Sabtu, 7 Jun 2008

Harga baru minyak dianggap bebankan rakyat


BERITA HARIAN : 06-06-08

KUALA LUMPUR: Anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, meminta kerajaan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak kerana berpendapat rakyat belum mampu menangani masalah kenaikan itu ketika kos sara hidup kini semakin meningkat.

Beliau berkata, kenaikan itu sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat dan diumumkan tarikh kenaikan lebih awal agar rakyat tidak terlalu terbeban.

"Keputusan menaikkan harga minyak terlalu drastik dan tidak boleh diterima rakyat, tambahan kenaikannya terlalu tinggi,” katanya kepada Bernama.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata implikasi kenaikan harga minyak dan diesel itu bukan saja dirasai penduduk luar bandar, tetapi juga di bandar yang akan turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan makanan dan kos pengangkutan.

"Saya agak terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri yang meminta rakyat agar sesuaikan cara hidup dengan keadaan semasa. Jika dilihat di kawasan pedalaman seperti di Jerlun, kebanyakan masyarakat hidup kais pagi makan pagi,” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan membantah keputusan kerajaan itu yang beliau sifatkan sebagai membebankan rakyat dan yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Beliau berkata, selepas kenaikan harga minyak, akan menyusul pula kenaikan harga tarif elektrik yang sudah pasti mengakibatkan keadaan rakyat bertambah parah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula berkata rebat tunai yang diberi kepada pemilik kenderaan tertentu tidak akan mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederahana.

Sementara itu, sekumpulan penyokong DAP mengadakan demonstrasi secara aman di Jalan Pasar Pudu bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan, kelmarin.

Kumpulan itu yang disertai wakil rakyat DAP termasuk Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Theresa Kok (Seputeh), Lim Lip Eng (Segambut) dan Fung Kui Lun (Bukit Bintang), berkumpul sejak 11 pagi sebelum berarak ke kawasan penjaja sambil diawasi anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kumpulan itu bersurai pada 12.30 tengah hari dan tiada tangkapan dibuat.

Di KUCHING, kira-kira 50 ahli PKR berdemonstrasi di hadapan bangunan Wisma Satok pada jam 4.30 petang semalam mengakibatkan kesesakan jalan raya sehingga 15 kilometer,

Kumpulan itu turut membawa kain rentang dan poster membantah kenaikan harga minyak menyebabkan anggota polis terpaksa merampas bahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Wong Wai Loong, berkata 100 anggota polis termasuk dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak dikerah bagi mengawal keadaan.

Perhimpunan itu berjaya disuraikan polis kira-kira jam 5.30 petang dan tiada tangkapan dilakukan.

0 ulasan: