakan sebagai senjata politik di kemudian hari. Biarlah BABI itu sahaja yang mengekalkan status haram tetapi parti politik masing-masing tidak diharamkan bersama.
Jika sudah tahu isu BABI adalah sensitif dalam kontek negara berbilang kaum ini, sepatutnya tidak kira siapa dan parti apa dalam negara ini berfikir bersama-sama mencari jalan untuk menyelesaikannya. KERANA BABI, PERASAAN PREJUDIS SEMAKIN BERLELUASA. Di mana parti DAP, PPP, MCA, MIC, UMNO, PKR, PAS dan lain-lain lagi ? Dengar khabar objektif utama setiap parti adalah ke arah penyatuan setiap warganegara. Tetapi bila timbul bab BABI, semuanya diam membisu. Malahan mengguna-pakai binatang haram ini sebagai senjata politik.
Tidak bolehkah parti-parti tadi duduk semeja dan memberi idea yang terbaik untuk SEKALI SAHAJA bagi menyelesaikan hal BABI itu?
Orang melayu dan islam faham bahawasanya BABI itu adalah keperluan bagi bangsa lain. Bangsa cina dan bangsa-bangsa lain juga faham bahawasanya BABI itu adalah haram bagi umat islam. Bangsa melayu, cina, india dan bangsa-bangsa yang lain juga faham bahawasanya BABI itu susah untuk diuruskan. Jika itu yang masing-masing faham, kenapa masih ada lagi orang politik yang tidak faham dan tidak tahu cara bagaimana untuk menyelesaikannya.
Dalam BN ada cina, melayu, india dan berbagai bangsa. Dalam PKR juga ada melayu, cina, india dan bangsa lain. Dalam kerajaan DAP Pulau Pinang ada juga melayu, cina dan india. Dalam kerajaan PKR Perak dan Selangor ada melayu, cina dan india. Dalam kerajaan PAS kedah ada juga melayu, cina dan india. Begitu juga dengan kerajaan-kerajaan lain.
Jika di Selangor adanya kilang arak. Maka carilah satu tempat yang strategik untuk dijadikan kawasan kilang pembiakan, pembakaan dan pemprosesan BABI tersebut. Tempatnya tidak semestinya di semenanjung. Bagaimana dengan Sabah dan Sarawak. Tidak semestinya di Kedah, bagaimana pula di Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka atau mana-mana negeri yang tempatnya sesuai.
Jikalau sampah sarap yang banyak lagi busuk itu boleh diuruskan, jikalau najis yang dikeluarkan oleh manusia itu sendiri boleh diuruskan dan jikalau air yang kotor itu dapat ditukar kepada air minum juga dapat diuruskan. Inikan pula BABI. Tiadakah jalan yang terbaik untuk diuruskan? Tiadakah manusia di dunia ini yang mencipta cara yang terbaik untuknya. Tiadakah contoh terbaik yang boleh diguna-pakai dari negara-negara lain bagi menguruskan BABI?
Jika bab menguna-pakai BABI sebagai senjata politik bukan main lagi, tetapi bila timbul bab untuk menguruskan BABI semuanya diam membisu.
Tutup telinga pejamkan mata. Tahan nafas sekejap. Semoga ketua-ketua parti politik yang panjang akal itu dapat duduk semeja dan memikirkan SATU cara yang terbaik dalam menyelesaikan isu BABI demi kebaikan semua.
Janganlah sampai tahun 2020 nanti kita masih lagi mengguna-pakai isu BABI haram itu sebagai alat untuk kepentingan politik masing-masing. Malu sungguh malu. Macamana hendak bersatu jika isu BABI ini pun tidak boleh diselesaikan dengan cara yang berhemah dan bijaksana oleh parti-parti politik yang ada dalam negara ini.
Kepada ahli politik yang ingin disanjungi sebagai negarawan oleh rakyat jelata disuatu ketika nanti, berusahalah sedaya upaya kudrat yang ada untuk mencari jalan yang terbaik bagi menguruskan BABI tersebut. Janganlah biarkan rakyat negara ini berbalah sesama sendiri kerana BABI. Malu sungguh malu.
SELESAINYA ISU BABI, MAKA SENANG LAH BANGSA MELAYU, SENANGLAH BANGSA CINA, SENANGLAH BANGSA INDIA DAN JUGA SENANGLAH BANGSA-BANGSA YANG LAIN.
BABI sungguh!!!
0 ulasan:
Catat Ulasan