Selasa, 1 Julai 2008

Usaha pulih sawah terbiar


BERITA HARIAN : 01-07-08

Kerajaan negeri guna sebahagian peruntukan Pusat untuk majukan semula tanah padi, tingkat pengeluaran beras

PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan akan memulihkan lebih 10,000 hektar sawah terbiar di negeri ini dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Pertanian bagi menampung keperluan beras negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan negeri mendapati wajar menggunakan sebahagian daripada RM22 juta peruntukan itu bagi tujuan pemulihan sawah terbiar di negeri ini.

Katanya, banyak sawah terbiar di setiap daerah dan sebahagiannya sudah dikenal pasti mampu dipulihkan bagi meningkatkan tahap pengeluaran beras negeri ini sekali gus membantu menampung keperluan beras negara.

"Kerajaan negeri akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM22 juta yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian negeri bagi memulihkan lebih 10,000 sawah terbiar di negeri ini.

"Selain memanfaatkan peruntukan Kerajaan Pusat itu, kerajaan negeri juga turut menyediakan peruntukan RM3 juta bagi menyediakan kemudahan subsidi baja padi," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Seminar Integriti Pembantu Pertanian di Tok Bali, dekat sini. Hadir sama, Pengarah Pertanian Kelantan, Maliha Ghazali.

Che Abdullah berkata, sebahagian dari sawah terbiar di negeri ini sudah dikenal pasti untuk dimajukan membabitkan dua kategori iaitu pemulihan dalam kawasan jelapang padi terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan sawah di luar kawasan jelapang berkenaan.

Katanya, sebahagian daripada kawasan sawah terbiar berkenaan sudah mula diusahakan dan dijangka mampu dipulihkan menjelang akhir tahun ini.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membangunkan sektor pertanian di negeri ini termasuk meningkatkan pengeluaran hasil padi terutama dalam memulihkan sawah terbiar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memohon dengan Kerajaan Pusat supaya menambahkan lagi peruntukan bagi melaksanakan projek pertanian ke arah merealisasikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara terlaksana.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Pusat dan sehingga kini, semua permohonan tanah berkaitan pertanian yang dipohon Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani sudah diluluskan," katanya.

0 ulasan: