Ahad, 8 Jun 2008

Rakyat kena faham


BERITA HARIAN : 08-06-08

Pengguna perlu dapat maklumat betul isu harga minyak: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap rakyat negara ini mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak supaya mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.

"Setiap daripada kita ada peranan dan tanggung jawabnya dalam menghadapi suasana getir seumpama ini. Justeru, marilah kita bersama-sama mengharungi dugaan ini dengan tabah, demi kesejahteraan kita bersama dan demi masa depan negara ini dan generasi seterusnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan pada majlis pengurniaan pingat serta darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, situasi ini adalah cabaran utama negara pada hari ini dan kerajaan sesungguhnya amat prihatin terhadap perasaan dan taraf hidup rakyat.

"Atas sebab itulah, kerajaan bertahan sebanyak dan selama mungkin untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga, namun harga komoditi dunia itu telah melonjak naik dengan terlalu tinggi dalam masa yang amat singkat,” katanya.

Abdullah berkata, pada Januari 2007, harga minyak mentah dunia hanya sekitar AS$50 setong. Bagaimanapun, 18 bulan kemudian harga minyak mentah meningkat lebih 150 peratus kepada hampir AS$130 setong dan pakar-pakar dunia menjangkakan harga minyak mentah dunia mungkin terus meningkat pada paras AS$200 setong.

"Dalam keadaan ini, hakikatnya perbelanjaan kerajaan tidak akan dapat memenuhi jurang di antara harga terkawal yang rendah dengan harga minyak mentah dunia, walaupun dengan peningkatan perolehan Petronas,” tegas beliau sambil menambah bahawa ini cabaran yang perlu ditangani di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kenaikan harga bahan api menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Oleh itu, katanya, kerajaan berusaha sedaya upaya mengurangkan kesempitan yang dialami, terutama oleh golongan berpendapatan rendah dengan menambah jumlah bantuan secara langsung dan memperkukuhkan jaringan jaminan sosial.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha menjimatkan perbelanjaan sektor awam, memperluaskan senarai barang kawalan, meningkatkan jumlah kenderaan pengangkutan awam serta menangguhkan program tidak memenuhi keperluan terkini.

Ktanya, banyak lagi cabaran perlu ditangani demi memastikan negara akan terus melangkah ke hadapan.

Beliau berkata, antara cabaran itu ialah pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka lembap kesan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak berkembang dan kesan lanjutan ke atas Eropah Barat serta ekonomi baru muncul dan sedang membangun.

Abdullah berkata, namun begitu perkembangan ekonomi negara pada 2007 adalah menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa negara berada pada landasan kukuh.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dicatatkan pada kadar 6.3 peratus untuk 2007, walaupun dengan persekitaran ekonomi global yang begitu menduga.

"Semua sektor mencatatkan pertumbuhan yang kukuh terutama sektor perkhidmatan, pembinaan, perlombongan dan perladangan. Pertumbuhan permintaan pengguna berada pada paras yang mantap iaitu 11.8 peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga berjaya menurunkan kadar defisit negara ke paras 3.2 peratus dan pertumbuhan ini disokong oleh daya ketahanan ekonomi dalaman yang mantap serta struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

"Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa melaksanakan dasar serta strategi pengurusan ekonomi negara secara fleksibel dan pragmatik,” katanya.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup rakyat memang sentiasa menjadi agenda penting kerajaan.

Mengenai usaha memerangi rasuah, Abdullah berkata tahap penguatkuasaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipertingkatkan di samping ia akan distruktur semula sebagai sebuah suruhanjaya bagi membolehkan sebuah panel penasihat bebas pencegahan rasuah dan sebuah Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah diwujudkan. - Bernama

APA KOMEN ANDA???

0 ulasan: