Rabu, 27 Ogos 2008

Harga minyak mungkin akan diturunkan lagi

UTUSAN MALAYSIA : 27/08/2008

KUALA LUMPUR 27 Ogos — Kerajaan mungkin akan menurunkan lagi kadar harga minyak mengikut kadar harga di pasaran dunia bagi meringankan lagi bebanan rakyat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Jelaing anak Mersat.

“Kerajaan bercadang untuk meringankan lagi bebanan ini dan mungkin menurunkan harga ataupun mengikut kadar harga minyak setong di pasaran dunia,” katanya menjawab soalan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Chong ingin tahu sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga petrol dan diesel pada 1 Sept nanti seperti yang dijanjikan walaupun harga bahan api itu telah diturunkan pada 22 Ogos lepas.

Jelaing berkata harga minyak diturunkan lebih awal dari tarikh yang diumumkan kerana hendak meringankan beban pengguna lebih awal dan kerajaan akan menurunkan harga bahan bakar itu sekiranya perlu selepas menilai semula perkara itu dalam masa dua minggu atau sebulan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Henry Sum Agong (BN-Lawas), Jelaing berkata kementerian sedar akan masalah harga barang-barang keperluan adalah mahal dan ketara perbezaannya yang dihadapi oleh penduduk di tanah tinggi khususnya di Bario, Ba’Kelalan, Long Semadoh dan kawasan lain di Sarawak.

— LAGI PARLIMEN-MINYAK 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR “Faktor utama yang menyebabkan keadaan ini adalah kos pengangkutan yang amat tinggi untuk menghantar barang-barang keperluan bagi kegunaan penduduk dan ini tidak dapat dielakkan kerana kekurangan kemudahan pengangkutan yang disebabkan keadaan geografi serta kedudukan yang jauh dan terpencil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak telah memberi kemudahan subsidi bagi perkhidmatan pengangkutan darat yang disediakan untuk menghantar bekalan bahan petroleum bagi kegunaan penduduk di kawasan pedalaman.

Mengenai depot atau stesen minyak kecil yang akan didirikan di kawasan pedalaman Sarawak untuk mengatasi masalah harga minyak yang melambung tinggi di kawasan itu, Jelaing berkata kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak telah menubuhkan satu jawatankuasa teknikal pada 18 Ogos lepas.

“Penduduk di bahagian tersebut telahpun bergerak dan mendapatkan maklumat serta memberi cadangan di mana kawasan prioriti yang akan dibina depot ini supaya harga minyak di pedalaman ini dikurangkan lagi dan tidak begitu mahal daripada kawasan bandar,” katanya.

— BERNAMA

0 ulasan: