Sabtu, 7 Jun 2008

Turun subsidi tak kekang kewangan kerajaan: Dr M


BERITA HARIAN : 06-06-08

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya pengekalan subsidi minyak atau pengurangannya secara berperingkat tidak akan mengekang kewangan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mengikut perkiraannya syarikat minyak negara, Petronas, untung lebih RM70 bilion yang semuanya milik kerajaan dan ini menunjukkan kerajaan sekarang melimpah dengan wang.

“Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat kira-kira 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank juga mencecah sehingga RM3 bilion tiap satu.

“Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi. Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat, ia tidak akan mengekang kewangan kerajaan,” katanya dalam laman blognya, www.chedet.com ketika mengulas kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan, kelmarin.

Dr Mahathir mengakui kenaikan harga petrol di negara ini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, katanya, pendapatan perkapita rakyat Malaysia lebih kurang satu pertiga daripada di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Berasas kepada kuasa membeli kita, kenaikan harga adalah lebih tinggi daripada UK atau Amerika Syarikat,” katanya sambil menambah kenaikan minyak itu menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan disebabkan kenaikan dari segi peratusannya lebih tinggi daripada negara maju, sebaliknya kerana cara kenaikan itu dibuat.

“Beberapa hari lalu kerajaan putuskan untuk haramkan penjualan minyak kepada kenderaan milik asing. Sekarang kenderaan asing dibenar membeli semula,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan melarang orang asing membeli minyak di kawasan berhampiran sempadan jika ia sudah menetapkan akan menaikkan harga bahan bakar beberapa hari selepas itu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan dalam jangka masa terdekat perlu memperkenalkan cara untuk mengurangkan pembaziran dan menaikkan pendapatan pekerja di negara ini.

“Kita mungkin tidak dapat menetapkan gaji minimum, tetapi sudah tentu kita boleh meningkatkan sedikit jumlah gaji minimum,” katanya yang mengakui pendapatan negara ini lebih tinggi berbanding sesetengah negara jiran.

Beliau berkata, ketika ini dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai dolar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan dan aktiviti tamak “dana lindung nilai yang berterusan.

0 ulasan: