Ahad, 13 Julai 2008

Peralihan kuasa tanpa terlalu banyak persoalan


BERITA HARIAN : 13-07-08

Abdullah ada masa selesai kerja sambil Najib dapat masa persiapkan diri

DERAI-KETAWA mewarnai sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Taklimat Khas Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang Khamis lalu, untuk satu lagi pengumuman penting dalam lipatan sejarah negara.

Peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, yang bakal terlaksana pada Jun 2010, diumumkan kepada media pada ketika suasananya masih hingar-bingar di merata sudut aras empat bangunan berkenaan.

"Apakah peralihan kuasa ini akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd?," soal seorang wartawan sebagai merujuk kepada lawatan singkat pemimpin asing itu ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

"Saya tak nampak apa perlunya soalan itu ditanya. Yang kita nak kena maklumkan pada dia buat apa," jawab Perdana Menteri yang tidak dapat menahan diri daripada turut ketawa bersama yang lain.

Harus ia soalan yang langsung tidak relevan dan entah dari mana kaitannya. Dalam pada itu, ia menjadi selingan kepada sesi soal-jawab yang kemudian rancak dengan soalan datang bertalu-talu.

Dalam mengakhiri teka-teki yang ditimbulkan tidak lama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu yang menyaksikan Barisan Nasional menubuhkan kerajaan tanpa majoriti dua pertiga, Abdullah kelihatan amat tenang. Tidak langsung terserlah sebarang tekanan atau kegusaran.

Cuma satu soalan kemudian yang mungkin tidak diduganya kenapa beliau tidak menampakkan sebarang emosi dalam membuat pengumuman untuk berundur pada ketika ada sebahagian yang melihat beliau sebagai terpaksa tunduk kepada desakan.

"Saya berasa sedih sedikit," kata Perdana Menteri menyusun jawapannya. "Tapi saya rasa ada banyak pencapaian. Saya rasa saya sudah dapat mengambil sesuatu tindakan, terutama yang sudah diterima baik. Itulah yang kita kehendaki."

Di luar bilik sidang media itu, perwakilan pada hari berkenaan yang terdiri daripada ahli MT, ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian turut rancak berbual dalam banyak kumpulan kecil.

Malah, semalaman sebelum mesyuarat MT petang itu, desas-desus sudah pun mula tersebar mengenai tarikh sebenar peralihan kuasa berkenaan, sebagai dalil ia sudah dibincangkan lebih awal, hanya untuk diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada sesi taklimat itu keesokannya.

Dalam pada ramai yang tertanya-tanya sebelum pengumuman itu, masih ramai yang terus tertanya-tanya sekalipun sesudah tempoh peralihan diumumkan. Ia di antara sesuatu yang mahu dan tidak mahu mereka dengar.

Abdullah sendiri, seperti dimaklumi, tidak pun berniat untuk kekal lebih daripada dua penggal sebelum mewariskan kuasa di samping kemungkinan berundur pada 2010 juga tidak tersenarai sebagai rahsia besar.

Sudah lumrah ada bersetuju dan yang bercanggah pendapat berdasarkan teropong penilaian masing-masing.

Di sebalik badan perhubungan Umno di empat negeri, Pulau Pinang, Perlis, Selangor dan Melaka setakat ini bersetuju untuk mencalonkan Abdullah dan Najib bagi mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan Disember nanti, segelintir dari luar Umno pula yang sibuk membantah dan menyanggahnya.

Antara yang ditimbulkan kononnya Abdullah mahu melanjutkan masa untuk terus bergayut pada kuasa dengan menjadikan pelan peralihan itu hanya alasan selain helah mengelak daripada dicabar Najib.

Timbalan Presiden Umno itu pula dikatakan tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan menurut saja apa yang terbaik untuk dirinya agar tidak keciciran. Lebih daripada itu, ada yang meramalkan beliau akan menjadi perdana menteri dalam angan-angan.

Barangkali juga ia adalah hakikat yang harus diterima bahawa apa saja penjelasan tidak akan dapat memuaskan hati semua pada ketika akan sentiasa ada yang menyukai dan tidak menyenangi pemuafakatan mereka berdua.

"Memang bila pelan peralihan kuasa ini diumumkan, pelbagai reaksi timbul, terutama dari segi tempoh kuasanya. Macam mana pun, yang penting sekali ialah Pak Lah dengan saya telah mencapai kata sepakat," kata Najib dalam satu temu bual malam kelmarin.

Juga tiada langsung petanda Najib menerimanya dalam terpaksa. Atau sebarang bayangan tempoh peralihan itu tidak langsung memberi apa-apa kelebihan kepadanya seperti dicanang-canangkan.

"Tidak ada (ahli MT) yang membangkang, semua orang bersetuju," katanya lagi. "Mungkin ada perbezaan pendapat dalam tempohnya tapi majoriti menyerahkan kepada saya dan Datuk Seri Abdullah untuk berunding dan cari kata sepakat."

"Ya ya, sudah bincang sebab itu adalah kehendak parti," katanya sebagai mengesahkan perbincangannya dengan Perdana Menteri sebelum pelan peralihan kuasa itu dipersetujui.

Bukan semua orang tidak tahu bahawa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah antara gagasan besar Abdullah dan harus tidak bersalahan untuknya merealisasikannya sehingga 2010.

"Niat dan tujuan saya ialah untuk mengukuhkan parti dan meneruskan program yang banyak dirancang, termasuk janji-janji pilihan raya," kata Abdullah. "Kepimpinan seterusnya tidak perlu menggunakan banyak masa untuk memperbaiki dan memperelokkan parti kerana proses peralihan sudah berjalan dengan baik."

Malah, tempoh yang berbaki kurang 24 bulan lagi akan membolehkan parti kembali kepada kedudukan yang mendapat sokongan kuat rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya pada 2012 atau 2013.

Abdullah akan terluang waktu untuk menyelesaikan kerjanya sambil Najib akan mendapat masa secukupnya bagi mempersiapkan diri mendapatkan mandat baru.

Kepada kemungkinan pengumuman peralihan kuasa itu dipertimbangkan semula kemudian, Abdullah menegaskan: "Keputusan ini muktamad."

Jelas, bukanlah kebimbangannya terhadap sesiapa saja yang mahu memikirkannya berbeza atau masakan beliau masih termampu banyak ketawa.

0 ulasan: