Rabu, 27 Ogos 2008

BN akur keputusan *Kerajaan akan lakukan perubahan bagi kembalikan keyakinan rakyat – TPM


UTUSAN MALAYSIA : 28/08/08

BUKIT MERTAJAM 26 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan akan melakukan perubahan yang perlu bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Merujuk kepada kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menghormati keputusan pengundi Permatang Pauh yang memberi kemenangan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya kecil itu mencerminkan amalan demokrasi yang segar di negara ini dan jelas menunjukkan tiada unsur manipulasi.

Bagaimanapun, katanya, BN akan mengkaji dengan mendalam kelemahan jentera pilihan rayanya walaupun ia sebenarnya berjalan dengan baik.

‘‘Secara umum, jentera pilihan raya BN berjalan amat baik, tetapi satu kajian perlu dilakukan bagi mencari kelemahan dan faktor kenapa BN gagal menawan kerusi ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Kata Najib lagi, walaupun BN kalah, namun segala janji yang diumumkan untuk penduduk akan tetap dilaksanakan.

‘‘(Apa pun) Kita akur dengan keputusan pengundi Permatang Pauh yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkhidmat untuk mereka dan berharap dia akan memainkan peranan yang membawa kepada kesejahteraan dan amalan demokrasi negara,” katanya.

Penasihat PKR itu yang memperoleh 31,195 undi menewaskan Datuk Arif Shah Omar Shah yang meraih 15,524 undi, manakala seorang lagi calon, Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hilang wang deposit apabila hanya meraih 92 undi.

Najib berkata, meskipun BN kalah, penghargaan masih perlu diberikan kepada penduduk Permatang Pauh yang mengundi Arif Shah.

‘‘Kita jangkakan dapat kurangkan majoriti Anwar, tapi nampaknya faktor sentimen masih kuat di Permatang Pauh kerana ini kubu kuatnya,” katanya.

Mengenai isu liwat melibatkan Anwar, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia mungkin relevan di peringkat nasional tetapi bukan di Permatang Pauh.

0 ulasan: