Selasa, 31 Mac 2009

TABIKA - Kemudahan Pra-Sekolah yang dipandang remeh.

Sejak beberapa bulan ini sering kedengaran di telinga kita berkenaan penutupan pusat jagaan kanak-kanak atau pun TABIKA oleh pihak atau pun golongan tertentu. Kisah tersebut kedengaran di negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor yang dikuasai oleh pembangkang. Berbagai alas an diberikan agar tindakan yang diambil itu seakan-akan dihalalkan oleh mereka dan dipersetujui oleh rakyat jelata.

Namun demikian, saya percaya penutupan itu bukanlah dibuat atas alas an yang kukuh tetapi kerana perbezaan ideology politik dan sifat bodoh sombong serta bongkak pemimpin yang dipilih oleh rakyat yang bertopengkan wajah kepimpinan mesra rakyat.

Saya juga percaya bahawasanya mereka lebih mementingkan diri sendiri daripada menjaga dan memberi tempat kepada anak bangsa untuk belajar serta menuntut ilmu.

TABIKA..suatu tempat bagi kanak-kanak yang baru ingin mengenali huruf dan alam persekolahan. Mereka tidak lagi mengerti apa itu politik malahan mereka juga masih tidak mengerti apa itu sekolah.

Memang betul pusat itu diurus dan dijalankan oleh pihak kerajaan persekutuan dibawah seliaan pihak KEMAS, tetapi adakah ianya satu tindakan wajar untuk menutupinya?

Adakah tiada cara lain yang boleh dilakukan oleh samseng-samseng politik itu? TABIKA adalah tempat anak bangsa belajar mengenal huruf dan abjad. Ianya adalah tempat menuntut ilmu.

TABIKA juga bukanlah tempat orang-orang UMNO membuat propaganda agar kanak-kanak itu memberi undi kepada UMNO bila besar nanti.

Saya bukannya ahli UMNO dan saya juga bukannya ahli parti politik lain. Saya hanya ingin melihat dan menyatakan apa yang benar sahaja. Jika sahih sesuatu itu salah, kita janganlah suka berdolak-dalih menegakkan benang yang basah. Apa yang dirasakan diluar norma-norma kehidupan sebagai manusia, saya akan mula menulis dan terus menulis agar perkara yang diputuskan itu adalah menepati kehendak rakyat dan norma kehidupan.

Jika di Kelantan, suatu masa dahulu saya pernah menulis satu artikel yang mempertikaikan sika p tidak acuh kerajaan persekutuan dalam mempertingkatkan kualiti sekolah-sekolah agama rakyat. Biarpun sekolah tersebut diusahakan oleh kerajaan negeri pimpinan Parti PAS, namun kerana namanya sekolah ( tempat menimba ilmu ), maka ia tidak seharusnya dijadikan alat atau mangsa politik kepartian yang akan merugikan bangsa dan agama.

Sikap tolak-menolak dan tiada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri telah menyebabkan nasib anak bangsa menjadi terumbang-ambing tanpa hala tuju yang jelas. Jika ianya dibiarkan berterusan, bukan sahaja Parti PAS atau pun UMNO yang rugi, bangsa dan agama yang menjadi mangsa di suatu masa nanti.

Namun Alhamdulillah perkara tersebut telah pun selesai dengan kerjasama kedua pihak yang telah dilaksanakan dibawah pemerintahan PAK LAH selaku Perdana Menteri. Terima Kasih kepada PAK LAH dan Tuan Guru Nik Aziz kerana menyedari hakikat sebenar antara permainan politik dan kepentingan bangsa dan agama sendiri.

Kita juga sedia maklum, Menteri Besar bagi ketiga-tiga negeri tersebut adalah terdiri daripada mereka yang berbangsa melayu yang beragama islam. Tetapi tindakan yang diambil itu seolah-olah mereka ini bukannya pemimpin yang berbangsa melayu dan beragama islam. Mereka sengaja merosakkan apa yang baik yang telah dibuat demi politik sendiri yang jelas menunjukkan bahawasanya mereka ini dangkal akal fikirannya.

Sepatutnya para Menteri Besar yang berbangsa melayu dan beragama islam yang dilantik menjadi Menteri BESAR itu lebih peka dan insaf tentang apa yang mereka telah lakukan.

Jika alas an penutupan TABIKA adalah kerana ianya dibawah kelolaan pihak KEMAS yang bertuankan UMNO, mengapa mereka tidak mengambil keputusan menutup mana-mana sekolah atau pun pusat-pusat pengajian tinggi yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional di suatu ketika dahulu.

Tiada beza antara TABIKA, sekolah dan IPT, semuanya adalah tempat untuk anak bangsa mencari ilmu dan mengerti erti kehidupan. Tidak kira ianya dibina oleh pihak UMNO atau pun mana-mana parti, jelas kepada kita semua bahawasanya ia adalah tempat untuk menimba ilmu.

Encik Menteri BESAR perlulah ingat bahawa saya dan mungkin rakyat jelata sekalian tahu kerajaan pimpinan Encik Menteri BESAR sekalian masih lagi tidak berbuat apa-apa sumbangan kepada anak bangsa sejak Encik-Encik menduduki kerusi Menteri Besar. Tidak payah bercakap berkenaan sumbangan yang besar dan BESAR tetapi cukup sekadar sumbangan yang kecil pun masih tidak nampak dengan jelas apa yang telah Encik-Encik semua lakukan sehingga kini. TIN KOSONG.

Jika sumbangan yang kecil pun Encik-Encik Menteri BESAR sekalian masih lagi tidak dapat berikan kepada anak bangsa, maka saya menyeru Encik-Encik sekalian janganlah berlagak hendak menyekat apa yang baik yang telah orang lain lakukan. BERDOSA BESAR tu.

Suka saya cadangkan di sini agar kerajaan baru pimpinan Dato’ Seri Najib supaya lebih peka kepada perkara ini kerana di sinilah bermulanya titik permulaan bagi anak-anak bangsa mengenali dunia persekolahan. Diharapkan agar kerajaan dapat memberikan peruntukkan yang lebih bagi menubuhkan seberapa banyak yang boleh TABIKA diseluruh pelusuk Negara ini terutamanya di kawasan luar Bandar.

Lihatlah pada kawasan-kawasan yang terpencil yang jauh daripada Bandar, jarang sekali kita menemui sekolah-sekolah TABIKA/TADIKA yang dibina. Anak-anak kampong semakin terpinggir dan dipinggirkan. Mereka terus tertinggal dan ditinggalkan dalam peluang mencari ilmu.

Ditambah lagi dengan keputusan kerajaan menetapkan dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa inggeris. Dengan adanya pusat-pusat pra-sekolah seperti ini maka saya percaya ianya akan dapat membantu pelajar-pelajar khususnya pelajar luar Bandar dalam mendapatkan persediaan awalan sebelum mengikuti kelas tersebut di sekolah biasa.

Selain itu, kita juga mendapati gaji kakitangan awam sering dinaikkan setiap tahun. Bagitu juga dengan bonus yang diberikan saban tahun tanpa sebarang sebab yang munasabah walhal kita sedia maklum bahawasanya prestasi kakitangan awam masih lagi ditakuk lama dan tidak berubah. Dengan yang demikian, saya merasakan adalah lebih baik sekiranya peruntukkan yang diberikan untuk kenaikan gaji dan bonus kakitangan awam itu diberikan kepada pihak-pihak tertentu bagi menubuhkan pusat-pusat pra-sekolah tersebut diseluruh Negara ini.

Saya bukannya bersifat dengki dengan kakitangan awam, apa yang ingin disampaikan adalah betapa PENTINGNYA perkara ini kepada anak bangsa terutamanya anak-anak yang berada di luar Bandar. Bantulah mereka agar mereka mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Saya menyeru kepada kerajaan Pakatan Rakyat atau BN agar janganlah lagi MENYENTUH perkara ini. Carilah modal politik yang lain dalam memenangi hati pengundi. Apa yang baik itu perlulah diteruskan dan seboleh-bolehnya ditambah-baik oleh semua pihak. Cukuplah dengan apa yang berlaku dan telah dilakukan. Jadikanlah harapan anak bangsa sebagai keutamaan dalam melakukan apa-apa tindakan. Sungguh malu, melayu dengan melayu bergaduh, menyebabkan anak melayu merintih dan merayu-rayu di bumi sendiri.




0 ulasan: