Banjir atau bah sudah menjadi sinonim kepada rakyat Malaysia sejak generasi ke generasi. Sejak dilahirkan banjir atau air bah ini menjadi satu isu yang tidak kesudahan dari tahun ke tahun oleh rakyat di Negara ini terutamanya mereka yang berada di Semenanjung Malaysia. Banjir yang bermusim ini (kecuali bandaraya Kuala Lumpur) sudah menjadi sebati dalam hidup rakyat Malaysia. Dari Utara Perlis ke Selatan Johor dan dari Timur Kelantan ke Barat Kuala Lumpur. Tibanya musim tengkujuh maka Negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dalam menghadapi segala kemungkinan yang akan tiba. Hujan yang menimpa bercurah-curah tanpa henti telah menyebabkan air sungai melimpah ruah dan melanda kawasan-kawasan yang dikatakan berada ditanah yang rendah.
Secara mudahnya, air bah ini terjadi bila satu-satu saluran itu (sungai) telah diganggu system semulajadinya dan menyebabkannya tidak dapat menampung beban air larian (air permukaan yang terjadi daripada air hujan) yang melalui atau memasukinya secara terus menerus. Terganggunya system semulajadi saluran atau sungai itu seperti dasarnya telah menjadi cetek kerana kesan pemendakan sedimen-sedimen atau partikel-partikel (kesan langsung daripada proses pembangunan yang dijalankan) yang dibawa bersama oleh air hujan yang terjadi secara perlahan-lahan dan memakan masa yang lama dikawasan –kawasan tertentu saluran atau sungai itu.
Kelimpahan air sungai itu juga telah diceritakan tadi kerana disebabkan oleh bebanan air larian memasuki sungai atau saluran itu secara terus. Air larian ini pada semulajadinya dikawal oleh tumbuh-tumbuhan yang berfungsi memperlahankan pergerakan serta mengurangkan jumlah air larian itu. Adanya tumbuh-tumbuhan tersebut, air larian (air hujan) itu juga akan dapat meresap kedalam tanah dan secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah isipadu air yang memasuki saluran atau sungai. Namun, keadaan ini sudah menjadi tidak relevan lagi kerana reformasi pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di Negara ini.
Kesan langsung dari proses pembangunan itu terpaksa mengorbankan sifat semulajadi alam sekitar dan sungai-sungai di Negara ini dan seterusnya menyebabkan berlakunya limpahan air atau apa yang dipanggil banjir dan air bah itu.
Tibanya musim banjir itu telah mengundang malapetaka dan musibah kepada manusia dan harta benda. Kematian dilaporkan, rosaknya harta benda, tenggelamnya rumah-rumah kediaman, hanyutnya rumah-rumah kediaman, matinya binatang-binatang peliharaan, rosaknya tanam-tanaman para petani dan berbagai lagi kesan yang tidak dapat dikira dengan wang ringgit.
Tibanya musim banjir itu menyebabkan terganggunya musim persekolahan budak-budak sekolah, rosaknya harta benda kerajaan, terputusnya bekalan elektrik, bekalan air bersih dan terputusnya hubungan kerana tenggelamnya jalan raya itu.
Tibanya musim banjir itu kerajaan tepaksa mengeluarkan satu bajet khas dalam menghadapinya. Tibanya musim banjir itu maka riuh randahlah para wakil rakyat dalam memainkan peranan mereka sama ada secara ikhlas atau pun secara mempunyai niat yang tersendiri. Disitu-sini dilaporkan pembahagian sumbangan diberikan kepada mereka yang dikatakan mangsa banjir itu.
Tibanya musim banjir itu banyak idea dikeluarkan, diberikan, diajukan dan dicadangkan bagi mengelakkan keadaan tersebut dari terus terjadi di masa-masa hadapan.
Namun apa yang ingin disuarakan di sini adalah, sudah sekian lama kita mendengar begitu banyak cadangan dan idea diberikan dalam usaha untuk menghadapi banjir ini. Idea-idea bernas lagi hebat itu timbul sewaktu air bah itu sedang mengganas tetapi ianya menjadi sunyi sepi bersama-sama hilangnya air bah itu sendiri. Hilangnya idea bersama-sama hilangnya air banjir itu, maka tiadalah langkah-langkah seterusnya yang diambil bagi menghadapi kemungkinan yan akan timbul disuatu masa akan datang. Keadaan ini berulang-ulang dari tahun ke tahun sejak dari dahulu lagi.
Negara kita mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, Negara kita mempunyai banyak agensi-agensi yang berkebolehan dan berkeupayaan dalam membuat kajian dan penyelidikan, Negara kita mempunyai ramai jurutera-jurutera professional, Negara kita mempunyai ramai cerdik pandai serta pakar dalam bidang ini, Negara kita mempunyai keupayaan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap situasi ini. Jika kesemua tenaga, kudrat, kebolehan dan hasil-hasil penyelidikan university dan badan-badan tertentu disatukan, saya percaya kita akan mempunyai jalan penyelesaian yang terbaik dalam menghadapi air bah ini dari terus menghantui pemikiran rakyat Negara ini.
Biarpun jalan penyelesaian yang bakal diambil itu akan memakan masa yang lama dan juga menelan kos yang banyak, tetapi dengan keupayaan pengurusan dan kebolehan serta kepakaran teknikal yang ada pada rakyat Malaysia saya percaya perkara tersebut akan dapat dikurangkan demi merealisasikan jalan penyelesaian terhadap bencana banjir ini.
Jika langkah-langkah penyelesaian tidak dimulakan dari sekarang, keadaan berulang-ulang akan timbul di masa-masa akan datang yang sudah semestinya akan merugikan semua pihak sama ada untuk jangka masa yang pendek atau pun panjang. Disamping itu, jangan terkejut jika berlakunya satu keadaan dimana banjir yang lebih besar dan lebih teruk akan berlaku disuatu masa nanti jika tiadanya langkah-langkah awalan yang diambil pada masa ini. Cuba fikirkan, jika Negara ini telah mencapai apa yang dikatakan Negara maju di suatu masa nanti, adakah banjir atau apa yang dipanggil air bah itu masih lagi menjadi masalah atau beban kepada Negara dan rakyat jelata?
0 ulasan:
Catat Ulasan