Sabtu, 8 November 2008

JABATAN HUTAN YANG TIDUR NYEYAK DALAM HUTAN


Sudah banyak kali kita kedengaran hutan dara dalam negara ini di nodai oleh pemburu kayu balak. Mereka amat suka akan hasil yang diperolehi daripada kerja-kerja haram mereka itu. Kata mereka tuhan telah menganugerahkan kita dengan hutan yang didalamnya terdapat kayu balak bermutu tinggi dan kita sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk mengambil hasil daripadanya tanpa mengira sama ada ianya menyalahi undang-undang atau pun tidak. Asal semuanya jadi wang maka ianya halal bagi mereka.

Di kampung saya ada seorang wakil dari pejabat hutan. Masa kecil-kecil dulu saya bangga akannya. Tengok beliau dapat menggunakan kereta yang mewah, besar dan mempunyai rumah yang serba serbi mewah. Masa kecil-kecil dulu pada tanggapan saya bahawa mereka yang kerjanya menjaga hutan ini bergaji besar dan menjadi orang penting kepada kerajaan. Apa tidaknya, orang kampung saya itu ( yang jarang-jarang pulang ke kampung ) dapat hidup dalam kemewahan hasil dari kerja menjadi pekerja di pejabat hutan.

Tetapi apabila telah besar dan dapat berfikir secara waras, saya dapat tahu bahawasa jawatannya dalam pejabat hutan bukannya besar sangat tetapi pekerja biasa sahaja. Minda mula terfikirkan, kalau itu jawatannya bagaimana beliau boleh hidup mewah seperti seorang pegawai. Saya tidak mahu menuduh dan bersikap buruk sangka. Cuma ingin membuat perbandingan sahaja.

Jika di kaitkan dengan cerita-ceriti zaman sekarang, kayu-kayu balak ditebang disana sini tanpa kawalan. Mereka mengambil kesempatan akan kelemahan yang ada pada sistem dan mekanisma pengurusan kerajaan. Orang kerajaan menipu pihak kerajaan. Tidak kira kerajaan itu datangnya dari pusat atau pun dari negeri. Kerajaan Barisan Nasional atau pun Kerajaan Pakatan Rakyat. Sama sahaja. Sambil menyelam minum air. Berani sungguh berani. Tipu kerajaan dan sekali gus tipu rakyat.

Dari saat ke saat. Hari ke hari. Hutan dara dan belukar digondolkan. Hutan simpan tidak disimpan lagi. Semuanya diguna pakai untuk kepentingan sendiri. Gajah, harimau, kura-kura, belalang dan semua binatang liar hutan sudah tidak menjadi liar lagi. Senang dilihat berkeliaran dalam kampung-kampung. Silap-silap haiwan liar tersebut boleh tidur sebilik dan makan semeja dengan orang kampung yang berdekatan. Semuanya telah kehilangan tempat tinggal. Nak ke bandar takut dengan kewjudan kepelbagaian kenderaan, masuk kampung ok juga sebab kampung ada lagi saki baki tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan.

Nenek moyang, datuk-datuk, ibu bapa dan anak-anak kayu balak semuanya ditebang oleh orang yang diamanahkan untuk menjaganya. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Saki baki hutan simpan yang diisytiharkan sebagai KEKAL sudah tidak kekal lagi. Kayu hutan telah pupus, binatang liar juga pupus. Semuanya PUPUS. Semakin hilang dari pandangan anak cucu negara ini.

Saya ada tengok berita baru-baru ini, hutan simpan sudah digondolkan dan dijadikan tapak untuk melakukan aktiviti pertanian oleh mangkuk hayung yang tidak mengenal apa itu hutan simpan dan apa itu tanah pertanian. Bukan sahaja ianya bakal dijadikan kawasan pertanian, siap dengan hak milik sekali. Kenapa perkara sebegini boleh terjadi. Dimana pegawai pejabat hutan yang diamanahkan untuk menjaga hutan tersebut? Sedang tidur nyeyak ke? Atau dah lupa bahawasanya kerajaan bayar gaji mereka hanya untuk menjaga hutan. Mereka telah lupa itulah tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Sampaikan hutan simpan kekal boleh berubah menjadi tanah milik orang. Apa ceritanya?

Apa sebenarnya yang berlaku? Cuba bayangkan, jika dahulu kawasan tersebut adalah satu kawasan yang kaya dengan hutan, selepas itu kayu balak ditebang, hutan kecil digondolkan, proses pemilikan oleh pemohon untuk mendapatkan hak milik (mangkuk hayung tadi). Berapa lama proses yang diambil untuk mencapai hingga ke tahap tersebut. Bukannya sehari dua, tetapi bertahun lamanya. Apa yang mereka lakukan?

MEREKA SEDANG TIDUR NYENYAK DALAM HUTAN YANG DIAMANAHKAN KEPADA MEREKA UNTUK DIJAGAI DARI MULA MEREKA BEKERJA SEHINGGA KE HARI TERAKHIR MEREKA BERADA DALAM PEJABAT HUTAN.

0 ulasan: