Ahad, 31 Mei 2009

Pilihanraya Kecil Manek Urai – UMNO Vs PAS



Tidak mahu ulas banyak tentang pilihanraya kecil ini. Saya hanya ingin menyatakan di sini bahawasanya peluang untuk UMNO/BN menang di sana adalah amat tipis sekali.

Mengapa saya berkata demikian,

Setelah memahami tentang apa yang telah terjadi semasa pilihanraya umum ke-12 dahulu. Kemenangan PAS dengan majority yang amat besar pada PRu-12 dahulu adalah disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di dalam UMNO/BN.

Jika di Kelantan, istilah yang sering diguna pakai adalah ‘cah keting’. Perlakuan cah keting ini berlaku apabila perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu dalam UMNO /BN terhadap satu-satu keputusan yang diambil diperingkat atasan atau pun terhadap orang-orang tertentu dalam parti.

Dikisahkan daripada orang Manek Urai, pada PRU-12 dahulu keputusan pihak atasan UMNO/BN meletakkan Datuk Ramzi bertanding sebagai Ketua Bahagian amat mendukacitakan masyarakat Kuala Krai. Mereka berdukacita kerana Datuk Ramzi bukannya orang tempatan tetapi berasal dari daerah lain. Tapi oleh kerana beliau adalah orang rapat kepada Mantan Perdana Menteri Pak Lah, maka beliau diberikan peluang untuk mencuba nasib di kawasan tersebut.

Dikhabarkan juga pertembungan berlaku diantara anak tempatan yang bernama Wan Zaid dengan datuk Ramzi telah memecahkan undi pihak UMNO. Kekecawaan itu telah menyebabkan berlakunya sabotaj dan juga kerja-kerja cah keting terhadap UMNO/BN dan seterusnya menyumbang kepada kekalahan dengan perbezaan undi yang tinggi.

Telah keluar dari mulut masyarakat di sana bahawasanya UMNO akan kalah sekali lagi. Perkara yang sama akan berulang. Perasaan tidak puas hati itu masih dipendam dan akan meletus sehari dua ini.

Sehingga semalam (30/05/09), beberapa orang sahabat dari Manek Urai menyatakan PAS masih mendahului pihak UMNO/BN.

Walau apapun kempen UMNO/Bn terhadap parti PAS, sekiranya ahli-ahli akar umbi dan pemimpin sendiri tidak bersatu dan masih lagi bergolak sesame sendiri, maka sampai bila pun UMNO/BN tidak akan dapat memenangi pilihanraya.

Selain daripada factor tadi, UMNO/BN juga nampaknya amat susah untuk mengatasi atau memecahkan ‘tradisi pemikiran lama’ rakyat Kelantan. Satu pemikiran yang masih memihak kepada Parti PAS dengan tumpuannya terhadap Tuan Guru Nik Aziz. Ingat PAS maka rakyat akan mengingati Tuan Guru Nik Aziz. Selagi Tuan Guru Nik Aziz masih ada maka selagi itulah kekuatan PAS terus terserlah di negeri ini dan juga pada mata rakyat Kelantan.

Seperti kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, orang beri ambil tapi masa pangkah..lain cerita. Begitulah sikap kedua-dua pihak sama ada ahli UMNO atau pun PAS. Selaku rakyat, mereka akan ambil apa yang diberi..tetapi nak pangkah nanti..TANYA HATI.

Kebiasaannya, penyokong ‘asal’ PAS akan terus menyokong siapa sahaja yang dicalonkan. Namun berlainan pula dengan penyokong UMNO/BN. Hati mereka akan berubah-ubah dari masa ke semasa. Perubahan yang tidak boleh dijangka sama ada ianya kearah menarik atau pun menolak.

Semoga pilihanraya kecil ini berjalan dengan cara yang penuh beretika dan penuh aman. Menang atau kalah adalah adat pertandingan. Tidak kira siapa yang dicalonkan, walau apa pun keputusannya nanti, diharapkan kedua-kedua parti menerimanya dengan hati yang terbuka.

SELAMAT MENGUNDI KEPADA WARGA MANEK URAI. PILIHLAH YANG TERBAIK.




Khamis, 28 Mei 2009

YB IR NIZAR YANG TELAH JAUH TERPESONG.

Sedih bila memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh YB Ir Nizar diwaktu ini. Sedih kerana beliau telah jauh terpesong dari landasan perjuangan yang sebenar.

Jika sebelum ini (Semasa Menjadi Menteri Besar), beliau telah memohon untuk DERHAKA kepada Tuanku Sultan, kini beliau sekali lagi telah melakukan kesalahan yang hampir sama terhadap Tuanku Sultan.

Kata-kata beliau(setelah tidak menjadi Menteri Besar), “ Jika Tuanku tidak perkenan agar DUN perak dibubarkan, akan ada kebangkitan daripada rakyat”.

Kata-kata yang berupa UGUTAN terhadap Tuaku Sultan.

Kata-kata tersebut telah MENGHINA Tuanku Sultan.

Kata-kata yang boleh ditafsirkan sebagai satu seruan kepada rakyat agar bangkit dan terus menghuru-harakan Negeri Perak.

Kata-kata beliau itu boleh ditafsirkan sebagai berikut :-

‘ Rakyat sudah tidak lagi memandang tinggi akan kedudukan Tuanku Sultan. Jika Tuanku Sultan tidak MENURUTI apa yang beliau katakan, Tuanku dan Rakyat Negeri Tuanku akan hidup dalam keadaan kucar-kacir. Jika beliau kata bangkit, maka berlakulah huru-hara dalam negeri’.

‘beliau ingin menunjukkan bahawasanya kedudukan beliau dimata rakyat adalah lebih tinggi daripada Tuanku Sultan’.

‘ seoalah-olah beliau mengizinkan keadaan huru-hara berlaku dalam negeri perak’.

Jika ini yang YB Ir Nizar maksudkan, beliau telahpun melakukan kesalahan sama ada terhadap Tuanku Sultan atau pun terhadap rakyat dan Negara. Beliau boleh dikenakan dakwaan dan hukuman terhadapa kesalahan-kesalahan seperti berikut :-

1) Penghinaan terhadap ketuanan Tuanku Sultan Perak.
2) Membuat Ugutan terhadap Tuanku Sultan Perak.
3) Melaga-lagakan Tuanku Sultan dengan Rakyat Perak.
4) Kata-kata hasutan yang boleh mengugat kestabilan Negara.
5) Melakukan penderhakaan terhadap tuanku Sultan.
6) Mencemar keharmonian dalam Negara.
7) Melemahkan kedudukan ekonomi negeri Perak.
8) Tidak menghormati undang-undang negeri atau Negara.
9) Merancang serta melakukan perbuatan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri yang sah dengan cara yang tidak sah dari segi undang-undang.

Beliau sesungguhnya TIDAK LAYAK untuk menasihati Tuanku Sultan kerana beliau kini bukanlah Menteri Besar yang diberi perkenan oleh Tuanku Sultan. Beliau juga telah kehilangan majority.

Beliau sebagai PEMIMPIN yang dihormati (YB) oleh semua orang seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan atau pun melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh memudaratkan kepada semua orang. Tambahan pula ianya berkait rapat dengan institusi beraja Negara yang disanjungi selama ini.

Berbalik kepada prinsip islam; mana yang lebih penting dan lebih baik. Memberi perhatian kepada hanya seorang manusia atau pun menjaga kepentingan lebih ramai lagi kelompok manusia.

Sabar dan berserah kepada Qada’ dan Qadar, cukuplah setakat ini. Hentikanlah sesuatu yang sia-sia dan merosakkan. Jika inginkan kebangkitan semula, tunggulah sehingga pilihanraya ke-13 nanti. Jika tuan adalah orang yang benar dan masih disukai rakyat, sudah pasti tuan akan dipilih semula nanti. Tidak akan lari gunung yang dikejar. Jika berpuluh-puluh tahun tuan sanggup menunggu untuk menjadi pemerintah, apalah sangat dengan masa dua (2) tahun lagi masanya untuk PRU 13.

SEMOGA MENJADI IKTIBAR KEPADA SEMUA.


Rabu, 27 Mei 2009

Surat Kepada Abang Nizar


Assalamualaikum abang Nizar yang dikasihi,

Pertama-tama sekali adik ingin memohon kemaafan jika surat ini menganggu abang serta rakan-rakan seperjuangan abang. Menganggu pemikiran abang yang kini sedang mencari idea-idea bernas abang dalam menyerabutkan keadaan di negeri abang.Surat ini ditulis ketika abang sedang dalam menghadapi cabaran tertinggi sejak akhir-akhir ini. Berbagai cerita sering kedengaran dan tentang diri abang.

Sejak nama abang dijulang, kegembiraan dapat dilihat dari raut wajah abang. Abang menjadi orang yang penting dalam negeri abang. Abang melangkah masuk dan keluar peejabat menteri besar dengan begitu gah dan bangga sekali. Abang dapat pakai kereta yang besar bernama Camry yang megalahkan perdana menteri yang hanya menggunakan kereta perdana keluaran proton.

Abang mempunyai kuasa yang amat hebat sekali. Kuasa yang boleh menentukan hala tuju negeri abang. Kuasa yang boleh membina dan memusnahkan apa yang ada. Kehebatan abang itu amat terserlah sekali. Pernah terdengar abang boleh menganugerahkan tanah kepada bangsa bukan melayu sehingga Sembilan ratus Sembilan puluh Sembilan tahun. Amat hebat sekali kuasa yang ada pada abang.

Apa yang paling hebat yang pernah saya dengar adalah, abang berani memintah derhaka dari tuanku sultan. Lebih hebat dari laksamana hang tuah. Hang tuah tidak pernah meminta sedemikian rupa. Hang tuah terus menghunus keris kepada raja tanpa meminta untuk derhaka. Tetapi abang lebih hebat lagi dari hang tuah. Dengan keberanian itu, saya gelarkan abang sebagai hang hang tu-ah.dua kali hang.

Kehebatan abang jua terserlah apabila abang telah memecahkan rekod dunia ini. Abang telah membuat persidangan dibawah pokok. Hebat sekali. Nasib baik pokok tersebut tidak terbalik kerana terharu dengan apa yang abang telah lakukan terhadapnya. Saya percaya rekod yang dicipta oleh abang tidak akan diatasi oleh orang lain selama berdekad-dekad lamanya.

Selain itu, saya juga mengkagumi abang kerana dapat duduk semeja dengan cina DAP yang menjadi musuh kepada orang melayu dan islam sejak berzaman lamanya. Walau pun mereka ini dahulunya telah bersumpah untuk mencinakan Negara ini, abang masih tetap boleh bekerjasama dengan mereka. Tidak peduli apa orang kata asalkan cita-cita abang menjadi kenyataan.

Satu lagi berita yang hebat yang menjadi bualan orang kini adalah kehebatan abang bertukar rupa. Kehebatan abang bertukar dari manusia kepada boneka adalah satu anugerah yang tiada pada orang lain. Hanya diberikan kepada abang sahaja. Sungguh bertuah abang. Kata orang, dengan menjadi boneka itu abang boleh mendengar kata-kata hasutan daripada cina DAP agar menuruti serta melaksanakan apa yang diminta oleh mereka.

Saya tahu, abang berguru dengan seorang mahaguru yang tinggi akan ilmunya. Mahaguru Anwar Ibrahim yang dikenali di seluruh dunia. Ilmu yang susah dicapai oleh manusia biasa. Ilmu putar alam ligat musing. Jarang orang boleh mencecah peringkat tertinggi seperti mahaguru abang. Ilmu manusia bertukar kepada boneka adalah sebahagian sahaja yang diajar kepada abang.

Tetapi adik percaya, jika abang menuruti kemahuannya lagi, dia akan terus menerus menurunkan ilmunya kepada abang.

Selain daripada menjadi mahaguru yang specialistnya adalah ilmu putar alam ligat musing, mahaguru abang juga mempunyai khadam penjaga. Khadam yang tinggal di Amerika. Sungguh hebat khadam itu. Kuatnya khadam itu, maka bertambah kuatlah mahaguru abang.

Jika mahaguru abang mempunyai abang sebagai muridnya, abang juga mempunyai seorang murid yang juga pengikut setia abang. Pengikut yang amat setia. Abang suruh terjun lubang najis pun dia akan buat. En. Saaravanan seorang yang amat setia. Walau mentalnya tidak berapa betul, tetapi dia tetap setia kepada abang.

Hebatnya gabungan abang berdua adalah, apa sahaja yang terlintas dalam fikiran abang akan dibunyikan oleh saravanan. Beliau sentiasa membawa satu alat yang dinamakan ‘speaker’ ke merata-rata tempat. Abang tak payah bercakap tetapi suara abang akan kendengaran di ‘speaker’ yang dibawa oleh saravana. Hebat sekali. Tetapi oleh kerana saravan itu tidak berapa betul, maka ‘speaker’-nya itu kadang-kadang keluar bunyi yang tidak sedap didengar. Bunyi yang lain dari apa yang abang fikirkan.

Kini, cerita terbaru tentang kehebatan abang adalah boleh mengarahkan mahkamah tinggi memberikan kerusi menteri besar kepada abang. Sungguh berkuasa dan hebat abang sehingga boleh mengawal mahkamah tinggi. Walau pun namanya mahkamah tinggi, tetapi abang tetap lebih tinggi daripada mereka.

Sungguh bangga mendapat seorang abang seperti abang. Seorang yang begitu hebat sekali. Sesungguhnya saya percaya abang akan terus hebat mengatasi segala-galanya di muka bumi ini.

Saya yakin, suatu hari nanti abang akan menjadi seperti hero superman yang datang dari planet lain menyelamatkan manusia yang berada di bumi ini. Boleh terbang, tidak lut bila ditetak dan ditembak, dapat keluar laser dari mata, boleh tengok seperti mesin x-tray, boleh dengar bunyi dari jauh dan yang maha penting adalah dapat pakai seluar dalam berwarna merah kat luar. Pelik, Menarik dan Tiada siapa bising.

Hebat abang nizar.


Ahad, 24 Mei 2009

Cerita Dua Pencuri

Singgah sebentar di warung Mak Kalsom untuk minum kopi. Sedang minum tiba-tiba Mak Kalsom datang dan terus menyapa. Oleh kerana ketiadaan orang di warung maka Mak Kalsom memulakan perbualan. Dalam banyak cerita yang keluar daripada mulut beliau, cerita pasal dua orang pencuri adalah yang paling menarik perhatian.

Ceritanya begini;

Alkisahnya dalam sebuah kampong ada satu tabung orang ramai. Tabung tersebut telah wujud begitu lama sejak zaman berzaman lagi. Sudah beberapa generasi penduduk kampong tersebut telah menyumbang kepada tabung tersebut bagi kemudahan cucu-cicit mereka di suatu hari nanti.

Dua orang pencuri yang mempunyai geng masing-masing ingin mencuri harta dalam tabung tersebut. Mereka ini juga bermusuhan diantara satu sama lain. Ketua masing-masing adalah seorang yang berpelajaran tinggi dan berfikiran bijak.

Seorang mahir dalam bidang teknikal manakala seorang lagi mahir dalam bidang falsafah.

Oleh kerana tabung tersebut ditempatkan dikawasan yang tersorot dan dikawal dengan rapi, maka si pencuri tadi perlu memikirkan satu cara yang terbaik agar mereka dapat mengeluarkan harta tersebut tanpa disedari oleh penduduk kampong tersebut.

Walau pun mereka ini bermusuhan, persengketaan mereka ini disimpan dalam lubuk hati masing-masing. Mereka ini bertaruh di atas kebijakan masing-masing. Kebijakan mereka dapat mencuri harta tersebut tanpa disedari oleh penduduk kampong tersebut.

Pada permulaannya, Si pencuri A memulakan langkah awalan. Si A ini dapat masuk dan dapat mencuri sedikit dari tabung tersebut. Ketika hendak membawa keluar harta curi tersebut, si A melihat kelibat si B. Maka si A mendapat idea yg bernas. Ideanya adalah membuat tuduhan bahawasanya si B telah mencuri harta dalam tabung tersebut.

Si A pergi berjumpa dengan ketua kampong dan satu operasi telah dijalankan oleh penduduk kampong tersebut. Maka tertangkaplah si B yang juga hendak mencuri tetapi tidak sempat mencuri.

Si B didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman. Namun demikian, oleh kerana si B juga bijak, maka dia memohon untuk merayu di mahkamah rayuan. Alas an kukuh yang diberi adalah, dia bukannya hendak mencuri tetapi menyiasat siapakah pencuri yang telah mencuri harta penduduk kampong tersebut. Si B juga mendakwa ada orang yang sengaja memfitnah beliau dalam hal ini. Oleh kerana tiada bukti bahawasanya Si B adalah pencuri, maka beliau dilepaskan terhadap segala pertuduhan tersebut.

Namun demikian, penduduk kampong masih ternganga-nganga siapakah gerangannya pencuri yang telah mencuri harta karun mereka itu. Walau pun sedikit sahaja harta yang dicuri oleh Si A, tetapi penduduk kampong masih risau sekiranya pencuri akan datang lagi dan terus merompak harta-harta mereka.

Selepas tamat round pertama, kedua-dua pencuri itu masih mencari jalan bagaimana hendak mencuri lagi harta-harta dalam tabung tersebut.

Oleh kerana mereka ini PENCURI, maka idea yang diperolehi pun lebih kurang sama walaupun mereka ini berpendidikan yang berbeza.

Oleh kerana mereka ini tahu bahawasanya ketua kampong tersebut adalah amat dihormati dan disegani ramai, maka mereka mengambil keputusan untuk mendekati dan berbaik-baik dengan ketua kampong tersebut.

Mereka memberi berbagai-bagai hadiah kepada ketua kampong tersebut. Ketua kampong tersebut berasa dihargai dan lantas menganggap mereka ini sebagai seorang yang baik.

Selain itu mereka juga membawa perwatakan masing-masing dalam berurusan sama ada dengan penduduk kampong atau pun dengan ketua kampong tersebut. Tujuan mereka adalah untuk mengabui pandangan masyarakat terhadap perwatakkan sebenar mereka.

Si A memakai jubah dan sentiasa berkopiah agar ianya nampak baik dan berakhlak tinggi dipandangan masyarakat kampong tersebut . Disamping itu juga, beliau mengumumkan akan memberikan hadiah kepada mana-mana penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

Begitu juga dengan Si B, beliau memakai kot dan berkasut kulit disamping mengumumkan beberapa pemberian akan diberikan kepada penduduk kampong tersebut sebagai hadiah.
Objektif mereka adalah ingin menunjukkan kepada orang kampong bahawasanya mereka adalah bersih dan mempunyai harta yang banyak yang akan dikongsi bersama. Mereka juga berharapan agar penduduk kampong tidak akan mengesyakki tujuan mereka yang sebenarnya.

Sedang asyik bercerita tentang pencuri tersebut, Pak Mail suami Mak Kalsom memanggilnya agar ke dapur bagi mencuci pinggang mangkuk. Hari sudah larut malam, mereka hendak balik dan menutup warung tersebut.

Sebelum mengundurkan diri, Mak Kalsom menyatakan masih panjang lagi cerita tentang dua pencuri ni. Jika nak dengar lagi selalu lah datang ke warung beliau. Mungkin beliau boleh bercerita dengan lebih lanjut lagi sehingga ke akhir.

Setelah membayar harga kopi tersebut, saya meneruskan perjalanan. Namun dalam kepala saya alangkah baiknya jika Mak Kalsom tadi dapat menghabiskan ceritanya tadi. Berbagai-bagai persoalan dan andaian bermain-main dalam kepala saya. Antaranya adalah :-

1) Apakah rancangan yang seterusnya yang akan dilakukan oleh kedua-dua pencuri tersebut.

2) Adakah rancangan mereka itu akan diketahui oleh penduduk kampong tersebut.

3) Pencuri manakah yang dapat mencuri harta tersebut tanpa disedari oleh semua orang.

4) Pencuri manakah yang akan tersungkur dan merengkok dalam penjara serta dihina oleh penduduk kampong.

5) Apakah jenis harta yang disimpang oleh penduduk kampong itu sejak sekian lama.

6) Adakah mereka berdua akan bersatu dan bersama-sama mencuri harta tersebut jika tiada pilihan lain.

7) Apakah nasib ketua kampong jika penduduk tahu beliau juga bersubahat secara tidak langsung dalam hal tersebut.

8) Berapa lamakah masa yang diambil oleh mereka untuk menjalankan kegiatan tersebut.

9) Jika salah seorang daripada mereka berjaya, bagaimanakah nasib yang akan menimpa penduduk kampong tersebut.

10) Adakah mereka ini bersifat seperti Robin Hood, mencuri bagi membantu orang lain.

11) Siapakah gerangannya pencuri A dan B itu?

12) Apa yang penting...apakah kesudahan cerita ini.

Kisah dua orang pencuri yang ingin mencuri.......


Ahad, 17 Mei 2009

PAS – Parti Islam Yang Semakin Tercemar.


Parti PAS akan mengadakan persidangan pada bulan JUN ini bagi memilih tokoh-tokoh tertentu untuk membentuk pasukan yang akan membawa hala tuju Parti pada masa hadapan. Persidangan kali ini bunyinya berlainan sedikit daripada pemilihan yang lepas kerana isu-isu semasa yang menyelubungi parti.

Pertandingan diantara pihak yang didakwa golongan ulama dengan golongan endorgan. Pertandingan diantara ulama mee segera dengan ulama mee rebus.

Isu-isu yang timbul memberi petunjuk kepada umum bahawa parti ini sedang menghadapi satu dilemma terhadap kesinambungan corak kepimpinan parti.

Jika kini parti dipimpin oleh Tn guru Nik Aziz nik Mat dan juga Tuan Guru Hj Hadi Awang, namun perubahan kepimpinan ke generasi ke-3 sedang sedang berlaku. Generasi yang dikatakan professional atau pun digelari sebagai erdogan oleh sesetengah orang.

Antara isu-isu yang mencemari parti yang sedang hangat diperkatakan kini yang perlu diberi perhatian oleh ahli parti adalah seperti berikut :-

1) Penguasaan orang-orang tertentu yang digelar Erdogan dalam urusan petadbiran dan hala tuju parti . Mereka ini dikatakan terdiri daripada golongan professional yang ingin meliberalisasikan parti Pas.

Idea-idea yang ditimbulkan oleh mereka amat bercanggah dengan pemikiran golongan ulama atau pelopor asal parti. Kehadiran mereka telah membolehkan parti kini bekerjasama dengan pihak DAP yang dahulunya amat hebat dalam penentangan terhadap bangsa melayu dan penubuhan Negara islam.

Jika dahulunya parti pas amat memusuhi UMNO kerana bekerjasama dengan parti-parti lain, namun kini, dengan kehadiran golongan ini parti pas telah membuka laluan bagi mereka bekerjasama dengan parti-parti yang dimusuhi oleh mereka suatu tika dahulu.

Golongan ini juga telah menyebabkan penyisihan sistematik terhadap golongan ulama daripada memegang jawatan penting dalam parti. Parti kini ditadbir oleh mereka yang amat tipis sekali pegangan mereka terhadap perjuangan parti yang asal.

Kehadiran golongan ini telah menghakis sedikit sebanyak sokongan rakyat jelata terhadap parti pas. Mereka dilihat tiada beza dengan mereka yang berada dalam parti lain seperti UMNO dan PKR.

2) Gerak-geri pemimpin yang dilantik dalam pentadbiran negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat ( PKR-DAP-Pas ) telah membuka pekung keburukkan wakil rakyat parti. Kejadian krisis politik di negeri perak telah menunjukkan kepada rakyat bahawasanya pemimpin tersebut bertindak tidak seperti beliau adalah wakil dari parti pas yang memperjuangkan panji-panji islam.

Beliau gagal mencari penyelesaian mengikut ‘cara Pas’. Tiada persidangan khas seperti perbincangan di peringkat tertinggi diadakan oleh Parti PAS dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut mengikut lunas-lunas islam.

Rakyat dibiarkan dengan keadaan yang tertekan kerana politik tersebut.

3) Isu-isu seperti pembalakan yang ‘melampau’ yang sedang berlaku di Gua Musang dan pengambilan tanah rakyat sedikit sebanyak telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin parti.

4) Kenyataan anak kepada Tuan Guru Nik Aziz bahawa adanya golongan mee rebus dan mee goreng dalam parti yang mempengaruhi kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru telah sedikit sebanyak memberi impak kepada pemikiran rakyat terhadap parti.

Rakyat percaya bahawa orang seperti beliau ( Nik abduh ) tidak akan membuat kenyataan yang bukan-bukan tanpa bukti yang kukuh. Sudah pasti beliau akan berfikir semasak-masaknya sebelum satu-satu kenyataan dibuat tentang sesuatu yang menyentuh kesucian parti. Tambahan pula beliau adalah seorang yang berpengetahuan dalam bidang agama dan juga anak kepada Tuan Guru Nik Aziz.

5) Politik Wang. Isu yang tidak disangka-sangka menyusup kedalam parti. Jika sekiranya isu ini benar-benar terjadi dalam pemilihan parti kali ini saya percaya parti akan menghadapi bencana pada PRU-13 nanti. Jika rakyat menganggap UMNO adalah parti yang kotor kerana mengamalkan politik wang, bagaimana pula jika ianya berlaku didalam parti pas.

Harapan rakyat untuk melihat PAS adalah bersih untuk selamanya adalah tidak kesampaian. Isu ini akan menghancurkan kepercayaan dan pegangan rakyat terhadap parti. Saya percaya isu ini akan menghancurkan parti selepas ini. Ahli dan penyokong akan rasa tertipu dengan keadaan ini.

Banyak lagi isu-isu yang berlaku kini sedang membawa parti pas kearah kehancuran. Tiadanya system ‘pertahanan dalaman’ parti terhadap kejadian yang sedang berlaku dan akan berlaku yang akan melemahkan parti dengan sendiri.

Kerosakan yang berlaku dari dalam akan memberi impak besar terhadap kesinambungan survival parti di masa hadapan. Impak tersebut lebih besar jika dibandingkan dengan kekalahan yang dialami dalam pilihanraya.

Semoga pemimpin-pemimpin yang masih lagi berstatus ulama dapat segera membaiki keadaan demi keutuhan parti dalam memperjuangkan agama dan bangsa.

Sesungguhnya Parti pas adalah pertahanan terakhir dalam mempertahankan kepentingan politik orang melayu dan islam di Negara ini.

Rakyat masih sayangkan UMNO, dan jika sekiranya UMNO yang berada dibarisan hadapan telah gagal, parti PAS adalah tempat terakhir untuk orang melayu mengadu. Jika PAS juga gagal, maka gagal-lah perjuangan orang melayu di bumi ini.


SELAMAT HARI GURU – Terima Kasih Cikgu


Walaupun setelah hampir 20 Tahun meninggalkan alam persekolahan, kenangan manis dan pahit di alam persekolahan masih segar dalam ingatan. Dikesempatan ini saya ingin MENGUCAPKAN SELAMAT HARI GURU kepada cikgu-cikgu yang di seluruh Negara.

Ucapan ini juga ditujukan khas kepada cikgu-cikgu yang dikasihi serta tidak jemu-jemu memberi tunjuk ajar :-

1) Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi ( 1984 – 1990 )

Cikgu Affendi & cikgu Rosli – cikgu yang telah mangambil keputusan untuk menjadi penduduk tetap di Kg. Limau Kasturi dan masih kekal mengajar sehingga kini.

2) Sekolah Tg. Indera Petra Gua Musang. ( 1991 – 1995 )

Cikgu Zahari – cikgu yang telah banyak menolong keluarga saya dari segi moral dan wang ringgit. Tahniah diucapkan kepada cikgu kerana dinaikkan pangkat kepada pengurus JPN cawangan Gua Musang.

Cikgu ‘sir’ Amran – cikgu Matematik Moden dan Matematik Tambahan yang banyak memberi tunjuk ajar tentang erti kehidupan. Tahniah juga diucapkan kerana cikgu telahd inaikkan pangkat kepada Timbalan Pengurus JPN cawangan Gua Musang. Terima kasih juga kepada Sir kerana menjadikan kami sebagai anak angkat papa dari dahulu sehingga sekarang.

Cikgu Zakiah – cikgu yang komited terhadap kerja dan juga telah dinaikkan pangkat kepada
Pengetua bagi Sek. Men. Tg. Indera Petra (2). Tahniah cikgu.

Cikgu Wahab – Cikgu disiplin yang memang berdisiplin yang telah mendisiplinkan saya menjadi seorang pelajar yang berdisiplin.

Cikgu Ibrahim (1994 – 1995) – cikgu yang telah menjadikan saya sebagai adik angkat dan telah memberikan tempat perlindungan semasa kesusahan. Jasa cikgu membenarkan saya tinggal di rumah cikgu untuk meneruskan pembelajaran memberi makna yang amat besar terhadap kehidupan saya. Terima Kasih diucapkan.

Ustaz Ramli ( 1995 ) - juga merupakan warden asrama SMTIP yang telah memberikan didikan agama kepada kami semasa di asrama.

Begitu juga kepada guru-guru lain ( yang namanya tidak disebut ) yang juga mencurahkan bakti tanpa mengenal erti penat dan lelah.

Sesungguhnya saya amat memahami kesusahan serta kesulitan cikgu sekalian.

Terima kasih banyak-banyak, semoga cikgu sekalian dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dirahmati oleh ALLAH swt hendaknya.

MUHAMAD ZAINI IBRAHIM

Selasa, 12 Mei 2009

PERAK : KEMELUT POLITIK YANG MELOYAKAN



Kepada sekalian rakyat negeri Perak, lihatlah telatah-telatah wakil rakyat anda. Telatah seorang yang bergelar pemimpin. Telatah yang tidak kesudahan sehingga ke hari ini. Baik dari pihak BN atau pun PR.

Kedua-duanya sedang membuang masa dengan bergaduh dan terus bergaduh.


Awal-awal dahulu seronok juga melihat telatah mereka yang bergelar wakil rakyat ni. Tapi lama-kelamaan ianya bertukar menjadi menyampah dan meloyakan.

Seperti budak-budak yang tidak bersunat sedang berebut saf hadapan dan di belakang tok imam. Padahal sembahyang kedua-duanya tidak sah kerana kedua-duanya sedang membawa najis.

Mereka sedang menyalah-guna harta benda serta kemudahan milik rakyat bagi menunjukkan keegoan masing-masing. Mereka sedang membuang masa dengan perbalahan diantara mereka. Mereka tidak lagi bercakap tentang kepentingan rakyat.

Tidak padan dengan kedudukan serta pangkat yang diberikan. Bukannya duduk berbincang cara yang terbaik untuk mencapai kata sepakat bagi jalan penyelesaian tentang kepentingang rakyat, tetapi bergaduh untuk menunjukkan siapa lebih kuat dan lebih bodoh.

BANGKITLAH RAKYAT PERAK. Bangkit dan hantuklah kepala kedua-dua pihak agar mereka sedar apa yang sedang mereka lakukan. SELAMATKAN NEGERI PERAK.

Ahad, 10 Mei 2009

BERBEZA TAPI SAMA






Ahad, 3 Mei 2009

SELAMAT HARI PEKERJA dan SELAMATKAH PEKERJA?



Hari yang disambut oleh semua mereka yang berstatus pekerja. Pendek kata hari tersebut adalah hari raya bagi semua mereka. Jika kita sebut hari raya, maka sepatutnya mereka ini dalam keadaan bergembira dengan apa yang mereka dapat dan apa yang telah mereka lakukan selama ini.

Namun demikian, adakah golongan pekerja itu dapat menyambut hari pekerja itu dengan suasananya seperti hari raya?

Setelah lebih kurang tujuh tahun mengabdikan diri sebagai pekerja, baru-baru ini saya mengambil keputusan menjalankan perniagaan. Dengan harapan ianya akan memberi lebih kepuasan dan sekurang-kurangnya ianya memberikan saya satu jaminan kepada saya sekiranya kehilangan kerja kelak.

Bayang-bayang kehilangan kerja masih bermain-main dalam kepala saya. Sebagai kakitangan swasta, kehilangan kerja adalah satu risiko yang PERLU ditanggung dan diakui terutamanya dalam sector pembinaan dan pembuatan.

Pada masa kini, golongan graduan serta professional tidak boleh mendabik dada dengan apa yang mereka ada. Kesinambungan untuk mereka kekal dalam satu-satu syarikat adalah amat tipis sekali. Ianya bergantung kepada banyak factor.

Diantaranya adalah :-


1) Faktor Syarikat
2) Faktor Gaji
3) Polisi Kerajaan
4) Keadaan ekonomi Negara / dunia

Saya masih ingat pada tahun 2004, dimana kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri Pak Lah telah mengumumkan dasar pertanian Negara. Pada ketika itu, dunia pembinaan menjadi kelam kabut kerana kerajaan telah membekukan beberapa projek pembinaan. Pada ketika itu juga, syarikat telah menamatkan kontrak kerja saya dan dengan itu saya telah menjadi penganggur terhormat selama enam (6) bulan.

Selama enam bulan menjadi penganggur kehormat, hidup menjadi celaru dan dipenuhi oleh tekanan. Tekanan hutan kad kredit, tekanan hutang kereta, tekanan perbelanjaan rumah dan anak.

Namun, selepas enam bulan kehilangan kerja, saya telah dipanggil balik oleh syarikat yang sama untuk bekerja semula dan kini, Alhamdulillah kerana kedudukan saya telah stabil dan masih diperlukan oleh pihak syarikat.

Berbalik kepada hari pekerja yang disambut setiap tahun. Apa yang ingin saya kemukakan adalah; adakah pekerja di Negara ini mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat daripada majikan masing-masing?

Dalam masa tujuh tahun menjadi pekerja dalam bidang pembinaan, bermacam-macam karenah pihak majikan telah saya dan juga pekerja lain telah lalui. Apa yang menariknya, pekerja seakan-akan dianiaya semahu-mahunya oleh pihak majikan terutamanya dari segi kebajikan.

Penganiayaan yang sering berlaku adalah seperti berikut :-

1)Majikan tidak mencarumkan pekerja wang KWSP dan SOCSO

2)Pekerja di suruh bekerja sehingga lewat malam dan kadang-kadang 24jam,
namun tidak
dibayar akan kerja lebih masa atau pun diberi cuti rehat.

3)Gaji bagi pekerja bawahan serta golongan professional di bayar terlalu murah.
Pernah terjadi majikan hanya membayar gaji bagi kerani am adalah sebanyak
RM 300
sebulan.

4)Kontrak pekerja disambung pada setiap enam (6) bulan sahaja.

5)Tahap keselamatan pekerja tidak dipedulikan.

6)Jika berlaku kemalangan, majikan tidak membuat apa yang patut dalam
meringankan
beban pekerja seperti urusan tuntutan insurans dan sebagainya.

7)Pekerja diambil dan dibuang sesuka hati.

8)Ketiadaan sikap professional dan etika pihak majikan dalam pengurusan
pekerja.


9)Gaji pekerja dibayar lewat atau tidak dibayar langsung.

10)Tugas diberikan tidak selari dengan gaji dan jawatan/tanggungjawab yang
diberi


11)Tiadanya kursus-kursus penambahan kemahiran pekerja diadakan

12)Tiada kenaikkan gaji dan pangkat

13)Pertukaran tempat kerja seseorang pekerja dua atau tiga kali setahun

Contoh 1

Semasa bekerja disalah sebuah syarikat pembinaan yang berpusat di Subang Jaya. Pekerja di bahagian operator mesin dan buruh kasar telah melakukan mogok berulang-ulang kali kerana pihak majikan telah gagal dalam membayar caruman KWSP dan SOCSO kepada mereka dengan alas an mereka adalah pekerja kontrak dan tidak layak untuk menerimanya. Mereka dibayar gaji ditangan dan bukannya melalui akaun bank masing-masing. Dengan demikian mereka tidak layak untuk mendapat penyata gaji.

Walau apa pun yang pekerja lakukan, pihak majikan masih tetap dengan pendirian tersebut.

Contoh 2

Pekerja yang bekerja di projek yang dipanggil ‘fast track project’ disuruh bekerja siang-malam namun mereka tidak layak untuk mendapatkan wang kerja lebih masa. Mereka hanya diberikan rehat keesokkan hari sehingga jam 10.00 sahaja. Selepas jam 10.00, mereka hendaklah masuk bekerja seperti biasa sehingga lewat malam dan kadang-kadang ke hari esok.

Begitu juga dengan pihak keselamatan (jaga), gaji mereka adalah sekitar RM700.00 sebulan dan mereka dikhendaki bekerja dari pukul 7.00 malam sehingga ke pukul 7.00 pagi keesokkannya. Kadang-kadang mereka disuruh datang seawal jam 6.00 petang dan keluar jam 8.00 pagi.

Contoh 3

Seorang supervisor yang dibayar gaji RM 1600.00 ( bagi menidakkan kelayakkan mereka membuat tuntutan kerja lebih masa ) diarahkan bekerja sehingga lewat malam dan kadang-kadang sehingga keesokkan harinya. Disamping itu, mereka diarahkan menjadi wakil kepada senior supervisor atau pun wakil kepada pegawai yang lebih tinggi jawatannya.

Begitu juga dengan mereka yang berjawatan jurutera projek dengan gaji yang cukup-cukup makan sahaja dalam lingkungan RM 2000.00 sehingga RM3000.00. Mereka ini perlu melakukan segala-galanya sehingga kadang-kadang memikul kerja-kerja seorang pengurus projek atau pun pengurus tapak. Gaji pengurus (dalam lingkungan RM6,000.00 ke RM 15,000.00) adalah terlebih-lebih tinggi berbanding dengan mereka yang berpangkat jurutera biasa.

Contoh 4

Pekerja disuruh berhenti kerja kerana tidak pandai menipu pihak kerajaan. Seorang QS ( Quantity Surveyor ) disuruh berhenti kerana beliau tidak pandai memanipulasikan tuntutan bulanan pihak majikan dengan pihak JKR. Tuntutan perlu banyak tetapi kerja tapak adalah tidak seberapa. Pandai-pandailah buat adjustment.

Pengurus mengarahkannya meletakkan jawatan dan sekiranya degil berbuat demikian, si pengurus akan membuat kes bagi menyingkirkannya.

Contoh 5

Bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja (kononnya), sebuah syarikat telah mengarahkan kakitangan utamanya ( key person ) untuk bertugas di beberapa tempat di seluruh Negara. Gaji serta kemudahan yang sepatutnya disediakan tidak diberikan oleh pihak majikan. Antara keperluan seperti tempat tinggal, kos pengangkutan seperti minyak dan tol, menggunakan kenderaan persendirian dan sebagainya.

Kadang-kadang sesetengah pekerjanya terpaksa berpindah randah dua atau tiga kali setahun.

Untuk pengetahuan semua, kes-kes yang disebutkan tadi adalah berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dikatakan establish dan terkenal dengan nilai projek beratus-ratus juta ringgit. Itu adalah sebahagian sahaja kes yang dapat saya berikan tetapi hakikatnya masih banyak lagi yang terang-terangan ianya menganiayai pihak pekerja.

Buat masa ini saya dapati hak-hak pekerja ( terutamanya dalam bidang pembinaan ) masih lagi dipandang enteng oleh pihak majikan. Ada sesetengah majikan pernah berkata; si polan tu sepatutnya bersyukur kerana pihak syarikat telah mengambilnya bekerja dan dibayar gaji. Jadi, tidak usahlah mengada-ngada dengan pihak syarikat.

Sesungguhnya pekerja di Negara ini terlalu berisiko terhadap pihak majikan yang tidak mengamalkan sikap professional dan etika dalam pengurusannya. Undang-undang sedia ada serta perlaksanaannya masih lagi tidak mengcukupi dalam mempertahankan atau mengembalikan hak-hak pekerja itu kepada mereka.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini perasaan kecewa saya yang teramat sangat terhadap pengurusan kemanusiaan dalam sector pembinaan di Negara ini. Perasaan kecewa kerana ianya masih ditahap yang rendah dan semakin teruk jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh rakan-rakan yang berada di luar Negara.

Mereka yang sealiran sanggup berhijrah ke luar Negara kerana kekecewaan tersebut. Walau pun berjauhan dari keluarga, hasil yang mereka dapat adalah lebih berbaloi dengan apa yang mereka dapat di negara sendiri terutamanya dari skim gaji. Gaji mereka adalah lebih daripada tiga (3) ke lima (5) kali ganda berbanding ketika mereka bekerja di Negara ini. Jika dahulu mereka hanya mendapat RM 3,000.00 sebulan, tetapi sekarang mereka mendapat RM 15,000.00 sebulan. Walhal, kata mereka kerja yang dilakukan disana adalah lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan di Negara ini.

Saya pernah menonton satu forum agama yang berkaitan dengan hari pekerja. Semua panel bercakap akan kesalahan yang tidak sepatutnya pekerja lakukan. Mereka menyedut ayat-ayat tertentu bagi menggalakkan pekerja melakukan kerja dengan lebih baik. Namun, tiada seorang pun daripada ahli panel itu menghuraikan satu persatu akan tanggungjawab atau pun kesalahan yang dilakukan oleh para majikan kepada pekerja.

Di sini jelas kepada kita bahawasanya, kita hanya pandai menyebut hari pekerja pada hari tersebut tetapi hakikatnya ianya tidak memberi apa-apa makna kepada pekerja itu sendiri.

Mereka sering dipersalahkan.

Setiap kali kes yang dilaporkan, mereka akan melihat kesalahan adalah terletak pada pekerja. Setahu saya, pekerja akan lakukan yang terbaik sekiranya mereka dilayan dengan baik oleh pihak majikannya. Seperti kata peribahasa, anak kecil yang lapar akan menangis dan ibubapa tidak perlu marah-marah terhadap mereka. Cukup sekadar buatkan mereka susu dan sudah pasti mereka ini akan berhenti menangis.

Sebagus mana pun sesebuah syarikat itu, jika pekerjanya adalah sampah, maka sampah jugalah akhirnya dan jika sebagus mana pun pekerja itu, jika syarikat itu adalah sampah, maka sampahlah juga akhirnya yang mereka dapat.

Dari peringkat bawah sehingga ke jawatan tertinggi, semuanya mempunyai tugas masing-masing.

SESUNGGUHNYA PEKERJA DAN MAJIKAN ADALAH SALING BERGANTUNGAN DIANTARA SATU SAMA LAIN.

HARGAILAH PEKERJA.