Selasa, 19 April 2011

PRN SARAWAK 2011 – BN MENANG, CINA MENANG.



Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Taib Mahmud selaku Ketua Menteri Sarawak kerana sekali lagi dapat mempertahankan kedudukan kerajaan Barisan Nasional Sarawak. Kemenangan di 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ini adalah cukup bermakna sekali jika dilihat pada sudut serangan terhebat pihak pembangkang.

Serangan-serangan sengit yang ditempuhi seperti tempoh beliau berada di tampuk pemerintahan, kegagalan serta janji-janji manis pakatan dikatakan dapat mengoyah hati mereka yang mendengarnya. Namun, atas kewarasan berfikir serta kematangan rakyat maka sekali lagi Barisan nasional diberi peluang untuk mentadbir dan membangunkan negeri Sarawak.

TAHNIAH SEKALI LAGI.

Walau pun demikian, kekesalan yang teramat sangat dapat dirasai apabila Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang juga parti kompenan terbesar Barisan Nasional Sarawak telah ditolak oleh kaumnya sendiri. SUPP hanya mendapat kemenangan di enam (6) kerusi daripada 19 kerusi yang dipertandingkan.

Penolakkan kaum cina terhadap SUPP boleh dikatakan menyamai penolakkan kaum cina di Semenanjung terhadap MCA dan GERAKAN semasa PRU-12 pada 2008.

Persoalannya kenapa kaum cina menolak parti yang mewakili mereka dalam kerajaan??

Jika di lihat semula perkara-perkara yang mereka bangkitkan sebelum ini, saya dapat putuskan beberapa perkara tentang peristiwa/kelakuan aneh yang berlaku terhadap parti-parti yang mewakili kaum cina.

1. Pokok asal perasaan kebencian terhadap UMNO di cetuskan dengan menyatakan kononnya UMNO telah lama menyekat peluang sama rata terhadap kaum cina.

2. Kononnya pemimpin-pemimpin mereka, MCA & SUPP dalam kerajaan menjadi anjing kepada UMNO.

3. Pemimpin-pemimpin mereka tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak atau tuntutan mereka.

4. Perasaan perkauman yang telah lama disemai oleh DAP terhadap melayu terutamanya melayu di dalam UMNO.

5. Mahukan lebih layanan keistimewaan.

6. Perasaan bahawasanya mereka mempunyai kelebihan dan kemampuan untuk mentadbir urus Negara ini dengan lebih baik.

7. Perasaan mereka Negara ini bergantung penuh kepada kaum mereka terutamanya dalam bidang ekonomi.

8. Keyakinan mereka bahawa perikatan Pakatan Rakyat lebih bebas dan terbuka berbanding dengan perikatan dalam Barisan Nasional.

9. Terpengaruh dengan politik berunsur fitnah atau janji-janji manis dari DAP dan ianya disokong pula oleh PKR & PAS.

Banyak lagi perkara yang tersembunyi yang tidak dapat ditafsir dari tindak-tanduk mereka selama ini.

Prinsip yang disemai dan sentiasa dilaungkan oleh DAP :-

- Semua orang akan dilayan sama rasa dan sama adil

- Tiada special privileges terhadap bangsa, agama dan bahasa.

Semua ini membawa makna yang besar terhadap mereka dan inilah sebenarnya yang menjadi bacaan dalam fikiran masing-masing.

Kisah-kisah seperti kebangkitan semula NEGARA CHINA dalam bidang ekonomi dan kejayaan SINGAPURA mungkin juga menjadi kebangaan dan petunjuk kepada mereka bahawasanya mereka boleh melakukan yang terbaik.

Kita jangan lupa bilamana DAP dapat menubuhkan kerajaan di Pulau pinang dan perak. Lawatan Lee Kuan Yew dari Singapura telah menjelaskan segala-galanya.

Walau pun demikian keadaaannya, kita orang melayu masih mencari-cari sesuatu yang hilang dalam diri sendiri. Masih leka dengan sesuatu yang tidak pasti. Kita masih tidak dapat memahami arah tuju sebenar kita sebagai seorang melayu dan islam.

Perpecahan demi perpecahan. Sedangkan kaum lain sedang mecari peluang untuk mereka teruskan agenda kaum mereka. Tanpa prejudis!!!





Isnin, 14 Februari 2011

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

MALAYSIAKINI - 130211

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalah-gunakan oleh orang Melayu bagi mendapatkan kekayaan segera tetapi mempertahankan agar program kontroversial itu diteruskan.

Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini, Dr Mahathir berkata kumpulan Melayu berkenaan yang sebenarnya menyebabkan sasaran mendapatkan 30 peratus ekuiti bumiputera tidak tercapai.

"Saya malu, saya sering mempertahankan DEB tapi sedar kalau segala peluang yang diwujudkan dalam DEB digunakan oleh orang Melayu, hari ini kita bukan sahaja (akan) mendapat 30 peratus kekayaan negara tetapi lebih daripada itu.

"Kita selalu membuat apa yang membinasakan usaha kerajaan untuk majukan Melayu," katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin.

Namun di sebalik kepincangan itu, Dr Mahathir tegas mahukan DEB dipertahankan kerana membubarkan dasar itu akan menyebabkan orang Melayu kerugian, termasuk mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Masalah pelaksanaan

"Masalahnya bukan polisi tetapi pelaksanaan. (Sepatutnya) jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata DEB perlu diteruskan kerana orang Melayu belum mencapai kuota yang ditetapkan, untuk itu, orang Melayu perlu terus berusaha bagi mengelakkan mereka menjadi bangsa termundur di negara ini.

Menurutnya orang Melayu menyalah-gunakan keistimewaan mereka dengan menjual permit dan lesen yang dikhususkan kepada mereka mengikut DEB.

"Dapat AP jual AP, dapat kontrak jual kontrak. Orang cepat kaya tak kekal. Siapa punya salah? Kita punya.

"Sebab kita tak berusaha jadi terpaksa kekalkan tongkat sakti kita. Sesiapa kata tamatkan, buang tongkat, kita marah, kata ini hak kita sebagai tuan.

"Mungkin dulu kita tuan tanah tapi tak jadi dah, dah jual dah.

Beliau berkata orang Melayu kini sanggup menggadai apa sahaja yang mereka ada untuk mendapatkan kuasa dan memecah belahkan orang Melayu sehingga menjadi lemah.

Mengenai ketuanan Melayu yang sering disebutkan mutakhir ini, katanya orang Melayu perlu berusaha, mempunyai sumber kewangan yang halal dan cukup sekiranya mahu mengekalkan konsep tersebut.

"Kalau nak jadi tuan kena lengkapkan diri dengan ilmu dan kecekapan, apakah dapat jadi tuan sedangkan orang lain suruh kita buat kerja yang bukan kerja tuan, kalau nak majukan diri, mesti tolak nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan pada masa kini," katanya.

Dr Mahathir juga mengingatkan orang Melayu agar tidak terlalu taksub untuk menambah pendapatan walaupun negara kini berhasrat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi kerana ia boleh mendorong kepada perbuatan rasuah.

Dituduh rasis

"Kita perlu teruskan perjuangan untuk beri tempat yang mulia, ataupun takut dituduh sebagai rasis dan berdiam diri, biarkan orang lain menidakkan hak kita di Semenanjung Tanah Melayu," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya dilema Melayu hendak diselesaikan, orang Melayu perlu memikirkan sifat-sifat yang ada pada diri mereka dengan membuang segala sikap buruk dan menambah sikap yang lebih baik yang tiada dalam diri orang Melayu itu sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan dilema yang besar apabila mereka tidak lagi boleh berkata tentang bangsa sendiri kerana akan dilabelkan sebagai rasis.

"Kita jadi serba salah, kalau diam diri maka pendapat yang dikeluarkan mungkin akan diterima, kalau kita jawab mungkin akan dituduh rasis, saya bukan rasis saya cuma sebut benda yang benar, bila sebut bangsa kita maka kita akui bangsa itu, kita patut bermegah kita adalah orang Melayu," katanya.

Menurutnya lebih malang, jika orang Melayu pula tidak mampu mempertahankan diri sendiri.

Ini kerana, katanya, orang Melayu lebih banyak mengalah dan berundur diri kononnya dengan cara itu lebih mudah untuk mendapatkan keamanan.

''Kita selalunya malu alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kita kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

''Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,'' katanya.

Menurut Dr Mahathir akan tiba sehingga pada satu tahap, orang Melayu tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air mereka dan seolah-olah Melayu ini adalah pendatang sama seperti pendatang lain.

Beliau berkata orang Melayu perlu mengamalkan nilai hidup yang lebih berkualiti dengan berusaha, menuntut ilmu dan sentiasa merebut peluang yang ada kerana elemen itulah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu kaum itu.

"Kita diberi peluang, tetapi tidak ambil peluang itu, saya tertanya-tanya bila pergi universiti mengapa ramai mahasiswa wanita, mana pergi lelaki, adakah mereka ini bodoh atau tidak rebut peluang untuk baiki masa depan mereka," katanya.

Ahad, 13 Februari 2011

Melayu dalam dilema besar – Dr. M


UTUSAN - 130211
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
dan MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

Khamis, 10 Februari 2011

Masa depan orang Melayu



Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my (10/02/2011)

THE Malay Dilemma adalah buku penuh kontroversi karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diterbitkan pada 1970. Buku dalam bahasa Inggeris itu diharamkan kerajaan dan pengharaman hanya ditarik balik selepas beliau menjadi Perdana Menteri, 11 tahun kemudian. Pada 1982, buku itu turut diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Dilema Melayu.

Dalam naskhah 222 halaman tersebut, Dr. Mahathir memberikan pandangan berterus-terang mengenai sikap orang Melayu yang disifatkannya sebagai tidak progresif berbanding dengan orang Cina. Beliau juga menerangkan sebab-sebab tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dr. Mahathir turut menyifatkan orang Melayu sebagai kaum yang lebih suka mendapatkan keuntungan dalam jangka masa pendek, tidak suka berusaha keras dan tidak rajin seperti orang Cina. Beliau juga mengkritik sikap orang Melayu yang berkongsi niaga dengan orang Cina kerana mereka lebih cenderung menerima jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan dimiliki dan langsung tidak mengambil bahagian dalam perniagaan terbabit.

Selain itu, beliau turut memberi amaran andainya semua perlindungan yang dinikmati kaum Melayu sekarang, hasil daripada kuasa politik yang mereka miliki dimansuhkan, maka orang Melayu akan berdepan semula dengan hukum primitif iaitu mereka yang terkuat dan sihat sahaja akan terus hidup.

Banyak lagi dilema lain yang dikupas beliau dalam buku yang mempunyai 11 bab yang menyentuh pelbagai topik termasuk Dilema Ekonomi Melayu, Pengertian Persamaan Kaum, Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema Melayu, Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu serta Politik Perkauman dan Parti.

Bagaimanapun, setelah hampir 41 tahun buku itu diterbitkan, tiada siapa membuat penilaian terperinci sejauh mana dilema berkenaan dapat diatasi. Sehubungan itu, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) yang dianggotai bekas pemimpin mahasiswa universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mengadakan Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi pada Sabtu ini.

Pada tarikh berkenaan, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan bergema dengan suara-suara anak muda membincangkan kembali segala dilema yang pernah dibangkitkan Dr. Mahathir dalam bukunya.

Mengulas perkara itu, Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah menjelaskan, simposium sehari itu bertujuan membangkitkan kesedaran golongan muda tentang pentingnya mereka menyumbang idea bernas bagi memastikan segala dilema berkenaan dapat diatasi secara kolektif.

''Penganjuran simposium ini tidak harus dilihat sebagai provokasi terhadap kaum lain atau cubaan untuk menidakkan gagasan 1Malaysia.

''Sebenarnya, apabila kita membicarakan gagasan 1Malaysia, kita tidak boleh melupakan komponen terbesar di dalamnya iaitu orang Melayu. Mana mungkin penyatuan rakyat berbilang kaum dapat dilaksanakan jika dilema orang Melayu masih belum diselesaikan," katanya.

Jelas beliau, antara topik utama yang akan dibincangkan adalah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti yang belum tercapai dan juga dilema generasi muda sekarang apabila terdapat pihak tertentu yang mahukan mereka mewarisi ideologi politik sempit yang penuh dengan prasangka yang hanya akan mewujudkan perpecahan sesama Melayu.

Dalam pada itu, Naib Presiden II Aspirasi yang juga pengarah program simposium berkenaan, Mohd. Zafry Mohd. Yunus memberitahu, Dr. Mahathir akan menyampaikan amanat penting kepada golongan muda berhubung kesudahan buku tulisan beliau itu ketika sesi ucaptama pada sebelah pagi.

Katanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula akan berkongsi pandangan mengenai kedudukan bumiputera dalam konteks Model Baru Ekonomi ketika berucap pada sesi makan tengah hari, diikuti sesi diskusi ekonomi bertajuk "Milikan 30 Peratus Ekuiti Bumiputera Menjelang 2020, Bagaimana dan Dimana Melayu?" yang akan dipengerusikan Penasihat Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Empat ahli panel pada sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid.

Sesi diskusi politik bertajuk "Cabaran Kepimpinan Melayu Di Masa Hadapan" pula akan dipengerusikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi. Ahli-ahli panel pada sesi berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali. Majlis Makan Malam Perdana akan diadakan pada penghujung simposium yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd. Zafry juga menjelaskan walaupun majoriti 2,000 peserta yang akan hadir adalah belia berusia antara 18 hingga 45 tahun, pihaknya turut membuka pintu kepada individu di luar lingkungan usia berkenaan. Mereka yang ingin turut serta masih boleh berbuat demikian dengan membayar yuran penyertaan sebanyak RM100.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, kunjungi laman web www.dilemamelayu.com atau hubungi 012-2272015 atau 013-2233545. Pendaftaran juga boleh dibuat di kaunter masuk pada pukul 8.30 pagi sebelum simposium bermula.

Diharapkan semua peserta simposium dapat mengemukakan pandangan demi masa depan orang Melayu terutama pada sesi soal jawab nanti. Untuk mereka, kata-kata Dr. Mahathir dalam pendahuluan buku Dilema Melayu mungkin boleh dijadikan panduan:

''Buku ini diterbitkan bukanlah dengan maksud hendak mencari popular dari kalangan masyarakat tertentu di Malaysia. Sebaliknya, besar kemungkinan ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan tertentu dan kemarahan golongan lain. Tiada maaf yang dipinta - apa yang saya tulis telah ditulis dengan ikhlas."

Khamis, 9 Disember 2010

KJ @ KHAIRY JAMALUDDIN –Ketua Pemuda UMNO Malaysia.



Selepas PRU 11, nama khairy aka bro khairy semakin menyerlah. Beliau semakin disuluhi oleh akhbar2 utama dalam Negara terutamanya semasa kempen pilihanraya ke-12. Namanya juga meletup semasa pemerintahan PAK LAH aka bapa mertuanya. Namanya juga meletup bila mana Tun Dr Mahathir memanggilnya Budak Tingkat 4.

Namanya juga menjadi tersohor semasa pemilihan UMNO baru-baru. Tersohor kerana dikatakan menyogok perwakilan dalam mendapat kedudukan ketua pemuda.

Boleh dikatakan dari awal kemunculannya sehinggalah sekarang, kontroversi tentangnya sentiasa ada. Malahan, sehingga hari ini pun masih kedengaran suara-suara yang tidak menyenangi akan kehadiran bro khairy di dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO.

Saya sentiasa mengikuti perkembangan penulisan rakan-rakan blogger yang lain. Dari awal PRU11 sehingga kini mereka dengan kosisten menolak Khairy Jamaluddin sebagai ketua pemuda UMNO Malaysia. Mereka bukanlah blogger yang pro pembangkang, tetapi sentiasa mempertahankan maruah UMNO walau dengan apa cara sekali pun. Namun demikian, berlainan pula penulisan mereka tentang KJ.

Mereka tidak memberi sedikit pun ruang tolak ansur kepada KJ dalam penulisan mereka.

Begitu juga cerita mulut ke telinga. Kebanyakkan pemuda menyatakan hasrat mereka untuk tidak memilih KJ sebagai ketua mereka. Jika itu yang diperkatakan oleh pemuda yang menyokong BN/UMNO, apatah lagi pemuda-pemuda yang dikatakan atas pagar dan yang terang-terangan menyokong pembangkang.

Jika diteliti sedalam-dalamnya, KJ boleh diupamakan seperti bebanan kepada UMNO terutamanya kepada pergerakkan pemuda. Cerita KJ ini seupama rumah siap tapi pahat masih berbunyi.

Saya tidak menolak KJ dan saya juga tidak membenci KJ. Saya hanya mahukan kepastian adakah KJ ini benar-benar ditolak atau diterima oleh pemuda-pemuda Negara sebagai ketua mereka/?/

Status KJ sebagai ketua pemuda yang BERSIH, BERKEMAMPUAN dan BERDIKARI amat penting sekali bagi kami selaku pemuda. Ianya perlulah dibuktikan oleh KJ sendiri dan bukanlah orang lain.

Pemilihan semula pergerakkan pemuda UMNO nampaknya sudah menjadi WAJIB diadakan dalam konteks KJ @ KHAIRY. Pemilihan semula ini akan menyelesaikan banyak perkara sama ada terhadap KJ itu sendiri, persepsi terkini pemuda-pemuda, pejuang alam maya dan juga terhadap UMNO keseluruhannya.

Kita akan terima siapa sahaja yang menang asalkan ianya tidak kedengaran pasal politik wang, pilih kasih atau pun campur tangan dari mana-mana pihak. Tidak kira dari presiden, timbalan presiden, bapa mertua atau pun anasir-anasir dari luar.

Campur tangan akan menyebabkan timbul lagi suara-suara menentang seperti yang dialami oleh KJ sehingga kini.

Jika ditakdir KJ dipilih semula, kita tetap menerimanya dgn hati terbuka dan saya pasti namanya akan terus dijulang sebagai ketua yang bermaruah, yang dihormati dan berani.

PRU 13 semakin hampir... sekiranya pucuk pimpinan tidak melakukan apa-apa tentang ini, saya percaya akan berlaku sedikit sebanyak bilangan undi jika ‘tubuh badan’ KJ dijadikan bahan kempen sama ada oleh pembangkang atau pun pemuda UMNO itu sendiri.

Terus terang saya katakana di sini, kita bukanlah sayangkan KJ, bukan sayangkan Presiden, bukan sayang timbalan presiden atau sayangkan tubuh badan pemimpin...saya sayangkan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO tetap di situ. Jatuh bangun UMNO adalah bergantung kepada pemimpinnya.

Jika pelapisnya sudah tidak diterima atau diragui kepimpinannya, APA AKAN JADI DENGAN UMNO sekiranya pemimpin sedia ada bersara kelak.

Bersihkanlah UMNO dan SELAMATKANLAH UMNO.

Jumaat, 3 Disember 2010

KETUANAN MELAYU – melayu jd mangsa



Terkejut beruk bila mendengar ucapan AZIZAH selaku Presiden PKR berkenaan isu ini.

Belum sempat sejuk, datang pula suaminya ANWAR ( manusia yang dipecat daripada UMNO kerana tidak layak menjadi pemimpin) memanaskan lagi hati yang memang dah panas.

Kata-kata ANWAR : “ KETUANAN MELAYU???? KETUANAN KEPALA HOTAK!!!” amat pedih sekali.

Kata-kata itu menusuk ke dalam hati. Terdetik di hati ini; “Betapa celaka mu Nuar.

Nasib baik ko tak jadi Perdana Menteri. Dah jelas siapa sebenarnya engkau”.

Anwar dan Azizah nampaknya sudah lupa siapa mereka yang sebenarnya. Mereka sudah lupa siapa yang meberi peluang kepadanya sehingga ke saat ini. Mereka lupa kerana mereka berbangsa melayulah, mereka diangkat dan terus diangkat sehingga sekarang.

Isu ini sudah pun melampaui batasnya. Isu ini telah pun menguris hati orang melayu keseluruhannya. Isu ini telah menjatuhkan maruah orang melayu, raja-raja melayu dan juga ketetapan lain berkenaan orang melayu. Ianya upama cadangan pihak british sebelum tanah melayu mencapai kemerdekaannya.

Kata-katanya itu disambut dengan sorakkan bangsa lain. Sorakkan kemenangan kepada perjuangan mereka selama ini. Perjuangan untuk melihat melayu jatuh tersungkur. Perjuangan untuk melihat melayu dibodohkan oleh bangsa melayu sendiri.

Adakah penyokong dan ahli PKR yg berbangsa melayu tidak sedar akan perkara ini.

Adakah tidak terdetik di hati mereka betapa hinanya melayu diperlakukan oleh pemimpin mereka?? Tiada walau pun sedikit tanda-tanda keinsafan dalam diri mereka?? Tidak terdetik dihati mereka siapa Anwar n Azizah itu??

Ketuanan...bukanlah bermakna tuan dgn hamba. Ia mempunyai maksud yang panjang merentasi sempadan sejarah. Sejarah yang beratus tahun lamanya.

Jika sekarang pun kita sudah jauh ketinggalan, apatah lagi sekiranya Negara ini dipegang oleh bangsa lain. Bangsa lain tidak akan menolong bangsa melayu, melainkan bangsa sendiri yang akan berbuat perkara yang sama. Bangsa lain akan sedaya upaya memperkukuhkan kedudukan mereka. Mereka akan terus meninggalkan bangsa melayu di belakang.

Sampai bila melayu akan terus dihina??? Sampai bila melayu dapat mempertahankan raja-rajanya?? Sampai bila melayu dapat mempertahankan haknya?? sampai bila melayu akan dapat mempertahankan kerajaannya?? Sampai bila??



Ahad, 21 November 2010

PITIH DALAM PILIHANRAYA / PEMILIHAN – Hilangnya ROH demokrasi.



Berkudis lagi bernanah. Membusuk dan terus membusuk. Tunggu masa untuk pecah dan meluruhkan isi-isi yang buruk lagi busuk ke tanah. Luruh satu persatu. Itulah yang perbandingan yang boleh diberikan kepada apa yang di panggil politik wang. Satu fenomena yang sedang membarah dalam pemikiran masyarakat. Dari atas sehinggalah ke bawah.

Setiap kali tibanya pilihanraya atau pun pemilihan anggota, maka berbunyilah perkataan politik wang, rasuah, pemberian, saguhati, hadiah dan sebagainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendapatkan sokongan atau pun undi individu semasa pemilihan/pilihanraya.

Wang seupama ditabur dan dibakar sebegitu sahaja. Jumlahnya amat lah besar sehingga mencecah jutaan ringgit. Tidak kira ianya dilakukan oleh parti pemerintah atau pun parti pembangkang. Dua kali lima. Keduanya bersaing dalam menunjukkan kekayaan yang ada pada parti atau diri sendiri kepada rakyat/penyokong.

Kononya mereka ini mempunyai wang dan ia adalah segala-galanya.

Penyakit ini sudah pun membiak upama barah. Ia sudah bertapak dan juga sudah menjadi satu budaya dalam demokrasi Negara ini. Menang kalah lain kira. Yang penting usaha. Usahanya adalah bagi wang ringgit/habuan.

Hilangnya sudah roh demokrasi di Negara ini. PAS?? ISLE?? PKR ?? ADIL??? BN??? Nampaknya semua sama. Janji dapat kuasa walau dengan apa cara sekali pun. Matlamat menghalalkan cara.

Jika dahulu rakyat sanggup menghadiahkan wang ringgit dan barang kemas agar parti dapat perjuangkan nasib bangsa, agama dan Negara. Namun kini keadaannya sudah pun berubah sama sekali. Undi rakyat sudah boleh dibeli dengan harga yang murah sekali.

RM50?? RM100?? RM 250?? RM 300??? RM500?? RM1000?? Bagi undi bagi duit.

Maknanya selepas dapat kemenangan kedua-dua pihak sudah tidak berhutang antara satu sama lain. Yang menang tidak payah berkhidmat untuk rakyat manakala rakyat juga tidak payah mencari-cari wakil rakyatnya selepas pilihanraya/pemilihan. CASH MONEY sudah dilunaskan semasa pilihanraya/pemilihan lagi.

Kes-kes yang menyedihkan sudah pun berlaku terhadap system demokrasi di Negara ini.

1) Sebelum hari pengundian, juak BN bagi RM100. Malam hari pula Juak PAS/PKR bagi RM200. Jadi si mamat tu jd serba salah. Esoknya beliau tidak keluar mengundi. Rugi satu undi.

2) BN bagi RM 100. PAS/PKR bagi RM 100. Mamat pangkah kedua-duanya sekali. Jadi undi rosak. Rugi satu undi.

3) BN bagi RM 100. PAS/PKR bagi RM200. Si mamat pangkah PAS/PKR. Katanya dia akan pangkah yang mana bagi lebih.

4) BN bagi RM50. PAS/PKR tidak bagi apa-apa. Si mamat tu akan pangkah BN pada keesokkannya.

5) BN bagi RM 200. PAS/PKR bagi RM 250. Mamat kata dia amik kesemuanya. Tapi pangkah yang mana dia sahaja yang tahu.

6) Mamat tu tidak balik mengundi sebab duit minyak tidak disediakan. Rugi satu undi.

7) BN bagi RM 100. PAS bagi RM 100. Mamat tidak keluar mengundi kerana merasakan rasuah sudah berleluasa dan jijik dengannya. Rugi satu undi.

Perilaku-perilaku yang disebutkan tadi amatlah membimbangkan sekali. Tujuan sebenar pemilihan/pilihanraya diadakan sudah pun tersasar dari landasan yang betul.

Mentality rakyat/pemimpin sudah pun terikat dengan pitih/wang ringgit. Ingat pemilihan/pilihanraya maka terbayanglah habuannya. Tiada habuan maka tiada pemilihan/pilihanraya.

Konsep/prinsip sebenar pertandingan/pemilihan/pilihanraya sudah diletakkan ditepi.

Rakyat sudah tidak Nampak kenapa dan mengapa mereka perlu sokong pemimpin tertentu/ parti tertentu dalam membentuk organisasi/kerajaan. Mereka sudah buta fikiran, buta akal, buta minda, buta warna, buta pertimbangan, buta huruf dan buta segala-galanya. Penilaianya hanya tertumpu kepada wang/habuan yang bakal mereka perolehi jika memilih si anu-si anu/ parti-parti tersebut.

Amat terharu saya bila diajukan oleh diajukan soalan yang berbunyi sebegini.. “ Mat, beria benar engko sokong parti XYZ tu ... apa yang engko dapatnya???”... terlintas jauh di sudut hati saya, “ jadi sokong parti tu sebab dapat sesuatu lah ye????. Kalau tidak dapat sesuatu, entahlah apa jadi ye???”......

Di mana dan kemana kita???

Saya percaya dan terus percaya perbuatan ini akan membawa kesan yang serius terhadap Negara suatu hari nanti. Kesan yang berangkai dari satu cabang ke cabang yang lain. Dari satu organisasi ke organisasi yang lain. Dari pemimpin kanan sehinggalah kepada rakyat bawahan.

Jika di peringkat pemilihan pemimpin/parti sudah pun diterjemahkan maksudnya. Apatah lagi bila seseorang/satu-satu parti ini berkuasa dan menubuhkan kerajaan kelak. Perlakuan seupama akan berulang-ulang dari masa ke semasa. Keruntuhan nilai-nilai akan berlaku dan terus berlaku.

Nak pangkah nak wang. Nak tandatangan borang nak wang. Nak minta itu ini kena wang. Nak buat tugas minta wang. Semuanya berpaksikan wang/habuan walaupun gaji sudah ada tetapi wang habuan tetap dimahukannya.

Kerosakkan pada individu/organisasi kerajaan. Tidak hairan bilamana disebutkan dalam berita individu-individu tertentu melakukan rasuah atau menerima hadiah. Jangan pula menyalahkan mereka bilamana ianya berlaku. Jika semasa pemilihan/pilihanraya perkara seupama telah pun dibenarkan, kenapa pula tidak dibenarkan perkara tersebut dalam keadaaan yang lain.

Jika kita suka kepada amalan tersebut semasa pemilihan/pilihanraya, kenapa pula kita membencinya dalam keadaaan yang berlainan?? Jika kita diajar untuk memberi/menerima semasa pemilihan/pilihanraya, kenapa pula ianya tidak dibenarkan dalam keadaan yang lain. Mungkin itu yang terpahat dalam fikiran mereka.

Cuba bayangkan seorang pemuda yang pertama kali melalui proses pembuangan undi. Hatinya yang suci dengan tekad untuk mendapatkan satu-satunya pemimpin dan kerajaan yang bersih dari gejala tersebut begitu terkejut dengan reality yang terpakssa dialaminya itu. Persepsinya berubah 100 peratus terhadap proses pemilihan/pilihanraya. Apa yang dia lihat hanyalah kekotoran demi kekotoran.

Jika dahulu mereka menagungkan dasar dan perjuangan PAS yang kononnya dilihat bersih dari gejala-gejala tersebut. Tetapi realitinya adalah omongan kosong semata-mata.

Amat buruk sekali jika terdetik dihatinya jika pemimpin pun boleh berbuat sedemikian, apatah lagi dia seorang rakyat. Kalau pemimpin dibolehkan, sudah pasti dia tidak bersalah melakukan aktiviti yang melibatkan habuan atau pun rasuah.

Pemberian wang ringgit/habuan dalam pemilihan sudah pun menajdi barah dan juga BUDAYA dalam masyarakat kini. Barah yang akan merosakkan segalanya di suatu hari nanti. Kesedaran semua pihak adalah kunci kepadanya. Kesedaran tentang kerosakan yang akan ditanggung oleh semua bila perbuatan tersebut tidak dibendung malahan apabila ianya diluar kawalan kelak.

Barisan Nasional yang telah pun mendapat kuasa pemerintahan Negara seharusnya sedar akan hakikat ini. Jika amalan ini dilakukan olehnya maka saya percaya BN akan keilangan kuasa dengan sendiri kerananya. Tiada wang maka tiada undi akan diberikan. Tiada lagi sumpah saat setia terhadap parti. Tiada lagi sikap saling percaya mempercayai diantara satu sama lain. Tibanya saat itu, ia upama GOLOK MAKAN TUAN. Rebah kerana ditusuk oleh senjata sendiri.

Begitu juga dengan PAS/PKR. Jika amalan tersebut juga diamalkan, saya percaya parti-parti ini tidak akan pergi lebih jauh dalam arena politik Negara ini. Mereka akan hilang ditelan oleh arus zaman. Mereka tidak akan dipercayai buat selama-lamanya. Mereka tidak akan diberikan peluang untuk menubuhkan kerajaan kerana rakyat tahu, mereka juga tiada apa-apa keistimewaan berbanding dengan parti/kerajaan sedia ada.

Semoga semua parti politik Negara dapat menyedari hakikat bahawasanya aktiviti pemberian wang ringgit/habuan semasa pemilihan/pilihanraya adalah amat berbahaya sekali. Ianya perlulah dihentikan demi mewujudkan masyarakat yang betul-betul bebas memilih dalam pilihanraya/pemilihan.

Biarlah kalah tetapi kalah bermaruah.






Isnin, 11 Oktober 2010

Pas Kelantan 'rampas' tanah rakyat? - UTUSAN 111010



SUATU ketika dahulu, Gua Musang yang terletak di pedalaman Kelantan merupakan daerah yang paling 'ditakuti' kerana pernah jatuh ke tangan pemerintahan komunis selama tujuh hari.

Sepanjang pemerintahan singkat itu, komunis menjadikan gua-gua batu kapur di daerah itu sebagai lokasi sulit, selain melakukan pemerintahan kejam sehingga menyebabkan rakyat jelata menderita.

Sepanjang tempoh itu juga, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Kesan tersebut boleh dilihat melalui peninggalan dan monumen bersejarah seperti lombong-lombong emas, penempatan komunis, kubur di dalam masjid, gua-gua misteri, tokong purba Swee Nyet Keung dan kewujudan kampung baru yang masih kekal sehingga hari ini. Semua itu, saling berkaitan antara satu sama lain.

Salah satu faktor utama Gua Musang menjadi sasaran komunis adalah kerana kawasannya terpencil dan keadaan muka buminya berbukit-bukau serta belum diterokai.

Hari ini, selepas 53 tahun negara merdeka, daerah Gua Musang berubah seiring dengan transformasi negara biarpun kedudukannya agak terpencil. Daerah itu agak pesat membangun kerana terletak di tengah-tengah laluan antara Kota Bharu-Kuala Lumpur.

Sehingga sekarang, Gua Musang masih lagi 'kaya' kerana mempunyai tanah yang amat berpotensi diteroka dan dibangunkan untuk sektor pertanian. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut adalah peneroka tanah yang datang dari seluruh pelosok negeri Kelantan. Namun, selepas berpuluh tahun tinggal di situ, mereka masih belum mendapat hak atau geran tanah daripada pihak berkuasa tempatan.

Perkara ini sering dibangkitkan oleh penduduk di kawasan tersebut dan lebih menyedihkan apabila ada di antara tanah terbabit didakwa 'dirampas' oleh kerajaan negeri Kelantan untuk dijadikan Ladang Rakyat. Sebagai balasan, rakyat menerima pulangan semula dalam bentuk bayaran dividen bulanan sebanyak RM200.

Persoalannya, apakah tanah itu akan kekal menjadi milik mereka dan sampai bila bayaran dividen tersebut akan dibuat?. Ia merupakan beberapa persoalan yang dilontarkan oleh penduduk kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusof Abdul Ghani dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Bayangkan ada penduduk telah menunggu selama berpuluh-puluh tahun dan ada juga yang telah membayar deposit tetapi sehingga hari ini, mereka tidak diberikan geran. Hairannya, ada penduduk yang baru memohon telah diberikan geran. Kenapa ini berlaku kalau tidak ia ada kaitan dengan politik.

"Saya yakin pada pilihan raya kecil (Pilihan Raya Kecil DUN Galas) kali ini, Pas akan mendapat hukuman daripada penduduk tempatan. Mereka ternyata telah mengkhianati penduduk di Dewan Undangan Negeri Galas," katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan masalah tanah yang semakin bernanah dalam masyarakat Gua Musang akan menjadi paksi kepada semua persoalan pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 4 November ini.

"Ambil tanah dan bina Ladang Rakyat, itu nama sahaja...tetapi sebenarnya pemilik sebenar ladang adalah syarikat-syarikat besar. Masalah utama selain daripada pengambilan tanah ialah tidak semua rakyat mendapat hasil, hanya segelintir yang dapat. Tidak sampai lima peratus rakyat dapat, selebihnya yang untung adalah syarikat.

"Tidak seperti kerajaan pusat melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felda, rakyat tahu kerajaan memberi tanah ladang dan tanah lot untuk kegunaan mereka dan sebahagian daripada mereka sudah jadi kaya raya. Kita bukan ambil tanah dan beri kepada syarikat yang meraih keuntungan sendiri," katanya.

Ladang Rakyat yang diurus oleh Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan ditubuhkan pada 2006 dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dan sosio-ekonomi negeri.

Bagaimanapun, penubuhan ladang tersebut menimbulkan tanda tanya kerana sehingga sekarang, kerajaan negeri tidak menjelaskan secara mendalam mengenai kedudukan kesemua ladang tersebut, di mana kesemua pesertanya diberikan dividen sebanyak RM200 sebulan.

Menurut laman web perbadanan tersebut, sehingga Oktober 2007, sejumlah 2,973 peserta telah menikmati dividen bulanan hasil daripada pembangunan ladang kelapa sawit.

Peserta Ladang Rakyat pula diambil dari Senarai Keluarga Miskin Negeri Kelantan 2005 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan tambahan senarai daripada pencalonan rakyat miskin yang dicalonkan oleh penghulu dan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan Penyelia Dewan Undangan Negeri.

Namun, apakah sistem pencalonan peserta tersebut benar-benar telus dan melibatkan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana di kedai-kedai kopi di seluruh negeri khususnya di Galas, jelas kedengaran rungutan mengenai perkara tersebut.

Mohd. Yusof mendakwa, kerajaan negeri hanya tahu mengambil tanah rakyat dan kemudian menjualnya kepada syarikat tertentu untuk mendapatkan keuntungan yang besar tetapi pada masa sama, mengabaikan nasib penduduk yang kehilangan tempat untuk mencari rezeki.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Nengggiri itu yakin Pas tidak akan membangkitkan isu royalti minyak pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas.

Ia juga selaras dengan pendirian Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) yang menyokong pemberian royalti minyak.

"Sebelum ini, Pas menaikkan kain pemidang yang menyatakan rakyat Kelantan dikhianati tetapi dua tiga hari lepas, saya tengok Pas telah menurunkan pemidang yang mengecam pembahagian wang ihsan. Nampaknya isu yang mereka gembar-gemburkan tidak didengari langsung oleh rakyat Kelantan kerana tidak ada unsur pengkhianatan," katanya.

Biar apa pun isunya, apakah pengundi di Galas bersedia sepenuhnya untuk menghukum Pas?

Jumaat, 27 Ogos 2010

MELAYU SESAK NAFAS dalam KEMERDEKAAN




Sempena bulan kemerdekaan yang ke-53 ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN kepada seluruh rakyat Malaysia. Kemerdekaan yang dingini oleh setiap Negara dan rakyatnya daripada belenggu penjajahan.

Disamping itu saya juga ingin mengucapkan rasa bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini telah membolehkan kita semua hidup dalam keadaan aman damai, rezeki yang melimpah ruah di bumi bertuah ini.

Bagi orang melayu, erti kemerdekaan kepada mereka amatlah significant sekali maknanya. Tanah ini yang dahulunya dikenali sebagai tanah melayu yang berulang kali dijajah oleh emperialis dunia selama berabad lama telah pun kembali kepada mereka semula. Perjuangan-perjuangan yang dilancarkan oleh pejuang-pejuang terdahulu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Anak cucu cicit mereka sedang menikmati apa yang telah mereka korbankan suatu masa dahulu.

Besarnya erti kemerdekaan...

Tahun berganti tahun, hari berganti hari... erti kemerdekaan yang dibanggakan selama ini nampaknya semakin luntur dalam sanubari anak cucu cicit pejuang melayu.

Keperitan dan kesengaraan yang dihadapi oleh nenek moyang mereka sebelum ini nampaknya semakin dilupakan dan seolah-olah tidak dipedulikan lagi oleh golongan millennium ini.

Kita seringkali mendengar suara-suara gampang dari kalangan rakyat merdeka ini yang ingin membawa Negara kearah kehancuran semula. Seakan-akan mereka ingin membuat pusingan U dan membawa Negara ini ke zaman sebelum merdeka.

Persetujuan serta persepakatan yang dipersetujui dalam skrol kemerdekaan oleh kaum-kaum yang ada sudah dilanggar atau ditidakkan satu persatu. Melayu kini telah menjadi mangsa semula. Mangsa kepada keadaan.

Saban hari hak-hak melayu dipersoalkan oleh rakan sahabat mereka sendiri. Malahan ianya datang daripada melayu itu sendiri.

Melayu sedang sesak nafas...

Setelah 53 tahun tanah melayu ini merdeka, kekurangan dan kecurangan bangsa melayu semakin terserlah. Kekurangan dari segala segi terutamanya dalam bidang ekonomi dan sosial. Jika dibandingkan dengan jangka hayat seseorang manusia, umur 53 tahun merupakan saat yang sesuai baginya untuk bersara dan menikmati apa yang telah mereka usahakan. Segala persediaan dan perancangan boleh dikatakan telah mencapai kejayaan dan boleh diwarisi oleh anak-anaknya.

Namun malang sekali keadaannya...53 tahun kemerdekaan melayu masih lagi jauh ketinggalan berbanding dgn bangsa lain yang tidak pernah merasai susah senang menghadapi penjajah. Bangsa melayu masih lagi merayu-rayu untuk belas ihsan daripada orang lain untuk hidup mereka.

Mereka sekali lagi sedang disisihkan secara sistematik dalam sistem ekonomi Negara. Penyisihan yang begitu lama ini telah menampakkan kesannya terhadap kehidupan seharian orang melayu. Boleh dikatakan dari A sehingga Z ianya dikawal oleh bangsa lain. Melayu hanya menerima tanpa banyak soal. Diluah mati mak ditelan mati bapa!!!

Sehingga kini, orang melayu masih lagi tiada kudrat untuk menusuk masuk kedalam kategori yang digelar taikun-taikun besar ekonomi. Apa yang bangsa lain kuasai, bangsa melayu juga turut memilikkinya. Tidak..tidak ada!!!

Dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada yang sekecil-kecil perkara yang berkaitan ekonomi. Keadaan ini telah membolehkan bangsa lain terutamanya kaum cina mendabik dada bahawa mereka telah menguasai ekonomi Negara dan sekaligus menguasai Negara ini. Secara tidak langsung mereka berpandangan bahawa orang melayu lebih hina dari mereka yang hina dahulu.

Selang dua tiga hari lagi dari tarikh keramat ini, kedengaran berbagai hinaan yang diterima oleh orang melayu dibuminya sendiri. Kiri kanan dihimpit dan ini telah menimbulkan keadaan sesak serta rimas dalam pemikiran orang melayu.

Isu-isu seperti pengurangan kuota bumiputera, bahasa melayu bahasa pengantar, agama islam agama rasmi, isu pendidikan dan sebagainya seringkali dimainkan oleh bangsa lain. Beraninya mereka ini?? Tidakkah mereka takutkan undang-undang?? Tidakkah terfikir dalam benak fikiran mereka melayu akan terguris ??? siapakah dibelakang mereka??

Mereka tidak fikirkan semua itu. Mereka lebih gembira sekiranya melayu ditindas dan terus ditindas. Mereka sudah mempunya kuasa kecil untuk menutup mulut orang melayu. Itu pun sudah memandai untuk mereka meneruskan agenda mereka terhadap melayu.

Keberanian mereka ini bukannya datang dari diri mereka sendiri. Ianya digalakkan oleh melayu. Melayu yang mempunyai angan-angan tersendiri. Melayu yang berkepentingan dalam mengejar cita-cita politiknya. Mereka ini telah membuka jalan kepada bangsa lain untuk menekan bangsanya sendiri.

Si KITUL.....

Jika hari ini melayu terdedah kepada ancaman dari pelbagai arah... boleh bayangkan apa yang tinggal untuk melayu pada masa-masa akan datang?? 5 tahun.. 10 tahun..50 tahun.. 100 tahun??? Apa yang melayu ada??

Hanya doa serta usaha yang tidak seberapa sahaja yang tinggal untuk survival orang melayu. Sempena kuasa masih lagi dipegang, lakukanlah segala apa yang patut untuk mengukuhkan kedudukan melayu. Gunakanlah apa yang ada untuk orang melayu.

Kembalikanlah apa yang telah melayu hilang.

Janganlah melayu akan datang menyumpah serta mengeji melayu hari ini. Menyumpah semasa mereka mengingati hari kemerdekaan yang akan kita sambut sehari dua lagi. Mereka kehilangan segala-galanya kerana kegagalan melayu hari ini menguruskan amanah yang diberikan oleh melayu terdahulu.

Melayu...semakin hari semakin LAYU...



Ahad, 8 Ogos 2010

Apa jasa Pas?

WANG hairan apabila Pas berterusan mendakwa UMNO tidak Islam atau kurang Islam setiap kali memperkatakan soal Islam. Padahal UMNOlah parti paling berjasa kepada perkembangan syiar Islam di negara ini.

UMNO jugalah yang paling ke hadapan dalam mempertahankan kesucian Islam. Terbaru dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. UMNO turut menjadi parti Islam di negara ini membina paling banyak masjid, sekolah agama, universiti termasuk universiti Islam, memperkenalkan Tabung Haji dan pelbagai instrumen Islam dalam sistem perbankan dan insurans.

Peranan aktif Malaysia dalam dunia Islam yang diperakukan oleh masyarakat antarabangsa, juga adalah atas dasar UMNO. Kesederhanaan pendekatan UMNO membolehkan ramai bukan Islam di negara ini memeluk Islam terutama ketika era kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rekod pencapaian itu belum mampu ditandingi Pas yang lebih banyak retorik. Bahkan UMNO terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berdekad-dekad lebih awal berbanding Pas yang baru setahun jagung.

Ramai masih ingat betapa pemimpin Pas ghairah melabel bukan Islam sebagai kafir. UMNO yang berbaik-baik dengan parti bukan Islam ditentang serta dituduh kafir. Bukan setakat itu sahaja, UMNO konsisten memerangi ekstremisme agama dan menjadi pelindung terbaik kepada penganut agama lain.

Dasar UMNO juga membolehkan kaum minoriti di peringkat awal kemerdekaan berkongsi kuasa. Kaum minoriti juga boleh menguasai ekonomi, adalah atas kemurahan hati kepimpinan Melayu di bawah UMNO.

Selain itu, Malaysia dijadikan model negara Islam termasuk oleh negara rantau Arab adalah kerana pengurusan yang cemerlang. Sebab itu, Awang hairan apabila ramai pemimpin Pas menolak idea permuafakatan dengan UMNO kononnya kerana parti itu kurang Islam dan meletakkan banyak syarat.

Anehnya Pas tidak menetapkan sebarang batasan kepada DAP dalam kerjasama mereka, malah asyik tunduk kepada parti tersebut yang secara terbuka menentang gagasan negara Islam. Pada Awang, Pas menjadi parti paling dayus meskipun menggunakan nama Islam. Paling menjijikkan apabila ada pemimpin angkuh seperti Mahfuz Omar yang suka menghina orang Islam lain. Pedulikan golongan seperti itu, yang suatu hari akan menangis keinsafan kerana merekalah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, mana-mana golongan yang menolak dan menyulitkan usaha ke arah perpaduan, akan menerima pembalasan. Rasulullah sendiri adalah pejuang perpaduan yang tidak meletakkan syarat dan batasan dalam usaha murninya. Meskipun baginda mendokong permuafakatan dengan penganut agama lain, namun teras kepimpinan baginda adalah mendahulukan perpaduan sesama umat Islam.