Ahad, 3 Mei 2009

SELAMAT HARI PEKERJA dan SELAMATKAH PEKERJA?



Hari yang disambut oleh semua mereka yang berstatus pekerja. Pendek kata hari tersebut adalah hari raya bagi semua mereka. Jika kita sebut hari raya, maka sepatutnya mereka ini dalam keadaan bergembira dengan apa yang mereka dapat dan apa yang telah mereka lakukan selama ini.

Namun demikian, adakah golongan pekerja itu dapat menyambut hari pekerja itu dengan suasananya seperti hari raya?

Setelah lebih kurang tujuh tahun mengabdikan diri sebagai pekerja, baru-baru ini saya mengambil keputusan menjalankan perniagaan. Dengan harapan ianya akan memberi lebih kepuasan dan sekurang-kurangnya ianya memberikan saya satu jaminan kepada saya sekiranya kehilangan kerja kelak.

Bayang-bayang kehilangan kerja masih bermain-main dalam kepala saya. Sebagai kakitangan swasta, kehilangan kerja adalah satu risiko yang PERLU ditanggung dan diakui terutamanya dalam sector pembinaan dan pembuatan.

Pada masa kini, golongan graduan serta professional tidak boleh mendabik dada dengan apa yang mereka ada. Kesinambungan untuk mereka kekal dalam satu-satu syarikat adalah amat tipis sekali. Ianya bergantung kepada banyak factor.

Diantaranya adalah :-


1) Faktor Syarikat
2) Faktor Gaji
3) Polisi Kerajaan
4) Keadaan ekonomi Negara / dunia

Saya masih ingat pada tahun 2004, dimana kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri Pak Lah telah mengumumkan dasar pertanian Negara. Pada ketika itu, dunia pembinaan menjadi kelam kabut kerana kerajaan telah membekukan beberapa projek pembinaan. Pada ketika itu juga, syarikat telah menamatkan kontrak kerja saya dan dengan itu saya telah menjadi penganggur terhormat selama enam (6) bulan.

Selama enam bulan menjadi penganggur kehormat, hidup menjadi celaru dan dipenuhi oleh tekanan. Tekanan hutan kad kredit, tekanan hutang kereta, tekanan perbelanjaan rumah dan anak.

Namun, selepas enam bulan kehilangan kerja, saya telah dipanggil balik oleh syarikat yang sama untuk bekerja semula dan kini, Alhamdulillah kerana kedudukan saya telah stabil dan masih diperlukan oleh pihak syarikat.

Berbalik kepada hari pekerja yang disambut setiap tahun. Apa yang ingin saya kemukakan adalah; adakah pekerja di Negara ini mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat daripada majikan masing-masing?

Dalam masa tujuh tahun menjadi pekerja dalam bidang pembinaan, bermacam-macam karenah pihak majikan telah saya dan juga pekerja lain telah lalui. Apa yang menariknya, pekerja seakan-akan dianiaya semahu-mahunya oleh pihak majikan terutamanya dari segi kebajikan.

Penganiayaan yang sering berlaku adalah seperti berikut :-

1)Majikan tidak mencarumkan pekerja wang KWSP dan SOCSO

2)Pekerja di suruh bekerja sehingga lewat malam dan kadang-kadang 24jam,
namun tidak
dibayar akan kerja lebih masa atau pun diberi cuti rehat.

3)Gaji bagi pekerja bawahan serta golongan professional di bayar terlalu murah.
Pernah terjadi majikan hanya membayar gaji bagi kerani am adalah sebanyak
RM 300
sebulan.

4)Kontrak pekerja disambung pada setiap enam (6) bulan sahaja.

5)Tahap keselamatan pekerja tidak dipedulikan.

6)Jika berlaku kemalangan, majikan tidak membuat apa yang patut dalam
meringankan
beban pekerja seperti urusan tuntutan insurans dan sebagainya.

7)Pekerja diambil dan dibuang sesuka hati.

8)Ketiadaan sikap professional dan etika pihak majikan dalam pengurusan
pekerja.


9)Gaji pekerja dibayar lewat atau tidak dibayar langsung.

10)Tugas diberikan tidak selari dengan gaji dan jawatan/tanggungjawab yang
diberi


11)Tiadanya kursus-kursus penambahan kemahiran pekerja diadakan

12)Tiada kenaikkan gaji dan pangkat

13)Pertukaran tempat kerja seseorang pekerja dua atau tiga kali setahun

Contoh 1

Semasa bekerja disalah sebuah syarikat pembinaan yang berpusat di Subang Jaya. Pekerja di bahagian operator mesin dan buruh kasar telah melakukan mogok berulang-ulang kali kerana pihak majikan telah gagal dalam membayar caruman KWSP dan SOCSO kepada mereka dengan alas an mereka adalah pekerja kontrak dan tidak layak untuk menerimanya. Mereka dibayar gaji ditangan dan bukannya melalui akaun bank masing-masing. Dengan demikian mereka tidak layak untuk mendapat penyata gaji.

Walau apa pun yang pekerja lakukan, pihak majikan masih tetap dengan pendirian tersebut.

Contoh 2

Pekerja yang bekerja di projek yang dipanggil ‘fast track project’ disuruh bekerja siang-malam namun mereka tidak layak untuk mendapatkan wang kerja lebih masa. Mereka hanya diberikan rehat keesokkan hari sehingga jam 10.00 sahaja. Selepas jam 10.00, mereka hendaklah masuk bekerja seperti biasa sehingga lewat malam dan kadang-kadang ke hari esok.

Begitu juga dengan pihak keselamatan (jaga), gaji mereka adalah sekitar RM700.00 sebulan dan mereka dikhendaki bekerja dari pukul 7.00 malam sehingga ke pukul 7.00 pagi keesokkannya. Kadang-kadang mereka disuruh datang seawal jam 6.00 petang dan keluar jam 8.00 pagi.

Contoh 3

Seorang supervisor yang dibayar gaji RM 1600.00 ( bagi menidakkan kelayakkan mereka membuat tuntutan kerja lebih masa ) diarahkan bekerja sehingga lewat malam dan kadang-kadang sehingga keesokkan harinya. Disamping itu, mereka diarahkan menjadi wakil kepada senior supervisor atau pun wakil kepada pegawai yang lebih tinggi jawatannya.

Begitu juga dengan mereka yang berjawatan jurutera projek dengan gaji yang cukup-cukup makan sahaja dalam lingkungan RM 2000.00 sehingga RM3000.00. Mereka ini perlu melakukan segala-galanya sehingga kadang-kadang memikul kerja-kerja seorang pengurus projek atau pun pengurus tapak. Gaji pengurus (dalam lingkungan RM6,000.00 ke RM 15,000.00) adalah terlebih-lebih tinggi berbanding dengan mereka yang berpangkat jurutera biasa.

Contoh 4

Pekerja disuruh berhenti kerja kerana tidak pandai menipu pihak kerajaan. Seorang QS ( Quantity Surveyor ) disuruh berhenti kerana beliau tidak pandai memanipulasikan tuntutan bulanan pihak majikan dengan pihak JKR. Tuntutan perlu banyak tetapi kerja tapak adalah tidak seberapa. Pandai-pandailah buat adjustment.

Pengurus mengarahkannya meletakkan jawatan dan sekiranya degil berbuat demikian, si pengurus akan membuat kes bagi menyingkirkannya.

Contoh 5

Bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja (kononnya), sebuah syarikat telah mengarahkan kakitangan utamanya ( key person ) untuk bertugas di beberapa tempat di seluruh Negara. Gaji serta kemudahan yang sepatutnya disediakan tidak diberikan oleh pihak majikan. Antara keperluan seperti tempat tinggal, kos pengangkutan seperti minyak dan tol, menggunakan kenderaan persendirian dan sebagainya.

Kadang-kadang sesetengah pekerjanya terpaksa berpindah randah dua atau tiga kali setahun.

Untuk pengetahuan semua, kes-kes yang disebutkan tadi adalah berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dikatakan establish dan terkenal dengan nilai projek beratus-ratus juta ringgit. Itu adalah sebahagian sahaja kes yang dapat saya berikan tetapi hakikatnya masih banyak lagi yang terang-terangan ianya menganiayai pihak pekerja.

Buat masa ini saya dapati hak-hak pekerja ( terutamanya dalam bidang pembinaan ) masih lagi dipandang enteng oleh pihak majikan. Ada sesetengah majikan pernah berkata; si polan tu sepatutnya bersyukur kerana pihak syarikat telah mengambilnya bekerja dan dibayar gaji. Jadi, tidak usahlah mengada-ngada dengan pihak syarikat.

Sesungguhnya pekerja di Negara ini terlalu berisiko terhadap pihak majikan yang tidak mengamalkan sikap professional dan etika dalam pengurusannya. Undang-undang sedia ada serta perlaksanaannya masih lagi tidak mengcukupi dalam mempertahankan atau mengembalikan hak-hak pekerja itu kepada mereka.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini perasaan kecewa saya yang teramat sangat terhadap pengurusan kemanusiaan dalam sector pembinaan di Negara ini. Perasaan kecewa kerana ianya masih ditahap yang rendah dan semakin teruk jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh rakan-rakan yang berada di luar Negara.

Mereka yang sealiran sanggup berhijrah ke luar Negara kerana kekecewaan tersebut. Walau pun berjauhan dari keluarga, hasil yang mereka dapat adalah lebih berbaloi dengan apa yang mereka dapat di negara sendiri terutamanya dari skim gaji. Gaji mereka adalah lebih daripada tiga (3) ke lima (5) kali ganda berbanding ketika mereka bekerja di Negara ini. Jika dahulu mereka hanya mendapat RM 3,000.00 sebulan, tetapi sekarang mereka mendapat RM 15,000.00 sebulan. Walhal, kata mereka kerja yang dilakukan disana adalah lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan di Negara ini.

Saya pernah menonton satu forum agama yang berkaitan dengan hari pekerja. Semua panel bercakap akan kesalahan yang tidak sepatutnya pekerja lakukan. Mereka menyedut ayat-ayat tertentu bagi menggalakkan pekerja melakukan kerja dengan lebih baik. Namun, tiada seorang pun daripada ahli panel itu menghuraikan satu persatu akan tanggungjawab atau pun kesalahan yang dilakukan oleh para majikan kepada pekerja.

Di sini jelas kepada kita bahawasanya, kita hanya pandai menyebut hari pekerja pada hari tersebut tetapi hakikatnya ianya tidak memberi apa-apa makna kepada pekerja itu sendiri.

Mereka sering dipersalahkan.

Setiap kali kes yang dilaporkan, mereka akan melihat kesalahan adalah terletak pada pekerja. Setahu saya, pekerja akan lakukan yang terbaik sekiranya mereka dilayan dengan baik oleh pihak majikannya. Seperti kata peribahasa, anak kecil yang lapar akan menangis dan ibubapa tidak perlu marah-marah terhadap mereka. Cukup sekadar buatkan mereka susu dan sudah pasti mereka ini akan berhenti menangis.

Sebagus mana pun sesebuah syarikat itu, jika pekerjanya adalah sampah, maka sampah jugalah akhirnya dan jika sebagus mana pun pekerja itu, jika syarikat itu adalah sampah, maka sampahlah juga akhirnya yang mereka dapat.

Dari peringkat bawah sehingga ke jawatan tertinggi, semuanya mempunyai tugas masing-masing.

SESUNGGUHNYA PEKERJA DAN MAJIKAN ADALAH SALING BERGANTUNGAN DIANTARA SATU SAMA LAIN.

HARGAILAH PEKERJA.




0 ulasan: