Jumaat, 3 Ogos 2012

BULAN KEMERDEKAAN – Merdekakan sekolah Agama dan Sekolah Pondok


Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana kita dianugerahkan dengan nikmat Negara Merdeka. Merdeka dari belenggu penjajah yang mempunyai seribu satu perancangan yang merugikan kita semua terutama bangsa melayu. Dengan kemerdekaan yang diperolehi maka kita telah dapat menyusun sendiri agenda Negara, bangsa dan agama.
Salah satu nikmat dari kemerdekaan yang diperolehi adalah kita dapat menyusun perancangan yang amat berkesan terhadap system pengajian untuk anak bangsa. Kini, dapat dilihat bagaimana tumbuhnya kepelbagaian institusi pengajian yang masing-masing menjurus kepada kemahiran tertentu yang sudah pasti akan memberi kuntungan kepada Negara, bangsa dan agama itu sendiri.
Pemodenan dan penyesuaian system pembelajaran dilaksanakan dan diperbaharui mengikut keperluan semasa yang bermula di peringkat awal sehinggalah ke peringkat university. Pusat-pusat pendidikan di jaga dan sentiasa diberi suntikan tertentu oleh pihak kerajaan agar bangsa kita dapat belajar dengan lebih selesa, lebih yakin, lebih efektif dan sebagainya.
Namun demikian, kita semua bagaikan terlupa akan kepentingan pusat ilmu yang tertua di Negara kita iaitu Sekolah Pondok. Sekolah yang melahirkan ilmuan dalam bidang agama yang menjadi pegangan umat melayu di Negara ini. Sekolah yang melahirkan pejuang di zaman penjajahan dan guru-guru agama di seluruh Negara.
Sekolah pondok yang dipandang sepi dan tersisih di mata masyarakat.
Begitu juga halnya dengan sekolah agama yang ditubuhkan di seluruh Negara. Sekolah yang silibusnya mengandungi kombinasi antara ilmu sastera, sejarah, sains dan juga agama. Dilihat pada niat asal penubuhan sekolah jenis ini, ianya amat berguna dalam mendidik anak bangsa dalam mempelajari ilmu duniawi dan juga ilmu akhirat.
Namun demikian, disebabkan oleh ketidakmampuan sesetengah pihak untuk mentadbir serta mengurus sekolah ini maka ianya tidak sepopular sekolah-sekolah yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan persekutuan.
Alangkah runginya bangsa melayu kerana menyepikan sekolah-sekolah tersebut.
Saya tidak mahu mengaitkan sekolah-sekolah tersebut dengan kepentingan politik parti-parti tertentu kerana semua faham bahawasanya usaha mencari ilmu dan memberi ilmu itu tidak berkait sama sekali parti apa yang kita sanjungi.
CADANGAN:
SEKOLAH PONDOK.
Adalah dicadangkan agar sekolah pondok diambil alih oleh kerajaan pusat dan diberi nafas bagi sesuai dengan kemodenan zaman kini agar ianya nampak lebih sistematik dan lebih islamik berbanding dengan keadaannya di masa kini.
Penyediaan prasarana yang moden dan guru-guru agama yang terlatih akan menjadikan sekolah pondok bertaraf dunia yang sudah pasti akan menarik minat ulama-ulama dari luar datang mencurah ilmu dan ini akan mengurangkan jumlah pelajar yang keluar negeri seperti mesir, Jordan dan sebagainya semata-mata untuk mendalami ilmu agama.
Sesungguhnya sentuhan kerajaan pusat amatlah di perlukan agar kesinambungan sekolah pondok dapat diteruskan dalam melahirkan anak bangsa yang ingin mendalami ilmu-ilmu agama, mendalami al-quran, kitab dan sebagainya.
Sungguh malang kita bangsa melayu beragama islam kerana memandang sepi akan sekolah pondok yang telah lama menyumbangkan baktinya terhadap anak bangsa dan agama. Sedangkan kita semua tahu pemimpin kita adalah bangsa melayu yang beragama islam dan tidak sepatutnya sekolah ini tidak mendapat tempat di hati mereka.
Tidak dinafikan bahawasanya sekolah pondok banyak ditubuhkan di negeri Kelantan dan ini bukanlah alasan bagi mana-mana pihak untuk tidak menghulurkan apa yang sepatutnya demi kesinambungan sebuah institusi yang melahirkan cerdik pandai agama dalam Negara.
SEKOLAH AGAMA RAKYAT
Sehingga hari ini bilamana saya melintasi sekolah agama ini, terdetik di hati betapa daifnya ia dan persoalan demi persoalan timbul kenapa ia dibiarkan begitu tanpa adanya usaha dami mana-mana pihak terutamanya kerajaan negeri dan pusat dalam meningkatkan tarafnya agar setanding dengan sekolah kebangsaan bantuan penuh kerajaan.
Tidakkah timbul perasaan menyesal dan malu dikalangan pemimpin kita yang berbangsa melayu dan berugama islam bilamana melihat betapa daifnya sekolah yang berasaskan ‘agama’ ini?? Tidakkah kita malu bila diketahui oleh kaum lain atau pun orang luar bahawa sekolah yang ada perkataan ‘agama’ ini berada dalam keadaan daif??
Bagi saya sudah sampai masanya sekolah ini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak usahlah menunjukkan ego kepada sesuatu yang baik yang hendak dilaksanakan.
Sudah sampai masanya pemodenan yang sepatutnya di laksanakan di sekolah jenis ini agar anak bangsa kita dapat belajar dan menuntut ilmu dan para guru dapat mengajar dalam keadaan yang lebih selesa dan lebih sistematik.
Sesungguhnya tidak rugi jika kedua-dua sekolah pondok dan sekolah agama rakyat dimodenkan mengikut kesesuaian zaman kerana tuntutan perubahan yang dimaksudkan itu juga menepati prinsip agama islam itu sendiri. Dari keadaan buruk berubah kepada keadaan yang lebih baik.
Pemimpin-pemimpin yang berugama islam sepatutnya berusaha sedaya yang mungkin dalam mempertahan serta menambahbaik kedua-dua sekolah itu tanpa melibatkan fahaman kepartian masing-masing. Janganlah disebabkan perbezaan parti, sekolah yang menyumbang kepada ilmu agama ini dibiarkan terkontang-kanting mencari hala tuju yang tidak kemana.
Semoga pihak kerajaan pusat melalui kementerian pelajaran dapat melihat betapa pentingnya sekolah-sekolah tersebut di ambil kira dalam setiap perancangan mereka. MERDEKAKANlah sekolah pondok dan sekolah agama dan suntiklah dengan apa sahaja demi kebaikan agama, bangsa dan Negara.


Rabu, 1 Ogos 2012

BULAN OGOS BULAN KEMERDEKAAN RAKYAT MALAYSIA.


Hari ini, 1hb Ogos 2012 tibalah permulaan hari bagi bulan Ogos yang telah difahami sebagai bulan menyambut hari KEMERDEKAAN bagi Negara ini. Bulan yang penuh bermakna bagi seluruh warganegara kerana bulan ini menandakan berakhirnya musim emperialisme terhadap tanah melayu. Bulan yang disambut dengan laungan kemerdekaan dan membebaskan Negara dan rakyat dari remote control pihak British.
Hasil dari kemerdekaan ini membolehkan Negara ditadbir sendiri oleh rakyat peribumi dan hasilnya dapat dilihat dengan segala kemajuan yang dikecapi saat ini. Kehidupan serta pencapaian membanggakan yang dialami oleh Negara dan rakyat jelata sehingga kini dan diharapkan untuk selamanya.

Kemerdekaan juga telah melahirkan pemimpin yang cakna dari kalangan warganegara mengikut kaumnya. Boleh dikatakan keseluruhan rakyat dibawah kepimpinan pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat mendapat hasil dari kebijaksanaan dan kemuliaan para pemimpin yang silih berganti sejak kemerdekaan.
Biarpun pemimpin yang timbul dari kalangan rakyat itu mendapat kencaman serta hinaan disaat-saat akhir mereka ditampuk kuasa, namun fakta tentang apa yang telah pemimpin tersebut berikan kepada Negara serta rakyatnya tidak boleh diketepikan dan dinafikan sama sekali.

Begitu susahnya Negara penjajah untuk memberikan kemerdekaan kepada kita namun lebih susah lagi untuk mengekalkan nilai kemerdekaan tersebut. Begitu susah usaha dirancang dan dilakukan untuk memenuhi isi kemerdekaan. Namun adakah ia masih dihargai dan dihormati oleh anak bangsa?
Apa erti kemerdekaan??

Lain orang lain pandangannya. Ramai orang bilamana disebut perkataan merdeka, maka terbayang dalam fikiran mereka tarikh 31 Ogos dan merupakan cuti umum kepada mereka. Tarikh 31 Ogos tidak membawa apa-apa erti tersirat jauh di hati mereka. Mereka tidak perlu merasa apa-apa tentang tarikh 31 Ogos kerana atas sifat kealfaan dan kemakmuran yang sedang mereka kecapi. Tidak perlu mengingati tarikh keramat itu kerana mereka sudah pun memiliki segala kesenangan untuk diri sendiri dan anak cucu mereka.
Ada juga yang berpendapat, 31 Ogos adalah satu tarikh dimana satu perarakan akan dilaksanakan di satu-satu tempat. Perarakan yang sudah pastinya ramai pengunjung untuk melihat persembahan yang dipersembahkan semasa hari tersebut. Habisnya acara tersebut, mulut mereka akan berkata begitu hebat persembahan tersebut tetapi mereka tidak memahami dan mengerti apa tujuan setiap acara atau persembahan tersebut dilakukan.

Ada juga dikalangan kita yang menyambut 31 Ogos dengan melakukan aksi-aksi ganas di sepanjang lebuh raya. Aksi-aksi yang membahayakan serta merugikan nilai modal insan yang diperlukan oleh Negara. Aktiviti-aktiviti tidak bermoral juga berleluasa tanpa sempadan yang merosakkan anak bangsa.
Siapa yang peduli??

Semakin jauh kita dari tarikh bermulanya kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957 maka semakin dilupai apa yang berlaku. Ditambah pula dengan keselesaan hidup pada zaman kini, maka ianya semakin dianggap tidak membawa apa-apa erti didalam jiwa warganegara.
Penerapan nilai-nilai kemerdekaan nampaknya tidak memberi kesan mendalam terhadap warganegara masa kini. Usaha berterusan dan berkesan perlu dilaksanakan agar terlekat dihati rakyat terutamanya generasi kini akan erti kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos setiap tahun. Biar terlekat dihati mereka cintakan tanah air, berbangga dengan kemerdekaan yang dikecapi serta bersedia untuk mempertahankannya bila perlu.

Tidak cukup hanya sekadar meminta mereka memasang bendera di kenderaan masing-masing, di rumah atau di premis-premis perniagaan masing-masing. Ianya tidak meresapi ke dalam jiwa mereka kerana ianya hanya bermotifkan kemeriahan semata-mata dan bukannya penghayatan kepada kemerdekaan itu sendiri.
Dokumentari-dokumentari tentang peristiwa awal kemerdekaan perlu dipertontonkan dari masa ke semasa sama ada melalui tv, radio, akhbar, majalah, banner iklan dan sebagainya. Ianya perlu ditonjolkan kepada penglihatan umum agar bahan tersebut melekat ke dalam jiwa sanubari rakyat. Biarlah kerajaan rugi sedikit tetapi kesan untuk jangka masa yang lama amat diperlukan agar nilai kemerdekaan itu tidak terhakis dari jiwa warganegara.

Kempen kemerdekaan 2012.
Baru-baru ini telah diwar-warkan oleh menteri penyiaran bahawa tema hari kemerdekaan tahun ini agak berlainan sedikit dan kini sudah menjadi bahan debat dikalangan rakyat. Tema “JANJI DITEPATI” nampaknya tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak.

Sanggahan hebat dari kalangan pembangkang berkenaan tema yang dipilih semakin hebat. Dikatakan tema tersebut bersangkut paut dengan agenda politik masa kini. Jika dihalusi akan tema tersebut, ada benarnya kata-kata mereka itu dan ini sepatutnya diberi pertimbangan sewajarnya daari pihak kerajaan kerana kemerdekaan perlu mendapat persetujuan dan percantuman hati dari semua pihak. Sekiranya ada pihak yang membangkang, maka ia perlu dilihat dan dikaji semula agar tema yang dipilih bersesuaian dan menepati citarasa semua warganegara.

Kerajaan perlu bersikap realistic terhadap perkara ini dan janganlah disebabkan oleh tema yang tidak bersesuaian maka, kemeriahan menyambut hari tersebut tidak dirasai oleh setengah golongan terutamanya mereka yang terang-terang tidak bersetuju.
Adalah dicadangkan agar diadakan perbincangan semua pihak atau wakil parti atau kaum dalam menentukan satu-satu tema, acara yang bakal diadakan dan juga aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang bulan dan kemuncaknya pada 31 Ogos nanti. Perbincangan dan persetujuan semua pihak dalam melaksanakan satu-satu perkara yang berkaitan kenegaraan akan lebih bermakna sekiranya ianya disahut dan didokong oleh semua pihak.

Sekiranya maksud lain yang diserapkan didalam penghayatan kemerdekaan, maka kita tidak perlu terkejut sekiranya nilai kemerdekaan itu tidak di hiraukan oleh sesetengah pihak atau pun individu.
Diharapkan sambutan tahun lebih bermakna bagi seluruh warganera tidak kira apa bangsa, agama dan juga apa fahaman politik mereka. Sesungguhnya kemerdekaan itu perlu disambut oleh semua warganegara dan tidak ada yang terkecuali.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-55.

Sabtu, 28 Julai 2012

POLITIK MELAYU : POLITIK MERUGIKAN BANGSA DAN AGAMA


Perpecahan demi perpecahan dalam kalangan kaum melayu semakin menjadi-jadi. Melayu berpecah kerana perbuatan pemimpin melayu yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya tidak layak menjadi pemimpin.
Bermula di zaman Tun Dr Mahathir, perpecahan melayu menjadi lebih ketara dalam peristiwa pertandingan merebut jawatan nombor satu dalam UMNO yg ketuai oleh Tun Dr Mahathir sendiri (Team A) dan YM Tengku Razaleigh Hamzah (Team B). Perpecahan menjadi lebih parah apabila berlaku kegilaan untuk menjadi Perdana Menteri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perpecahan ini tidak berhenti di situ sahaja. Ianya ditambah lagi dengan pembentukan parti-parti minority kaum melayu seperti Parti Kita (di ketuai oleh Datuk Zaid Ibrahim – kini telah meletak jawatan), Parti-parti bebas dan sebagainya.

Kaum melayu kini seakan-akan merelakan akan perpecahan itu terjadi dan mereka tidak perlu merasa bimbang sekiranya majority mereka mengecil di suatu masa nanti. Mereka tidak perlu memikirkan akan kehilangan segala keistimewaan yang selama ini diperolehi hasil perjuangan dan susunan pemimpin melayu lama ke atas kepentingan mereka di tanah tumpah darah ini asalkan pemimpin yang menjadi pujaan mereka dapat menduduki kerusi tertentu di dalam kekuasaan Negara ini. Biar racun sekali pun mereka akan tetap meminumnya tanpa berfikir panjang demi memuaskan nafsu untuk melihat pemimpin opportunis mereka menjadi orang penting dalam arus kekuasaaan.
Semua sedia maklum (kecuali bagi mereka yang taksub), kewujudan Parti Keadilan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar adalah semata-mata untuk melihat beliau menjadi Perdana Menteri. Padahal beliau dipecat seluruh jawatan dari kerajaan dan parti kerana masalah yang beliau sendiri cipta semasa bersama UMNO.

Perasaan kecewa Datuk Seri Anwar bukan berhenti di situ sahaja. Berbagai masalah dicipta oleh beliau bagi menyakinkan rakyat jelata bahawa beliau dianiaya dan dengan maksud lain beliau dinafikan hak untuk menjadi Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia.

Menyedari partinya tidak mampu untuk bergerak sendirian maka diajak pula Parti PAS (yang masih hilang arah perjuangan sehingga kini) dan DAP untuk bergabung menentang Barisan Nasional (BN) yang selama ini bekerja keras membangunkan Negara ini. Berjuang sama ada secara halus atau pun secara kasar agar cita-cita bersama mereka untuk menduduki Putrajaya yang selama ini di cemuh  oleh mereka semasa pembinaannya.
Untuk menampakkan beliau lebih Liberal terhadap semua kaum, maka Datuk Seri Anwar rela memberi muka kepada DAP dan kaum lain (khususnya cina dan india) untuk mencerca kaum melayu yang majoritinya berada dalam Parti UMNO. Disini sudah jelas (bagi yang hendak berfikir) perjuangannya tidak akan memberi keuntungan kepada kaum melayu sama sekali. Tindakkannya itu sudah pun bertentangan dengan dasar dan prinsip yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini.

Namun apa yang paling menghairankan, panggilan Datuk Seri Anwar itu disambut dengan penuh yakin oleh Parti PAS yang kononnya memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa. PAS yang selama ini berjuang bersendirian telahpun bersetuju apa sahaja dengan aliran pemikiran Datuk Seri Anwarb yang sememangnya merugikan bangsa melayu dan agama islam itu sendiri.

PAS yang amat ortodok terhadap kepentingan agama dan bangsa telah menjadi pak turut dan pak angguk kepada Anwar dan DAP tanpa berhenti sebentar memikirkan adakah langkah yang diambil itu akan memberi keuntungan kepada agama dan bangsanya sendiri.
Jika dahulu semakin ramai yang yakin dengan perjuangan PAS, tetapi ianya sedikit sebanyak terhakis semenjak pergabungan tersebut. Ramai dikalangan taksub PAS mula berfikir serta mempersoalkan adakah betul atau salah arah tuju parti mereka sekarang.

Melayu UMNO, melayu PAS, melayu PKR, Melayu BEBAS.
Punca  perpecahan adalah untuk mendapatkan kuasa tetapi mereka lupa kuasa yang akan diperolehi perlu dikongsi dengan bangsa lain dan sudah pasti parti yang dominan dalam satu-satu pakatan akan menjadi kepala kepada kuasa tersebut.

Namun keadaan ini berbeza pada perikatan antara UMNO-MCA-MIC yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Di dalam BN, Parti UMNOlah yang menjadi dominan dan arah tuju kerajaan banyak ditentukan oleh UMNO. Bagaimana pula dengan pemimpin dalam parti Pakatan Rakyat (PR) gabungan antara PKR-DAP-PAS?? Siapa yang akan menjadi lebih dominan dari ketiga-tiga sayap tersebut?? Parti mana yang lebih melayu diantara ketiga-tiga parti tersebut?? PKR sudah tentu tidak. DAP sudah tentu tidak. Sekiranya PAS mempunyai melayu islam yang ramai, adakah majority ahli parlimen PAS lebih ramai di dalam pakatan tersebut?? Fikirlah sendiri.
Amat malang sekiranya kuasa yang dipegang oleh melayu ( dalam UMNO) direbut dan diberikan kepada orang lain yang tidak tahu kemana arah tuju mereka. Amat malang jika melayu yang masih nanar masih tidak mahu mengerti bahawa hak mereka sebenarnya akan diambil secara halus oleh bangsa lain sekiranya mereka sengaja memilih untuk membuang UMNO (orang melayu) itu sendiri.

Bagi parti UMNO pula (merujuk kepada keadaan semasa), sekiranya mereka benar-benar berjuang untuk kepentingan orang melayu dan islam, buktikanlah seadanya dan carilah jalan yang sebaiknya untuk menarik semula orang melayu kearahnya agar perpecahan demi perpecahan bangsa melayu tidak menjadi parah nanti. UMNO parti harapan orang melayu perlu lakukan sesuatu agar kepercayaan orang melayu dikembalikan dan sekaligus penolakkan terhadap parti PKR dan PAS oleh bangsa melayu itu sendiri.
Kejayaan UMNO dalam menyatukan bangsa melayu akan sekaligus mengekalkan UMNO sebagai parti tunggal bagi orang melayu untuk bernaung buat selamanya disamping menjamin kepentingan orang melayu untuk jangka masa yang panjang di kemudian hari.