Rabu, 18 Februari 2009

MATEMATIK DAN SAINS – Nak faham bahasa atau matematik?



Sejak dahulu lagi saya telah menulis berkenaan isu pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris. Kononnya untuk memahami sains atau matematik dengan lebih mendalam, kita perlu memahami bahasa yang digunakannya. Tidak salah akan teori tersebut. Tetapi adakah kita telah mengambil kira faktor-faktor yang lain terutamanya faktor dalaman negara kita.


Dikesempatan ini sekali lagi ingin menyatakan bahawasanya penggunaan bahasa inggeris itu akan menyekat peluang kebanyakan pelajar-pelajar kita terutamanya mereka yang berada di luar bandar. Walau pun mereka bijak dan berkebolehan, tetapi oleh kerana persekitaran dan polisi tersebut mereka akan terus-terusan ketinggalan dalam arus perdana.


Mengapa saya kata begitu. Cuba kita bayangkan, lebih daripada 90% percakapan dan perbualan seharian pelajar luar bandar adalah menggunakan bahasa tempatan. Mereka hanya bertemu dengan sessi yang menggunakan bahasa inggeris untuk hanya satu atau dua jam sahaja semasa di dalam kelas.


Jika lebih daripada 90% percakapan seharian mereka adalah dalam bahasa tempatan, bagaimana untuk kita menyatakan bahawasanya mereka akan dapat menguasai bahasa tersebut dengan sebaik mungkin. Jika mereka tidak dapat menguasai bahasa inggeris dengan sebaik mungkin, macamana kita boleh mengandaikan pula mereka akan dapat memahami apa yang ditulis dalam buku sains dan matematik itu sendiri. Jika mereka tidak dapat memahami apa yang ditulis dalam buku, bagaimana pula untuk mereka menguasai kedua-dua mata pelajaran tersebut.


Jika itu yang terjadi, maka kita terpaksa mengakui bahawasanya kita sedang menghadapi masalah. Pelajar itu menghadapi 2 masalah serentak. Masalah dalam menukarkan bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu dan memahami serta menguasai apa penyelesaian masalah matematik itu sendiri. Pemahaman dan penguasaan mereka akan menjadi lebih lambat terhadap satu-satu subjet yang diajar dan yang paling menyedihkan ada dikalangan mereka tidak tahu apa yang diajar oleh guru mereka.


Mungkin ada dikalangan pelajar ada menyatakan begini ” Apa lah yang cikgu ni ajar..mulut terkumat kamit..tapi satu pun tidak faham”.


Jika diajar dalam bahasa melayu pun sudah menjadi masalah kepada mereka untuk memahami dan menguasainya, apatah lagi jika diajar dalam bahasa yang tidak difahami olehnya.


Matematik dan sains bukannya bergantung sepenuhnya kepada bahasa tetapi ianya bergantung kepada tahap penguasaannya. Bergantung kepada penguasaan untuk penyelesaian masalah. Ianya berkaitan dengan angka dan formula. Bahasa adalah digunakan dalam komunikasi manakala matematik pula digunakan untuk penyelesaian masalah yang berkaitan angka dan formula.


Melalui pengalaman saya, jika kita sudah menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik ( biarpun dalam bahasa melayu ), maka kita dengan secara automatiknya, perkara-perkara lain akan menjadi mudah buat kita. Terutamanya dalam soal penguasaan bahasa.


Matematik dan sains adalah satu ilmu yang diajar bagi melatih pelajar dalam penyelesaian masalah. Setiap permasalahan perlu kepada jalan penyelesaian. Setiap penyelesaian akan ada jawapannya. Mereka juga dilatih ( bahasa lain diajar ), untuk mencari jawapan terhadap setiap masalah yang timbul. Untuk mencari jawapan kepada persoalan, mereka perlu tahu ( menguasai ) jalan penyelesaiannya. Jika mereka tidak tahu jalan penyelesaiannya, macamana mereka hendak selesaikan masalah ( soalan ). Jika bahasa yang diguna pakai sudah tidak difahami, macamana hendak mencari dan menguasai akan jalan penyelesaiannya kepada masalah (soalan) yang dikemukakan. Masalah sudah menjadi masalah tu.


Jika dahulunya, walaupun kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dalam bahasa melayu, namun kita dapat melihat begitu ramai pelajar kita dapat menyambung pelajaran dalam bidang-bidang kritikal seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya lagi.


Jika pelajar luar bandar telah didedahkan atau telah terdedah dengan bahasa inggeris ianya tidak mengapa. Tetapi jika 90% bahasa tempatan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka, adalah mustahil untuk mereka memahami dan menguasai sepenuhnya akan apa diajar oleh guru mereka.


Janganlah disebabkan oleh bahasa lain, anak-anak melayu kita tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat di tanah tumpah darah mereka sendiri.


Lihatlah anak-anak melayu diluar bandar. Kasihanilah mereka. Janganlah kerana kita taksub dengan sesuatu akan menyebabkan kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang kita taksubkan itu.






0 ulasan: