Ahad, 30 Mac 2008

TUN GALAK PERTANDINGAN DALAM UMNO


BERITA HARIAN : 30-03-2008

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Umno menghapuskan sistem kuota pencalonan untuk pertandingan pelbagai jawatan parti termasuk presiden bagi menggalakkan persaingan sihat.

Dr Mahathir berkata, sistem kuota pencalonan mesti dihapuskan sekarang kerana ia cenderung untuk disalah guna bagi menghalang orang lain daripada bertanding secara bebas dalam proses pemilihan kepimpinan parti.

“Saya fikir inilah masanya untuk Umno ubah syarat itu kerana orang yang berkuasa berkecenderungan untuk melumpuhkan sebarang usaha untuk menentang mereka,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung ke-46 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) 2007 di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, dulu sesiapa saja bebas mengemukakan pencalonan dan berkempen termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menentangnya sebagai presiden parti.

“Walaupun perlu mendapat pencalonan 60 bahagian untuk bertanding sebagai presiden, ketika itu senang untuk mendapat pencalonan berkenaan.

“..sekarang, bila (Tengku) Razaleigh nak lawan, dia sangka boleh dapat 60, tapi hanya dapat satu bahagian saja sebab bahagian lain diberitahu supaya tidak mencalonkan beliau. Ini bukanlah kebebasan,” katanya.

Ditanya siapa yang pada pandangannya layak bertanding jawatan Presiden Umno, Dr Mahathir berkata Tengku Razaleigh mungkin seorang daripadanya kerana Umno juga bukanlah ketandusan bakat kepemimpinan berwibawa.

0 ulasan: