Jumaat, 23 November 2007

PENYAKIT GILA

Gila memang gila..itulah perkataan yang pedih didengari oleh setiap insane di dunia ini. Perkataan gila adalah satu perkataan yang amat buruk,jijik dan hina disudut pandangan manusia lain yang merasakan dirinya tidak gila. Hanya manusia yang memang betul-betul gila dan tidak tahu bahawasanya dia adalah gila yang tidak merasai apa-apa makna perkataan itu. Akan tetapi ada juga manusia yang memang sudah gila tidak mengakui dirinya adalah atau sudah menjadi gila.

Gila merupakan salah satu penyakit yang menyebabkan penghidapnya tidak berada dalam dunia yang nyata dan hilang dalam hidupnya sendiri. Punca penyakit masih lagi dikaji dan ubat yang mujarab bagi memulihkan si manusia yang menghidap penyakit tersebut masih lagi tidak ditemui sehingga kini.

Penyakit gila boleh dikatakan wujud dalam kepelbagaian jenis yang ada pada seseorang manusia itu. Antaranya adalah gila kuasa, gila politik, gila wang, gila pengaruh, gila masyur, gila bayang, gila meroyan, gila pangkat, gila perempuan, gila hiburan, gila makan, gila fitnah, gila tidur, gila-gila, gila belajar, gila bekerja, gila sex, gila dadah, gila nyanyi, gila kutuk-mengutuk, gila demostrasi, gila rasuah, gila menipu, gila kereta, gila projek, gila merempit, gila bergaduh, gila bunga, gila game, gila manipulasi, gila bodek, gila minum, gila yang memang sudah gila dan berbagai-bagai lagi jenis gila yang ada di dunia ini.

Manusia di Negara ini sudah lama diresapi dengan penyakit gila ini. Ia sudah lama diperturunkan dari generasi ke generasi malahan sudah berjangkit dan merebak dengan cepat kedalam diri seseorang itu. Manusia yang gila itu sudah lupa dimana mereka berada, dengan siapa mereka bercakap, apa yang mereka buat, kemana mereka pergi, siapa mereka malahan mereka juga sudah lupa siapa kawan dan siapa lawan.

Penyakit gila ini cepat merebak dan banyak meresap ke dalam jiwa orang-orang politik dan mereka yang mempunyai kuasa di Negara ini. Mereka ini gila untuk menjaga kedudukan masing-masing dan seterusnya melupai akan nasib orang lain yang memerlukan perhatian daripada mereka. Oleh kerana mereka sudah menjadi gila maka mereka tidak akan peduli apa yang orang lain kata atau nasihatkan sama ada untuk kebaikannya sendiri atau pun orang lain. Mereka sudah tidak tahu apa tanggungjawab dan apa itu dosa-pahala. Apa yang mereka nampak hanya kuasa dan pangkat untuk diri sendiri.

Orang politik juga mempunyai penyakit gila fitnah memfitnah sama ada sesama sendiri atau pun terhadap mereka yang tidak seiringan dengan mereka. Mereka akan menentang habis-habisan apa yang orang buat dengan alasan semuanya tidak betul dan kononnya hanya dia seorang sahaja yang betul dan benar di dunia ini. Gila jenis ini akan menyusahkan ramai pihak terutamanya rakyak jelata yang menjadi pak turut yang sememangnya telah serabai otaknya dek dipusing-pusing oleh si gila tersebut. Gila jenis ini amat senang untuk menjangkiti setiap orang yang mendekati manusia yang menghidapinya dan kesannya amat ketara dalam satu-satu masa yang tertentu. Kesan dari penyakit gila ini juga akan memeningkan orang lain yang cuba untuk mententeramkan keadaan dan cuba untuk memperbetulkan apa yang difitnah olehnya itu. Masa, tenaga, wang ringgit, tumpuan, keringat, kederat,nafsu dan segalanya menjadi hangus dimakan oleh mereka yang menghidap penyakit ini.

Begitu juga dengan gila wang. Ia merupakan salah satu penyakit gila yang sudah lama ada pada pegawai-pegawai kerajaan serta orang-orang politik. Gila jenis ini juga amat cepat merebak dan boleh memberikan kesan yang hebat sama ada keatas individu tersebut atau pun terhadap orang lain. Gila ini tidak mengenal siapa manusia itu. Orang yang menghidap penyakit ini akan mengalami satu keadaan seperti apa yang dikatakan gelap mata, gelap hati dan tuli telinga. Mereka sudah tidak nampak apa yang ada disekelilingnya lagi. Mereka hanya nampak bayangan wang di mana-mana sahaja. Di hati mereka hanya tuhan sahaja yang tahu. Jika boleh, mereka ingin sekali mengambil kesemua wang-wang yang kononnya wujud (seperti yang mereka nampak) itu. Gila jenis amat menyusahkan orang ramai jika tidak dibendung dengan keras oleh ‘para doctor pakar’ di Negara ini. Mereka yang menghidapi penyakit ini amat susah untuk dicam-kan adakah ia benar-benar menghidapinya atau pun tidak. Hanya dirinya sendiri dan kawan-kawan seangkatannya sahaja yang tahu bahawasanya mereka ini telah menghidapi penyakit gila jenis ini. Oleh kerana mereka sudah lupa bahawasanya mereka sudah menghidapi penyakit gila ini maka secara automatiknya mereka juga sudah lupa bahawasanya mereka ini telah memakan bara api hasil daripada apa yang mereka perolehi itu.

Orang politik sememangnya telah menghidapi penyakit gila politik. Gila jenis ini juga amat susah untuk diubati. Mereka juga sudah tidak nampak keadaan nyata di depan mereka. Hanya bayang-bayang sahaja yang bermain-main dalam kepala mereka. Apa yang mereka buat adalah berdasarkan kepada politik. Makan politik, tidur politik, kerja politik, sembang politik, bermain politik dan segala-galanya politik. Mereka sudah menjadi hamba kepada politik. Namun demikian, kadang-kadang gila jenis ini ada juga faedahnya dan kadang-kadang ianya menyusahkan orang lain. Kelau gila itu pada dirinya sendiri tidak mengapa tetapi kebiasaannya penyakit ini merebak kepada orang lain dan seterusnya menyusahkan rakyat jelata.

Bagi budak-budak melayu pula mereka kini telah diresapi dengan satu penyakit gila rempit dan gila sex. Gila rempit amat berleluasa pada masa kini. Gila ini kebanyakkannya menyerang mereka yang berumur belasan tahun. Mereka ini mudah sangat menghidapi penyakit gila ini kerana pada umur tersebut otak mereka masih lagi tidak mempunyai system imunisasi yang secukupnya untuk melawan penyakit gila ini. Mak bapa mereka juga merupakan penyumbang yang besar kepada penyakit ini. Mereka tidak menjaga dengan sebaiknya anak-anak mereka sehinggakan penyakit ini boleh merebak dan menyerang otak anak-anak mereka dengan rakus sekali.

Apa yang lebih malangnya, penyakit gila merempit ini boleh memilih bangsa mana yang mudah untuk dijangkiti. Kita dapat melihat bagaimana keadaannya jika penyakit ini menyerang. Motor diubahsui, menunggang secara songsang, konar leper, angkat tayar dan macam-macam lagi lagak ngeri yang mereka boleh pamirkan kepada manusia normal yang lain. Jika berlaku kemalangan, keadaan yang rosak lagi merosakkan akan berlaku. Rosak kenderaan orang lain, rosak motor mat rempit, rosak tubuh badan mat rempit dan seterusnya rosaklah anak bangsa.

Begitu juga dengan gila sex. Penyakit ini tidak mengenal siapa manusia itu. Tua, muda, miskin, kaya, sihat, sakit, cacat, cantik, hensem dan hodoh sekali pun, penyakit ini tetap boleh menembusi jaringan system imunisasi manusia itu. Impak yang paling besar bagi penyakit ini adalah rosaknya bangsa itu. Penyakit ini boleh membawa berbagai-bagai lagi jenis penyakit lain yang sememangnya tiada ubat untuk merawatinya. Cerita-cerita rosaknya otak serta tubuh badan anak melayu dan orang melayu itu apabila dijangkiti dengan penyakit ini. Dalam internet ada, dalam vcd ada, dalam dvd ada, dalam computer ada, dalam bilik ada, dalam akhbar ada, dalam tv ada, dalam pejabat ada, di kedai kopi pak mat spoket pun ada, dalam buku ada, malahan dalam telefon bimbit pun ada. Di mana-mana sahaja adanya cerita penyakit gila sex ini.

Banyak lagi jenis-jenis penyakit gila yang ada di Negara ini sehinggakan saya tidak sanggup dan tidak larat untuk menghuraikan kesemuanya. Tetapi itulah hakikatnya. Penyakit yang boleh berjangkit dan cepat menyerang mangsanya. Kerosakan yang disebabkan oleh penyakit ini amat besar jika tiada ‘doktor pakar’ yang boleh mengubatinya. Rosak agama, rosak bangsa dan rosaklah Negara. Fikir-fikirkanlah…

0 ulasan: