Jumaat, 19 September 2008

BILA RAKYAT MEMBERI AMARAN – UMNO HARU BIRU


Bila sebut UMNO, rakyat jelata tahu dan sentiasa ingat akan nama penuhnya dalam bahasa inggeris United Malays National Organisation atau dalam bahasa jawanya adalah berbunyi lebih kurang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Begitu juga dengan BN (Barisan Nasional). Bunyinya indah dan sedap didengar. Kemas, mantap teguh dan berkaliber bunyinya. Tetapi sayangnya tidak boleh dirasai dan dimakan seperti gula-gula batu.

Parti yang GAH suatu masa dahulu dikalangan orang melayu dan bangsa-bangsa lain di negara ini. Parti yang dipandang tinggi dan dipegang erat oleh bangsa melayu. Parti yang mengepalai negara ini. Pemimpinnya dihormati dan disegani suatu waktu dahulu. Tetapi sayangnya ia telah menjadi satu sejarah yang hanya boleh diingati oleh bangsa melayu generasi kini. Kebanggaan bangsa melayu terhadapnya semakin hari semakin menipis. Tidak salah jika dikatakan kemungkinan tidak lama lagi ianya akan menjadi seperti angin yang lalu dan hilang entah ke mana.

Adakah ianya akan menjadi kenyataan?? Mungkin ya atau pun mungkin tidak!!

Jika ditayang semula akan sejarah UMNO, kerosakan yang paling hebat berlaku bilamana terjadinya peristiwa tercabutnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, tercabutnya beliau selaku Timbalan Presiden UMNO dalam jangka masa yang singkat pada ketika itu.

Tercabutnya Anwar beerti tercabutnya kepercayaan rakyat dan bangsa melayu terhadap UMNO. Semakin hari semakin tawar hati rakyat jelata terhadap UMNO. Ini adalah reality yang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh UMNO.

Penolakkan seterusnya berlaku terhadap Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Sehingga memaksa beliau menyerahkannya kepada pengganti beliau yang kini sedang memerintah negara sebagai perdana menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi. Demi bangsa dan keutuhan UMNO, Tun telah memberi ruang kepada penggantinya Pak Lah. Turunnya Tun dan naiknya Pak Lah telah melonjakkan nafsu rakyat jelata. Mereka merasa puas bila orang yang dibenci turun dengan sendirinya. Mereka bersorak dan memberi undi yang paling banyak kepada Pak Lah. Nama Pak Lah menjadi sebutan. Kepercayaan rakyat jelata terhadap UMNO seolah-olah pulih sepenuhnya.

Namun demikian, walaupun kudis telah sembuh tetapi parutnya masih ada..ianya tunggu masa untuk bernanah semula.

Rakyat menerima Pak Lah dengan senang-hati. Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Berlaku pula peristiwa perbalahan Tun dengan Pak Lah. Rakyat menjadi keliru. Ada yang kata Tun betul dan Pak Lah salah. Ada yang kata Tun sudah jadi seperti orang yang gila talak. Ada yang kata Pak Lah sudah hanyut dan bermacam-macam teori politik serabai dipercakapkan di kedai-kedai kopi. Mana satu yang betul dan mana satu yang salah.

Mengingati kata-kata Tun, Wisma Putra (Pejabat Perdana Menteri) telah di-kontrol oleh tingkat empat (4). Segala keputusan dan dasar kerajaan mestilah dirujuk kepada tingkat empat. Entah MAHARAJA mana yang tinggal di tingkat empat pun saya tidak tahu. Sampai begitu hebat sekali kuasanya. Kenyataan itu telah memberikan satu keadaan syak wasangka kepada rakyat jelata. Jatuh pula saham Pak Lah selaku Perdana Menteri.

Begitu juga dengan dasar baru yang diperkenalkan oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri. Dasar Pertanian. Rakyat menjadi keliru. Dahulu Tun bertekad untuk memodenkan negara ini, tetapi Pak Lah seolah-olah membuat turning-back yang menjadi seperti panggilan back-off oleh General kepada askarnya di medan pertempuran. Rakyat tidak yakin dengan dasar itu. sehingga kini rakyat juga tidak tahu akan kejayaan dasar tersebut. Turun lagi saham Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dalam jangka masa empat tahun pemerintahan Pak Lah (sama dengan tingkat empat kot!), berlakulah peristiwa kenaikkan harga barangan, harga minyak, tol dan sebagainya yang seolah-olah tidak dapat dikawal oleh pihak kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO. Hati rakyat telah berkudis semula. Darah rakyat naik mendidih terhadap UMNO dan BN. Ketika ini, keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Pemimpinnya telah jatuh menjunam.

Bila tibanya PRU baru-baru ini, orang UMNO, pemimpin-pemimpin telah lupa akan apa yang telah berlaku dan akan apa yang mereka telah lakukan. Mereka masih yakin dan penuh yakin mereka akan mengulangi kemenangan seperti dahulu. Mereka masih tidak sedar akan penolakkan ‘senyap’ dari rakyat jelata. Nah amik kata rakyat jelata. Mereka berpakat untuk memangkah parti pembangkang agar Pak Lah, pemimpin UMNO dan BN sedar dimana kesilapan mereka. BN hampir hilang kuasa.

Sudah jatuh ditimpa tangga, timbul pula desakan agar Pak Lah meletakkan jawatan. UMNO sudah bergolak. Bukan sahaja pembangkang yang memberi cadangan sopan itu, malahan ianya datang daripada orang UMNO sendiri. Sungguh hebat pukulan itu. Rakyat jelata terutamanya bangsa melayu terus-terusan memerhati keadaan itu!.ketika itu, jika dibuat perumaan, hati rakyat terhadap UMNO hanya tinggal di buku lali sahaja.

Ding dong..ding dong..terkejut beruk pula rakyat jelata bila Tun umunkan beliau keluar dari UMNO. Di mata rakyat jelata, UMNO kini sudah hilang segala-galanya. Tun yang boleh dikatakan sehidup dan semati dengan UMNO itu pun sampai hati meninggalkan UMNO. Jika Tun boleh dan sanggup lakukan sedemikian rupa, bagaimana pula dengan rakyat jelata. Sudah tentu mereka boleh membuang UMNO/BN dengan sewenang-wenangnya.

Berlaku pula pilihanraya kecil Permatang Pauh. Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang dengan majority mengejutkan. Timbul pula kenyataan beliau akan menubuhkan kerajaan pada 16 september 2008. UMNO dan BN sudah mula gelabah. Parti-parti kompenan sudah mula menunjuk jari diantara satu sama lain.

Maka..berlakulah HURU HARA dan HARU BIRU pada UMNO dan BN.

Berbalik kepada tajuk asal, bilamana rakyat memberi amaran – UMNO menjadi haru biru..pemimpin-pemimpin UMNO/BN seharusnya sedar akan apa yang ingin disampaikan oleh rakyat. Pergerakkan serta tindak-tanduk mereka sentiasa diperhatikan oleh rakyat jelata. setakat ini, saya percaya apa yang telah, sedang dan akan disampaikan oleh pihak UMNO/BN sudah tidak lagi dipandang oleh rakyat jelata. mereka seolah-olah menutup mata dan telinga untuk mendengarnya. Mereka sudah memandang jelek terhadap kerajaan.

Jika esok pilihanraya umum dilaksanakan, saya menaruh kepercayaan bahawasanya parti UMNO/BN akan tumbang seperti tercabutnya gigi semasa usia sedang meningkat. Tercabutnya satu persatu.

Pemimpin UMNO/BN seharusnya jangan lupa..rakyat menunggu dalam diam. Menunggu peluang yang akan tiba. Bila tiba saatnya, kita akan tahu rendah atau tingginya langit itu. SELAMAT BERJUANG.

Akta Hubungan Kaum


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

PUTRAJAYA 18 Sept. – Akta Hubungan Kaum akan diwujudkan dalam waktu terdekat dengan matlamat lebih menyeluruh untuk mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan antara kaum di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, skop akta berkenaan lebih meluas berbanding Akta Hasutan sedia ada yang lebih bertujuan mengekang huru-hara dan ancaman ketenteraman awam.

Katanya, akta itu sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

“Kita akan bawa perkara ini ke Kabinet. Saya fikir idea kewujudan akta ini adalah baik untuk mewujudkan suasana hubungan baik antara kaum berasaskan agama dan budaya yang berbeza-beza.

“Dua kementerian ini boleh bekerjasama dan KPKKW akan berperanan untuk memantapkan perpaduan dalam negara manakala KDN akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjamin,” kata Syed Hamid selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Pada majlis itu, kementerian tersebut turut menerima anugerah pensijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pensijilan tambahan daripada International Certification Network (QNet) yang diperoleh pada 15 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, skop pelaksanaan Akta Hubungan Kaum itu lebih terarah untuk membentuk sebuah masyarakat berbilang kaum dengan mengambil kira keadilan dan kesamarataan.

“Kekuatan kita diasaskan pada kepelbagaian kaum. Jika ada perlanggaran terhadap keharmonian kaum sehingga menjejaskan perpaduan, perkara itu boleh diambil tindakan bagi mengelakkan konflik dan perselisihan kaum.

“Akta ini tidak bertujuan untuk menghukum semata-mata tetapi lebih daripada itu untuk mewujudkan semangat toleransi dan harmoni,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kelangsungan akta itu akan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya ia tidak disalahertikan.

“Undang-undang ini tidak bermaksud mengancam rakyat tetapi untuk beri keadilan kepada rakyat.

“Semua undang-undang di negara ini semestinya ada unsur keadilan dan kesaksamaan.

“Bukan saja orang yang terlibat dengan kesalahan perlu diberikan keadilan malah rakyat juga perlu diberikan keperluan itu bagi menjamin mereka hidup selesa, tidak terancam dan berasa selamat,” katanya.

Menurut Syed Hamid, Akta Hubungan Kaum yang dirancang diwujudkan itu akan bersifat lebih terperinci dalam menggariskan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini berbanding dengan Akta Hasutan.

“Akta hasutan sepenuhnya berkaitan hasutan tetapi Akta Hubungan Kaum lebih meluas yakni bagaimana nak melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai persefahaman dan mewujudkan suasana pengintegrasian kaum dengan sifat Malaysia yang tulen,” katanya.

Beliau menambah, mana-mana pihak yang didapati melanggar akta berkenaan kelak akan berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Wujudkan Majlis Hubungan Antara Kaum – MIC


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

KUALA LUMPUR 18 Sept. - MIC mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah Majlis Hubungan Antara Kaum untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama, bahasa, budaya dan sensitiviti perkauman.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penubuhan majlis itu penting bagi membantu kerajaan mengukuhkan lagi perpaduan kaum yang terjejas selepas pilihan raya umum Mac lalu.

''Orang ramai berasa bimbang dengan situasi sekarang yang mana pelbagai isu sensitiviti kaum telah dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

''Jadi, biarlah kita kembali kepada perjuangan asal dengan mengekalkan perpaduan, demi kebaikan rakyat dan negara,'' katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di sini hari ini.

Dicadangkan

Katanya, majlis tersebut dijangka dapat diwujudkan selepas Akta Hubungan Antara Kaum yang dicadangkan dapat direalisasikan.

''Anggotanya harus terdiri daripada pelbagai parti politik, persatuan agama serta kebudayaan bagi membina semula perpaduan kaum,'' ujarnya.

Sementara itu tambahnya, MIC meminta kerajaan memastikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan secara berhati-hati dan pembangkang pula harus menghentikan semua tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Dalam pada itu, MIC menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera menahan sesiapa sahaja yang mengungkit isu kaum serta agama yang menimbulkan perbalahan.

Dalam mesyuarat itu, MIC turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan berkuat kuasa semalam.

Sambil mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Najib, Samy menyatakan MIC juga akan kekal setia kepada Barisan Nasional (BN) dan terus membantu BN mendapatkan semula sokongan rakyat melalui pembaharuan yang dilakukan.

''MIC menyokong segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kukuh," tegasnya.

Program radio, takdir dan balasan politik


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

DALAM satu dokumentari Utusan Online TV (www.utusanonline.tv) yang menganalisis situasi politik negara dan gimik perubahan kerajaan 16 September, Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim menyuarakan kebimbangannya mengenai arah politik generasi muda di negara ini, khususnya belia Melayu.

"Kita telah kehilangan satu generasi," katanya.

Apa yang dibangkitkan oleh Razali itu merupakan realiti yang menggelisahkan.

Sejak sepuluh tahun lalu, generasi muda di negara ini diajar oleh sesetengah pihak untuk berani membuat kacau, tidak mempedulikan undang-undang dan mencetuskan perubahan melalui cara-cara yang tidak bermoral.

Jika sedekad lalu mereka berusia 30 tahun, hari ini mereka sudah pun mencecah umur 40-an, memasuki usia matang dengan perasaan tidak puas hati, marah-marah dan memberontak.

Razali menggesa strategi bersepadu dicari untuk memulihkan generasi muda itu yang beliau sifatkan sebagai "telah dirosakkan".

Ahli Parlimen itu wajar berasa bimbang mengenai kecelaruan dalam pemikiran politik anak-anak muda Melayu.

Untuk menilai betapa ranapnya pemikiran golongan muda itu, elok sesekali kita mendengar ulasan pengacara sebuah stesen radio berita yang dikendalikan oleh agensi milik kerajaan.

Semalam, antara pukul 1 dan 2 petang, stesen radio itu menyiarkan program interaktif bersama pendengarnya membincangkan satu topik semasa.

Pengacaranya mengemukakan soalan berikut: "Manakah lebih penting: Peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib atau turunkan harga minyak?"

Apakah motif sebuah stesen radio kerajaan yang dikendalikan oleh orang muda membuat tinjauan pendapat seumpama itu tidak dapat difahami.

Membandingkan sesuatu yang abstrak seperti kuasa dengan isu keperluan asas yang dihadapi oleh majoriti rakyat bukanlah satu langkah yang logik.

Hasilnya, majoriti pendengar memperlekehkan pemimpin dan memberi keutamaan kepada perut dan keselesaan hidup mereka.

Jika program itu didengar oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, eloklah beliau merenung berapa lama lagi kerajaan yang ada sekarang akan dihormati oleh orang muda.

Kebebasan yang diberikan kepada stesen radio itu telah dipergunakan untuk membincangkan sesuatu yang serius tanpa adab-adab yang menjadi sebahagian daripada tradisi intelektual.

Pengacara itu membacakan SMS, e-mel dan panggilan telefon yang diterima daripada orang ramai.

Mana-mana individu yang terlibat dalam organisasi yang merancang kerja-kerja propaganda dan perang saraf amat menyukai program interaktif stesen radio itu.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memastikan organisasi tersebut memiliki 15 orang pekerja parti yang setiap seorang mempunyai dua buah telefon bimbit.

Kerja mereka setiap hari cuma memantau program secara langsung seumpama itu, dan mengeksploitasi sepenuhnya medium tersebut untuk mempengaruhi pandangan orang ramai.

Maka keluarlah apa yang disiarkan oleh stesen radio itu antara pukul 1 dan 2 petang semalam.

Di atas permukaan, diskusi interaktif tersebut mungkin digambarkan sebagai refleksi kepada kebebasan dan ketelusan baru, tetapi di dasar ia memperlihatkan ada pihak tertentu telah terperangkap dalam propaganda politik pembangkang.

Untuk mengulangi apa yang dilafazkan oleh pengacara radio itu dalam akhbar ini hanya akan mengundang kontroversi. Elok pemimpin kerajaan menyelidik sendiri kandungan program itu.

Tidak manis disiarkan apa yang dibacakan oleh pengacara stesen radio itu, tetapi cukuplah kalau dikatakan bahawa ia mencerminkan kebencian yang meluap-luap, pandangan dangkal dan situasi debat yang tidak adil.

Penjelasan dalam SMS, e-mel dan panggilan telefon dibuat berdasarkan emosi dan logik umum yang tidak memberikan fakta yang komprehensif.

Bolehkah anda memberikan justifikasi kepada isu harga minyak yang dipengaruhi fenomena global atau aspek peralihan kuasa negara majmuk seperti Malaysia dengan sekadar mengirim SMS yang mengandungi lima patah perkataan?

Malangnya, atas sebab-sebab tertentu, program interaktif seumpama itu disiarkan juga dan diangkat sebagai sesuatu yang suci yang menjadi lambang kepada kebebasan.

Mana-mana orang muda yang meminati stesen radio itu akan merasakan pemimpin kerajaan yang bekerja untuk membina bangsa dan negara telah direndahkan martabat mereka - bukan oleh puak pembangkang tetapi oleh petugas stesen radio milik sendiri.

Kecetekan hujah dan kesempitan pemikiran sesetengah ejen propaganda pembangkang jelas dipaksakan pihak tertentu untuk didengar oleh orang muda - secara langsung, terbuka dan tanpa tapisan.

Pemimpin seperti YB Razali dan Ahmad Shabery patut meluangkan lebih banyak masa mendengar program-program radio seumpama itu dan jika mereka merasakan istilah kebebasan perlu diberi ukuran baru mungkin mereka patut mengambil bahagian untuk memberikan perspektif yang lebih saksama.

Dalam program seperti itu, bilangan orang yang ingin mempertahankan kerajaan boleh dikira dengan jari.

Sebenarnya, setiap seorang daripada kita mempunyai takdir kita sendiri. Demikian juga dengan parti politik dan kerajaan.

Dalam had-had tertentu, takdir boleh dikawal dan masa depan dapat dicorakkan ke arah yang lebih baik.

Namun, apabila para pemimpin membiarkan takdir buruk menimpa kerajaan dengan mengizinkan jentera sendiri menjadi sebahagian daripada punca parti dan negara dihina, tunggulah balasan politiknya.

Politik kawan dan lawan


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

MENCARI kawan memang mudah tetapi mencari sahabat adalah sukar sekali. Ini kerana kawan hanya baik semasa kita senang, tetapi apabila susah dia menghilang. Sebaliknya, sahabat pula sentiasa ada di sisi baik pada ketika senang mahupun susah. Nilai asas dalam hubungan persahabatan tentunya sifat percaya.

Dalam memperkatakan tentang kawan dan sahabat, konsep lawan atau musuh pasti tidak dapat dipisahkan.

Melihat satu demi satu gejolak politik mutakhir ini, apakah yang dapat ditafsirkan daripada keputusan Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) untuk keluar daripada Barisan Nasional? Perdana Menteri sendiri menyifatkan tindakan parti yang ditubuhkan dan didaftar pada 1994 itu tidak lebih sebagai pengacau.

SAPP nyata bukan kawan yang boleh dipercayai ketika BN berdepan dengan saat-saat sukar kesan keputusan pilihan raya umum Mac lalu.

Sejauh mana bebasnya parti itu termasuk empat ADUN dan dua Ahli Parlimennya seperti yang dinyatakan oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee tidaklah diketahui kebenarannya.

Sekali lagi memang benarlah bahawa tiada istilah kawan apatah lagi sahabat dalam kamus politik yang disifatkan sebagai satu 'seni' serba mungkin yang tidak ada kemustahilan.

Ini kerana sejak 18 Jun lalu lagi, SAPP sebagai parti politik berasaskan etnik Cina terbesar di Sabah telah secara terbuka mengumumkan tidak lagi yakin dengan kepimpinan PM.

Mengapa jika benar SAPP sebagai kawan di dalam BN tidak duduk sepakat dalam memulihkan apa yang dipanggil mereka sebagai 'hilang semangat' yang membelenggu BN?

Melihatkan tindakan SAPP, bagaimana pula agaknya pendirian 13 sekutu lain BN terutama dari kalangan komponen bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada masa akan datang? Adakah mereka akan menurut jejak SAPP yang hanya kawan semasa senang tetapi apabila BN susah terus mereka berpindah?

Episod 'minta cerai' oleh SAPP ini tentunya disambut baik oleh pemimpin mahupun penyokong pakatan pembangkang.

Namun tidakkah rakan-rakan pembangkang terutama Pas terfikir bahawa episod itu akan berulang jika SAPP bersama mereka kelak.

Oleh itu, para pemimpin Melayu sama ada dari BN mahupun pakatan pembangkang harus bijak dalam percaturan politik yang makin genting kini agar strategi mereka yang mulanya dianggap kawan itu tidak akan menjerat masa depan politik, ekonomi, budaya dan sosial masyarakat Melayu di negara ini.

Apabila agenda memusnah dianggap membina


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

FENOMENA pertembungan pelbagai fahaman idealisme politik yang melanda negara menyebabkan rakyat seakan terperangkap di dalam polemik pemikiran yang mengelirukan. Fenomena ini juga telah mewujudkan suasana ketidaktentuan di kalangan masyarakat.

Kerangka asal negara yang berteraskan perlembagaan dilihat seolah-olah mahu di ubah-ubah atas nama pembaikan.

Keharmonian Malaysia sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum dan bangsa, dengan Islam sebagai agama rasmi negara serta kebebasan yang terpandu, di lihat seakan ingin dicemarkan dengan pelbagai provokasi tanpa mempedulikan sensitiviti sesuatu kaum.

Kenapakah masih ada segelintir golongan tertentu yang masih mahu merosakkan keharmonian masyarakat yang sudah sekian lama dikecapi? Apakah dengan melakukan provokasi yang sebegini maka ia boleh dianggap sebagai suatu usaha pembaharuan ke arah kebaikan?

Persoalan sebeginilah yang akhirnya boleh mewujudkan suasana prejudis di kalangan masyarakat berbilang kaum seterusnya boleh mengundang ketegangan.

Justeru segala provokasi yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum perlulah dihindarkan kerana provokasi sebegini yang kononnya ke arah kebaikan dibimbangi akan lebih merosakkan.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Jangan kamu membuat kerosakan di muka bumi mereka menjawab, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar (Al-Baqarah 11-12)

Memperkasa

Maka dalam konteks keharmonian Malaysia, apa yang lebih penting ialah dengan memperkasa kerangka asal negara sedia ada ke arah pembentukan negara yang lebih berdaya saing. Pembangunan modal insan seharusnya disuburkan dengan budaya ilmu dan bukan merencatkannya dengan polemik kecelaruan pemikiran.

Melalui pembudayaan ilmu, masyarakat akan lebih rasional dalam menilai sesuatu isu dan polemik. Sifat kesederhanaan akan terzahir dalam watak, sikap dan perilaku pemimpin dan rakyat. Kedamaian serta keharmonian akan kekal seandainya aliran sederhana dan rasional menjadi arus perdana.

Tidak boleh dinafikan bahawa unsur-unsur aliran yang bersifat keras dan ekstrem ada di mana-mana dan semestinya ia di kawal jangan sampai menjadi arus perdana, demi menyuburkan dialog yang sihat dengan semangat keterbukaan dan kekitaan.

Jika tidak, keterbukaan ini akan dieksploitasi untuk mencapai agenda kepentingan politik sempit golongan oportunis.

Sesungguhnya, untuk menjustifikasikan bahawa sesuatu agenda itu adalah bersifat membina atau meruntuh, terletak kepada tahap rasional sesuatu masyarakat dalam menilainya. Sesuatu agenda boleh dimanipulasikan serta dieksploitasi pihak-pihak tertentu jika kapasiti intelektual sesebuah masyarakat berada di tahap yang rendah.

Kelemahan ini akan memungkinkan sesebuah masyarakat terpengaruh dengan aliran pemikiran yang ekstrem seterusnya diperkotak-katikkan ke arah keruntuhan. Di kala itu segala agenda yang bersifat memusnah akan dianggap sebagai membina.

PM perlu letak jawatan tanpa tunggu peralihan kuasa - Ku Li


HARAKAH : 16-09-08

KOTA BHARU, 16 Sept (Hrkh) - Seorang lagi pemimpin Umno tampil mendesak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan tanpa menunggu peralihan kuasa Jun 2010 kerana sudah terbukti tidak mampu mengurus negara.

Anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa keadaan politik negara sekarang semakin teruk dan tidak menentu.

"Mana orang yang tidak mampu memimpin berhentilah, itu aje.. Saranan saya supaya rakyat dapat cari keselesaan dalam kehidupan dan mendapat pembelaan.

"Tidak boleh lagi hendak main sana sini, ini bukan masanya. Tumpulah kepada rakyat," katanya pada persidangan media di kediaman di sini, hari ini.

Sebelum sidang media berlangsung ada wartawan dan anggota polis cawangan khas yang hadir menjangka Ku Li bakal mengumumkan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya ia menjadi luahan kecewa terhadap Perdana Menteri.

Sebelum ini Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mahu peralihan kuasa dipercepatkan kerana tempoh Jun 2010 terlalu lama.

Ku Li yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, masalah rakyat sekarang semakin terdesak kerana harga barang keperluan harian melambung tinggi berikutan kenaikan harga minyak, Jun lalu.

"Sekarang tidak ada sesiapa yang hendak fikirkan masalah rakyat. Saya dengar banyak cerita sekarang. Ada laporan menyebut banyak duit dibawa ke luar negara dan modal pun tidak datang lagi ke Malaysia.

"Pasaran saham merudum. Nilai ringgit berbanding dengan Dollar Amerika juga jatuh teruk, pasaran eksport kita terjejas.

"Harga kelapa sawit minggu lepas RM3,600 satu tan metrik dan minggu ini sudah jatuh kepada RM2,200 setan. Rakyat susah dan keadaan ekonomi teruk," katanya.

Ditanya mengenai perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri katanya, baguslah kalau letak jawatan dan tidak terima pujukan Perdana Menteri supaya kekal di jawatan itu.

"Selepas saya lawan Dr Mahathir pada 1987 dan kalah saya meletak jawatan sebagai menteri, biar pun ditawar dengan jawatan menteri tak berpotfolio, saya tidak terima.

"Saya tidak terima kepemimpinan yang ada pada masa itu. Kalau sesiapa yang tidak setuju dengan cara dan kepemimpinan yang ada sekarang lebih baik berhenti," katanya.

Mengenai penahanan pemimpin Pakatan Rakyat dan blogger serta seorang wartawan di bawah ISA baru-baru, Ku Li berkata, beliau tidak tidak bersetuju dengan tangkapan itu.

Menurutnya ia seolah-olah satu mainan dengan menidakkan hak rakyat dengan mengurung mereka.

"ISA dibuat untuk lawan Komunis dan subversif yang boleh membawa kemudaratan kepada negara bukan di atas alasan lain. Kalau saya berkuasa saya akan bebas semua yang ditahan. Tidak boleh aniaya seseorang," katanya.

Selasa, 16 September 2008

LAGU KIPAS

Hey..hey
Kipas mengipas, pulas memulas
Dasar pemalas, asal keatas
Biar terbungkam, bangsa terjunam
asalkan dendam, naik ke kayangan,
mimpi nak keagungan.. suci pula, dicemarkan
muda menghintung lemah, tua pula menghintung dosa
biar tergadai, tanah seinci, asal tercapai dihajati..dikejari..
berilusi, disanjungi..
kipas kipas kayu arang, tukang kipas pertualang
kalau ada yang begini, suram di tujuh kuala..
dasar malas
tukang kipas..pijak orang
kipas mengipas, orang malas, pijak memijak, dasar haprak
mimpi..keagungan, suci pula dicemarkan
muda menghintung lemah, tua pula menghintung dosa
biar tergadai, tanah seinci, asal tercapai dihajati..dikejari..
berilusi, disanjungi..
kipas kipas kayu arang, tukang kipas pertualang
kalau ada yang begini, suram di tujuh kuala..
dasar malas
tukang kipas..mahu senang..pijak orang.

RASISME DI MALAYSIA

Bangsa mana yang paling rasis? Melayu ka? Cina ka? India ka? Iban ka? Kadazan ka? Murut ka? jawapannya mudah sekali..Semua bangsa tersebut adalah rasis. Hanya manusia yang mereng sahaja tidak rasis. Manusia normal akan lebih mengutamakan bangsanya. Tiada manusia yang tidak rasis.

Mengapa melayu rasis? Melayu kena rasis sebab ini adalah tanah melayu. Tanah asal usul orang melayu. Tanah tumpah darah orang melayu sejak turun temurun lagi. Tanah yang diwarisi dengan darah dan keringat nenek moyang bangsa melayu. Adakah itu namanya rasis? Nenek moyang melayu yang mendaulatkan tanah air ini. Melayu yang mempunyai raja. Bangsa Melayu yang mempunyai negeri melayu. Adakah itu rasis?

Ada kaum tu datang ke Negara ini untuk mencari rezeki. Menjadi hamba kepada bangsa kulit putih. Menumpang di tanah orang melayu. Hidup berjiran dengan orang melayu. Bilamana tuannya itu ingin pulang, mereka mewasiatkan orang suruhannya itu kepada bangsa melayu agar dijagai dan dilayani dengan baik. Orang melayu kaya dengan budi bahasa. Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Terima orang suruhan bangsa kulit putih itu dengan seadanya. Adakah itu rasis?

Sifat bangsa melayu yang mudah layu itu timbul belas ehsan kepada hamba-hamba tersebut. Maka, mereka dengan ikhlasnya memberikan sedikit tanah yang mereka ada kepada orang suruhan yang ditinggalkan oleh tuannya itu. Adakah itu namanya rasis?

Kini, bukan sedikit sahaja yang orang melayu berikan kepada orang suruhan itu. Tidak terkira banyaknya pengorbanan bangsa melayu itu. Mereka tidak membenarkan orang suruhan itu menjadi orang suruhan untuk selamanya. Bangsa melayu tutup keegoannya. Membuat keputusan yang tidak pernah dibuat oleh bangsa lain. Mereka sanggup berkongsi segalanya dengan bangsa pendatang itu. Adakah itu rasis?

Setelah 51 tahun merdeka dan hidup dalam segala kemewahan hasil dari pengorbanan bangsa melayu. Mereka itu sudah lagi tidak menjadi orang suruhan. Mereka sudah menjadi manusia yang merdeka. Mereka telah bebas. Mereka telah bangkit dan menjadi bangsa yang merdeka. Kekayaan mereka telah melebihi bangsa melayu. Bangsa melayu hanya mampu melihat dan berbangga dengan mereka. Bangsa melayu meraikan akan kejayaan mereka itu. Adakah itu rasis?

Kita pergi kepada Negara Amerika, bapa kepada system demokrasi. Sudah berapa lama mereka memperkenalkan system itu kepada dunia. Sehinggakan Malaysia sendiri mengikuti system tersebut. Seingat saya, setelah beratus tahun demokrasi diperkenalkan di Negara itu, berapa kerat sahaja kaum pendatang dapat duduk semeja dengan kaum asalnya yang tidak asal itu? Kaum negro telah ditindas dan dilanyak secukupnya. Siapa yang lebih rasis?

Bangsa melayu amat pemurah. Bangsa melayu banyak berkorban untuk bangsa lain. Mereka dilayan seperti orang asal dalam Negara ini. Mereka tidak pernah memulau bangsa lain. Mereka tidak pernah menidakkan hak kaum lain. Mereka amat menghormati kaum lain. Mereka boleh duduk semeja dengan kaum lain. Adakah ini rasis namanya.

Bangsa melayu tidak pernah menuntut lebih dari apa yang telah diperuntukkan. Mereka masih menanam kepercayaan terhadap kaum lain. Mereka hanya mempertahankan apa yang sepatutnya mereka dapat di tanah tumpah darah mereka. Mereka hanya ingin mengekalkan apa yang telah nenek moyang mereka tinggalkan untuk mereka. Mereka hanya ingin meneruskan kehidupan ini seperti bangsa-bangsa yang lain di dunia ini. Adakah ini rasis?

Scenario sekarang telah berubah!! Bangsa lain ingin menuntut apa yang mereka rasakan mereka sepatutnya dapat. Mereka ingin mengubah apa yang telah ditetapkan oleh nenek moyang mereka. Mereka ingin berebut dengan bangsa melayu. Mereka ingin mendapatkan hak bangsa melayu. Orang melayu masih mendiamkan diri. Mereka masih bersabar. Mereka tidak kata ‘ya’ atau pun ‘tidak’. Adakah ini rasis?

Diakhir-akhir ini kedengaran banyak suara-suara yang cuba mengocak suasana ketenangan dalam Negara ini. Suara serta perbuatan yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan kedudukan dan keistimewaan bangsa melayu. Ada yang menjawab, tetapi tidaklah sekuat suara yang memanggil dan suara yang mencabar. Jerangkap samar sedang dipasang. Bangsa lain terus-terusan mempersoalkan hak bangsa melayu. Bangsa melayu dihimpit kiri dan kanan. Bangsa melayu cuba untuk menolak himpitan tersebut dengan cara mereka sendiri..tetapi mereka telah di gelar rasis oleh bangsa lain. Siapakah sebenarnya yang rasis itu?

Siapa pemimpin bangsa melayu? Siapa pemimpin bangsa lain? Adakah tuan-tuan sekalian adalah pemimpin yang rasis? Adakah tuan-tuan sekalian suka melihat keadaan anak cucu tuan-tuan sekalian hidup dalam keadaan ketakutan dalam Negara yang dikatakan aman ini? Tuan-tuan sekalian sedang cuba untuk memasang bom jangka. Tapi kita tidak tahu bila ianya akan meletup. Adakah tuan-tuan mahu lihat begitu dasyatnya kesan letupan itu? Yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu.

Jika dahulu kerajaan ingin menyatukan wajah rakyat Malaysia ini dengan dasar yang dipanggil dasar nasional. Bangsa lain menentangnya. Mereka mahu sekolah cina..mereka mahu sekolah India..mereka mahu kekalkan identity mereka. Mereka kata melayu ingin kongkong mereka. Siapa lebih rasis? Generasi sekarang sudah tidak kenal siapa itu cina, siapa itu India..siapa pula itu melayu. Bangsa melayu tidak pandai cakap cina..bangsa melayu tidak pandai cakap bahasa india..bangsa cina tidak pandai cakap bahasa melayu..bangsa India tidak pandai cakap bahasa melayu..nak bersatu kononnya..tetapi dasar masing-masing tidak sehaluan. Siapa yang rasis dan siapa yang tidak rasis?

Itu perbandingan dengan bahasa. Belum lagi kita bercakap soal-soal lain. Generasi muda faham atau hormati sensitivity agama islam, agama Buddha, agama hindu..generasi muda faham ke apa itu budaya melayu..apa itu budaya cina..apa itu budaya India..siapa yang rasis?

Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dahulu ada juga kedengaran suara-suara rasis. Tetapi ianya tidaklah meleret-leret seperti sekarang. Baik di pihak bangsa melayu atau pun di pihak bangsa lain. Mereka masing-masing mendiamkan diri. Tumpuan mereka kearah memajukan Negara ini. Masing-masing memegang erat tangan bergandingan bahu menuju kearah mencapai kegemilangan untuk Negara. Pemimpin mereka tidak pernah pun cuba untuk menjadi hero laknat bagi bangsa masing-masing. Tumpuan mereka hanyalah mencari kejayaan. Mereka bukannya tidak berani untuk bersuara. Mereka bukannya malas untuk bersuara. Mereka hanya menghormati wawasan yang ada pada Tun pada ketika itu. Mereka semua yakin akan kemampuan yang ada pada Tun ketika itu.

Di zaman itu, semua bangsa hanya bercita-cita dan menanam tekad untuk bekerja keras dan berusaha untuk memajukan bangsa masing-masing tanpa menyentuh perasaan mana-mana bangsa lain. Mereka semuanya berusaha sedaya upaya membuktikan akan kewibawaan pemimpin masing-masing bahawasanya mereka adalah sebahagian daripada nadi kepada kemajuan dan pembangunan Negara ini. Pemimpin dan rakyat semua bangsa di Malaysia adalah dihormati sama ada di Negara ini atau pun di arena antarabangsa.

Tetapi kini, keadaan menjadi sebaliknya. Bangsa-bangsa di Malaysia semuanya bercakap pasal rasis. Situ rasis, sini rasis..semuanya rasis. Rasis kepala hotak apa tu? Masing-masing dengan idea sendiri. Melayu dengan kepala melayu. Cina dengan kepala cina. India dengan kepala India. Murut, melanau, dayak, kadazan, iban, orang asli pun sama dengan kepala mereka sendiri. Kononnya ingin membawa haluan masing-masing dengan kepala hotak yang tak berapa betul. Masing-masing ingin menjadi rasis. Rasis kepala hotak!!

Tumpuan mereka hanyalah menuju kearah kepentingan bangsa masing-masing. Menuntut hak sama rata diberikan kepada mereka. Menuntut hak yang sememangnya sudah rata. Hak sama rata yang macam mana tu?

Setahu saya di situ ada melayu, ada juga cina. Di situ ada melayu ada juga India. Begitu juga denga bangsa lain di Negara ini. Hak sama diberikan. Cuma satu sahaja yang termaktub dalam perlembagaan Negara. Hak orang melayu. Perkara tersebut bukannya dibuat atau ditulis sehari dua ini tetapi ianya ditetapkan sejak dahulu lagi. Sebelum era kemerdekaan lagi. Ianya patut dihormati oleh semua kaum di Negara ini. Adakah itu rasis?

Jika pun kerajaan sekarang yang dikepalai oleh UMNO jatuh sekalipun, hak tersebut akan tetap dipertahankan oleh bangsa melayu. Tiada sesiapa yang boleh menyentuhnya. Menganggu aktikel tersebut sudah pasti akan menimbulkan satu bencana terhadap Negara ini. Bangsa melayu tetap akan menentangnya tidak kira di mana mereka berada. Lautan dalam tidak usah diuji. Singa yang tidur tidak usah dikejutkan. Biarkanlah..

Saya percaya, suatu masa kita rakyat Malaysia akan menjadi rakyat Malaysia. Tiada lagi perasaan perkauman atau pun rasis yang timbul. Tidak kira cina, melayu, India, iban, kadazan, mulut, melanau, bidayuh, orang asli sekali pun, kita akan menjadi satu. Tidak kenal mereka itu melayu ka..cina ka..india ka..murut ka..malanau ka..iban ka..dayak ka..orang asli ka..semuanya nampak sekata. Wajah Malaysia!!

Namun, setakat ini apa yang disebut tadi tidak mungkin menjadi kenyataan. Bangsa melayu masih lagi tidak bersedia untuk kearah itu. Bangsa melayu masih lagi ingin merasai atau menikmati hasil pengorbanan mereka dahulu. Mereka masih lagi mencari-cari ruang yang sepatutnya diisi bagi mengisi ruang kemerdekaan yang lagi masih kosong. Bangsa melayu masih lemah dari segenap segi. Saya selaku rakyat Malaysia, ingin memohon dan merayu dari bangsa lain agar berikanlah sedikit lagi masa dan ruang kepada bangsa melayu untuk menyusun atau mengatur kedudukan mereka di Negara ini dalam menuju kea rah Negara Malaysia tanpa adanya sikap prejudis di antara warganegara sendiri. Bila tibanya saat itu, bangsa melayu dengan sukacita atau rela hati mengakui bahawa Malaysia ini adalah kepunyaan semua bangsa yang menjadi warganegara di Negara ini.

Bangsa melayu memerlukan masa dan ruang yang secukupnya untuk kearah itu. Bersabarlah…hanya masa yang menentukannya.

SEMOGA NEGARA INI AMAN SELAMANYA. Amin.