Jumaat, 3 Ogos 2012
BULAN KEMERDEKAAN – Merdekakan sekolah Agama dan Sekolah Pondok
Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana kita
dianugerahkan dengan nikmat Negara Merdeka. Merdeka dari belenggu penjajah yang
mempunyai seribu satu perancangan yang merugikan kita semua terutama bangsa
melayu. Dengan kemerdekaan yang diperolehi maka kita telah dapat menyusun
sendiri agenda Negara, bangsa dan agama.
Salah satu nikmat dari kemerdekaan yang
diperolehi adalah kita dapat menyusun perancangan yang amat berkesan terhadap system
pengajian untuk anak bangsa. Kini, dapat dilihat bagaimana tumbuhnya
kepelbagaian institusi pengajian yang masing-masing menjurus kepada kemahiran
tertentu yang sudah pasti akan memberi kuntungan kepada Negara, bangsa dan
agama itu sendiri.
Pemodenan dan penyesuaian system pembelajaran
dilaksanakan dan diperbaharui mengikut keperluan semasa yang bermula di
peringkat awal sehinggalah ke peringkat university. Pusat-pusat pendidikan di
jaga dan sentiasa diberi suntikan tertentu oleh pihak kerajaan agar bangsa kita
dapat belajar dengan lebih selesa, lebih yakin, lebih efektif dan sebagainya.
Namun demikian, kita semua bagaikan terlupa
akan kepentingan pusat ilmu yang tertua di Negara kita iaitu Sekolah Pondok. Sekolah
yang melahirkan ilmuan dalam bidang agama yang menjadi pegangan umat melayu di Negara
ini. Sekolah yang melahirkan pejuang di zaman penjajahan dan guru-guru agama di
seluruh Negara.
Sekolah pondok yang dipandang sepi dan
tersisih di mata masyarakat.
Begitu juga halnya dengan sekolah agama
yang ditubuhkan di seluruh Negara. Sekolah yang silibusnya mengandungi
kombinasi antara ilmu sastera, sejarah, sains dan juga agama. Dilihat pada niat
asal penubuhan sekolah jenis ini, ianya amat berguna dalam mendidik anak bangsa
dalam mempelajari ilmu duniawi dan juga ilmu akhirat.
Namun demikian, disebabkan oleh ketidakmampuan
sesetengah pihak untuk mentadbir serta mengurus sekolah ini maka ianya tidak
sepopular sekolah-sekolah yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan
persekutuan.
Alangkah runginya bangsa melayu kerana
menyepikan sekolah-sekolah tersebut.
Saya tidak mahu mengaitkan sekolah-sekolah
tersebut dengan kepentingan politik parti-parti tertentu kerana semua faham
bahawasanya usaha mencari ilmu dan memberi ilmu itu tidak berkait sama sekali
parti apa yang kita sanjungi.
CADANGAN:
SEKOLAH PONDOK.
Adalah dicadangkan agar sekolah pondok
diambil alih oleh kerajaan pusat dan diberi nafas bagi sesuai dengan kemodenan
zaman kini agar ianya nampak lebih sistematik dan lebih islamik berbanding
dengan keadaannya di masa kini.
Penyediaan prasarana yang moden dan guru-guru
agama yang terlatih akan menjadikan sekolah pondok bertaraf dunia yang sudah
pasti akan menarik minat ulama-ulama dari luar datang mencurah ilmu dan ini
akan mengurangkan jumlah pelajar yang keluar negeri seperti mesir, Jordan dan
sebagainya semata-mata untuk mendalami ilmu agama.
Sesungguhnya sentuhan kerajaan pusat
amatlah di perlukan agar kesinambungan sekolah pondok dapat diteruskan dalam
melahirkan anak bangsa yang ingin mendalami ilmu-ilmu agama, mendalami
al-quran, kitab dan sebagainya.
Sungguh malang kita bangsa melayu beragama
islam kerana memandang sepi akan sekolah pondok yang telah lama menyumbangkan
baktinya terhadap anak bangsa dan agama. Sedangkan kita semua tahu pemimpin kita
adalah bangsa melayu yang beragama islam dan tidak sepatutnya sekolah ini tidak
mendapat tempat di hati mereka.
Tidak dinafikan bahawasanya sekolah pondok
banyak ditubuhkan di negeri Kelantan dan ini bukanlah alasan bagi mana-mana
pihak untuk tidak menghulurkan apa yang sepatutnya demi kesinambungan sebuah
institusi yang melahirkan cerdik pandai agama dalam Negara.
SEKOLAH AGAMA RAKYAT
Sehingga hari ini bilamana saya melintasi
sekolah agama ini, terdetik di hati betapa daifnya ia dan persoalan demi
persoalan timbul kenapa ia dibiarkan begitu tanpa adanya usaha dami mana-mana
pihak terutamanya kerajaan negeri dan pusat dalam meningkatkan tarafnya agar setanding
dengan sekolah kebangsaan bantuan penuh kerajaan.
Tidakkah timbul perasaan menyesal dan malu dikalangan
pemimpin kita yang berbangsa melayu dan berugama islam bilamana melihat betapa
daifnya sekolah yang berasaskan ‘agama’ ini?? Tidakkah kita malu bila diketahui
oleh kaum lain atau pun orang luar bahawa sekolah yang ada perkataan ‘agama’
ini berada dalam keadaan daif??
Bagi saya sudah sampai masanya sekolah ini
diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak usahlah
menunjukkan ego kepada sesuatu yang baik yang hendak dilaksanakan.
Sudah sampai masanya pemodenan yang
sepatutnya di laksanakan di sekolah jenis ini agar anak bangsa kita dapat
belajar dan menuntut ilmu dan para guru dapat mengajar dalam keadaan yang lebih
selesa dan lebih sistematik.
Sesungguhnya tidak rugi jika kedua-dua
sekolah pondok dan sekolah agama rakyat dimodenkan mengikut kesesuaian zaman
kerana tuntutan perubahan yang dimaksudkan itu juga menepati prinsip agama
islam itu sendiri. Dari keadaan buruk berubah kepada keadaan yang lebih baik.
Pemimpin-pemimpin yang berugama islam
sepatutnya berusaha sedaya yang mungkin dalam mempertahan serta menambahbaik
kedua-dua sekolah itu tanpa melibatkan fahaman kepartian masing-masing. Janganlah
disebabkan perbezaan parti, sekolah yang menyumbang kepada ilmu agama ini
dibiarkan terkontang-kanting mencari hala tuju yang tidak kemana.
Semoga pihak kerajaan pusat melalui
kementerian pelajaran dapat melihat betapa pentingnya sekolah-sekolah tersebut
di ambil kira dalam setiap perancangan mereka. MERDEKAKANlah sekolah pondok dan
sekolah agama dan suntiklah dengan apa sahaja demi kebaikan agama, bangsa dan Negara.
Dicatat oleh PAKCIK di 1:59:00 PG 0 ulasan
Label: sekolah pondok
Rabu, 1 Ogos 2012
BULAN OGOS BULAN KEMERDEKAAN RAKYAT MALAYSIA.
Hari ini, 1hb Ogos 2012
tibalah permulaan hari bagi bulan Ogos yang telah difahami sebagai bulan
menyambut hari KEMERDEKAAN bagi Negara ini. Bulan yang penuh bermakna bagi
seluruh warganegara kerana bulan ini menandakan berakhirnya musim emperialisme
terhadap tanah melayu. Bulan yang disambut dengan laungan kemerdekaan dan
membebaskan Negara dan rakyat dari remote control pihak British.
Hasil dari kemerdekaan
ini membolehkan Negara ditadbir sendiri oleh rakyat peribumi dan hasilnya dapat
dilihat dengan segala kemajuan yang dikecapi saat ini. Kehidupan serta
pencapaian membanggakan yang dialami oleh Negara dan rakyat jelata sehingga
kini dan diharapkan untuk selamanya.
Kemerdekaan juga telah
melahirkan pemimpin yang cakna dari kalangan warganegara mengikut kaumnya. Boleh
dikatakan keseluruhan rakyat dibawah kepimpinan pemimpin-pemimpin yang berjiwa
rakyat mendapat hasil dari kebijaksanaan dan kemuliaan para pemimpin yang silih
berganti sejak kemerdekaan.
Biarpun pemimpin yang
timbul dari kalangan rakyat itu mendapat kencaman serta hinaan disaat-saat
akhir mereka ditampuk kuasa, namun fakta tentang apa yang telah pemimpin
tersebut berikan kepada Negara serta rakyatnya tidak boleh diketepikan dan
dinafikan sama sekali.
Begitu susahnya Negara penjajah
untuk memberikan kemerdekaan kepada kita namun lebih susah lagi untuk
mengekalkan nilai kemerdekaan tersebut. Begitu susah usaha dirancang dan
dilakukan untuk memenuhi isi kemerdekaan. Namun adakah ia masih dihargai dan
dihormati oleh anak bangsa?
Apa erti kemerdekaan??
Lain orang lain
pandangannya. Ramai orang bilamana disebut perkataan merdeka, maka terbayang
dalam fikiran mereka tarikh 31 Ogos dan merupakan cuti umum kepada mereka. Tarikh
31 Ogos tidak membawa apa-apa erti tersirat jauh di hati mereka. Mereka tidak perlu
merasa apa-apa tentang tarikh 31 Ogos kerana atas sifat kealfaan dan kemakmuran
yang sedang mereka kecapi. Tidak perlu mengingati tarikh keramat itu kerana
mereka sudah pun memiliki segala kesenangan untuk diri sendiri dan anak cucu
mereka.
Ada juga yang
berpendapat, 31 Ogos adalah satu tarikh dimana satu perarakan akan dilaksanakan
di satu-satu tempat. Perarakan yang sudah pastinya ramai pengunjung untuk
melihat persembahan yang dipersembahkan semasa hari tersebut. Habisnya acara
tersebut, mulut mereka akan berkata begitu hebat persembahan tersebut tetapi
mereka tidak memahami dan mengerti apa tujuan setiap acara atau persembahan
tersebut dilakukan.
Ada juga dikalangan kita
yang menyambut 31 Ogos dengan melakukan aksi-aksi ganas di sepanjang lebuh
raya. Aksi-aksi yang membahayakan serta merugikan nilai modal insan yang
diperlukan oleh Negara. Aktiviti-aktiviti tidak bermoral juga berleluasa tanpa
sempadan yang merosakkan anak bangsa.
Siapa yang peduli??
Semakin jauh kita dari
tarikh bermulanya kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957 maka semakin dilupai apa yang
berlaku. Ditambah pula dengan keselesaan hidup pada zaman kini, maka ianya
semakin dianggap tidak membawa apa-apa erti didalam jiwa warganegara.
Penerapan nilai-nilai
kemerdekaan nampaknya tidak memberi kesan mendalam terhadap warganegara masa
kini. Usaha berterusan dan berkesan perlu dilaksanakan agar terlekat dihati
rakyat terutamanya generasi kini akan erti kemerdekaan yang disambut setiap 31
Ogos setiap tahun. Biar terlekat dihati mereka cintakan tanah air, berbangga
dengan kemerdekaan yang dikecapi serta bersedia untuk mempertahankannya bila
perlu.
Tidak cukup hanya
sekadar meminta mereka memasang bendera di kenderaan masing-masing, di rumah
atau di premis-premis perniagaan masing-masing. Ianya tidak meresapi ke dalam
jiwa mereka kerana ianya hanya bermotifkan kemeriahan semata-mata dan bukannya
penghayatan kepada kemerdekaan itu sendiri.
Dokumentari-dokumentari
tentang peristiwa awal kemerdekaan perlu dipertontonkan dari masa ke semasa
sama ada melalui tv, radio, akhbar, majalah, banner iklan dan sebagainya. Ianya
perlu ditonjolkan kepada penglihatan umum agar bahan tersebut melekat ke dalam
jiwa sanubari rakyat. Biarlah kerajaan rugi sedikit tetapi kesan untuk jangka
masa yang lama amat diperlukan agar nilai kemerdekaan itu tidak terhakis dari
jiwa warganegara.
Kempen kemerdekaan 2012.
Baru-baru ini telah
diwar-warkan oleh menteri penyiaran bahawa tema hari kemerdekaan tahun ini agak
berlainan sedikit dan kini sudah menjadi bahan debat dikalangan rakyat. Tema “JANJI
DITEPATI” nampaknya tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak.Sanggahan hebat dari kalangan pembangkang berkenaan tema yang dipilih semakin hebat. Dikatakan tema tersebut bersangkut paut dengan agenda politik masa kini. Jika dihalusi akan tema tersebut, ada benarnya kata-kata mereka itu dan ini sepatutnya diberi pertimbangan sewajarnya daari pihak kerajaan kerana kemerdekaan perlu mendapat persetujuan dan percantuman hati dari semua pihak. Sekiranya ada pihak yang membangkang, maka ia perlu dilihat dan dikaji semula agar tema yang dipilih bersesuaian dan menepati citarasa semua warganegara.
Kerajaan perlu bersikap realistic
terhadap perkara ini dan janganlah disebabkan oleh tema yang tidak bersesuaian
maka, kemeriahan menyambut hari tersebut tidak dirasai oleh setengah golongan
terutamanya mereka yang terang-terang tidak bersetuju.
Adalah dicadangkan agar
diadakan perbincangan semua pihak atau wakil parti atau kaum dalam menentukan
satu-satu tema, acara yang bakal diadakan dan juga aktiviti-aktiviti yang akan
dilaksanakan sepanjang bulan dan kemuncaknya pada 31 Ogos nanti. Perbincangan dan
persetujuan semua pihak dalam melaksanakan satu-satu perkara yang berkaitan
kenegaraan akan lebih bermakna sekiranya ianya disahut dan didokong oleh semua
pihak.
Sekiranya maksud lain
yang diserapkan didalam penghayatan kemerdekaan, maka kita tidak perlu terkejut
sekiranya nilai kemerdekaan itu tidak di hiraukan oleh sesetengah pihak atau pun
individu.
Diharapkan sambutan
tahun lebih bermakna bagi seluruh warganera tidak kira apa bangsa, agama dan
juga apa fahaman politik mereka. Sesungguhnya kemerdekaan itu perlu disambut
oleh semua warganegara dan tidak ada yang terkecuali.
SELAMAT MENYAMBUT HARI
KEMERDEKAAN KE-55.
Dicatat oleh PAKCIK di 2:44:00 PG 0 ulasan
Label: Kemerdekaan 55
Langgan:
Catatan (Atom)