Jumaat, 12 Oktober 2007

JAS Yang Busuk Dan Beracun Seperti Sampah Dan Bahan Buangan Toksik Serta Tercemar Seperti Tercemarnya Air Sungai.

JAS Yang Busuk Dan Beracun Seperti Sampah Dan Bahan Buangan Toksik Serta Tercemar Seperti Tercemarnya Air Sungai.

Saban hari berita menyampaikan akan kegagalan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menjalankan kerja-kerjanya menyelia dan mengambil tindakan terhadap mangkuk-mangkuk yang berusaha dengan gigih untuk mencemari serta memusnahkan alam sekitar di Negara ini.

Mangkuk-mangkuk tersebut secara terang-terangan telah menghina undang-undang Negara berkenaan alam sekitar yang sememangnya dijunjung dan didokong sepenuhnya oleh pihak JAS. Mereka telah berani membuang sisa toksik di tempat yang mereka sendiri pilih dan tetapkan. Mereka tidak lagi menghiraukan kesan daripada tindakan mereka itu.

Mangkuk-mangkuk tersebut kebanyakkannya terdiri daripada pelbagai rupa dan perangai. Diantara contohnya, ada mangkuk yang suka membuang sisa toksik di merata-rata tempat. Mangkuk yang suka bermain dengan api yang suka membakar kawasan hutan yang telah dibersihkan untuk tujuan tertentu. Ada juga mangkuk yang menggondolkan bukit bukau dan hutan belantara untuk tujuan tertentu. Ada juga mangkuk yang suka mencemarkan kejernihan sungai-sungai di Negara ini. Ada juga mangkuk yang suka mengeluarkan asap yang berlebihan pada cerobong-cerobong kilang dan ekzos kenderaan. Begitulah adanya rupa serta perangai azali yang ada pada mangkuk-mangkuk tersebut. Banyak lagi jenis mangkuk yang tidak payah disebutkan di sini kerana kita semua tahu spesisnya adalah begitu banyak bertebaran di bumi tersayang ini.

Menjadi persoalan kepada kita adalah mengapa spesis mangkuk itu begitu berani dan masih bertebaran melata-lata dalam Negara ini. Spesis mereka telah beranak-pinak di seluruh pelusuk Negara.

Apa yang pihak JAS telah lakukan? Adakah pihak JAS sedang tidur nyeyak di atas katil empuk di rumah masing-masing dan sedang dibuai dengan mimpi-mimpi indah? Adakah pihak JAS tiada kemampuan untuk menghadapi mangkuk-mangkuk ini? Adakah pihak JAS sudah kenyang dengan suapan bara api ke dalam perut mereka? Adakah pihak JAS membutakan mata dan memekakkan telinganya? Adakah kaki dan tangan pihak JAS telah digari oleh mangkuk-mangkuk dan mereka-mereka yang bersaudara dengan mangkuk tersebut? Adakah…adakah..adakah…berapa banyak lagi ayat yang perlu menggunakan perkataan permulaan ‘adakah’ bagi menjawab serta menyelesaikan perkara ini.

Bukit bukau serta hutan rimba digondolkan oleh mereka. Tanah terhakis di sana-sini. Binatang buas lagi liar bertempiaran lari dan berpindah ke kampong-kampung dan Bandar-bandar di sekitarnya.

Sungai-sungai yang dahulu airnya jernih kini telah bertukar menjadi seperti air teh tarik kedai mamak. Kewujudan ikan-ikan di sungai-sungai berkurangan dengan mendadak kerana tidak tahan dengan bau busuk serta kepedihan matanya terhadap pertukaran warna air tersebut.

Kawasan perumahan yang dihiasi dengan langskap arkitek yang begitu cantik telah berbau busuk lagi meloyakan. Najis-najis binatang peliharaan dibiarkan mencemari air dan udara rakyat jelata. Bangun pagi bau najis, nak makan bau najis, nak mandi bau najis, nak beribadah bau najis dan nak tidur pun tetap bau najis. Baunya itu telah meresap ke dalam lubang hidung rakyat kebanyakkan. Hidup rakyat jelata selama ini telah diselubungi oleh bau najis tersebut.

Asap-asap kilang yang dilepaskan begitu pekat hitamnya mencemari alam raya Negara ini. Ingatkan langit kelam kerana hujan akan turun tetapi rupa-rupanya asap hitam menyelubungi langit yang masih cerah bersinar disebaliknya. Asap-asap kenderaan yang disembur ke udara bagaikan alat penyembur racun kepada orang lain. Naik kereta makan asap, turun kereta makan asap. Kadang-kadang bila melombong hidung, bijih yang dikeluarkan adalah berwarna hitam sama hitamnya dengan asap yang dikeluarkan oleh cerobong-cerobong kilang dan juga ekzos-ekzos kenderaan tersebut.

Dahulu kita digemparkan dengan kematian seorang pegawai alam sekitar di Sarawak. Katanya terjatuh dari bangunan lalu mati di tempat kejadian. Kenapa beliau boleh terjatuh? Adakah beliau pening ketika itu. Adakah beliau tengah melakukan aksi lasak? Tiada seorang manusia yang waras akan terjatuh dari bangunan yang sememangnya direkacipta dengan berbagai ciri keselamatan.

Kini kita mendengar pula adanya surat kuasa yang dikatakan palsu telah dikeluarkan oleh pihak tertentu yang kononnya mengaku ia adalah daripada pihak JAS kepada seorang manusia yang tidak mengerti kesan dari tindakannya. Manusia itu dengan lurus bendulnya telah menanam sisa toksik tersebut tanpa rasa curiga bahawa perbuatannya itu adalah salah disisi undang-undang. Si bendul itu juga tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa perbuatannya itu boleh memberikan kesan yang amat mendalam terhadap system habitat manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan disekelilingnya.

Kita juga ditunjukkan oleh pihak tv dan akhbar terdapat mangkuk yang telah melupuskan sisa najis binatang peliharaan di merata-rata di sekitar kawasan selangor. Sudah lama ia dibuang di kawasan tersebut. Tercemarnya udara di sekeliling, tercemarnya pemandangan sesiapa yang melihatnya. Busuknya hati manusia yang berstatus mangkuk itu terhadap rakyat Malaysia. Nasib baik ada manusia yang bernama Hero Karam Singh Walia yang turun dari kayangan TV3 yang berani mendedahkan kebobrokan serta kegoblokan yang telah dilakukan oleh simangkuk busuk itu.

Begitu juga semasa melalui beberapa jalan raya utama Negara ini. Di sepanjang perjalanan tersebut, berbagai-bagai jenis kilang dapat ditemui. Kilang sawit, kilang getah, kilang pewangi busuk, kilang bedak habuk hitam dan sebagainya lagi. Hari ini asap itu disembur keluar. Kelmarin asap yang sama disembur. Minggu lepas juga sama. Bulan lepas begitu juga keadaan. Tahun lepas pun begitu malahan tahun-tahun yang lalu juga sama keadaannya.

Apa ini semua? Mengapa ini boleh terjadi?

Boleh dikatakan tiada usaha yang proaktif dan berkesan telah diambil oleh pihak JAS untuk menghalang atau mengurangkan kemusnahan yang sedang dilakukan oleh pihak mangkuk-mangkuk terhormat itu. Pihak JAS seakan-akan membiarkan keadaan tersebut berlaku dan mencemari alam persekitaran Negara.

Adakah pihak JAS mengetahui akan hal ini? Namun jauh di sudut hati rakyat agar pihak JAS lebih berani dan tegas dalam hal ini agar kerosakan yang dilakukan oleh mangkuk-mangkuk tadi dapat dikawal dan semoga genarasi akan dating dapat melihat dan merasai nikmat alam sekitar seperti apa yang telah dinikmati dan dirasai oleh generasi sebelumnya.

Jika JAS gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya itu, maka dapat lah disimpulkan bahawasanya pihak JAS adalah lebih busuk dari sampah sarap, lebih beracun daripada sisa toksik dan lebih tercemar berbanding dengan tahap pencemaran air sungai di waktu ini.

0 ulasan: