Rabu, 27 Ogos 2008

'Signal' rakyat bahawa era Abdullah sudah berakhir


HARAKAH : 27/08/08

PERMATANG PAUH, 27 Ogos (Hrkh) - Kemenangan di Permatang Pauh semalam bermakna setiap parti dalam Pakatan Rakyat iaitu KeADILan, PAS dan DAP perlu mengalas satu lagi tugasan yang penuh dengan cabaran.

Apa yang penting ialah jernihkan keadaan dengan membuang apa yang keruh demi rakyat yang telah memberi sepenuh kepercayaan untuk melihat apa yang dijanji dikotakan.

Bagi Naib Presiden dan Bendahari PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan Dr Hatta Ramli, rakyat sekarang mahukan sebuah kerajaan yang memperjuangkan ketelusan, amanah dan adil.

Keputusan pilihan raya Permatang Pauh jelas menunjukan rakyat telah matang bukan lagi seperti dulu dibelenggu ketakutan terhadap gertakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Zaman telah berubah dan kita sebagai terajunya kena mainkan peranan memajukan lagi parti kerana rakyat sudah yakin dengan Pakatan Rakyat, " tegas mereka ketika ditemui di Dewan Maktab Tungku Bainun, Mengkuang, Bukit Mertajam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan),R.Sivarasa menyifatkan, kemenangan ini bukan kemenangan individu Anwar sebaliknya kemenangan rakyat.

Katanya,rakyat sukakan perubahan yang boleh meningkatkan produktiviti mereka bukan lagi perubahan kemajuan yang akhirnya membawa keuntungan kepada kroni.

"Bagi saya apa yang rakyat tunjukkan umpama lampu hijau bahawa era Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di penghujung hayat, " jelas beliau.

Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Fariz Musa pula yakin apa yang BN taburkan tidak lagi menjadi habuan sebenar pengundi. Mereka hanya ambil apa yang disuapkan oleh BN termasuk wang ringgit tetapi tetap pilih Pakatan Rakyat.

"Inilah yang dikatakan bijak, rakyat yang bijak memilih, " tegasnya yang ditemui di hadapan padang Maktab Perguruan itu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan raya PAS Permatang Pauh, Dr Mujahid Yusuf Rawa mengucapkan, terima kasih pada semua jentera PAS dari seluruh negara kerana bertungkus lumus menjayakan harapan Pakatan Rakyat untuk menjadi pemerintah pada masa depan.

"PAS tetap setia dengan Pakatan Rakyat dan apa yang BN rancangkan untuk memecahkan perpaduan kalangan pemimpin parti di tolak rakyat, " kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang. - mks._

0 ulasan: