Rabu, 1 Ogos 2012

BULAN OGOS BULAN KEMERDEKAAN RAKYAT MALAYSIA.


Hari ini, 1hb Ogos 2012 tibalah permulaan hari bagi bulan Ogos yang telah difahami sebagai bulan menyambut hari KEMERDEKAAN bagi Negara ini. Bulan yang penuh bermakna bagi seluruh warganegara kerana bulan ini menandakan berakhirnya musim emperialisme terhadap tanah melayu. Bulan yang disambut dengan laungan kemerdekaan dan membebaskan Negara dan rakyat dari remote control pihak British.
Hasil dari kemerdekaan ini membolehkan Negara ditadbir sendiri oleh rakyat peribumi dan hasilnya dapat dilihat dengan segala kemajuan yang dikecapi saat ini. Kehidupan serta pencapaian membanggakan yang dialami oleh Negara dan rakyat jelata sehingga kini dan diharapkan untuk selamanya.

Kemerdekaan juga telah melahirkan pemimpin yang cakna dari kalangan warganegara mengikut kaumnya. Boleh dikatakan keseluruhan rakyat dibawah kepimpinan pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat mendapat hasil dari kebijaksanaan dan kemuliaan para pemimpin yang silih berganti sejak kemerdekaan.
Biarpun pemimpin yang timbul dari kalangan rakyat itu mendapat kencaman serta hinaan disaat-saat akhir mereka ditampuk kuasa, namun fakta tentang apa yang telah pemimpin tersebut berikan kepada Negara serta rakyatnya tidak boleh diketepikan dan dinafikan sama sekali.

Begitu susahnya Negara penjajah untuk memberikan kemerdekaan kepada kita namun lebih susah lagi untuk mengekalkan nilai kemerdekaan tersebut. Begitu susah usaha dirancang dan dilakukan untuk memenuhi isi kemerdekaan. Namun adakah ia masih dihargai dan dihormati oleh anak bangsa?
Apa erti kemerdekaan??

Lain orang lain pandangannya. Ramai orang bilamana disebut perkataan merdeka, maka terbayang dalam fikiran mereka tarikh 31 Ogos dan merupakan cuti umum kepada mereka. Tarikh 31 Ogos tidak membawa apa-apa erti tersirat jauh di hati mereka. Mereka tidak perlu merasa apa-apa tentang tarikh 31 Ogos kerana atas sifat kealfaan dan kemakmuran yang sedang mereka kecapi. Tidak perlu mengingati tarikh keramat itu kerana mereka sudah pun memiliki segala kesenangan untuk diri sendiri dan anak cucu mereka.
Ada juga yang berpendapat, 31 Ogos adalah satu tarikh dimana satu perarakan akan dilaksanakan di satu-satu tempat. Perarakan yang sudah pastinya ramai pengunjung untuk melihat persembahan yang dipersembahkan semasa hari tersebut. Habisnya acara tersebut, mulut mereka akan berkata begitu hebat persembahan tersebut tetapi mereka tidak memahami dan mengerti apa tujuan setiap acara atau persembahan tersebut dilakukan.

Ada juga dikalangan kita yang menyambut 31 Ogos dengan melakukan aksi-aksi ganas di sepanjang lebuh raya. Aksi-aksi yang membahayakan serta merugikan nilai modal insan yang diperlukan oleh Negara. Aktiviti-aktiviti tidak bermoral juga berleluasa tanpa sempadan yang merosakkan anak bangsa.
Siapa yang peduli??

Semakin jauh kita dari tarikh bermulanya kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957 maka semakin dilupai apa yang berlaku. Ditambah pula dengan keselesaan hidup pada zaman kini, maka ianya semakin dianggap tidak membawa apa-apa erti didalam jiwa warganegara.
Penerapan nilai-nilai kemerdekaan nampaknya tidak memberi kesan mendalam terhadap warganegara masa kini. Usaha berterusan dan berkesan perlu dilaksanakan agar terlekat dihati rakyat terutamanya generasi kini akan erti kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos setiap tahun. Biar terlekat dihati mereka cintakan tanah air, berbangga dengan kemerdekaan yang dikecapi serta bersedia untuk mempertahankannya bila perlu.

Tidak cukup hanya sekadar meminta mereka memasang bendera di kenderaan masing-masing, di rumah atau di premis-premis perniagaan masing-masing. Ianya tidak meresapi ke dalam jiwa mereka kerana ianya hanya bermotifkan kemeriahan semata-mata dan bukannya penghayatan kepada kemerdekaan itu sendiri.
Dokumentari-dokumentari tentang peristiwa awal kemerdekaan perlu dipertontonkan dari masa ke semasa sama ada melalui tv, radio, akhbar, majalah, banner iklan dan sebagainya. Ianya perlu ditonjolkan kepada penglihatan umum agar bahan tersebut melekat ke dalam jiwa sanubari rakyat. Biarlah kerajaan rugi sedikit tetapi kesan untuk jangka masa yang lama amat diperlukan agar nilai kemerdekaan itu tidak terhakis dari jiwa warganegara.

Kempen kemerdekaan 2012.
Baru-baru ini telah diwar-warkan oleh menteri penyiaran bahawa tema hari kemerdekaan tahun ini agak berlainan sedikit dan kini sudah menjadi bahan debat dikalangan rakyat. Tema “JANJI DITEPATI” nampaknya tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak.

Sanggahan hebat dari kalangan pembangkang berkenaan tema yang dipilih semakin hebat. Dikatakan tema tersebut bersangkut paut dengan agenda politik masa kini. Jika dihalusi akan tema tersebut, ada benarnya kata-kata mereka itu dan ini sepatutnya diberi pertimbangan sewajarnya daari pihak kerajaan kerana kemerdekaan perlu mendapat persetujuan dan percantuman hati dari semua pihak. Sekiranya ada pihak yang membangkang, maka ia perlu dilihat dan dikaji semula agar tema yang dipilih bersesuaian dan menepati citarasa semua warganegara.

Kerajaan perlu bersikap realistic terhadap perkara ini dan janganlah disebabkan oleh tema yang tidak bersesuaian maka, kemeriahan menyambut hari tersebut tidak dirasai oleh setengah golongan terutamanya mereka yang terang-terang tidak bersetuju.
Adalah dicadangkan agar diadakan perbincangan semua pihak atau wakil parti atau kaum dalam menentukan satu-satu tema, acara yang bakal diadakan dan juga aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang bulan dan kemuncaknya pada 31 Ogos nanti. Perbincangan dan persetujuan semua pihak dalam melaksanakan satu-satu perkara yang berkaitan kenegaraan akan lebih bermakna sekiranya ianya disahut dan didokong oleh semua pihak.

Sekiranya maksud lain yang diserapkan didalam penghayatan kemerdekaan, maka kita tidak perlu terkejut sekiranya nilai kemerdekaan itu tidak di hiraukan oleh sesetengah pihak atau pun individu.
Diharapkan sambutan tahun lebih bermakna bagi seluruh warganera tidak kira apa bangsa, agama dan juga apa fahaman politik mereka. Sesungguhnya kemerdekaan itu perlu disambut oleh semua warganegara dan tidak ada yang terkecuali.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-55.

0 ulasan: