Sabtu, 7 Jun 2008

Syor 6 pendekatan kurang beban rakyat


BERITA HARIAN : 07-06-08

SEREMBAN: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan enam pendekatan yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan bakal disusuli tarif baru elektrik berkuat kuasa 1 Julai depan.

Beliau berkata, langkah segera yang boleh diambil ialah memperhebatkan pemantauan harga barang dan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga keterlaluan, selain menerbitkan senarai harga semasa barang keperluan utama bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan.

"Tenaga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu ditambah untuk tugasan memantau harga dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga kerana ini adalah aspek yang paling dirisaukan pengguna berikutan kenaikan harga minyak,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga M Thannabakiyam yang hidup miskin di Taman Markosa, Paroi, dekat sini semalam.

Beliau berkata, pendekatan kedua ialah mempercepatkan proses rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya sama ada mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol di lebuh raya tertentu untuk memberi manfaat kepada rakyat.

"Proses rundingan itu diharap diselesaikan secepat mungkin. Kita juga berharap syarikat konsesi lebuh raya yang sudah dapat semula modal dan dapat untung yang kini hanya menambah keuntungan bekerjasama untuk membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.

Langkah lain ialah mengkaji semula had pendapatan yang diletakkan di bawah garis kemiskinan supaya selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan, sekali gus membolehkan rakyat yang layak mendapat bantuan tidak tercicir daripada menerimanya.

"Contohnya, jika pendapatan minimum di bawah paras kemiskinan sekarang ialah RM500, ia wajar dikaji semula dan dinaikkan kerana tidak selari lagi dengan keadaan semasa, terutama di bandar. Kumpulan ini wajar mendapat bantuan kerajaan," katanya.

Selain itu, Khairy berkata, kerajaan perlu
mengkaji semula penanda aras Indeks Harga Pengguna (IHP) yang setakat ini meletakkan paras inflasi negara di bawah lima peratus, sedangkan harga barangan mengalami kenaikan lebih tinggi daripada itu.

"Saya juga berharap
kerajaan dapat menilai dalam tempoh setahun ini sama ada bayaran tunai RM625 setahun kepada pemilik kereta bawah 2,000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal bawah 250cc mencukupi untuk mengurangkan beban kumpulan sasar. Jika tak cukup, ia wajar dinaikkan pada tahun kedua," katanya.

0 ulasan: