Selasa, 9 Oktober 2007

Semakin Dibaiki Semakin Rosak

Sebelum itu saya ingin menyatakan rasa kebangaan saya kerana Negara kita telah pun selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-50 pada 31 Ogos 2007. Tahniah kepada semua rakyat Malaysia.

Saya menulis kali ini adalah untuk berkongsi dengan semua rakyat di Negara ini berkenaan tahap keselamatan jalan raya di Negara ini. Semua mengakui bahawa kita mempunyai satu system rangkaian jalan yang boleh dikatakan terbaik, reka bentuk dan tahap keselamatannya juga menepati standard jalan raya yang diiktiraf oleh dunia. Kita juga mempunyai satu tahap pengurusan jalan raya yang tebaik setakat ini. Tahniah kepada kerajaan dan pihak agensi yang dilantik.

Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membangun serta memperbaiki system jalan raya di Negara ini. Setiap tahun ada saja peruntukkan diberikan untuk tujuan tersebut. Kerja-kerja penambahan dan pembaikkan banyak dilakukan bagi memberi keselesaan dan keselamatan serta memenuhi tujuan jalan raya itu dibina sendiri.

Sebelum pembinaan sesebuah jalan raya atau lebuh raya tersebut, banyak kajian dilakukan dengan mengambil pandangan semua pihak. Proses reka bentuk juga adalah berdasarkan kepada standard-standard tertentu yang telah ditetapkan. Begitu juga semasa dalam proses pembinaannya. Banyak peraturan serta standard yang perlu diikuti. Semuanya menjalani proses pemeriksaan yang ketat dan memerlukan syarat-syarat kelulusan bagi bahan-bahan yang perlu dan ingin digunakan. Semua ini dilakukan dengan tujuan untuk menghasilkan satu produk yang berkualiti dalam segala segi.

Apa yang cuba saya bangkitkan di sini adalah berkenaan dengan tatacara yang diguna pakai dalam proses membaik pulih atau pun proses penyelenggaraan sesebahagian jalan raya yang mengalami kerosakan. Jika kita memandu, sudah pasti akan terjumpa jalan raya yang bertampal, berlubang, beralun, retak di sana-sini, di tutup sebahagiannya, ditutup keseluruhannya dan berbagai lagi. Keadaan tersebut sedikit sebanyak telah menganggu keselesaan serta keselamatan pemanduan seseorang pemandu itu sendiri.

Jika sebelum dan semasa dalam pembinaan sama ada jalan-jalan baru atau jalan-jalan yang dinaik-tarafkan, mengapa begitu banyak tatacara serta syarat-syarat yang dikenakan tetapi mengapa ketika dalam proses membaik-pulih (maintenance) atau proses penyelenggaraan ianya tidak dipraktik serta ditekankan oleh sesetengah pihak yang terlibat.

Sebelum sesebuah jalan raya / lebuh raya tersebut dibina, banyak perkara dibincang dan diambil kira bagi menghasilkan satu produk yang berkualiti akan dapat dihasilkan. Bermula daripada peringkat perancangan, sehinggalah kepada peringkat penyiapannya banyak perkara yang diambil kira, standard-standard tertentu perlu diikuti, proses pemeriksaan dan kelulusan yang ketat, ujian-ujian keatas bahan-bahan yang ingin digunakan dan sebagainya.

Namun apa yang menjadi tanda-tanya kita selama ini adalah mengapa sebahagian jalan yang dibaiki dan diselenggara adalah tidak sama seperti ianya baru dibina dahulu. Kita dapat perhatikan pada jalan-jalan yang baru dibaik pulih, masih terdapat kerosakan serta ketidakselesaan pemanduan semasa melalui tempat-tempat tersebut. Begitu juga dengan tatacara keselamatan yang dipraktikkan semasa dalam proses penyelenggaraan tersebut dilakukan.

Jika jalan / lebuh raya baru yang hendak dibina, kontraktor yang terpilih mestilah mempunyai sijil, pengetahuan serta kemahiran yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerja (JKKP) atau pun lebih dikenali sebagai pihak CIDB. Ia bertujuan bagi memastikan pihak kontraktor berkenaan memahami dan mempraktikkan standard-standard tertentu agar menjamin keselamatan pekerjanya di tapak bina serta orang awam di sekeliling kawasan pembinaan tersebut. Pihak ini akan memantau serta membuat pemeriksaan terhadap projek-projek pembinaan yang dilaksanakan dari segi kelematan dan kesihatan pekerja serta orang awam. Merekan akan memastikan setiap kerja-kerja yang dilakukan direkod dengan teliti dan disimpan bagi tujuan audit oleh pihaknya dikemudian hari.

Namun, perkara ini tidak ditekan dengan sewajarnya apabila satu-satu jalan itu melalui proses penyelenggaraan dan akibatnya banyak kerja-kerja penyelengaraan yang dilakukan di masa kini tidak menitik-beratkan tentang hal tersebut terutamanya terhadap pemandu-pemandu yang melalui kawasan tersebut terutamanya ketika waktu malam.

Kita dapat perhatikan setiap kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh kontraktor dilantik tidak mempratik serta melaksanakan perkara tersebut dengan sepenuhnya. Tanda-tanda amaran yang secukupnya tidak disediakan, mesin-mesin atau jentolak berada pada tempat yang tidak sepatutnya semasa kerja-kerja dilakukan, lampu-lampu amaran yang tidak cukup dan ada yang tidak dipasang langsung, pengawal trafik yang tiada atau jika ada pun ianya tidak terlatih, jika jalan dikorek, tiada penghadang diletakkan dan berbagai-bagai lagi.

Jika jalan dialihkan (divert), jalan alternatif tidak disediakan dengan sebaik mungkin, ianya tidak diturap dan diselenggara dengan baik dan berbagai-bagai lagi soal keselesaan dan keselamatan tidak dipraktikkan sama ada terhadap pekerja itu sendiri atau pun orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Kadangkala pihak kontraktor melakukan kerja-kerja penyelenggaraan ketika waktu puncak dan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak sepatutnya berlaku. Padahal mereka boleh mengubah waktu bekerja tersebut sama ada ketika kenderaan tidak banyak atau pun ketika waktu malam.

Begitu juga dengan kerja-kerja penanaman paip-paip air dan utility-utiliti yang lain sama ada di kiri-kanan atau pun di atas jalan itu sendiri. Kebanyakkan kontraktor akan meninggalkan bahan-bahan pembinaan seperti tersebut serta bahan-bahan lain seperti batu agregat, pasir dan sebagai di tepi-tepi bahu jalan yang kadang-kala menutupi bahu jalan tersebut. Keadaan ini amat membahayakan pengguna jalan raya terutamanya terhadap penunggang motorsikal.

Mereka juga kadang-kala tidak menutupi lubang-lubang atau saluran yang dikorek semasa menghentikan operasi kerja mereka di waktu malam. Keadaan ini akan menambahkan penderitaan seseorang pemandu jika kemalangan berlaku di tempat tersebut. Jika berlakunya hujan dan saluran atau lubang tersebut dipenuhi oleh air, maka ia akan menjadi satu masalah kepada pemandu untuk memastikan sama ada tempat tersebut ( kebiasaannya di bahu-bahu jalan ) adalah rata atau pun berlubang. Keadaan ini juga boleh membawa kesan yang buruk kepada struktur jalan itu sendiri jika lubang-lubang atau saluran yang dipenuhi air dibiarkan terlalu lama. Untuk makluman saudara, setiap jalan yang dibina ( terutamanya lapisan atas ) di rekabentuk berada jauh dari paras air bagi mengelakkan kerosakan pada tapaknya ( foundation atau base ) yang akan boleh menghilangkan kestabilannya. Jika tapaknya dimasuki air maka akan berlaku pergerakan pada tapak dan secara tidak langsung akan menimbul serta menambahkan kesan-kesan retak pada lapisan atasnya ( premix ). Keadaan lebih buruk berlaku apabila lapisan atasnya terkopek ( pothole ) di jalan raya tersebut.

Kita juga dapat perhatikan, pihak kontraktor tidak membersihkan kawasan kerjanya apabila satu-satu kerja disiapkan. Debu-debu bertebaran serta Lumpur mencemari permukaan jalan. Keadaan ini boleh membahayakan kenderaan yang melalui kawasan tersebut terutamanya terhadap penunggang motosikal.

Kita difahamkan bahawasanya pihak JKKP berhak untuk menyaman serta menghentikan operasi satu-satu projek pembinaan jika ianya tidak mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihaknya sendiri dan juga oleh pihak kerajaan. Apatah lagi jika kerja-kerja yang dilakukan itu boleh memberi kesan yang besar terhadap orang awam yang melalui kawasan tersebut jika terjadinya kemalangan di satu-satu kawasan tersebut.

Kita sedar bahawasanya kerja-kerja penyelenggaraan jalan adalah satu kerja yang tidak banyak modalnya dan jika difikir secara logiknya kontraktor tersebut sudah semestinya akan mengurangkan seberapa banyak kos yang diperuntukkan bagi menyiapkan kerja-kerja tersebut mengikut jadual. Namun jika soal keselamatan pengguna jalan raya yang lalu-lalang di kawasan tersebut tidak diambil kira, ianya sudah menjadi satu kesalahan bagi pihak kontraktor tersebut. Jika ditakdirkan berlakunya kemalangan di kawasan tersebut disebabkan oleh kecuaian sama ada dari pada pihak kontraktor atau pihak kerajaan ( JKR ) itu sendiri, orang awam berhak menyamannya dan ganti rugi terpaksa dibayar kepadanya. Jika mangsa tersebut hanya cedera ringan, kemungkinan kontraktor tersebut boleh membayar saman tersebut, tetapi jika berlaku kes-kes seperti kehilangan anggota badan, lumpuh seumur hidup dan meninggal dunia, berapa harga saman yang boleh dibayar jika keluarga mangsa tersebut menyamannya.

Oleh kerana kerja-kerja penyelenggaraan adalah kecil kosnya, maka sudah semestinya kerja-kerja tersebut dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor yang kecil seperti kontraktor Kelas F, E dan sebagainya malahan tidak pernah berdaftar sebagai kontraktor sekali pun. Mereka ini sudah semestinya tidak memahami dan tidak dilatih dengan soal-soal keselamatan di tapak bina. Kesedaran pihak ini terhadap keselamatan juga adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan kontraktor-kontraktor lain yang terlatih dan berpengetahuan. Pihak ini juga boleh dikatakan baru hendak menjinak-jinak dengan pembinaan satu-satu jalan raya dan mereka sudah semestinya tidak memahami dengan lebih mendalam proses-proses, standard-standard dan peraturan-peraturan yang diperlukan jika kerja-kerja yang melibatkan jalan raya atau lebuh raya itu sendiri.

Banyak jalan raya yang siap diselenggara tidak sempurna seperti yang diharapkan. Kerosakan berulang sering-kali timbul jika satu-satu kerja penyelenggaraan itu dilakukan. Kos pada asalnya adalah kecil tetapi ianya menjadi besar jika keadaan ini dibiarkan berterusan.

Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah, soal keselamatan yang dipraktikkan semasa sesebuah jalan/lebuh raya itu diselenggarakan dan juga tentang kepakaran yang ada pada satu-satu kontraktor yang dilantik bagi menjalankan satu-satu kerja penyelenggaraan jalan/lebuh raya tersebut.

Disamping itu, pihak yang memberi kontrak, pihak yang dilantik dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat juga sepatutnya dapat menilai dengan lebih ketat syarat-syarat kelulusan sebelum penganugerahan satu-satu kerja penyelengaraan jalan raya yang hendak dilakukan terhadap satu-satu kontraktor yang ingin dilantik. Pihak-pihak tersebut juga seharusnya dapat membuat pemeriksaan yang sepatutnya semasa kerja-kerja dilakukan agar kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dilakukan dengan mengikut amalan-amalan, standard-standard dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi satu-satu jalan / lebuh raya itu sendiri bagi mengelakkan kemalangan ke atas pengguna jalan raya tersebut. Di samping itu ia juga boleh mengelakkan pembaziran terhadap wang rakyat jika kerja-kerja yang dilakukan itu adalah tidak sempurna seperti yang diharapkan.

0 ulasan: