Beberapa bulan lalu ibu saya dimasukkan ke hospital Kuala Krai bagi menjalani proses perubatan bagi penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak sekian lama. Seminggu di sana, berbagai-bagai cerita dan luahan yang dapat saya dengari sama ada daripada pesakit atau pun mereka yang mengiringi pesakit tersebut. Kebanyakkan pesakit datangnya daripada daerah Kuala Krai dan Gua Musang. Mereka bertumpu ke Hospital Kuala Krai kerana di situlah satu-satunya hospital yang dikatakan mempunyai pakar dalam bidang tertentu bagi daerah seperti Gua Musang dan Kuala Krai.
Apa yang ingin ditulis oleh saya bukannya berkenaan keperitan penyakit yang ditanggung oleh pesakit-pesakit tersebut. Tetapi keperitan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit dan keluarga mereka tentang kemudahan yang disediakan. Keperitan yang ditanggung oleh mereka yang datangnya dari daerah Gua Musang. Keperitaan mereka menjaga pesakit dan keperitan mereka dalam menguruskan pesakit tersebut. Keperitan yang terpaksa ditanggung bila kemudahan tersebut berada jauh dari tempat mereka.
Keperitan yang terpaksa mereka lalui bila berhadapan dengan pengangkutan, tempat tinggal dan berbagai-bagai lagi. Rata-rata mereka yang datang adalah dari kawasan yang jauh. Mereka juga adalah tergolong dari golongan miskin.
Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri ianya merupakan satu masalah yang amat besar yang terpaksa difikirkan dan dihadapi. Pengangkutan memainkan peranan penting dalam urusan mnghantar pesakit dari rumah ke hospital atau membawa pulang pesakit dari hospital ke rumah. Jika sekali sekala ianya tidak mengapa, tetapi jika pesakit terpaksa dibawa ke/dari hospital berulang-ulang dalam seminggu. Kos dan kesulitan yang ditanggung menjadi bebanan yang tinggi kepada mereka.
Saya masih lagi tidak faham mengapa kerajaan masih lagi tidak dapat menyediakan kemudahan tersebut di daerah masing-masing. Bukan sahaja kemudahan, tetapi tenaga pakar serta peralatan yang sepatutnya disediakan. Apa yang dapat dilihat pada waktu ini adalah semuanya bertumpu di Hospital Besar Kota Bharu. Bagi mereka yang kaya tidak mengapa, tetapi bagaimana pula bagi mereka yang miskin.
Mereka bukan sahaja tidak mampu untuk menanggung kos perubatan, kos tambahan yang lain menjadi beban tambahan kepada mereka. Mereka bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kereta, bahkan nak mengisi minyak motor untuk mereka mencari rezeki pun terkial-kial. Inikan pula menanggung kos pengangkutan bagi urusan tersebut.
Saya bercakap bukan sahaja berkenaan kemudahan kesihatan di Daerah Gua Musang dan Kuala Krai. Sama sahaja bagi daerah-daerah lain yang berkemungkinan berpotensi untuk terus membangun di masa-masa hadapan. Tidak rugi jika kerajaan menyediakan kemudahan asas tersebut pada waktu ini. Rakyat memerlukan satu kemudahan asas di tempat masing-masing.
Dengan adanya kemudahan asas tersebut di daerah masing-masing diharapkan rakyat tidak lagi perlu merungut soal kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh mereka dan sudah semestinya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.
Cuba bayangkan, jika si pesakit dan keluarga mereka berasal daripada daerah Gua Musang. Pesakit memerlukan perhatian yang serius daripada tenaga pakar perubatan. Tetapi pakar atau alat tertentu tiada di hospital Gua Musang. Mereka terpaksa berkejar ke Kota Bharu walau dengan apa cara sekali pun. Jarak antara Gua Musang dengan Kota Bharu bukannya dekat. Beratus-ratus kilometer. Sudah tentu kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung adalah tinggi. Mahu mencecah beribu ringgit sebulan. Tambahan pula, sistem pengangkutan awam di Negeri Kelantan adalah tidak sebaik di negeri-negeri lain. Penat, letih, lesu, putus harapan semuanya bermain dalam kepala.
Bagi orang kampung, nilai RM 100 adalah tinggi, inikan pula mencecah beribu ringgit. Nak beli beras sekampit pun letih rasanya. Inikan pula wang digunakan untuk urusan pengangkutan. Lebih baik tak payah pergi hospital. Lebih baik tanggung derita suka duka di rumah. Berserah kepada yang Maha Esa sahaja.
Bagi yang kaya dan sihat tidak merasa akan keperitan tersebut. Sudah tentu kita akan katakan begini; ”sudah sakit, nak buat macamana, pergi berubat di hospital sajalah”. Siapa yang tidak mahu pergi ke hospital. Semua yang sakit sangat berharap dapat pergi ke hospital. Tidak kira tua, muda, kecil, besar semuanya berharap mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak hospital bila sudah menghidap penyakit ’sakit’. Tetapi jika taraf orang kampung yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di mana punca untuk mereka membiayai perkara-perkara seperti berikut. Mereka amat terdesak.
Teringat kata-kata dalam cerita filem Allahyarham P. Ramlee, ” Hidup pun susah, mati pun susah”. Bunyinya melucukan tetapi itulah hakikatnya jika dibuat perbandingan dengan apa yang sedang dihadapi oleh orang kampung zaman sekarang. Kena pula harga getah sekerap dan kelapa sawit yang jatuhnya menjunam macam jatuh gaung. Kata orang, negara ini sudah maju..tetapi majunya itu dimana? Apa yang dapat dilihat majunya negara ini adalah di bandar-bandar tumpuan. Itupun tidak maju sepenuhnya (mungkin kot). Tempat lain masih tidak maju. Habuk pun tadak..kata orang Perak.
Semoga pihak kerajaan dapat melihat semula akan perkembangan dan keperluan satu-satunya kemudahan asas ini. Kemudahan asas yang amat diperlukan oleh setiap orang bila tiba saatnya. Tidak kira siapa, dimana dan apa mereka sekalipun. Tua, muda, kecil, besar, miskin dan kaya semuanya bertumpu kepadanya bila tiba saatnya. Memang betul, jika ’itu’ yang disediakan oleh pihak pemerintah, ’itulah’ juga yang diterima oleh rakyat. Tetapi kenapa tidak ditambah nilai akan apa yang ada jika pihak kerajaan berkemampuan untuk melakukannya. Demi rakyat jelata yang berada dibawah naungan kerajaan. Tidak kira kerajaan negeri atau pun kerajaan pusat.
Bagi saya, lebih baik kita membina hospital yang serba lengkap di satu-satu tempat itu jika dibandingkan dengan kita membina tempat-tempat ibadat yang berlebih-lebihan. Sekurang-kurangnya tempat tersebut boleh memberi harapan kepada manusia lain. Ianya amat dituntut sekali didalam agama Islam. Mereka yang berusaha meringankan beban yang ditanggung oleh manusia lain adalah tergolong dalam golongan manusia yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan. Sekali lagi, semoga pihak terbabit dapat melihat kembali perkara ini dengan lebih serius dan lebih agresif agar rakyat jelata keseluruhannya mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat dalam mengharungi kehidupan seharian.
2 ulasan:
melayu mesti sokong umno untuk bantu melayu. kalu melayu tak bersatu dan pemimpin pulak buta... maka orang melayu jadi kayu. orang melayu kena sumpah jadi batu. itulah sebabnya ramai melayu daripada kampong asalnya lupa daratan dan jadi si tanggang... bila jadi boss dalam parti.
mereka ini demi perpaduan maka jual islam, jual melayu. maka dia jadilah pemimpin kayu.
masuk juga blog ambo
http://aberamly.multiply.com
http://aberamly.wordpress.com
http://ramlyotai.blogspot.com
Catat Ulasan