Jumaat, 19 September 2008

Program radio, takdir dan balasan politik


UTUSAN MALAYSIA : 19-09-08

DALAM satu dokumentari Utusan Online TV (www.utusanonline.tv) yang menganalisis situasi politik negara dan gimik perubahan kerajaan 16 September, Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim menyuarakan kebimbangannya mengenai arah politik generasi muda di negara ini, khususnya belia Melayu.

"Kita telah kehilangan satu generasi," katanya.

Apa yang dibangkitkan oleh Razali itu merupakan realiti yang menggelisahkan.

Sejak sepuluh tahun lalu, generasi muda di negara ini diajar oleh sesetengah pihak untuk berani membuat kacau, tidak mempedulikan undang-undang dan mencetuskan perubahan melalui cara-cara yang tidak bermoral.

Jika sedekad lalu mereka berusia 30 tahun, hari ini mereka sudah pun mencecah umur 40-an, memasuki usia matang dengan perasaan tidak puas hati, marah-marah dan memberontak.

Razali menggesa strategi bersepadu dicari untuk memulihkan generasi muda itu yang beliau sifatkan sebagai "telah dirosakkan".

Ahli Parlimen itu wajar berasa bimbang mengenai kecelaruan dalam pemikiran politik anak-anak muda Melayu.

Untuk menilai betapa ranapnya pemikiran golongan muda itu, elok sesekali kita mendengar ulasan pengacara sebuah stesen radio berita yang dikendalikan oleh agensi milik kerajaan.

Semalam, antara pukul 1 dan 2 petang, stesen radio itu menyiarkan program interaktif bersama pendengarnya membincangkan satu topik semasa.

Pengacaranya mengemukakan soalan berikut: "Manakah lebih penting: Peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib atau turunkan harga minyak?"

Apakah motif sebuah stesen radio kerajaan yang dikendalikan oleh orang muda membuat tinjauan pendapat seumpama itu tidak dapat difahami.

Membandingkan sesuatu yang abstrak seperti kuasa dengan isu keperluan asas yang dihadapi oleh majoriti rakyat bukanlah satu langkah yang logik.

Hasilnya, majoriti pendengar memperlekehkan pemimpin dan memberi keutamaan kepada perut dan keselesaan hidup mereka.

Jika program itu didengar oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, eloklah beliau merenung berapa lama lagi kerajaan yang ada sekarang akan dihormati oleh orang muda.

Kebebasan yang diberikan kepada stesen radio itu telah dipergunakan untuk membincangkan sesuatu yang serius tanpa adab-adab yang menjadi sebahagian daripada tradisi intelektual.

Pengacara itu membacakan SMS, e-mel dan panggilan telefon yang diterima daripada orang ramai.

Mana-mana individu yang terlibat dalam organisasi yang merancang kerja-kerja propaganda dan perang saraf amat menyukai program interaktif stesen radio itu.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah memastikan organisasi tersebut memiliki 15 orang pekerja parti yang setiap seorang mempunyai dua buah telefon bimbit.

Kerja mereka setiap hari cuma memantau program secara langsung seumpama itu, dan mengeksploitasi sepenuhnya medium tersebut untuk mempengaruhi pandangan orang ramai.

Maka keluarlah apa yang disiarkan oleh stesen radio itu antara pukul 1 dan 2 petang semalam.

Di atas permukaan, diskusi interaktif tersebut mungkin digambarkan sebagai refleksi kepada kebebasan dan ketelusan baru, tetapi di dasar ia memperlihatkan ada pihak tertentu telah terperangkap dalam propaganda politik pembangkang.

Untuk mengulangi apa yang dilafazkan oleh pengacara radio itu dalam akhbar ini hanya akan mengundang kontroversi. Elok pemimpin kerajaan menyelidik sendiri kandungan program itu.

Tidak manis disiarkan apa yang dibacakan oleh pengacara stesen radio itu, tetapi cukuplah kalau dikatakan bahawa ia mencerminkan kebencian yang meluap-luap, pandangan dangkal dan situasi debat yang tidak adil.

Penjelasan dalam SMS, e-mel dan panggilan telefon dibuat berdasarkan emosi dan logik umum yang tidak memberikan fakta yang komprehensif.

Bolehkah anda memberikan justifikasi kepada isu harga minyak yang dipengaruhi fenomena global atau aspek peralihan kuasa negara majmuk seperti Malaysia dengan sekadar mengirim SMS yang mengandungi lima patah perkataan?

Malangnya, atas sebab-sebab tertentu, program interaktif seumpama itu disiarkan juga dan diangkat sebagai sesuatu yang suci yang menjadi lambang kepada kebebasan.

Mana-mana orang muda yang meminati stesen radio itu akan merasakan pemimpin kerajaan yang bekerja untuk membina bangsa dan negara telah direndahkan martabat mereka - bukan oleh puak pembangkang tetapi oleh petugas stesen radio milik sendiri.

Kecetekan hujah dan kesempitan pemikiran sesetengah ejen propaganda pembangkang jelas dipaksakan pihak tertentu untuk didengar oleh orang muda - secara langsung, terbuka dan tanpa tapisan.

Pemimpin seperti YB Razali dan Ahmad Shabery patut meluangkan lebih banyak masa mendengar program-program radio seumpama itu dan jika mereka merasakan istilah kebebasan perlu diberi ukuran baru mungkin mereka patut mengambil bahagian untuk memberikan perspektif yang lebih saksama.

Dalam program seperti itu, bilangan orang yang ingin mempertahankan kerajaan boleh dikira dengan jari.

Sebenarnya, setiap seorang daripada kita mempunyai takdir kita sendiri. Demikian juga dengan parti politik dan kerajaan.

Dalam had-had tertentu, takdir boleh dikawal dan masa depan dapat dicorakkan ke arah yang lebih baik.

Namun, apabila para pemimpin membiarkan takdir buruk menimpa kerajaan dengan mengizinkan jentera sendiri menjadi sebahagian daripada punca parti dan negara dihina, tunggulah balasan politiknya.

0 ulasan: