Selasa, 1 Julai 2008

Tiada peruntukan pelan peralihan kuasa Najib jadi Presiden Umno - Ku Li


29 Jun 08

JOHOR BAHARU, 29 Jun (Hrkh) - Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku LI) mendakwa tiada peruntukan dalam Umno bagi pelan peralihan kuasa untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno.

Bertentangan dengan apa yang diperkatakan di kalangan anggota Umno mengenai pelan peralihan kuasa untuk Najib mengambil alih jawatan daripada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ku LI mendakwa perkara seperti itu memang tidak ada.

Menurut laporan Abdullah akan melepaskan jawatan itu kepada Najib.

"Tidak ada pelan peralihan kuasa sedemikian kerana hak itu berada di tangan ahli-ahli. Selepas tiga tahun akan ada proses pemilihan di semua peringkat.

"(Hanya) jika anda mati di pertengahan jalan (ketika memegang sesuatu jawatan) maka seorang lain akan menggantikan anda secara memangku," kata veteran Umno itu kepada wartawan selepas Sesi Perjumpaan dengan Rakyat anjuran Kelab Veteran Melayu Johor (Protem) semalam.

Tengku Razaleigh ditanya mengapa Najib perlu bertandinng bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu Disember depan ketika terdapat pelan peralihan kuasa untuk beliau menjadi presiden dan Perdana Menteri.

Najib dilaporkan oleh sebuah harian sebagai berkata bahawa beliau akan membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan presiden selepas menerima pencalonan yang cukup dari anggota Umno.

Ku Li berkata setiap orang dalam parti layak untuk menawarkan diri bertanding untuk sebarang jawatan asalkan mereka mempunyai kredibiliti, berwibawa dan mematuhi perlembagaan parti.

Ku Li sendiri akan bertanding bagi jawatan presiden.

Pada majlis itu, Ku Li menjelaskan kepada hadirin bahawa beliau tidak boleh bercakap apa saja yang boleh dianggap sebagai berkempen sebagaimana dinyatakan dalam buku kecil merah Umno mengenai tata etika.

Beliau berkata beliau tidak akan mempertaruhkan peluang untuk bertanding jawatan presiden kerana jika didapati melakukan kesalahan melanggar tata etika, beliau mungkin dipecat dan ini akan mengecewakan penyokongnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kira-kira 300 orang hadirin berdiri teguh di belakang Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail, dalam usaha baginda untuk mendapatkan semula hak ke atas Batu Puteh.

0 ulasan: