Jumaat, 7 Disember 2007

KELANTAN TIDAK PAKSA ARTIS PAKAI TUDUNG


SINAR HARIAN 06 OKTOBER 2007


KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak pernah mengenakan sebarang paksaan atau syarat terhadap wanita termasuk artis yang berkunjung ke negeri itu untuk menutup aurat atau memakai tudung.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan Sains dan Teknologi Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri hanya meminta supaya wanita, terutama artis yang datang ke negeri ini berpakaian sopan dan ti­dak menjolok mata.


“Tiada syarat yang memaksa mana-mana artis wanita yang berkunjung ke negeri ini memakai tudung, selalunya langkah menutup aurat atau bertudung dilakukan dengan kerelaan artis itu sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog ‘Sinema Majid Majidi, Moral dan Kemanusiaan’ yang diadakan sempena Mini Fest Kelantan 2007 di sini.


Beliau mengulas dakwaan bahawa kerajaan negeri mengenakan paksaan terhadap artis wanita yang dijemput datang ke negeri ini untuk memakai tudung, termasuk artis terkenal tanah air, Maya Karin yang merupakan panel dalam sesi dialog berkenaan.


Maya, yang mengakui gembira dan teruja di atas jemputan kerajaan negeri turut memakai pakaian menutup aurat, termasuk mengenakan tudung berwarna biru gelap ketika sesi dialog itu.


Selain Maya, dua lagi panel dialog ialah Pengarah Istana Budaya, Dr Hatta Azad Khan dan pengarah filem Mamat Khalid.


Nik Mohd Amar berkata, kerajaan negeri sememangnya berbesar hati atas keprihatinan dan penghormatan yang diberi oleh artis wanita yang memakai tudung sewaktu kunjungan ke negeri ini.

“Kebanyakan rakyat negeri ini bertudung, mungkin kerana itulah kebanyakan daripada artis wanita ini dengan sendirinya mahu memakai tudung untuk menunjukkan rasa hormat mereka.


“Kita sangat berbesar hati apabila melihatkan kesanggupan mereka memakai tudung apatah lagi dengan kerelaan sendiri dalam menghormati dasar kerajaan Kelantan,” katanya. – BERNAMA



PAKCIK KOMEN :

Dulu lain, sekarang lain

Siapa betul dan siapa salah

Mana yang betul dan mana yang salah

Tepuk dada tanya hati.

0 ulasan: