Jumaat, 19 September 2008

Politik kawan dan lawan


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

MENCARI kawan memang mudah tetapi mencari sahabat adalah sukar sekali. Ini kerana kawan hanya baik semasa kita senang, tetapi apabila susah dia menghilang. Sebaliknya, sahabat pula sentiasa ada di sisi baik pada ketika senang mahupun susah. Nilai asas dalam hubungan persahabatan tentunya sifat percaya.

Dalam memperkatakan tentang kawan dan sahabat, konsep lawan atau musuh pasti tidak dapat dipisahkan.

Melihat satu demi satu gejolak politik mutakhir ini, apakah yang dapat ditafsirkan daripada keputusan Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) untuk keluar daripada Barisan Nasional? Perdana Menteri sendiri menyifatkan tindakan parti yang ditubuhkan dan didaftar pada 1994 itu tidak lebih sebagai pengacau.

SAPP nyata bukan kawan yang boleh dipercayai ketika BN berdepan dengan saat-saat sukar kesan keputusan pilihan raya umum Mac lalu.

Sejauh mana bebasnya parti itu termasuk empat ADUN dan dua Ahli Parlimennya seperti yang dinyatakan oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee tidaklah diketahui kebenarannya.

Sekali lagi memang benarlah bahawa tiada istilah kawan apatah lagi sahabat dalam kamus politik yang disifatkan sebagai satu 'seni' serba mungkin yang tidak ada kemustahilan.

Ini kerana sejak 18 Jun lalu lagi, SAPP sebagai parti politik berasaskan etnik Cina terbesar di Sabah telah secara terbuka mengumumkan tidak lagi yakin dengan kepimpinan PM.

Mengapa jika benar SAPP sebagai kawan di dalam BN tidak duduk sepakat dalam memulihkan apa yang dipanggil mereka sebagai 'hilang semangat' yang membelenggu BN?

Melihatkan tindakan SAPP, bagaimana pula agaknya pendirian 13 sekutu lain BN terutama dari kalangan komponen bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada masa akan datang? Adakah mereka akan menurut jejak SAPP yang hanya kawan semasa senang tetapi apabila BN susah terus mereka berpindah?

Episod 'minta cerai' oleh SAPP ini tentunya disambut baik oleh pemimpin mahupun penyokong pakatan pembangkang.

Namun tidakkah rakan-rakan pembangkang terutama Pas terfikir bahawa episod itu akan berulang jika SAPP bersama mereka kelak.

Oleh itu, para pemimpin Melayu sama ada dari BN mahupun pakatan pembangkang harus bijak dalam percaturan politik yang makin genting kini agar strategi mereka yang mulanya dianggap kawan itu tidak akan menjerat masa depan politik, ekonomi, budaya dan sosial masyarakat Melayu di negara ini.

0 ulasan: