Khamis, 29 November 2007

PENYAPU OH PENYAPU


Baru-baru ini satu kegemparan telah berlaku di Negara ini. Satu peristiwa yang tidak pernah terjadi sebelum ini telah pun berlaku dalam dunia yang dipanggil globalisasi ini. Alangkah lucunya bila tajuk ini dipilih. Tetapi itulah hakikatnya. Penyapu sudah dinaik tarafkan untuk menurunkan taraf seorang yang bergelar Dato’, Tuan dan Bos.

Berita tentang manusia yang boleh dikatakan dihormati itu telah dijatuhkan kehormatannya oleh penyapu yang dianggap hina oleh fikiran manusia itu sendiri. Satu penyapu yang telah menyapu taraf kehormatan seseorang yang dianggap mulia. Itulah ia secara ringkasnya tentang cerita penyapu itu.

Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Khir Toyo telah memecahkan tradisi yang memang tidak pernah wujud di dunia ini. Satu tradisi yang boleh ditulis dalam Malaysian Book Of Records. Seorang Menteri Besar yang telah menghadiahkan sebatang penyapu kepada pegawai-pegawai bawahannya yang dikatakan menduduki tangga tercorot dalam melakukan tugasnya.

Apa maknanya Khir Toyo berbuat demikian hanya difahami oleh beliau dan anak-anak buahnya itu sahaja. Berpunca dari hadiah penyapu, maka gegak gempitalah bumi Negara ini. Ada yang menyokong malahan ada juga yang menolaknya. Mereka yang menyokong dan menentang itu sudah semestinya mempunyai sebabnya yang tersendiri.

Namun bagi saya hadiah penyapu sebagai lambang kemerosotan prestasi seseorang adalah boleh dikatakan melampau tetapi jika dipandang dari sudut yang berbeza ia mempunyai maksud tersirat yang amat besar maknanya. Jika prestasi pegawai-pegawai itu tidak jatuh teruk sudah semestinya Khir Toyo akan menghadiahi mereka dengan benda yang lain bagi menggantikan penyapu sebagai hadiahnya.

Jika penyapu itu dianggap hina dan jijik oleh sesetengah orang, maka begitulah dengan perangai dan prestasi pegawai-pegawai tersebut. Amat hina dan jijiknya prestasi setiap dari mereka jika itulah hadiah yang difikirkan paling sesuai untuk diberikan oleh Khir Toyo kepada mereka. Khir Toyo bukanlah orang yang sembarangan. Beliau bukanlah cikai punya orang. Beliau mempunyai pandangan dan objektifnya yang tersendiri.

Beliau juga bukannya bermain politik dengan orang politik. Beliau hanya memberi tindak balas terhadap prestasi anak buahnya sahaja. Prestasi yang teruk lagi buruk dipandangan rakyat jelata di negeri tersebut.

Itu belum lagi Khir Toyo mengarahkan mereka memakai pakaian seperti pekerja di peringkat bawahan sekali seupama tukang kebun atau tukang sapu Majlis Bandaraya Negeri Selangor. Biarkan mereka bekerja dengan cara tersebut selama seminggu atau pun selama sebulan. Sudah pasti mereka ini akan insaf akan apa yang orang lain harapkan dari mereka.

Jika begitulah cerita Khir Toyo, penyapu dan anak-anak buahnya, bagaimana pula ceritanya dengan ahli UMNO, PAS, pegawai-pegawai kerajaan pusat dan pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dilantik. Bagaimana dengan prestasi mereka ini mengikut bidang tugas masing-masing dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap agama, bangsa dan Negara.

Saban hari kita mendengar merosotnya prestasi mereka ini dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Setiap hari ada sahaja berita mengenai prestasi mereka ini dipaparkan dalam tajuk-tajuk berita di Negara ini.

Saya menyokong kata-kata Dato’ Khir Toyo bahawasanya mereka yang telah lama ( dengan kata lain telah tua) berkhidmat dan akan/telah mencapai tahap pencen mempunyai masalah dalam hal prestasi dan produktiviti dalam satu-satu hal. Walau pun mereka ini masih lagi mempunyai semangat untuk memberi khidmat tetapi kudrat yang ada pada mereka akan membantutkan segalanya. Walau pun mereka ini mempunyai banyak pengalaman dan mahir dalam satu-satu bidang itu, tetapi kudrat mereka akan menghalang mereka untuk bergerak seperti mana mereka di suatu masa dahulu. Sudah sampai masanya mereka ini memberi laluan kepada generasi baru dalam menerajui satu-satu organisasi itu.

Saya memetik kata-kata yang ditulis oleh saudara Kamal Amir dalam bukunya Melayu Hilang Dunianya menyatakan kederat serta keringat anak-anak muda adalah jauh lebih besar jika dibandingkan dengan mereka yang telah berumur (O-Tai).

Walau pun demikian, yang berumur tetap ada nilainya. Tanpa yang tua, siapalah mereka yang muda ini. Kedua-duanya boleh memainkan peranan masing-masing dalam konteks memperjuangkan nasib bangsa mengikut kapasiti masing-masing. Kedua-duanya saling memerlukan di antara satu sama lain. Dari segi kematangan dan pengalaman, yang berumur adalah melebihi mereka yang lebih muda. Manakala jika dilihat dari sudut tenaga serta ketahanan fizikal, mereka yang muda akan mengalahkan mereka yang lebih berumur. Namun demikian, mereka yang telah berumur dan lama berkhidmat dalam satu-satu organisasi itu perlulah mengakui bahawasanya sudah sampai masanya mereka memberi laluan kepada generasi baru bagi mengambil-alih tugas mereka selama ini. Skop tugas mereka sepatutnya diperkecilkan agar ianya sesuai dengan umur mereka ini.

kata orang; bayangkan jika kita sudah lama mendiami satu-satu rumah, kita tidak akan merasai cacat-celanya rumah yang kita diami selama ini kerana kita sudah lali dengan apa yang ada di dalam dan persekitaran rumah tersebut. Keadaan menjadi sebaliknya jika rumah itu didiami oleh orang yang baru. Mereka akan memeriksa dan mendapati banyaknya kekurangan yang perlu ditokok tambah bagi memperelok serta mencantikkan persekitaran dan rumah tersebut.

Kerajaan Negeri Selangor dibawah kepimpinan Dato’ Khir Toyo telah memulakan satu tindakan agresif dalam menghadapi mereka yang tidak menunjukkan prestasi dalam kerja mereka, bagaimana pula dengan pihak kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain? Begitu juga dengan pegawai-pegawai kerajaan Negeri Kelantan yang rata-ratanya daripada ahli-ahli Parti Pas? Adakah prestasi anda semua seperti yang diharapkan? Semoga tidak ada lagi pegawai-pegawai kerajaan atau agensi tertentu dihadiahkan dengan penyapu pada masa-masa hadapan.

0 ulasan: