Jumaat, 19 September 2008

Apabila agenda memusnah dianggap membina


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

FENOMENA pertembungan pelbagai fahaman idealisme politik yang melanda negara menyebabkan rakyat seakan terperangkap di dalam polemik pemikiran yang mengelirukan. Fenomena ini juga telah mewujudkan suasana ketidaktentuan di kalangan masyarakat.

Kerangka asal negara yang berteraskan perlembagaan dilihat seolah-olah mahu di ubah-ubah atas nama pembaikan.

Keharmonian Malaysia sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum dan bangsa, dengan Islam sebagai agama rasmi negara serta kebebasan yang terpandu, di lihat seakan ingin dicemarkan dengan pelbagai provokasi tanpa mempedulikan sensitiviti sesuatu kaum.

Kenapakah masih ada segelintir golongan tertentu yang masih mahu merosakkan keharmonian masyarakat yang sudah sekian lama dikecapi? Apakah dengan melakukan provokasi yang sebegini maka ia boleh dianggap sebagai suatu usaha pembaharuan ke arah kebaikan?

Persoalan sebeginilah yang akhirnya boleh mewujudkan suasana prejudis di kalangan masyarakat berbilang kaum seterusnya boleh mengundang ketegangan.

Justeru segala provokasi yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum perlulah dihindarkan kerana provokasi sebegini yang kononnya ke arah kebaikan dibimbangi akan lebih merosakkan.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Jangan kamu membuat kerosakan di muka bumi mereka menjawab, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar (Al-Baqarah 11-12)

Memperkasa

Maka dalam konteks keharmonian Malaysia, apa yang lebih penting ialah dengan memperkasa kerangka asal negara sedia ada ke arah pembentukan negara yang lebih berdaya saing. Pembangunan modal insan seharusnya disuburkan dengan budaya ilmu dan bukan merencatkannya dengan polemik kecelaruan pemikiran.

Melalui pembudayaan ilmu, masyarakat akan lebih rasional dalam menilai sesuatu isu dan polemik. Sifat kesederhanaan akan terzahir dalam watak, sikap dan perilaku pemimpin dan rakyat. Kedamaian serta keharmonian akan kekal seandainya aliran sederhana dan rasional menjadi arus perdana.

Tidak boleh dinafikan bahawa unsur-unsur aliran yang bersifat keras dan ekstrem ada di mana-mana dan semestinya ia di kawal jangan sampai menjadi arus perdana, demi menyuburkan dialog yang sihat dengan semangat keterbukaan dan kekitaan.

Jika tidak, keterbukaan ini akan dieksploitasi untuk mencapai agenda kepentingan politik sempit golongan oportunis.

Sesungguhnya, untuk menjustifikasikan bahawa sesuatu agenda itu adalah bersifat membina atau meruntuh, terletak kepada tahap rasional sesuatu masyarakat dalam menilainya. Sesuatu agenda boleh dimanipulasikan serta dieksploitasi pihak-pihak tertentu jika kapasiti intelektual sesebuah masyarakat berada di tahap yang rendah.

Kelemahan ini akan memungkinkan sesebuah masyarakat terpengaruh dengan aliran pemikiran yang ekstrem seterusnya diperkotak-katikkan ke arah keruntuhan. Di kala itu segala agenda yang bersifat memusnah akan dianggap sebagai membina.

0 ulasan: