Ahad, 14 Jun 2009

Bekas Wakil Rakyat berbicara.



Berbicara dengan bekas wakil rakyat ‘dulu-dulu’ amat menarik sekali. Cerita-cerita mereka boleh dijadikan iktibar kepada semua pihak. Banyak perbezaan diantara mereka dulu dengan wakil rakyat sekarang.

Siapa tidak kenal dengan Datuk Jailani bekas Ketua Bahagian Pasir Puteh. Beliau yang dikenali dengan Panggilan Ustaz itu amat dihormati oleh masyarakat setempat. Mengenali beliau amat memberi makna kepada saya.

Wakil Rakyat dahulu kebanyakkannya terdiri daripada guru dan ustaz. Mereka masuk politik keranan ingin memperjuangkan kepentingan anak bangsa dan Negara. Mereka sentiasa bergerak masuk ke kampong-kampung pendalaman berjumpa serta beramah mesra dengan penduduk setempat.

Jika dulu wakil rakyat terdiri daripada golongan pendidik, tetapi kini wakil rakyat adalah terdiri daripada peniaga. Jika namanya peniaga, untung rugi semuanya dikira. Mereka masuk politik untuk perniagaan mereka. Peniaga akan lakukan apa saja asalkan apa yang ingin dijual laku kesemuanya. Dan apa yang penting, keuntungan menjadi keutamaan.

Saya masih ingat semasa kanak-kanak di tahun-tahun 80an dahulu. Kedatangan wakil rakyat ke kampong disambut dengan meriah sekali oleh penduduk kampong. Kedatangan mereka bersama-sama berjuta harapan penduduk.

Mereka juga amat dihormati dan disegani oleh penduduk kampong. Sehingga kini mereka masih dihormati oleh masyarakat setempat.

Katanya lagi, wakil rakyat zaman sekarang ada yang tidak tahu berapa ahli-ahli akar umbinya. Tidak tahu berapa banyak cawangan yang berada dibawah naungannya. Tidak kenal siapa ketua cawangannya. Tidak tahu apa keperluan sebenarnya penduduk di satu-satu kampong itu.

Wakil rakyat zaman kini kebanyakkannya sibuk dengan urusan sendiri. Kepentingan sendiri mengatasi kepentingan rakyat. Rakyat hanya dipentingkan apabila tibanya pilihanraya. Wakil rakyat kini sibuk dengan urusan perniagaan.

Jika dahulu, mereka berjuang untuk kemudahan asas bagi penduduk setempat seperti Jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, telefon dan sebagainya. mereka juga terlibat secara langsung dalam penyusunan semula kedudukan rakyat terutamanya dalam mendapatkan tempat tinggal dan penjanaan ekonomi. Rakyat dipindahkan ke bahagian-bahagian hulu atau ke kawasan pendalaman dengan mengikuti rancangan yang dikendalikan oleh pihak Felda, felca, Kada, Kesedar dan sebagainya.

Jika itu yang telah mereka usahakan untuk rakyat di masa dahulu, apa pula yang sepatutnya dimainkan oleh wakil rakyat zaman ini?. Boleh dikatakan hampir kesluruhan kawasan telah mempunyai kemudahan asas tersebut.

Beliau menyatakan pemikiran rakyat kini bukannya bertumpu kepada kemudahan-kemudahan asas itu tadi. Rakyat kini sedang memikirkan cara untuk meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing. Corak pemikiran yang telah bertukar.

Wakil rakyat kini sepatutnya memikirkan keperluan semasa rakyatnya. Membantu dan mencari jalan bagi meningkatkan kedudukan ekonomi rakyat yang berada dalam kawasannya. Keperluan penduduk adalah berbeza-beza mengikut tempatnya.

Satu soalan yang mungkin menyentuh sesetengah pihak pernah saya ajukan kepada beliau. Sejak mengambil-alih Kelantan, PAS tidak pernah kalah dan sentiasa mendapat perhatian daripada rakyat. Apakah rahsianya?

Beliau menyatakan wakil rakyat UMNO sekarang sedang sibuk dengan perniagaan mereka sendiri. Berlainan pula dengan sesetengah wakil rakyat dari PAS, mereka sering berhubungan dengan masyarakat setempat. Perwatakan mereka ketika bersama rakyat amat disenangi.

Walau pun tidak menjanjikan apa-apa kepada rakyat, mereka (wakil rakyat PAS) tetap berada di hati rakyat. Mereka menggunapakai apa yang ada dalam memenangi hati rakyat.

Penampilan pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri telah menjarakkan mereka dengan rakyat yang serba daif. Bagi mereka dari kalangan peniaga tidaklah berasa kekok bila berurusan dengan wakil rakyat dari UMNO. Namun berlainan pula bagi rakyat biasa yang lain.

Tidak kira dari mana datangnya wakil rakyat itu, sama ada dari parti PAS atau pun UMNO, sesungguhnya rakyat masih memerlukan perhatian daripada mereka.

Peranan wakil rakyat dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan dalam meningkatkan taraf ekonomi melayu amat diperlukan.

Wakil rakyat-wakil rakyat dari pihak UMNO yang mewakili suara kerajaan seharusnya bekerja keras dalam membantu rakyat terutamanya dari segi ekonomi.

Pihak UMNO seharusnya sedar dan insaf dengan apa yang terjadi sejak akhir-akhir ini yang menunjukkan penolakkan sokongan rakyat terhadap mereka. Mereka dilabelkan sebagai gagal dalam menjayakan agenda melayu terutamanya terhadap mereka yang berada di peringkat akar umbi.

kegagalan pihak UMNO dan wakil rakyat mereka dalam membantu orang melayu akan menyebabkan rakyat (orang melayu) akan terus memandang serong terhadap perjuangan UMNO.

perasaan curiga tersebut akan terus menghantui pemikiran orang melayu dan jangan terkejut jika UMNO atau parti-parti lain yang mengabaikan orang melayu akan ditolak oleh orang melayu disuatu hari nanti.

Tidak disangkal lagi bahawasanya UMNO telah berjasa sebelum ini. Tetapi itu dahulu iaitu semasa ianya dianggap masih ‘relevan dan berkeupayaan’, tetapi jika diambil perkiraan terkini, adakah UMNO itu masih ‘relevan dan berupaya’ dalam memperjuangkan nasib orang melayu?

Semua pemimpin melayu dan orang melayu sendiri mengakui bahawa orang melayu masih ketinggalan. Kegagalan dasar-dasar sebelum ini masih menjadi tanda Tanya. Di mana kesilapannya masih tidak diketahui. Orang melayu seperti sedang menunggu buah masak yang belum gugur.

Jika dahulu kerajaan dengan JELAS menyatakan hala tuju orang melayu. Kerajaan dengan JELAS menyebut satu persatu perancangan dan dasar-dasar berkenaan orang melayu. Namun berbeza pula keadaannya kini. Kerajaan seakan-akan takut untuk menyatakan dasar dan hala tuju orang melayu.

Scenario telah berubah. Hanya Datuk Paduka Ibrahim Ali, menerusi PERKASA sahaja yang terang-terangan menempelak terhadap mana-mana pihak yang memperlekehkan orang melayu.

Jika beliau mencadangkan satu kajian dilakukan terhadap kerajaan Kelantan pimpinan PAS berkenaan perkembangan ekonomi negeri Kelantan, saya juga berharap satu kajian dilakukan terhadap kerajaan pimpinan UMNO berkenaan keberkesanan peranannya terhadap orang melayu.

Kegagalan UMNO dalam memimpin orang melayu merupakan kegagalan orang melayu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain. Jika jawapannya adalah kegagalan, sama ada UMNO itu perlu diubah atau pun sokongan terhadap UMNO itu perlu diubah. Peluang memimpin orang melayu terpaksa diberikan kepada Parti lain yang JELAS ingin memperjuangkan bangsa melayu.

Datuk JJ juga berkata, rakyat Kelantan sebenarnya tidak sanggup untuk berkongsi tanahnya dengan bangsa lain. Salah satu sebab mengapa mereka terus menyokong Parti PAS. Rakyat Kelantan tidak mahu Kelantan menjadi seperti negeri-negeri lain yang ditadbir oleh UMNO/BN.

Banyak tanah-tanah orang melayu diberikan kepada kaum lain. Kegagalan UMNO mengawal keadaan tersebut daripada berlaku di negeri-negeri lain amat menakutkan bagi rakyat Kelantan.

Biarlah mereka tidak mengecapi kemodenan seperti yang dijanjikan oleh pihak UMNO/BN asalkan tanah mereka itu tidak terlepas ke tangan pihak lain.

Kegagalan terbesar wakil rakyat UMNO Kelantan adalah mereka tidak memahami apa sebenarnya kehendak rakyat Kelantan. Mereka ghairah menjanjikan sesuatu yang tidak dipandang oleh rakyat Kelantan. Mereka juga ghairah mencari peluang untuk berkuasa tetapi lupa akan keinginan sebenar rakyat negeri Kelantan.

Semoga wakil rakyat dapat menilai semula arah tuju perjuangan dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi bangsa melayu.






0 ulasan: