Khamis, 10 Februari 2011

Masa depan orang Melayu



Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my (10/02/2011)

THE Malay Dilemma adalah buku penuh kontroversi karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diterbitkan pada 1970. Buku dalam bahasa Inggeris itu diharamkan kerajaan dan pengharaman hanya ditarik balik selepas beliau menjadi Perdana Menteri, 11 tahun kemudian. Pada 1982, buku itu turut diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk Dilema Melayu.

Dalam naskhah 222 halaman tersebut, Dr. Mahathir memberikan pandangan berterus-terang mengenai sikap orang Melayu yang disifatkannya sebagai tidak progresif berbanding dengan orang Cina. Beliau juga menerangkan sebab-sebab tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Dr. Mahathir turut menyifatkan orang Melayu sebagai kaum yang lebih suka mendapatkan keuntungan dalam jangka masa pendek, tidak suka berusaha keras dan tidak rajin seperti orang Cina. Beliau juga mengkritik sikap orang Melayu yang berkongsi niaga dengan orang Cina kerana mereka lebih cenderung menerima jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan dimiliki dan langsung tidak mengambil bahagian dalam perniagaan terbabit.

Selain itu, beliau turut memberi amaran andainya semua perlindungan yang dinikmati kaum Melayu sekarang, hasil daripada kuasa politik yang mereka miliki dimansuhkan, maka orang Melayu akan berdepan semula dengan hukum primitif iaitu mereka yang terkuat dan sihat sahaja akan terus hidup.

Banyak lagi dilema lain yang dikupas beliau dalam buku yang mempunyai 11 bab yang menyentuh pelbagai topik termasuk Dilema Ekonomi Melayu, Pengertian Persamaan Kaum, Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema Melayu, Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu serta Politik Perkauman dan Parti.

Bagaimanapun, setelah hampir 41 tahun buku itu diterbitkan, tiada siapa membuat penilaian terperinci sejauh mana dilema berkenaan dapat diatasi. Sehubungan itu, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) yang dianggotai bekas pemimpin mahasiswa universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mengadakan Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi pada Sabtu ini.

Pada tarikh berkenaan, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan bergema dengan suara-suara anak muda membincangkan kembali segala dilema yang pernah dibangkitkan Dr. Mahathir dalam bukunya.

Mengulas perkara itu, Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah menjelaskan, simposium sehari itu bertujuan membangkitkan kesedaran golongan muda tentang pentingnya mereka menyumbang idea bernas bagi memastikan segala dilema berkenaan dapat diatasi secara kolektif.

''Penganjuran simposium ini tidak harus dilihat sebagai provokasi terhadap kaum lain atau cubaan untuk menidakkan gagasan 1Malaysia.

''Sebenarnya, apabila kita membicarakan gagasan 1Malaysia, kita tidak boleh melupakan komponen terbesar di dalamnya iaitu orang Melayu. Mana mungkin penyatuan rakyat berbilang kaum dapat dilaksanakan jika dilema orang Melayu masih belum diselesaikan," katanya.

Jelas beliau, antara topik utama yang akan dibincangkan adalah sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti yang belum tercapai dan juga dilema generasi muda sekarang apabila terdapat pihak tertentu yang mahukan mereka mewarisi ideologi politik sempit yang penuh dengan prasangka yang hanya akan mewujudkan perpecahan sesama Melayu.

Dalam pada itu, Naib Presiden II Aspirasi yang juga pengarah program simposium berkenaan, Mohd. Zafry Mohd. Yunus memberitahu, Dr. Mahathir akan menyampaikan amanat penting kepada golongan muda berhubung kesudahan buku tulisan beliau itu ketika sesi ucaptama pada sebelah pagi.

Katanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula akan berkongsi pandangan mengenai kedudukan bumiputera dalam konteks Model Baru Ekonomi ketika berucap pada sesi makan tengah hari, diikuti sesi diskusi ekonomi bertajuk "Milikan 30 Peratus Ekuiti Bumiputera Menjelang 2020, Bagaimana dan Dimana Melayu?" yang akan dipengerusikan Penasihat Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Empat ahli panel pada sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid.

Sesi diskusi politik bertajuk "Cabaran Kepimpinan Melayu Di Masa Hadapan" pula akan dipengerusikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi. Ahli-ahli panel pada sesi berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali. Majlis Makan Malam Perdana akan diadakan pada penghujung simposium yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd. Zafry juga menjelaskan walaupun majoriti 2,000 peserta yang akan hadir adalah belia berusia antara 18 hingga 45 tahun, pihaknya turut membuka pintu kepada individu di luar lingkungan usia berkenaan. Mereka yang ingin turut serta masih boleh berbuat demikian dengan membayar yuran penyertaan sebanyak RM100.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, kunjungi laman web www.dilemamelayu.com atau hubungi 012-2272015 atau 013-2233545. Pendaftaran juga boleh dibuat di kaunter masuk pada pukul 8.30 pagi sebelum simposium bermula.

Diharapkan semua peserta simposium dapat mengemukakan pandangan demi masa depan orang Melayu terutama pada sesi soal jawab nanti. Untuk mereka, kata-kata Dr. Mahathir dalam pendahuluan buku Dilema Melayu mungkin boleh dijadikan panduan:

''Buku ini diterbitkan bukanlah dengan maksud hendak mencari popular dari kalangan masyarakat tertentu di Malaysia. Sebaliknya, besar kemungkinan ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan tertentu dan kemarahan golongan lain. Tiada maaf yang dipinta - apa yang saya tulis telah ditulis dengan ikhlas."

0 ulasan: