Jumaat, 19 September 2008

Wujudkan Majlis Hubungan Antara Kaum – MIC


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

KUALA LUMPUR 18 Sept. - MIC mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah Majlis Hubungan Antara Kaum untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama, bahasa, budaya dan sensitiviti perkauman.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penubuhan majlis itu penting bagi membantu kerajaan mengukuhkan lagi perpaduan kaum yang terjejas selepas pilihan raya umum Mac lalu.

''Orang ramai berasa bimbang dengan situasi sekarang yang mana pelbagai isu sensitiviti kaum telah dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

''Jadi, biarlah kita kembali kepada perjuangan asal dengan mengekalkan perpaduan, demi kebaikan rakyat dan negara,'' katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di sini hari ini.

Dicadangkan

Katanya, majlis tersebut dijangka dapat diwujudkan selepas Akta Hubungan Antara Kaum yang dicadangkan dapat direalisasikan.

''Anggotanya harus terdiri daripada pelbagai parti politik, persatuan agama serta kebudayaan bagi membina semula perpaduan kaum,'' ujarnya.

Sementara itu tambahnya, MIC meminta kerajaan memastikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan secara berhati-hati dan pembangkang pula harus menghentikan semua tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Dalam pada itu, MIC menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera menahan sesiapa sahaja yang mengungkit isu kaum serta agama yang menimbulkan perbalahan.

Dalam mesyuarat itu, MIC turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan berkuat kuasa semalam.

Sambil mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Najib, Samy menyatakan MIC juga akan kekal setia kepada Barisan Nasional (BN) dan terus membantu BN mendapatkan semula sokongan rakyat melalui pembaharuan yang dilakukan.

''MIC menyokong segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kukuh," tegasnya.

0 ulasan: