Selasa, 1 Julai 2008

Anwar fail saman fitnah


BERITA HARIAN : 01-07-08

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan saman fitnah terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung laporan polis, Jumaat lalu, mendakwa dia diliwat.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini, jam 10.30 pagi, menerusi Tetuan Ranjit Ooi & Robert Low dengan menamakan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, sebagai defendan.

Anwar dalam samannya mendakwa Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis itu dengan niat jahat dan palsu bahawa dia diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih di sini, pada 26 Jun lalu.

Anwar sebagai plaintif mendakwa defendan sudah bertindak dengan niat jahat dalam membuat laporan polis itu atas tujuan tertentu selain memburukkan beliau dan merosakkan reputasinya dalam politik.

Dalam pernyataan itu, Anwar mendakwa defendan mengetahui bahawa dakwaan liwat itu adalah palsu tetapi tetap membuat laporan berkenaan.

Katanya, defendan berpengetahuan bahawa laporan polis itu akan menerima liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, plaintif mendakwa Mohd Saiful Bukhari juga mengetahui bahawa Anwar dalam tempoh terdekat mempunyai niat untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

Beliau mendakwa laporan polis Mohd Saiful Bukhari juga membawa maksud beliau membabitkan diri dalam kelakuan seks luar tabii, seorang homoseksual, melakukan perbuatan jenayah mengikut Seksyen 377A dan 377C Kanun Keseksaan dan melakukan kesalahan bertentangan Islam.

Plaintif mendakwa beliau tidak pernah meliwat defendan.

Katanya, akibat daripada dakwaan liwat oleh defendan, beliau mengalami penderitaan dan malu teramat sangat, kerugian dan kerosakan selain reputasinya jatuh.

Anwar dalam saman turut menuntut ganti rugi bagi penyalahgunaan proses, ganti rugi bagi niat jahat, ganti rugi libel, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya R Sivarasa, Ranjit Singh dan William Leong.

Sivarasa ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan memfailkan pernyataan tuntutan kes saman itu dalam masa seminggu.

Ranjit berkata, pihaknya akan mendapatkan tarikh awal bagi mendengar saman berkenaan.

0 ulasan: