Sabtu, 10 Januari 2009

SURAT TERBUKA BUAT TUAN GURU NIZ AZIZ DAN TUAN GURU HJ HADI


Assalamualaikum tuan guru yang dirahmati Allah,

Saya menulis kali ini bagi melahirkan rasa kekecewaan yang sedang berlaku dalam diri saya dan mungkin juga kepada penyokong parti tuan. Kekecewaan yang tidak dapat dizahirkan dengan mulut. Kekecewaan yang terhasil daripada hati yang ingin melihat parti tuan guru terus memberi cahaya didalam kegelapan seperti lambang bulan yang bulat mengambang menerangi watu malam hari.

Walau pun tidak secerah cahaya matahari, namun ianya dapat memberi sinar untuk manusia melakukan aktiviti mereka ketika di malam hari yang gelap gelita.

Kini, saya dapat rasakan cahaya itu semakin hari semakin hilang. Biarpun bulan terus mengambang, tetapi ’feel’ yang dirasakan adalah tidak sepertinya dahulu. Adakah kerana ia sudah uzur dan sedang menunggu masa untuk menjadi gelap buat selama-lamanya?

Saya bukannya penyokong atau pun ahli parti tuan. Saya juga bukannya penyokong atau ahli mana-mana parti di negara ini. Walau pun tidak menjadi ahli, saya tetap berdiri teguh terhadap parti-parti yang memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

Saya masih ingat, betapa kuatnya semangat pemimpin serta ahli parti tuan dalam usaha untuk memenangi pilihanraya. Begitu bersemangat. Jika di Kelantan, tiada tempat atau ruang untuk pihak lain bercakap mengenai partinya. Itu cerita dahulu.

Kini, segala-galanya telah berubah. Berubah kerana parti tuan telah pun bergabung dengan pakatan rakyat. Adakah itu satu strategi dalam meraih undi? Jika itu strateginya, bagi saya ia sudah pun memberi parti tuan kekalahan awal. Kekalahan terhadap prinsip yang selama ini didukungi oleh parti tuan. Kekalahan terhadap prinsip asal parti tuan.

Kekalahan demi kekalahan yang akan ditanggung oleh parti tuan pada masa-masa hadapan. Kekalahan yang akan ditanggung dalam jangka masa yang panjang. Pencantuman parti tuan dengan PR sudah menampakkan kesan yang tidak baik terhadap perjuangan asal parti tuan.

Adakah parti tuan akan menjadi sama dengan parti-parti yang ditentang oleh tuan di suatu masa nanti? Jika itu kesudahannya, saya percaya tiada bezanya parti tuan dengan parti-parti yang lain di negara ini.

Terang-terangan saya nyatakan di sini, keunikkan parti tuan adalah diselikkan perkataan ’ISLAM’ bersamanya. Satu perkataan yang didokongi oleh keseluruhan rakyat malaysia yang beragama islam.

Namun, keunikkan itu semakin hari semakin hilang sinarnya. Perilaku parti, pemimpin, penyokong dan kawan-kawan gabungan parti tuan telah mula merosakkan parti tuan dari dalam. Adakah perkara ini disedari atau pun tidak.

Jika dahulu Tun Mahathir menjadi halangan, tetapi kini UMNO semakin lemah. Siapa pula yang menjadi halangan parti tuan untuk terus berkembang dan memerintah negara ini? Kenapa tuan-tuan semua sudi bergabung dengan mereka yang tidak sehaluan dengan prinsip yang dibawa oleh parti tuan? Adakah parti tuan sudah tidak sekukuh dahulu? Adakah parti tuan memerlukan sokongan daripada mereka yang berpura-pura menyokong perjuangan parti tuan?

Tidak bolehkah parti tuan bergerak sendiri tanpa adanya perikatan dengan parti-parti yang sehaluan dengan prinsip parti tuan?

Sebagai sahabat, cubit paha kiri paha kanan juga terasa sakit. Begitulah juanya bila parti-parti tertentu dalam pkr membuat kenyataan yang nakal dan tidak menguntungkan, getahnya akan melekat pada parti tuan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Itulah ia, semoga tuan guru berdua dapat melihat kembali wadah perjuangan parti tuan. Janganlah berubah kearah kehancuran tetapi berubahlah demi kearah pengukuhan yang lebih baik. Jika parti tuan kecundang, parti mana lagi yang akan menjadi penyandang kepada generasi melayu, beragama islam dan negara ini keseluruhannya.

Orang parti dahulu seperti Tuan Guru Nik Aziz adalah orang yang dihormati tetapi generasi pemimpin parti kini sudah mula condong arah perjuangan mereka. zaman telah berubah, adakah parti tuan sudah hampir sampai ke penghujungnya sama seperti lanjutnya usia tuan guru-tuan guru berdua.

Walau apa pun yang berlaku, saya hanya doakan agar orang melayu akan bersatu dibawah satu parti dan akan teguh bergerak menuju masa depan yang terus cemerlang, gemilang dan terbilang seperti kata Perdana Menteri kita, PAK LAH.

Sekian, wassalam.

PAKCIK – ORANGKAMPUNG.




Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

0 ulasan: