Ahad, 8 Jun 2008

Minyak 'membakar' Pak Lah


http://www.mykmu.net/

Masa kita kecil-kecil dulu, mak ayah selalu berpesan, jangan main api nanti terbakar diri. Rasanya ramai di kalangan kita yang biasa dengar ungkapan ini, kalaupun tidak daripada mak ayah sendiri.

Maksud ungkapan ini agak mudah, jangan kita main-main dengan api kerana bukan saja diri akan terbakar, tapi mungkin seluruh keluarga dan harta benda. Maksud yang agak 'advance' mungkin nasihat supaya kita tidak melakukan sesuatu yang berbahaya agar diri tidak ditimpa kecelakaan. Tapi itu dulu.

Mungkin sekarang kita patut ubah sedikit ungkapan tersebut kepada anak-anak kita. Mana tahu mungkin ada diantara anak-anak kita akan jadi pemimpin kelak. Seharusnya sekarang kita ungkapkan 'jangan main minyak, nanti terbakar seluruh negeri'.


Langkah pak lah menaikkan harga minyak begitu mengejutkan.
Ramai menjangkakan kenaikan minyak hanya disekitar 20% pada bulan Ogos, bukannya sekarang. Kemudian rakyat cuba diredakan dengan 'rasuah' RM 625 setahun (khabarnya sekali seumur hidup).

Seperti biasa kita akan bandingkan harga minyak dengan jiran serantau (kecuali Brunei). Namun begitu perlu diingat, harga minyak sekarang ni bukannya 'ditambat' pada nilai RM2.70 seliter. Harga minyak negara AKAN MENINGKAT seiring dengan peningkatan harga minyak global.

Kerajaan hanya akan menanggung subsidi 30 sen sahaja ke atas sebarang harga minyak global. Sebagai contoh, sekiranya harga minyak global naik ke RM 4.00 seliter, rakyat akan membayar RM 3.70 seliter! Tidak seperti dulu, sebarang kenaikan harga minyak akan ditanggung kerajaan.


Ini mungkin satu 'political suicide' atau mungkin strategi politik yang baik buat pak lah. Dari sudut 'political suicide' mungkin ianya akan mengundang amarah rakyat, 'menyuburkan' budaya demonstrasi pembangkang dan kecaman daripada NGO-NGO.


Tapi adakah pak lah peduli ini semua? pak lah hanya berminat untuk kekal berkuasa. Lebih tepat mengukuhkan kedudukan diri dan keluarga dalam UMNO. Dari segi strategi politik (UMNO), mungkin boleh mengundang 'tuah' pada pak lah. Sudah tentu menteri-menteri, ahli MT dan ketua-ketua bahagian akan 'kami berdiri teguh bersama-sama pak lah'.

Perlu diingat, pemilihan di peringkat cawangan akan bermula. Fokus rakyat akan cuba dialihkan. Seluruh kemarahan, kekecewaan dan pemikiran rakyat terhadap kepimpinan mungkin akan 'berpindah' kepada isu minyak. Fokus terhadap mana pemimpin yang sepatutnya dipilih akan 'lari'.


Disini mungkin kebanyakan kita akan tersalah pilih wakil cawangan ke bahagian. Pemilihan cawangan sangat penting kerana mereka yang terpilih inilah yang akan memilih perwakilan bahagian dan seterusnya. Ini seterusnya pasti membawa kepada pengekalan pak lah dan menantu 'tanpa bertanding' sekali lagi.

'Kekalutan' isu minyak pasti 'membelah' fokus kita. Ramai ahli-ahli UMNO pastinya sibuk dengan isu minyak dan kenaikan harga barang. Fokus dan pertimbangan yang tepat untuk pemilihan cawangan pasti akan terganggu.

'Di mana ada kesempitan, di situ ada kesempatan'. Di sebalik kekalutan ini pastinya ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam parti. Lebih 'menakutkan' sekiranya pemimpin-pemimpin lantang seperti Muhyidin dan Mukhriz cuba dijatuhkan dalam kekalutan ini.

Oleh itu, janganlah kita terperangkap dalam permainan politik seperti ini. Mana mungkin pak lah berani naikkan harga minyak tanpa 'hidden agenda'. Semoga minyak hanya 'membakar' pak lah dan sekutunya, bukannya 'membakar' UMNO. Pesanan kepada pemimpin, 'jangan main minyak lagi, kelak terbakar seluruh parti'.

TAMBAHAN DARI PAKCIK – HARGA MINYAK NAIK..ORANG KAMPUNG SUDAH NAIK MINYAK..LAMA-LAMA SEMUANYA AKAN JADI ORANG MINYAK..TIADA BOMOH HANDAL YANG DAPAT MEMULIHKAN LAGI PEGANGAN ORANG KAMPUNG………..

Rakyat kena faham


BERITA HARIAN : 08-06-08

Pengguna perlu dapat maklumat betul isu harga minyak: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap rakyat negara ini mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak supaya mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.

"Setiap daripada kita ada peranan dan tanggung jawabnya dalam menghadapi suasana getir seumpama ini. Justeru, marilah kita bersama-sama mengharungi dugaan ini dengan tabah, demi kesejahteraan kita bersama dan demi masa depan negara ini dan generasi seterusnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan pada majlis pengurniaan pingat serta darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, situasi ini adalah cabaran utama negara pada hari ini dan kerajaan sesungguhnya amat prihatin terhadap perasaan dan taraf hidup rakyat.

"Atas sebab itulah, kerajaan bertahan sebanyak dan selama mungkin untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga, namun harga komoditi dunia itu telah melonjak naik dengan terlalu tinggi dalam masa yang amat singkat,” katanya.

Abdullah berkata, pada Januari 2007, harga minyak mentah dunia hanya sekitar AS$50 setong. Bagaimanapun, 18 bulan kemudian harga minyak mentah meningkat lebih 150 peratus kepada hampir AS$130 setong dan pakar-pakar dunia menjangkakan harga minyak mentah dunia mungkin terus meningkat pada paras AS$200 setong.

"Dalam keadaan ini, hakikatnya perbelanjaan kerajaan tidak akan dapat memenuhi jurang di antara harga terkawal yang rendah dengan harga minyak mentah dunia, walaupun dengan peningkatan perolehan Petronas,” tegas beliau sambil menambah bahawa ini cabaran yang perlu ditangani di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kenaikan harga bahan api menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Oleh itu, katanya, kerajaan berusaha sedaya upaya mengurangkan kesempitan yang dialami, terutama oleh golongan berpendapatan rendah dengan menambah jumlah bantuan secara langsung dan memperkukuhkan jaringan jaminan sosial.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha menjimatkan perbelanjaan sektor awam, memperluaskan senarai barang kawalan, meningkatkan jumlah kenderaan pengangkutan awam serta menangguhkan program tidak memenuhi keperluan terkini.

Ktanya, banyak lagi cabaran perlu ditangani demi memastikan negara akan terus melangkah ke hadapan.

Beliau berkata, antara cabaran itu ialah pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka lembap kesan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak berkembang dan kesan lanjutan ke atas Eropah Barat serta ekonomi baru muncul dan sedang membangun.

Abdullah berkata, namun begitu perkembangan ekonomi negara pada 2007 adalah menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa negara berada pada landasan kukuh.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dicatatkan pada kadar 6.3 peratus untuk 2007, walaupun dengan persekitaran ekonomi global yang begitu menduga.

"Semua sektor mencatatkan pertumbuhan yang kukuh terutama sektor perkhidmatan, pembinaan, perlombongan dan perladangan. Pertumbuhan permintaan pengguna berada pada paras yang mantap iaitu 11.8 peratus,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga berjaya menurunkan kadar defisit negara ke paras 3.2 peratus dan pertumbuhan ini disokong oleh daya ketahanan ekonomi dalaman yang mantap serta struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

"Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa melaksanakan dasar serta strategi pengurusan ekonomi negara secara fleksibel dan pragmatik,” katanya.

Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup rakyat memang sentiasa menjadi agenda penting kerajaan.

Mengenai usaha memerangi rasuah, Abdullah berkata tahap penguatkuasaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipertingkatkan di samping ia akan distruktur semula sebagai sebuah suruhanjaya bagi membolehkan sebuah panel penasihat bebas pencegahan rasuah dan sebuah Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah diwujudkan. - Bernama

APA KOMEN ANDA???

Anwar pertikai minyak naik harga


BERITA HARIAN : 08-06-08

SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa langkah Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak sehingga RM2.70, Rabu lalu, adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan zalim.

Katanya, perkara itu hanya berlaku dalam pendekatan dan kebijaksanaan ekonomi yang rakus dan tidak berperikemanusiaan, sekali gus menunjukkan kerajaan memandang remeh isu perkembangan budaya dan pengertian budaya.

"Tiada negara lain, yang menjadi pengeluar minyak di dunia, malah negara miskin yang mengimport minyak, sanggup melakukan tindakan drastik, keras dan biadab sehingga mengetepikan kesan terhadap rakyat negaranya," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Malam Karyawan II di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan karyawan, Prof Dr Muhammad Salleh.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi yang pantas tanpa pertimbangan kemanusiaan dan keadilan sosial bukan pertumbuhan manusia sebaliknya ia hanya pertumbuhan yang boleh diyakinkan dari sudut pertimbangan angka dan statistik.

Katanya, Malaysia sebenarnya sudah jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura, Korea dan Taiwan.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita Singapura, Malaysia jauh ketinggalan sehingga lima kali ganda.

Selain itu, beliau berkata, Pakatan Rakyat juga akan membenarkan sasterawan dan karyawan negara menegur kepemimpinan kerajaan termasuk Menteri Besar jika ia membuat kesilapan.

DAULAT TUANKU..DAULAT TUANKU..DAULAT TUANKU


SELAMAT HARI KEPUTERAAN

DAULAT TUANKU!


Sabtu, 7 Jun 2008

Syor 6 pendekatan kurang beban rakyat


BERITA HARIAN : 07-06-08

SEREMBAN: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan enam pendekatan yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan bakal disusuli tarif baru elektrik berkuat kuasa 1 Julai depan.

Beliau berkata, langkah segera yang boleh diambil ialah memperhebatkan pemantauan harga barang dan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga keterlaluan, selain menerbitkan senarai harga semasa barang keperluan utama bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan.

"Tenaga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu ditambah untuk tugasan memantau harga dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga kerana ini adalah aspek yang paling dirisaukan pengguna berikutan kenaikan harga minyak,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga M Thannabakiyam yang hidup miskin di Taman Markosa, Paroi, dekat sini semalam.

Beliau berkata, pendekatan kedua ialah mempercepatkan proses rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya sama ada mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol di lebuh raya tertentu untuk memberi manfaat kepada rakyat.

"Proses rundingan itu diharap diselesaikan secepat mungkin. Kita juga berharap syarikat konsesi lebuh raya yang sudah dapat semula modal dan dapat untung yang kini hanya menambah keuntungan bekerjasama untuk membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.

Langkah lain ialah mengkaji semula had pendapatan yang diletakkan di bawah garis kemiskinan supaya selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan, sekali gus membolehkan rakyat yang layak mendapat bantuan tidak tercicir daripada menerimanya.

"Contohnya, jika pendapatan minimum di bawah paras kemiskinan sekarang ialah RM500, ia wajar dikaji semula dan dinaikkan kerana tidak selari lagi dengan keadaan semasa, terutama di bandar. Kumpulan ini wajar mendapat bantuan kerajaan," katanya.

Selain itu, Khairy berkata, kerajaan perlu
mengkaji semula penanda aras Indeks Harga Pengguna (IHP) yang setakat ini meletakkan paras inflasi negara di bawah lima peratus, sedangkan harga barangan mengalami kenaikan lebih tinggi daripada itu.

"Saya juga berharap
kerajaan dapat menilai dalam tempoh setahun ini sama ada bayaran tunai RM625 setahun kepada pemilik kereta bawah 2,000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal bawah 250cc mencukupi untuk mengurangkan beban kumpulan sasar. Jika tak cukup, ia wajar dinaikkan pada tahun kedua," katanya.

4 langkah atasi beban


BERITA HARIAN : 07-06-08

Kerajaan prihatin bantu rakyat harungi tempoh sukar: Abdullah

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan butiran mengenai empat langkah segera awal minggu depan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan tarif elektrik, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, empat langkah itu membabitkan tindakan penjimatan kos oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan jaminan sosial bagi rakyat berpendapatan rendah dan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya, menambah senarai bahan kawalan untuk mengekalkan harga rendah dan meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.

Dalam pertemuan dengan editor kanan di sini semalam, Abdullah berkata, kerajaan amat prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik.

Beliau berkata, menaikkan harga minyak dan tarif elektrik bukanlah suatu tindakan yang digemari kerajaan tetapi ia terpaksa dilakukan sekarang bagi faedah jangka panjang negara dan generasi akan datang.

Abdullah berkata, pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk memperincikan perkara itu akan bertugas sepanjang hujung minggu ini untuk membolehkan langkah berkenaan diumumkan awal minggu depan.

Sambil menghuraikan langkah itu, beliau berkata, tindakan penjimatan kerajaan itu termasuk mengurangkan kunjungan ke luar negara dan jumlah pegawai yang terbabit.

Beliau berkata, wang daripada langkah penjimatan di jabatan dan agensi kerajaan akan digunakan untuk perkara lain yang boleh memanfaatkan rakyat.

Mengenai langkah memperluas jaminan jaringan sosial, beliau berkata, ini bermakna memperbesar ambangnya untuk meliputi lebih ramai rakyat dalam golongan berpendapatan rendah dan kumpulan kurang bernasib baik.

Perdana Menteri memberi contoh, jika kini sejumlah kanak-kanak sekolah sudah mendapat pakaian sekolah dan makanan percuma, tetapi pembesaran itu akan bermakna lebih ramai lagi yang boleh mendapat keistimewaan yang sama.

Abdullah berkata, kerajaan sedar akan kemungkinan harga makanan turut meningkat berikutan kenaikan harga bahan api dan elektrik, maka bilangan barang perlu dalam senarai harga kawalan akan diperbesar untuk mengekalkan harga rendah.

Langkah itu akan memastikan rakyat tidak dibebani dengan harga makanan yang mahal, katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat bidang lain yang sedang dikaji kerajaan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta. Ia akan mengadakan mesyuarat pertamanya Isnin ini.

Abdullah berkata, langkah baru itu bertujuan mengurangkan impak negatif terhadap golongan berpendapatan rendah kerana kerajaan sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.

Beliau yakin kerajaan akan berupaya membantu rakyat mengharungi tempoh sukar ini seperti yang berjaya dilakukan ketika kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980an dan krisis kewangan pada 1997.

Katanya, jika kerajaan tidak mengurangkan subsidi minyak, bermakna kerajaan akan terpaksa membelanjakan kira-kira RM28 bilion tahun ini.

Ini adalah langkah kurang bijak jika seseorang itu mengambil kira pendapatan tahunannya kira-kira RM154 bilion, katanya.

Abdullah berkata, kerajaan berjaya dalam mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.2 peratus daripada 5.5 peratus pada 2000 tetapi jika ia terus memberi subsidi minyak, maka belanjawan defisit akan meningkat antara 6.0 dan 10 peratus.

Dengan mempunyai bajet defisit yang begitu tinggi akan memberikan impak negatif terhadap penarafan kedaulatan Malaysia walaupun kerajaan tidak sering ke pasaran wang untuk meminjam, katanya.

Bagaimanapun, penurunan rating oleh agensi penarafan akan memberi impak tidak langsung terhadap pinjaman yang dilakukan syarikat Malaysia dan ini bermakna mereka perlu membayar lebih.

Menyentuh saranan sesetengah pihak supaya kerajaan menggunakan dananya untuk memantapkan ekonomi kini, Abdullah berkata, ia bukan suatu tindakan yang wajar dilakukan sekarang.

Katanya, jika berlaku krisis besar ekonomi global atau kemelesetan dan Malaysia telah menggunakan sebahagian besar dananya hanya untuk memberi subsidi minyak, maka akan dilihat negara telah kehabisan modal atau usaha.

Abdullah berkata, dana hanya patut digunakan untuk tujuan memantapkan bagi merangsangkan ekonomi jika berlaku kemelesetan global.

Beliau berkata, sebelum ini ketika kerajaan memberikan subsidi yang besar harga minyak, ramai yang bukan dalam golongan sasarannya seperti rakyat asing, mengambil kesempatan menipu dan penyeludup meraih keuntungan yang lebih daripada skim subsidi itu. - BERNAMA

Hampir 2/3 gaji sebahagian rakyat dibelanja untuk petrol


HARAKAH : 06-06-08

Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol? Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah dinasihatkan pemimpin kerajaan supaya berjimat cermat dengan kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras, tepung dan barang keperluan lain?

Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan kini sebahagian subsidi petroleum dikorbankan untuk kononnya membantu kerajaan membangunkan negara.

Soalnya, apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh merobah gaya hidup, para pemimpin terus hidup senang-lenang. Di mana slogan "Kepimpinan Melalui Teladan"?

Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas kerajaan menyuruh rakyat mengubah cara hidup. Terdapat cadangan yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan Abdullah?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran global. Shahril melontar pandangan bahawa harga minyak tinggi kerana ia diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama juga digunakan bekas Menteri Keja Raya yang menjaga tol, Dato' Seri S Samy Vellu.

Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini. Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol kepada RM2.70. Mungkin itu juga mendorong rakyat menganggap kerajaan menipu dalam program isu semasa RTM1.

Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru ini, rakyat diingatkan agar tidak lagi bergantung kepada tongkat (subsidi). Maksudnya, subsidi minyak kena dihapus. Siapa mereka yang beriya-riya hendak menghapuskan subsidi bahan bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu ke atas sebulan.

Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global? Contoh terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33. Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura untuk menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak belum lagi mampu menghidup enjin kereta.

Jika selama ini rakyat Malaysia berbelanja RM10 sehari untuk petrol bagi berulang alik ke tempat kerja, sebaliknya harga pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30. Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar perbelanjaan sara hidup mereka.

Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup dengan harga minyak setinggi itu?

Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya RM21,500 (AS$6,244). Ianya lima kali ganda berbanding pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan mengurus rumahtangga.

Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel di bawah kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada rakyat?

Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang berjumlah 40 juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat Malaysia.

Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700 (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat Malaysia.

Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat kesenangan di bawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan hidup dalam kesusahan.

Kerajaan tidak ada program berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pengangguran tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi. Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan pengeluar minyak.

Kata para ulama: "Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai kemiskinan dihadapan orang miskin."

Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan pulang dengan kemiskinan.

Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pernah menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan orang miskin yang semakin melebar di bawah kekuasaan BN.

Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua tahun lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sebaliknya mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga lebih daripada 30 peratus; iaitu daripada 90 halala (90 sen) kepada 60 halala (60 sen) seliter.

"Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam, kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah kepada 60 halala berbanding 90 halala," kata Dikri Diraja.

Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati hasil petroleum negara?

Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah membisu berhubung pertanyaan ke mana pergi RM500 bilion duit keuntungan Petronas yang hilang?

Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kerana beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang penyata kewangannya tidak perlu dibentangkan di Parlimen.

Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most Sustainable And Ethical Companies'.

Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu, Petronas mendapat markah 20.15% berbanding Shell 89.01%.

Kenaikan harga minyak, adakan segera sidang khas Parlimen


HARAKAH : 07-06-08

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengesa agar sidang khas Parlimen diadakan untuk membincangkan kesan kenaikan harga minyak yang telah diumumkan tiga hari lalu.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sidang itu perlu diadakan supaya isu ini tidak meletuskan keadaan yang tidak terkawal dan menjejaskan keselamatan Negara apabila kemarahan rakyat tidak dapat dibendung.

"Kemarahan rakyat yang sepatutnya dapat dijangka oleh pihak kerajaan tidak boleh dibiarkan kerana isu ini memberi kesan yang sangat besar kepada golongan yang berpendapatan rendah.

"Kami berpendapat pihak kerajaan kurang bijak memutuskan kenaikan yang besar ini sedangkan kerajaan sendiri tahu benar implikasi yang akan berlaku," kata Mohd Azmi lagi.

Membentangkan dan berbincang dengan semangat menjaga kepentingan nasional sepatutnya diadakan di Parlimen agar suatu permuafakatan antara semua ahli Parlimen dari pelbagai parti dapat dibuat, ujarnya.

Soalnya kenapa keputusan ini dianggap boleh diurus oleh kerajaan jika berlaku kemarahan rakyat dengan hanya memberi pengumuman bahawa kerajaan akan memberi subsidi yang lain untuk merengankan bebanan rakyat, kata Mohd Azmi.

Kerajaan tidak boleh bersikap ambil mudah seoalah-olah rakyat akhirnya akan terima keputusan ini tanpa bantahan dengan mengandaikan rakyat tidak berkuasa berbuat apa-apa, katanya.

"Kami percaya jika kerajaan mengambil sikap telus dan jujur menerangkan situasi sebenar serta dapat menunjukkan langkah yang lebih akomodatif terhadap krtitikan pembangkang bagi memberi penjelasan yang benar dan tepat, keadaan tegang seperti yang berlaku sekarang dapat dielakkan," katanya.

Teras berpendapat sememangnya ada asas bila rakyat ingin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap situasi yang mereka hadapi terutama bila pihak kerajaan tidak mahu mendengar rintihan dan keresahan rakyat, katanya.

"Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila persoalan ketidaktelusan, kepincangan mengguna wang Petronas tidak dijelaskan secara terbuka dan jujur oleh kerajaan," katanya.

Sehubungan itu Teras mendesak agar sidang khas Parlimen diadakan secepat mungkin supaya keadaan yang sebenarnya dapat dibahas dengan lebih rasional agar keadaan kacau bilau awam dapat dielakkan, tegasnya.

Harga baru minyak dianggap bebankan rakyat


BERITA HARIAN : 06-06-08

KUALA LUMPUR: Anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, meminta kerajaan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak kerana berpendapat rakyat belum mampu menangani masalah kenaikan itu ketika kos sara hidup kini semakin meningkat.

Beliau berkata, kenaikan itu sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat dan diumumkan tarikh kenaikan lebih awal agar rakyat tidak terlalu terbeban.

"Keputusan menaikkan harga minyak terlalu drastik dan tidak boleh diterima rakyat, tambahan kenaikannya terlalu tinggi,” katanya kepada Bernama.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata implikasi kenaikan harga minyak dan diesel itu bukan saja dirasai penduduk luar bandar, tetapi juga di bandar yang akan turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan makanan dan kos pengangkutan.

"Saya agak terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri yang meminta rakyat agar sesuaikan cara hidup dengan keadaan semasa. Jika dilihat di kawasan pedalaman seperti di Jerlun, kebanyakan masyarakat hidup kais pagi makan pagi,” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan membantah keputusan kerajaan itu yang beliau sifatkan sebagai membebankan rakyat dan yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Beliau berkata, selepas kenaikan harga minyak, akan menyusul pula kenaikan harga tarif elektrik yang sudah pasti mengakibatkan keadaan rakyat bertambah parah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula berkata rebat tunai yang diberi kepada pemilik kenderaan tertentu tidak akan mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederahana.

Sementara itu, sekumpulan penyokong DAP mengadakan demonstrasi secara aman di Jalan Pasar Pudu bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan, kelmarin.

Kumpulan itu yang disertai wakil rakyat DAP termasuk Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Theresa Kok (Seputeh), Lim Lip Eng (Segambut) dan Fung Kui Lun (Bukit Bintang), berkumpul sejak 11 pagi sebelum berarak ke kawasan penjaja sambil diawasi anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kumpulan itu bersurai pada 12.30 tengah hari dan tiada tangkapan dibuat.

Di KUCHING, kira-kira 50 ahli PKR berdemonstrasi di hadapan bangunan Wisma Satok pada jam 4.30 petang semalam mengakibatkan kesesakan jalan raya sehingga 15 kilometer,

Kumpulan itu turut membawa kain rentang dan poster membantah kenaikan harga minyak menyebabkan anggota polis terpaksa merampas bahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Wong Wai Loong, berkata 100 anggota polis termasuk dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak dikerah bagi mengawal keadaan.

Perhimpunan itu berjaya disuraikan polis kira-kira jam 5.30 petang dan tiada tangkapan dilakukan.

Turun subsidi tak kekang kewangan kerajaan: Dr M


BERITA HARIAN : 06-06-08

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya pengekalan subsidi minyak atau pengurangannya secara berperingkat tidak akan mengekang kewangan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mengikut perkiraannya syarikat minyak negara, Petronas, untung lebih RM70 bilion yang semuanya milik kerajaan dan ini menunjukkan kerajaan sekarang melimpah dengan wang.

“Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat kira-kira 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank juga mencecah sehingga RM3 bilion tiap satu.

“Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi. Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat, ia tidak akan mengekang kewangan kerajaan,” katanya dalam laman blognya, www.chedet.com ketika mengulas kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan, kelmarin.

Dr Mahathir mengakui kenaikan harga petrol di negara ini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, katanya, pendapatan perkapita rakyat Malaysia lebih kurang satu pertiga daripada di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Berasas kepada kuasa membeli kita, kenaikan harga adalah lebih tinggi daripada UK atau Amerika Syarikat,” katanya sambil menambah kenaikan minyak itu menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan disebabkan kenaikan dari segi peratusannya lebih tinggi daripada negara maju, sebaliknya kerana cara kenaikan itu dibuat.

“Beberapa hari lalu kerajaan putuskan untuk haramkan penjualan minyak kepada kenderaan milik asing. Sekarang kenderaan asing dibenar membeli semula,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan melarang orang asing membeli minyak di kawasan berhampiran sempadan jika ia sudah menetapkan akan menaikkan harga bahan bakar beberapa hari selepas itu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan dalam jangka masa terdekat perlu memperkenalkan cara untuk mengurangkan pembaziran dan menaikkan pendapatan pekerja di negara ini.

“Kita mungkin tidak dapat menetapkan gaji minimum, tetapi sudah tentu kita boleh meningkatkan sedikit jumlah gaji minimum,” katanya yang mengakui pendapatan negara ini lebih tinggi berbanding sesetengah negara jiran.

Beliau berkata, ketika ini dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai dolar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan dan aktiviti tamak “dana lindung nilai yang berterusan.

Harga barang mula naik


BERITA HARIAN : 06-06-08

Pengusaha bas sekolah umum caj tambahan RM50 sebulan mulai Isnin

KUALA LUMPUR: Baru sehari harga petrol dan diesel dinaikkan, beberapa persatuan dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan dan makanan sudah pun mula menaikkan harga perkhidmatan dan jualan masing-masing, sesetengahnya berkuat kuasa serta- merta.

Persekutuan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) semalam mengumumkan akan mengenakan caj tambahan antara RM10 dan RM50 sebulan mulai Isnin ini, manakala Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur menaikkan harga perkhidmatannya sebanyak 35 peratus, berkuat kuasa serta merta.

Kenaikan kos pengangkutan itu turut memaksa pemborong serta peniaga makanan basah termasuk ikan dan sayur menaikkan jualan masing-masing.

Pengerusi PPPBSM, Chee Ah Tey, berkata 34 persatuan yang bergabung dengan persekutuan berkenaan membabitkan 8,000 pengusaha, bersetuju mengenakan caj tambahan itu sementara kerajaan meluluskan tambang baru bas sekolah.

Beliau berkata, caj tambahan RM10 akan dikenakan bagi jarak dekat seperti dalam kawasan perumahan, manakala kadar maksimum RM50 bagi perjalanan melebihi 30 kilometer, termasuk ke Singapura.

Chee berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini, untuk membincangkan kadar kenaikan tambang bas sekolah serta perkara lain yang membabitkan pengangkutan itu seperti harga tayar, bateri, alat ganti dan gaji pekerja.

"Kenaikan akan berlaku, tetapi peratusannya akan diketahui selepas satu atau dua bulan kajian dibuat oleh KPDNHEP. Tetapi sementara menunggu keputusan dibuat, caj tambahan itu terpaksa dikenakan untuk menampung kos operasi," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter, iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70, manakala harga diesel dinaikkan RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58.

Pengarah Urusan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Alvin H M Choong, pula berkata pihaknya terpaksa menaikkan harga perkhidmatan sebanyak 35 peratus bagi menampung kos operasi.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar ahli majlis persatuan berkenaan sebaik kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api.

"Kenaikan harga diesel sehingga RM1 itu mengejutkan serta mencetuskan situasi cemas industri perkhidmatan pengangkutan. Sebilangan ahli bercadang menghentikan perkhidmatan sehingga kadar baru diumumkan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia (PMLOA), Er Sui See, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memutuskan kadar kenaikan kos pengangkutan itu.

Tinjauan Berita Harian di pasar sekitar Lembah Klang mendapati hampir semua pemborong, peniaga serta peruncit bercadang menaikkan harga barangan berikutan kenaikan kos pengangkutan.

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Pembekal Ikan Melayu Wilayah dan Selangor, Ariffin Zakaria, berkata pihaknya akan menaikkan harga ikan sehingga 10 peratus sekiranya pengusaha lori meningkatkan harga perkhidmatan mereka.

"Kita tertekan dengan kenaikan kos pengangkutan 35 peratus itu dan mungkin kita juga terpaksa menaikkan harga ikan sehingga 10 peratus esok (hari ini)," katanya.

Pengerusi Persatuan Penjual-Penjual Sayur Malaysia, Soo Cheng Kee, berkata peningkatan kos perkhidmatan yang ditetapkan pengusaha pengangkutan itu terlalu tinggi dan membebankan peniaga.

"Sekiranya ia meningkat secara berterusan, harga sayur pasti akan naik walaupun kini peniaga masih mampu menanggung kos kenaikan itu," katanya.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Melayu Pasar Selayang, Samad Saleh, berkata pihaknya akan menaikkan harga sehingga 30 peratus jualan semua barangan basah di pasar itu.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah, berkata pihaknya akan menunggu perkembangan semasa berhubung isu minyak sebelum menaikkan tambang.

"Kita akan hantar memorandum kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan berharap perkara itu akan dikaji dalam masa terdekat," katanya.

Pengurus Besar Komunikasi Rapid KL, Ebi Fazly Abdullah, berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bagi merumuskan langkah yang perlu diambil berikutan kenaikan harga minyak.

Menteri 'memujuk' supaya rakyat tidak 'naik minyak'...


HARAKAH : 06-06-08

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Segelintir menteri sering kali mengelabui mata rakyat dengan pelbagai kata-kata 'pemujuk' dan saranan demi menjustifikasikan kenaikan harga minyak walaupun realitinya menyesakkan masyarakat terutama di kala beban kos sara hidup semakin tinggi kini.

Setiap kali kenaikan harga bakar, para pemimpin akan menggunakan ayat-ayat 'standard' untuk melembut hati rakyat yang mana kata-kata dan kenyataan mereka itu, semakin memedihkan hati dan perasaan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan yang terbeban dengan kenaikan tersebut :-

1. Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi :"Tak payahlah berdemonstrasi...ini tindakan yang tidak popular. Semua tindakan kerajaan tidak akan memuaskan hati semua pihak"

2.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemuramah Tv3 :"Tidak akan berlaku kenaikan harga barang keperluan sebab kita sudah beri 'fleet card' ...kita juga sudah beri subsidi makanan.."

3.Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak :Rakyat hendaklah mengubah gaya hidup dan belanja secara berhemah

4.Dato' Seri Rafidah Aziz sewaktu menjadi Menteri Industri dan Antarabangsa :"Mana ada kerajaan seperti ini (kerajaan Malaysia), masih menanggung subsidi petrol dan gas, walaupun harga bahan api itu telah meningkat.

Selain itu antara ayat bagi menyedapkan hati rakyat dan cuba 'mengeksploitasikan' minda rakyat yang kabur, kerajaan lazimnya akan mengeluarkan kenyataan seumpama ini :-

1. Kenaikan minyak masih rendah berbanding mana-mana pun negara Asean.

2. Kerajaan akan pastikan kenaikan tidak membebankan.

3. Kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi.

4. Kerajaan memberi jaminan harga runcit petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Sekadar mencoret untuk tatapan umum, betapa selama ini harga minyak mengalami kenaikan yang semakin mendadak dan tidak ketahui sampai bila rakyat sanggup bertahan dengan situasi ini apabila melihat dan mendapat kesan kenaikannya selama hampir 18 tahun :-

(dalam masa 16 tahun - sejak 1990)


1.sebelum tahun 1990 - RM 0.89
2.tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
3.01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
4.20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
5.01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
6.31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
7.01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
8.01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
9.01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
10.05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
11.31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
12.28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
13. 4/06/2008 - RM2.70 (kenaikan RM0.78)

Berdasarkan maklumat berikut adalah perbandingan harga minyak Malaysia berbanding negara luar:-


UAE
- RM1.19/liter
Eygpt
- RM1.03/liter
Bahrain
- RM0.87/liter
Qatar
- RM0.68/liter
Kuwait
- RM0.67/liter
Saudi Arabia
- RM0.38/liter
Iran
- RM0.35/liter
Nigeria
- RM0.32/liter
Turkmenistan
- RM0.25/liter
MALAYSIA
- RM2.70/liter

Sebelum ini Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam.

"Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media.

Semoga pendirian beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP dapat meredakan kegelisahan rakyat sekiranya Pakatan berpeluang memerintah negara.

Minyak naik, PM 'korek kubur sendiri'


HARAKAH : 05-06-08

PULAU PINANG, 5 Jun (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi seolah-olah 'mengorek kubur sendiri' berikutan pengumumanya berhubung kenaikan minyak petrol 78 sen seliter iaitu kenaikan mendadak 41 peratus yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara kata Exco Angkatan Muda KeAdiLan Malaysia, Zulkipli Ibrahim.

Beliau menegaskan, padah bagi rakyat negara ini yang masih memilih Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

"Kita dah kata jangan pilih BN tapi ramai terutamanya orang Melayu masih tidak percaya. Kenaikan itu adalah hadiah paling istimewa yang BN anugerahkan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Harakahdaily semalam.

Beliau yakin inilah kenaikan terakhir pengumuman oleh Perdana Menteri ke lima negara kerana selepas ini beliau hanya duduk di kerusi pembangkang.

Pemerintahan yang lemah menjadi sebab utama kenapa rata-rata rakyat menolak kepimpinan 'tiga beranak' itu.

Kenaikan harga minyak yang terlampau tinggi sudah tentunya memberi impak kepada kos saraan hidup rakyat tambahan lagi rakyat yang berpendapatan rendah, katanya.

"Di mana perginya pertimbangan Perdana Menteri untuk membantu rakyat yang sedia menderita. Apakah itu manisfesto BN," tanyanya.

Kenaikan 30 sen dulu pun sambung Zulkipli, rakyat masih belum mampu menyara kehidupan berbanding pula dengan kenaikan sekali lagi pada awal penggal pemerintahan BN.

Tegas beliau, kenaikan itu sekali gus menafikan kepentingan nelayan, petani, tukang kebun, pekerja kilang atau pemandu teksi ekoran mereka antara golongan yang paling tertindas setelah tindakan kerajaan semalam.

"Cukuplah BN menipu rakyat bila menang pilihan raya umum lalu. Mereka begitu berani mengumumkan satu keputusan yang nyata menimbulkan kemarahan rakyat walaupun kemenangan mereka bergantung harap pada BN di Sabah dan Sarawak sahaja," jelasnya yang yakin Pakatan Rakyat (PR) akan berjaya memegang tampuk pemerintah dalam masa terdekat.