Ahad, 13 Julai 2008

Ekonomi negara akan merudum dalam masa dua bulan lagi, kata Anwar


HARAKAH : 06-07-08

PERMATANG PAUH, 6 Julai (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menjangkakan ekonomi Malaysia akan merudum ke tahap paling teruk dua bulan lagi seandainya kerajaan baru tidak dibentuk segera.

Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ujarnya, waktu ini tidak berjaya menyakinkan pelabur asing untuk menanam pelaburan baru di samping mengekalkan plan sebagai usaha menambah keyakinan negara asing terhadap kemampuan Malaysia.

"Bila negara berada dalam keadaan kucar kacir bagaimana pelabur nak datang atau mengekalkan pelaburan masing-masing. Kepimpinan yang ada tidak lagi berpotensi melakar perkembangan ekonomi ekoran asyik menabur fitnah bagi memastikan politik yang dipegang selama ini kekal," terangnya ketika berucap pada majlis pidato di Pulau Pinang sejak dituduh melakukan liwat baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan sengaja membiarkan isu ini berlarutan tanpa dibahaskan kerana bimbang kebangkitan rakyat akan meranapkan impian kejayaan Malaysia di tahun 2020 nanti.

"Kita bukan nak ugut tetapi itulah hakikatnya yang sebenar. Bila ekonomi negara mula menguncup pada tahun 1987 sampai sekarang ia belum lagi melepasi zon selesa. Tapi, kalau baca akhbar arus perdana bukan main canangkan kejayaan Malaysia pulihkan ekonomi," tegas Dato' Seri Anwar.

Baginya, ekonomi akan melonjak kembali sekiranya kerajaan mantap tanpa ada spekulasi menjatuhkan seseorang sekali gus dapat memberikan keyakinan negara luar untuk meningkatkan pelaburan di sini.

Lagi satu faktor kejatuhan ekonomi Malaysia ialah penyelewengan berleluasa serta rasuah di sana-sini, katanya.

"Nak bina jambatan pun ada rasuah, nak bina bangunan pun melibatkan rasuah, nak naik dalam politik pun wujud rasuah. Apa ni, jika begini kelakuan kepimpinan BN negara bukan sahaja musnah tetapi boleh hilang sekelip mata," jelasnya dalam program anjuran KeAdiLan Bahagian Permatang Pauh.

Kata Dato' Seri Anwar, Kerajaan Pakatan Rakyat dalam manifestonya jelas memberikan kelainan daripada pemerintahan BN yang dianggap lapuk seandainya berlaku pertukaran kuasa.

Sambungnya, berbagai agenda akan diubah suai terhadap ketrampilan Malaysia bagi menambah keyakinan rakyat dalam dan luar negara.

"Saya nak ulangkan sekali lagi sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan Insya Allah kita akan turunkan minyak ke tahap normal dan menjaga kebajikan rakyat dengan lebih sempurna," katanya yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga berpesan pada media arus perdana agar jangan memperbodohkan rakyat dengan berita-berita sensasi atau fitnah semata-mata untuk mengengkang kebangkitan rakyat, sebaliknya perlu bijak mencatur berita dengan hemah mengikut perkembangan yang positif.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam ucapan ringkasnya dalam majlis yang sama memberitahu, Umno menggangap tujuannya untuk mentadbir sebagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai 'kurang ajar' .

Kepimpinan Umno negeri ini sengaja mencetuskan kemarahan rakyat terhadap hala tuju pemerintahan Pakatan Rakyat negeri ini yang mahukan semuanya telus, bertanggungjawab dan beramanah, katanya.

"Bila saya kata nak buat pemerintahan cara Umar Abdul Aziz orang Umno terutamanya kepimpinan negeri menggangap saya mempermainkan tokoh Islam. Tapi, sebaliknya saya nak tiru pemerintahan yang adil, telus dan amanah kerana hanya dengan cara itu negara dapat diselamatkan daripada bangkrap," ujarnya disambut tepukan 50,000 para hadirin yang membanjiri Tapak Ekspo, Seberang Jaya itu.

0 ulasan: