Ahad, 13 Julai 2008

Tidak boleh usul tak percaya


BERITA HARIAN : 13-07-08

Tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat: Najib

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yakin usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak akan berjaya kerana tiada peruntukan berbuat demikian dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pembangkang sedar mengenai perkara ini, tetapi tetap mahu mengemukakan usul itu kerana tindakan itu sebenarnya permainan politik.

"Mereka mahu menunjukkan pembangkang berani mencabar kerajaan," katanya pada temu bual bersama Berita Minggu, semalam.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Usul itu diserahkan oleh 14 anggota Parlimen daripada parti pembangkang yang diketuai Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr Wan Azizah berkata, usul itu mengikut peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi: "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepemimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

Najib mengakui Speaker mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak usul itu, tetapi timbul persoalan bagaimana Speaker hendak menerima usul itu jika tiada peruntukan berbuat demikian dalam Peraturan Mesyuarat.

Bagaimanapun, katanya jika diterima sekali pun, pembangkang akan tewas kerana tidak mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat.

Mengulas tindakan berterusan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Ahli Parlimen BN akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, katanya itu adalah permainan politik untuk menampakkan pembangkang boleh menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat.

"Dia (Anwar) menguji kesetiaan Ahli Parlimen BN. Kepada dia, manalah tahu kalau ada Ahli Parlimen BN yang yakin dan dengan sendiri akan melompat ke parti pembangkang, tetapi setakat ini tidak ada pun," katanya.


Beliau berkata, Anwar memberikan
16 September ini sebagai tarikh akhir kewujudan kerajaan BN, tetapi Penasihat PKR semakin kecewa dan kegagalan itu akan memberi tamparan hebat terhadap kewibawaan sebagai pemimpin pembangkang.

0 ulasan: