BERITA HARIAN : 08-06-08
SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa langkah Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak sehingga RM2.70, Rabu lalu, adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan zalim.
Katanya, perkara itu hanya berlaku dalam pendekatan dan kebijaksanaan ekonomi yang rakus dan tidak berperikemanusiaan, sekali gus menunjukkan kerajaan memandang remeh isu perkembangan budaya dan pengertian budaya.
"Tiada negara lain, yang menjadi pengeluar minyak di dunia, malah negara miskin yang mengimport minyak, sanggup melakukan tindakan drastik, keras dan biadab sehingga mengetepikan kesan terhadap rakyat negaranya," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Malam Karyawan II di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan karyawan, Prof Dr Muhammad Salleh.
Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi yang pantas tanpa pertimbangan kemanusiaan dan keadilan sosial bukan pertumbuhan manusia sebaliknya ia hanya pertumbuhan yang boleh diyakinkan dari sudut pertimbangan angka dan statistik.
Katanya, Malaysia sebenarnya sudah jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura, Korea dan Taiwan.
Beliau berkata, jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita Singapura, Malaysia jauh ketinggalan sehingga lima kali ganda.
Selain itu, beliau berkata, Pakatan Rakyat juga akan membenarkan sasterawan dan karyawan negara menegur kepemimpinan kerajaan termasuk Menteri Besar jika ia membuat kesilapan.
0 ulasan:
Catat Ulasan