Sabtu, 22 Mac 2008

NORZULA BERAZAM TERUSKAN KHIDMAT KEPADA RAKYAT


UTUSAN MALAYSIA : (21-03-2008)

GUA MUSANG – Apa yang cukup membezakan Datuk Nozula Mat Diah, 51, berbanding calon-calon Barisan Nasional (BN) lainnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam pilihan raya umum baru lalu.

Beliau berjaya mengekalkan kerusi DUN yang ditandinginya selama lima penggal berturut-turut, suatu rekod yang tentunya tidak dapat disaingi sesiapa.

Namun masa yang panjang itu tidak mengubah sikap dan pendiriannya sebagai wakil rakyat yang sesuai dan sebati dengan kawasan yang diwakili, seperti tidak berubahnya sokongan masyarakat setempat terhadapnya.

Bekas pengurus rancangan di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu memenangi pilihan raya umum 1990 dan 1995 bagi kerusi DUN Paloh dalam Parlimen Gua Musang atas tiket parti Semangat 46.

Sokongan berterusan kepadanya pada tahun 1999, 2004 dan 2008 atas tiket BN apabila beliau bersama para pemimpin dan ahli Semangat 46 kembali ke dalam UMNO.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ketika ‘tsunami politik’ hampir menghanyutkan semua kerusi BN di Kelantan, beliau terus bertahan dan menang dengan majoriti 2,833 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rizal Abdul Rahim.

Dalam sidang DUN terakhir menjelang pilihan raya, video Nozula yang berang dan cuba menerpa penyokong kerajaan selepas beberapa kali tidak diberikan peluang untuk menyuarakan masalah di kawasannya dipaparkan dalam ceramah-ceramah Pas melalui pita video.

Malah beliau dipopularkan lagi dengan muatan dalam laman-laman web, blog Pas dan penyokong parti itu.

‘‘Beliau menjadi sasaran bagi mencerminkan keburukan perilakunya tetapi di kawasannya tentu beliau boleh dianggap hero kerana begitu tegas dan berani.

‘‘Beliau cuba buat apa sahaja untuk penduduk kawasannya, dia dihargai, kerana tindakannya mesti ada punca, tentunya setelah dia dipersendakan,” ujar Mohd Adhan Kechik yang memenangi kerusi DUN Bukit Bunga ketika diminta mengulas mengenai rakannya itu.

Nozula menyatakan rasa terharu dengan sokongan berterusan penduduk kawasannya dan beliau berjanji untuk meneruskan khidmat dengan lebih baik walaupun BN masih gagal memerintah Kelantan.

Katanya, itulah azam beliau sebagai membalas budi rakyat yang memilihnya menjadi wakil rakyat walaupun pelbagai fitnah dilemparkan oleh musuh politik.

‘‘Saya berterima kasih kepada rakyat yang terus memilih saya walaupun begitu banyak usaha memburukkan saya semasa kempen pilihan raya lalu termasuk peristiwa dalam sidang DUN,” ujar bapa kepada enam orang anak itu.

Nozula percaya, masyarakat setempat masih melihat dirinya sebagaimana beliau belum menjadi wakil rakyat dengan corak kehidupan dan pergaulan yang sebati dengan suasana kehidupan mereka.

‘‘Memang saya bergaul rapat, mudah bagi kita mengetahui kesulitan dan kemahuan rakyat bawahan untuk diselesaikan setakat yang kita mampu.

‘‘Rakyat akan suka dan hargai bila kita cuba menyelesaikan apa sahaja masalah mereka biarpun kecil seperti permohonan anak masuk sekolah, permohonan mendapat pekerjaan dan bantuan persekolahan.

‘‘Kalau tak dapat terutama hal-hal besar, sekurang-kurangnya mereka tahu kita telah mencuba melakukan berdasarkan keupayaan kita,” ujarnya.

Katanya, beliau akan terus bekerjasama dengan Kesedar, Felda dan lain-lain agensi kerajaan untuk membantu memajukan rakyat DUN Paloh yang umumnya bergantung hidup dengan kerja tani.

0 ulasan: