Jumaat, 19 September 2008

Akta Hubungan Kaum


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

PUTRAJAYA 18 Sept. – Akta Hubungan Kaum akan diwujudkan dalam waktu terdekat dengan matlamat lebih menyeluruh untuk mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan antara kaum di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, skop akta berkenaan lebih meluas berbanding Akta Hasutan sedia ada yang lebih bertujuan mengekang huru-hara dan ancaman ketenteraman awam.

Katanya, akta itu sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

“Kita akan bawa perkara ini ke Kabinet. Saya fikir idea kewujudan akta ini adalah baik untuk mewujudkan suasana hubungan baik antara kaum berasaskan agama dan budaya yang berbeza-beza.

“Dua kementerian ini boleh bekerjasama dan KPKKW akan berperanan untuk memantapkan perpaduan dalam negara manakala KDN akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjamin,” kata Syed Hamid selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Pada majlis itu, kementerian tersebut turut menerima anugerah pensijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pensijilan tambahan daripada International Certification Network (QNet) yang diperoleh pada 15 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, skop pelaksanaan Akta Hubungan Kaum itu lebih terarah untuk membentuk sebuah masyarakat berbilang kaum dengan mengambil kira keadilan dan kesamarataan.

“Kekuatan kita diasaskan pada kepelbagaian kaum. Jika ada perlanggaran terhadap keharmonian kaum sehingga menjejaskan perpaduan, perkara itu boleh diambil tindakan bagi mengelakkan konflik dan perselisihan kaum.

“Akta ini tidak bertujuan untuk menghukum semata-mata tetapi lebih daripada itu untuk mewujudkan semangat toleransi dan harmoni,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kelangsungan akta itu akan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya ia tidak disalahertikan.

“Undang-undang ini tidak bermaksud mengancam rakyat tetapi untuk beri keadilan kepada rakyat.

“Semua undang-undang di negara ini semestinya ada unsur keadilan dan kesaksamaan.

“Bukan saja orang yang terlibat dengan kesalahan perlu diberikan keadilan malah rakyat juga perlu diberikan keperluan itu bagi menjamin mereka hidup selesa, tidak terancam dan berasa selamat,” katanya.

Menurut Syed Hamid, Akta Hubungan Kaum yang dirancang diwujudkan itu akan bersifat lebih terperinci dalam menggariskan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini berbanding dengan Akta Hasutan.

“Akta hasutan sepenuhnya berkaitan hasutan tetapi Akta Hubungan Kaum lebih meluas yakni bagaimana nak melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai persefahaman dan mewujudkan suasana pengintegrasian kaum dengan sifat Malaysia yang tulen,” katanya.

Beliau menambah, mana-mana pihak yang didapati melanggar akta berkenaan kelak akan berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

0 ulasan: