Jumaat, 7 Mac 2008

LETAK KERETA DI KB RM1 SEJAM TERMAHAL DI MALAYSIA


UTUSAN MALAYSIA – ( 07-03-2008)

KOTA BHARU 6 Mac – Kerajaan Pas Kelantan mengakui kadar bayaran letak kereta RM1 sejam yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah yang termahal di negara ini termasuk melebihi kadar di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, penduduk Kota Bharu lebih beruntung daripada warga Petaling Jaya kerana mereka tidak perlu membayar tol untuk ke bandar.

“Betullah Petaling Jaya hanya kenakan bayaran pakir 80 sen sejam tapi orang di sana kena bayar tol sampai RM3. Lepas itu, nak makan mee sup semangkuk RM3.50.

“Tapi kita di Kota Bharu, boleh lagi makan nasi sup RM2 saja. Kita bayar letak kereta RM1 sejam, naik atas pasar nak beli apa masih murah, sayur kangkung seikat 50 sen saja, negeri lain sudah RM2,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Lot Bazar Tok Guru yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di pekarangan Arked MPKB di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam manifesto yang dilancarkan Sabtu lalu menawarkan penurunan kadar bayaran letak kereta MPKB dari RM1 kepada 50 sen sejam.

Selain itu, BN juga menjanjikan mana-mana lorong di sekitar bandar ini yang sempit gara-gara kewujudan petak letak kereta akan dihapuskan.

Sebagai perbandingan, kadar bayaran letak kereta yang dikenakan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu hanyalah 10 sen untuk 10 minit atau 60 sen sejam.

Dalam manifestonya, BN Kelantan juga menawarkan untuk menghapuskan cukai bandar yang tertunggak selain merangka satu skim cukai baru yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Takiyuddin dalam ucapannya mencabar BN menurunkan kadar bayaran letak kereta kepada 50 sen sejam di negeri-negeri yang dikuasai parti itu dahulu sebelum mencadangkan kadar tersebut di Kota Bharu.

0 ulasan: