Selasa, 21 Julai 2009

ISU dan DASAR SEMASA - APA STATUSNYA

Sempena motto kerajaan ; 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, saya selaku rakyat ingin mendapatkan status terkini tentang isu-isu yang menyelubungi Negara kita terutamanya selepas PRU-12. Isu-isu yang boleh dikatakan terlibat secara langsung terhadap kepentingan rakyat dan juga berkait rapat dengan kestabilan politik Negara ini.

1) Status Pembinaan Jambatan bengkok yang menggantikan tambak Johor ( bermula dari Tanah Johor sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Singapura ).

Jambatan yang dikatakan boleh memberi kelebihan kepada Negara berkenaan dengan laluan kapal dagang disamping memulihkan semula system semulajadi laut di pantai johor.

2) Status dasar Pertanian yang diperkenalkan oleh pentadbiran PAK LAH yang masih lagi dilihat tidak sampai kepada golongan sasar.

Jika di Kelantan, semakin banyak sawah padi ditinggalkan dan telah ditukar rupa kepada tapak-tapak pembinaan perumahan atau pun bangunan komersial.

3) Status kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu yang sudah tidak diberi perhatian oleh media. Kes yang berprofil tinggi dan dimanipulasikan secukupnya oleh pembangkang semasa pilihanraya.

Keputusan mahkamah adalah amat diperlukan dalam memberi keadilan kepada semua pihak sama ada kepada Altantuya, keluarga , mereka-mereka yang dituduh serta nama perdana menteri sendiri.

4) Isu harga air mentah yang di jual kepada singapura dengan harga termurah di dunia yang diperjuangkan oleh TUN di suatu ketika dahulu. Isu ini juga penting kerana ia melibatkan hasil pendapatan Negara yang boleh membantu dalam soal pembangunan.

5) Status pencapaian terkini rancangan-rancangan Koridor pembangunan yang telah dilancarkan oleh PAK LAH dalam menuju wawasan 2020.

Dapat dilihat dengan jelas, perkembangan tentang koridor-koridor itu sudah perlahan dan masih tidak dapat dilihat akan hasilnya.

6) Perbicaraan kes liwat Anwar masih lagi tidak berpenghujung. Walau pun kes ini adalah kes peribadi Anwar, tetapi rakyat sudah diheret sama dan ini telah menyebabkan rakyat dan Negara kehilangan produktiviti serta kos yang tidak dapat diperkatakan. Bersalah atau tidak perlu ditentukan secepat mungkin. Jangan biarkan rakyat menanggung masalah peribadi antara Anwar dan Saiful.

7) Isu Pemansuhan ISA. Walau pun kerajaan telah mengumumkan ISA akan dikaji semula, namun pihak pembangkang masih lagi memainkan lagu ini. Selagi rakyat tidak difahamkan dan diyakinkan kenapa ISA tidak perlu dihapuskan, selagi itulah pembangkang akan menggunakannya sebagai isu.saya percaya, pembangkang juga mempunyai sebab yang kukuh dalam memperkatakan tentang perkara ini.

8) Isu terbaru yang semakin mendapat perhatian adalah berkenaan dengan bayaran royalty petroleum kepada negeri Kelantan. Selaku rakyat negeri Kelantan, perkara ini amat penting dijelaskan sama ada Kelantan adalah layak atau pun tidak menerima royalty tersebut.

Jika layak, dimanakah wang tersebut dan kemanakah wang tersebut digunakan. Wang tersebut amat diperlukan oleh rakyat Kelantan dalam melaksanakan pembangunan negeri Kelantan.

Jika tidak layak, kerajaan seharusnya memberikan sebab-sebab yang sepatutnya agar perkara ini tidak dipolitikkan oleh pihak pembangkang di masa-masa akan datang.

9) Kes pengesahan kerajaan perak masih tiada kata putus. Walau pun telah diputuskan oleh Mahkamah bahawa Nizar telah kalah, tetapi rayuannya masih berjalan dan kes ini dikira masih tidak selesai sepenuhnya.
Rakyat masih meneliti perkara ini.

10) Dasar 1Malaysia, yang diperkenalkan oleh kerajaan masih lagi tiada perincian lanjut daripada pihak kerajaan. Rakyat masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang disebutkan dengan 1Malaysia. Dasar ini juga telah menimbulkan banyak persoalan terutamanya dasar kerajaan terhadap orang melayu.

11) Isu rasuah yang melibatkan pihak exco Selangor. Tidak kira mereka dari parti pemerintah atau pembangkang, mereka hendaklah dibawa ke muka pengadilan agar ianya tidak memudaratkan kepentingan rakyat dan Negara.

12) Yang terbaru adalah, kes kematian Teoh Beng Hock setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah. Beliau dikatakan saksi tuduhan rasuah dan kematiannya patut mendapat keadilan yang sewajarnya.

Pihak pembangkang sedang mengambil kesempatan terhadap isu ini. Rakyat dibabitkan secara langsung dan ini merupakan sau lagi kerugian yang terpaksa dialami oleh Negara. Lagi cepat isu ini diselesaikan, rakyat akan dapat membuka fikiran siapa sebenarnya yang bersalah dan siapakah sebenarnya berada dilandasan yang betul.

Mungkin banyak lagi isu-isu yang timbul dan memerlukan perhatian serta penyelesaian daripada pihak kerajaan demi kepentingan rakyat dan Negara.

Saya tidak timbulkan isu-isu terpencil yang melanda pihak pembangkang kerana saya tahu bahawasanya isu yang timbul sejak kebelakangan ini adalah terhasil daripada kelemahan mereka sendiri dan tidak perlu campurtangan pihak kerajaan pusat.

Isu-isu atau dasar-dasar yang disebutkan di atas merupakan isu yang telah menjerut serta menghantui pemikiran rakyat. isu tersebut juga telah dipolitikkan dan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan selepas persaraan TUN DR MAHATHIR.

Rakyat memerlukan penjelasan dan tindakan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan terhadap segala isu.


1 ulasan:

luahfikiran berkata...

Dalam situasi sekarang ini, memang terdapat pelbagai isu yang berlegar dalam fikiran rakyat. Apabila rakyat tidak mendapat penjelasan daripada pihak-pihak yang berkaitan, maka rakyat akan membentuk persepsi dan andaian sendiri terhadap isu-isu berkenaan. Andaian dan persepsi ini belum pasti betul. Keadaan seperti ini tidak baik untuk negara terutamanya dari segi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan. Saya menyokong isu-isu yang dibangkitkan itu diperjelaskan kepada rakyat oleh pihak-pihak yang berkaitan.