Ahad, 24 Mei 2009

Cerita Dua Pencuri

Singgah sebentar di warung Mak Kalsom untuk minum kopi. Sedang minum tiba-tiba Mak Kalsom datang dan terus menyapa. Oleh kerana ketiadaan orang di warung maka Mak Kalsom memulakan perbualan. Dalam banyak cerita yang keluar daripada mulut beliau, cerita pasal dua orang pencuri adalah yang paling menarik perhatian.

Ceritanya begini;

Alkisahnya dalam sebuah kampong ada satu tabung orang ramai. Tabung tersebut telah wujud begitu lama sejak zaman berzaman lagi. Sudah beberapa generasi penduduk kampong tersebut telah menyumbang kepada tabung tersebut bagi kemudahan cucu-cicit mereka di suatu hari nanti.

Dua orang pencuri yang mempunyai geng masing-masing ingin mencuri harta dalam tabung tersebut. Mereka ini juga bermusuhan diantara satu sama lain. Ketua masing-masing adalah seorang yang berpelajaran tinggi dan berfikiran bijak.

Seorang mahir dalam bidang teknikal manakala seorang lagi mahir dalam bidang falsafah.

Oleh kerana tabung tersebut ditempatkan dikawasan yang tersorot dan dikawal dengan rapi, maka si pencuri tadi perlu memikirkan satu cara yang terbaik agar mereka dapat mengeluarkan harta tersebut tanpa disedari oleh penduduk kampong tersebut.

Walau pun mereka ini bermusuhan, persengketaan mereka ini disimpan dalam lubuk hati masing-masing. Mereka ini bertaruh di atas kebijakan masing-masing. Kebijakan mereka dapat mencuri harta tersebut tanpa disedari oleh penduduk kampong tersebut.

Pada permulaannya, Si pencuri A memulakan langkah awalan. Si A ini dapat masuk dan dapat mencuri sedikit dari tabung tersebut. Ketika hendak membawa keluar harta curi tersebut, si A melihat kelibat si B. Maka si A mendapat idea yg bernas. Ideanya adalah membuat tuduhan bahawasanya si B telah mencuri harta dalam tabung tersebut.

Si A pergi berjumpa dengan ketua kampong dan satu operasi telah dijalankan oleh penduduk kampong tersebut. Maka tertangkaplah si B yang juga hendak mencuri tetapi tidak sempat mencuri.

Si B didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman. Namun demikian, oleh kerana si B juga bijak, maka dia memohon untuk merayu di mahkamah rayuan. Alas an kukuh yang diberi adalah, dia bukannya hendak mencuri tetapi menyiasat siapakah pencuri yang telah mencuri harta penduduk kampong tersebut. Si B juga mendakwa ada orang yang sengaja memfitnah beliau dalam hal ini. Oleh kerana tiada bukti bahawasanya Si B adalah pencuri, maka beliau dilepaskan terhadap segala pertuduhan tersebut.

Namun demikian, penduduk kampong masih ternganga-nganga siapakah gerangannya pencuri yang telah mencuri harta karun mereka itu. Walau pun sedikit sahaja harta yang dicuri oleh Si A, tetapi penduduk kampong masih risau sekiranya pencuri akan datang lagi dan terus merompak harta-harta mereka.

Selepas tamat round pertama, kedua-dua pencuri itu masih mencari jalan bagaimana hendak mencuri lagi harta-harta dalam tabung tersebut.

Oleh kerana mereka ini PENCURI, maka idea yang diperolehi pun lebih kurang sama walaupun mereka ini berpendidikan yang berbeza.

Oleh kerana mereka ini tahu bahawasanya ketua kampong tersebut adalah amat dihormati dan disegani ramai, maka mereka mengambil keputusan untuk mendekati dan berbaik-baik dengan ketua kampong tersebut.

Mereka memberi berbagai-bagai hadiah kepada ketua kampong tersebut. Ketua kampong tersebut berasa dihargai dan lantas menganggap mereka ini sebagai seorang yang baik.

Selain itu mereka juga membawa perwatakan masing-masing dalam berurusan sama ada dengan penduduk kampong atau pun dengan ketua kampong tersebut. Tujuan mereka adalah untuk mengabui pandangan masyarakat terhadap perwatakkan sebenar mereka.

Si A memakai jubah dan sentiasa berkopiah agar ianya nampak baik dan berakhlak tinggi dipandangan masyarakat kampong tersebut . Disamping itu juga, beliau mengumumkan akan memberikan hadiah kepada mana-mana penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

Begitu juga dengan Si B, beliau memakai kot dan berkasut kulit disamping mengumumkan beberapa pemberian akan diberikan kepada penduduk kampong tersebut sebagai hadiah.
Objektif mereka adalah ingin menunjukkan kepada orang kampong bahawasanya mereka adalah bersih dan mempunyai harta yang banyak yang akan dikongsi bersama. Mereka juga berharapan agar penduduk kampong tidak akan mengesyakki tujuan mereka yang sebenarnya.

Sedang asyik bercerita tentang pencuri tersebut, Pak Mail suami Mak Kalsom memanggilnya agar ke dapur bagi mencuci pinggang mangkuk. Hari sudah larut malam, mereka hendak balik dan menutup warung tersebut.

Sebelum mengundurkan diri, Mak Kalsom menyatakan masih panjang lagi cerita tentang dua pencuri ni. Jika nak dengar lagi selalu lah datang ke warung beliau. Mungkin beliau boleh bercerita dengan lebih lanjut lagi sehingga ke akhir.

Setelah membayar harga kopi tersebut, saya meneruskan perjalanan. Namun dalam kepala saya alangkah baiknya jika Mak Kalsom tadi dapat menghabiskan ceritanya tadi. Berbagai-bagai persoalan dan andaian bermain-main dalam kepala saya. Antaranya adalah :-

1) Apakah rancangan yang seterusnya yang akan dilakukan oleh kedua-dua pencuri tersebut.

2) Adakah rancangan mereka itu akan diketahui oleh penduduk kampong tersebut.

3) Pencuri manakah yang dapat mencuri harta tersebut tanpa disedari oleh semua orang.

4) Pencuri manakah yang akan tersungkur dan merengkok dalam penjara serta dihina oleh penduduk kampong.

5) Apakah jenis harta yang disimpang oleh penduduk kampong itu sejak sekian lama.

6) Adakah mereka berdua akan bersatu dan bersama-sama mencuri harta tersebut jika tiada pilihan lain.

7) Apakah nasib ketua kampong jika penduduk tahu beliau juga bersubahat secara tidak langsung dalam hal tersebut.

8) Berapa lamakah masa yang diambil oleh mereka untuk menjalankan kegiatan tersebut.

9) Jika salah seorang daripada mereka berjaya, bagaimanakah nasib yang akan menimpa penduduk kampong tersebut.

10) Adakah mereka ini bersifat seperti Robin Hood, mencuri bagi membantu orang lain.

11) Siapakah gerangannya pencuri A dan B itu?

12) Apa yang penting...apakah kesudahan cerita ini.

Kisah dua orang pencuri yang ingin mencuri.......


0 ulasan: