Rabu, 3 Februari 2010

WAJIB LULUS INGGERIS



TS Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan telah mengumumkan syarat baru dalam sistem pendidikan Negara iaitu syarat wajib lulus matapelajaran bahasa inggeris dalam peperiksaan sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Cadangan tersebut amatlah baik dan boleh dikatakan satu pendorong kepada pelajar untuk meningkatkan usaha dan sekaligus menguasai matapelajaran tersebut.

Namun demikian, satu kajian menyeluruh perlulah dilakukan terhadap kesan yang akan dialami oleh pelajar terhadap cadangan tersebut. Kesan sama ada secara positif atau pun negative. Kesan jangka pendek atau pun jangka panjang. Kesan terhadap pelajar dan guru.

Seperti dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains yang telah dilaksanakan sebelum ini. Dasar yang dilaksanakan tanpa kajian dan perlaksanaan yang menyeluruh amat merugikan sekali.

Rugi dari segi masa, tenaga dan juga kos. Walau pun objektif utamanya amatlah baik, tetapi perlaksanaannya telah menggagalkannya.


Saya bercakap dari segi pengalaman saya semasa dibangku sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Dilahir dan dibesarkan dikawasan pendalaman menyebabkan saya serta rakan-rakan lain boleh dikatakan ketinggalan dalam menguasai matapelajaran tersebut.

Kenapa ianya terjadi??? Kerana kami semua tidak didedahkan semaksimum mungkin tentang betapa pentingnya akan mata pelajaran tersebut. T

iadanya kesedaran yang wujud dalam diri kami semua mengapa kami perlu menguasainya. Kami dibiarkan bersendirian tanpa bimbingan yang sewajarnya sama ada oleh pihak sekolah, ibu bapa atau pun keadaan sekeliling.


Kemudahan pendidikan dahulu tidak sama dengan zaman kini. Tetapi tahap pemikiran orang melayu terutamanya yang berada di pendalaman tidak banyak berubah. Tahap kesedaran mereka terhadap perubahan persekitaran dan keperluan semasa masih diperingkat yang amat rendah sekali.

Berbalik kepada cadangan tersebut, jika syarat wajib lulus itu diwartakan ianya seperti kes jatuh hukum tanpa perbicaraan yang sewajarnya terhadap seseorang pelajar tersebut.

Mana-mana pelajar yang gagal akan menghadapi masa depan yang gelap kerana disebabkan oleh persekitaran yang tidak adil yang dilaluinya semasa persekolahan.


Tidak adil dari segi kemudahan pembelajaran, dorongan dan kesedaran tehadap matapelajaran tersebut.

Jika syarat wajib diberikan kepada pelajar, maka saya cadangkan satu penilaian terhadap mana-mana guru yang mengajar subjek tersebut.

Penilaian yang akan mengukur kebolehan serta komitmennya dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang atau lulus matapelajaran tersebut. Kegagalan pelajar merupakan kegagalan guru tersebut.


Penilaian tersebut ditujukan kepada guru-guru bahasa inggeris atau sekolah-sekolah tertentu dalam memastikan mereka benar-benar melaksanakan tugas mereka sebagai guru.

Kecemerlangan pelajarnya merupakan satu bonus kepadanya yang boleh diberikan dalam bentuk kenaikkan pangkat atau pun gaji.

Tetapi jika kegagalan pelajarnya melebihi kecemerlangan, maka beliau seharusnya bertanggungjawab terhadapnya. Tindakan seperti menahan kenaikan gred, menurunkan gred, tidak diberikan bonus, ditukarkan dan sebagainya perlu diambil.


Saya percaya, guru yang professional akan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Penguasaan bahasa inggeris saya dipulihkan oleh seorang guru berbangsa india semasa saya belajar di matrikulasi sains bukit mertajam. Cara yang diguna-pakai oleh beliau amat berkesan sekali dalam memberi sinar harapan kepada saya sebelum melangkah ke bidang kejuruteraan di university.

Jika di sekolah kampong, sampai bila pun saya tidak akan ada peluang untuk pergi lebih jauh seperti hari ini.

Jadi, satu cadangan yang baik perlu dilaksanakan dengan seadanya. Jalan perlaksanaan perlulah diteliti terlebih dahulu bagi mengelak bencana yang bakal menimpa di suatu masa nanti. Jika syarat diberikan kepada pelajar dan berikanlah juga syarat kepada sekolah atau guru agar ianya tidak menghancurkan masa depan seseorang pelajar. terutamanya pelajar melayu.

0 ulasan: